Monday, July 21, 2008

TAREKAT MENURUT AL-SUNNAH


Pendahuluan :


Di samping Al-Qur’an, ketentuan Al-Sunnah juga merupakan petunjuk kedua terpenting terhadap penggunaan lafaz dan makna tarekat. Pembuktian dalam penggunaan lafaz tarekat menerusi hadis-hadis Baginda  sebenarnya turut menjadi neraca asas tentang kewujudan tarekat itu sendiri dari sumbernya yang asli. Walaupun lafaz tarekat itu diwujudkan dalam sabda-sabda suci Baginda , apakah lafaz tersebut menepati dengan istilah tarekat yang dijelmakan sekarang. Antara hadis-hadis yang menyebut tentang tarekat adalah seperti berikut :


1. Imam Muslim di dalam Sahihnya meriwayatkan :

حدثنا عمرو الناقد وابن أبي عمر واللفظ لابن أبي عمر قالا حدثنا سفيان عن أبي الزناد عن الأعرج
عن أبي هريرة قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إن المرأة خلقت من ضلع لن تستقيم لك على
طريقة فإن استمتعت بها استمتعت بها وبها عوج وإن ذهبت تقيمها كسرتها وكسرها طلاقها.

Maksudnya : “Sesungguhnya perempuan itu dicipta dari tulang rusuk laki-laki yang bengkok. Ia tidak bersifat lurus bagimu di atas jalan yang satu. Jika kamu ingin berseronok dengannya kamu akan dapat keseronokan tersebut. Akan tetapi padanya terdapat simpang siur. Sekiranya kamu tidak mampu memperbetulkan (kebengkokannya dengan keras lalu ia akan patah) maka lepaskanlah dia dengan talak.”


2.Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak meriwayatkan :

حدثني محمد بن صالح بن هانئ ثنا يحيى بن محمد بن يحيى الشهيد ثنا عبد الله بن عبد الوهاب الحجبي
ثنا حاتم بن إسماعيل عن عبد الأعلى بن عبد الله بن أبي فروة عن قطن بن وهيب عن عبيد بن عمير عن
أبي ذر رضي الله عنه قال لما فرغ رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم أحد مر على مصعب الأنصاري
مقتولا على طريقة فقرأ من المؤمنين رجال صدقوا ما عاهدوا الله عليه.


Maksudnya : “Abu Hurairah  mengatakan : “Tatkala Rasulullah  pulang dari perang Uhud, Baginda  mendapatkan mayat Muscab bin Umayr al-Ansariy  yang mati dibunuh dalam peperangan Uhud di atas jalan yang benar. Lalu Baginda  membacakan ayat yang bermaksud : “Dikalangan orang mukmin itu terdapat lelaki yang benar terhadap apa yang dijanjikan Allah untuknya.”


3.Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak sekali lagi meriwayatkan :

حدثنا علي بن عيسى ثنا أحمد بن نجدة ثنا يحيى بن عبد الحميد ثنا قيس بن الربيع عن عاصم عن شقيق
بن سلمة قال خطبنا أبو موسى الأشعري فقال والله لئن أطعتم الله باديا وعبد الله بن قيس ثانيا لأحملنكم
على الطريقة

Maksudnya : “Abu Musa al-cAshcari mengatakan : “Demi Allah, sekiranya kamu mentaati Allah pada mulanya dan mentaati cAbdullah bin Qays yang keduanya maka sesungguhnya aku akan menanggungmu di atas jalan yang benar.”


4.Imam Ibn Hibban di dalam Sahihnya meriwayatkan :

أخبرنا أبو خليفة قال حدثنا إبراهيم بن بشار قال حدثنا سفيان عن أبي الزناد عن الأعرج عن أبي
هريرة ثم أن النبي صلى الله عليه وسلم أن المرأة خلقت من ضلع ولن تصلح لك على طريقة وإن
استمتعت بها استمتعت بها وبها عوج وإن ترد إقامتها تكسرها وكسرها طلاقها.


Maksudnya : “Abu Hurairah  mengatakan : “Sesungguhnya Nabi  bersabda : “Sesungguhnya wanita itu diciptakan dari tulang rusuk lelaki. Dan wanita itu tidak selamanya baik bagimu di atas satu jalan. Sekiranya kamu ingin berseronok dengannya kamu akan dapat keseronokan tersebut. Akan tetapi pada wanita itu terdapat simpang siur. Sekiranya kamu ingin meluruskannya (memperelokkan mereka) dengan kuat lalu patahlah ia. Kepatahan itu merupakan talaknya.”

5.Imam al-Haithamiy pula mentakhrijkan hadis daripada Imam Ahmad dan al-Tabraniy berbunyi :

رواه أحمد والبزار والطبراني في الكبير ورجال أحمد رجال الصحيح وعن عبد الله بن عمرو قال
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم أن العبد إذا كان على طريقة حسنة من العبادة ثم مرض قيل
للملك الموكل به اكتب له مثل عمله إذا كان طليقا حتى أطلقه أو ألقيه

Maksudnya : “Seseorang hamba itu apabila dia berada di atas jalan yang benar daripada ibadatnya, kemudian beliau ditimpa jatuh sakit lalu dikatakan kepada malaikat yang mewakilinya :”Tulislah pahala baginya seperti mana amalannya sehingga penyakit itu berpisah dengannya atau Aku (Allah) melontarkan baginya penyakit itu.”


Berdasarkan kepada hadis-hadis yang dikemukakan di atas jelaslah kepada kita bahawa lafaz tarekat yang dipergunakan pada matannya bermaksud jalan. Ungkapan kepada maksud ini ada keserasiannya dengan makna tarekat dari sudut bahasa sebagaimana yang telah dikemukakan sebelum ini. Walaupun secara ainnya ia tidak merujuk kepada istilah ahli tasawuf, namun pemakaian kata dari sudut ini jelas mencerminkan makna asal bagi perkataan tarekat itu sendiri.


Imam al-Nawawiy ketika membahaskan hadis “Sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Nabi Muhammad ” turut mengakui bahawa petunjuk itu bermaksud jalan (tarekat) dan mazhab yang dibuat petunjuk bagi umat Islam.


Fenomena yang sama juga turut dipergunakan oleh Imam Ibn Hajr al-Asqalaniy di dalam kitabnya Fath al-Bariy. Beliau mengertikan tarekat sebagai jalan, cara atau metod. Hal ini terbukti apabila kita membuka kitab ini kita akan dapati kata-kata beliau yang berbunyi : “Adapun tarekat al-Muhaddithin , ia merupakan isyarat kepada tarekat (jalan) Nabi  , “pendapat ini merupakan pendapat daripada tarekat (jalan) orang-orang yang terdahulu ” dan lain-lain lagi.


Akan tetapi, Imam al-Dhahabiy lebih banyak mensinonimkan penggunaan lafaz tarekat dengan tarekat al-Tasawuf. Ketika menterjemahkan biografi Abu Hafs al-Naisaburiy, beliau menuqilkan : “Menurut al-Sulamiy, Abu Hafs merupakan seorang tukang besi dan merupakan orang yang mula-mula sekali menzahirkan diri dengan tarekat al-Tasawuf di negeri Naisabur.”


Di dalam versi terjemahan biodata perawi Abu Yacla al-Sabuniy, Imam al-Dhahabiy mengatakan : “Dikatakan dia adalah seorang shaykh yang lurus dan thiqah (dipercayai) yang berdiri di atas tarekat al-Sufiah yang mendengar hadis di Naisabur, Hurrah dan Baghdad. Dan beliau dilahirkan pada tahun 375H.”


Kesimpulannya, berasaskan kepada keterangan di atas ia membuktikan kepada kita bahawa lafaz tarekat dipergunakan dalam konteks yang cukup luas mengikut kesesuaian dan keperluan laras sesuatu ilmu. Kadang-kadang ia dimaksudkan dengan jalan dan ada ketikanya pula difokuskan kepada tarekat sufiah. Pemfokusan lafaz tarekat kepada tarekat sufiah dirasakan merupakan rangkaian istilah yang paling tepat dan sinonim dalam perbincangan bab ini.


Hasilnya membuktikan kepada kita bahawa rangkaian tarekat sufiah bukanlah sesuatu yang asing lagi dalam Islam. Malah ia telah mula diperagakan oleh Al-Qur’an dan al-Sunnah serta dipergunakan oleh ulama bahasa, ulama tasawuf dan juga muhaddithin. Justeru, penilaian secara menyeluruh itu amatlah diperlukan dalam mencari maksud sebenar tarekat.

No comments:

Visit Bil.