Saturday, January 23, 2010

Mencegah Sebelum Parah

Antara contoh penyelewengan penggunaan Kalimah ALlah di dalam bible/tempat ibadah. Siapa agaknya yang akan menjawab bila perkara ini berlaku ? Dan anak-anak akandatang terkeliru dan terpengaruh dengan penyelewengan penggunaan kalimah Allah ini ?










Antara pernyataan yang telah diberikan oleh pakar seperti Dr Khalif Muammar :


Yang paling penting kita perlu jelas bahawa nama Allah telah menjadi nama khas bagi Tuhan umat Islam. Perlu dibezakan antara kalimat Allah dari sudut bahasa yang telah wujud sejak zaman Jahiliyyah dengan kalimat Allah yang telah diIslamkan setelah menjadi istilah atau nama khas. Jika kita perhatikan kalimat tawhid: la ilaha illa Allah. Ia tidak bermakna tiada tuhan melainkan Tuhan, tetapi tiada tuhan melainkan Allah. Kerana jika ia bermakna tiada tuhan melainkan Tuhan maka tidak ada maknanya seseorang mengucapkan kalimat tawhid itu. Oleh kerana itu sarjana-sarjana Islam tidak bersetuju untuk menggantikan Allah dengan God dalam bahasa Inggeris. Pengislaman nama Allah ini juga jelas apabila kita lihat surah al-Ikhlas, antara surah terpenting dalam al-Qur'an, yang menjelaskan siapakah Allah dan apakah sifat-sifatnya:
"Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia"."(al-Ikhlas: 1-4).
Berdasarkan Surah dia atas, sebagai orang Islam kita mesti yakin bahawa yang bernama Allah adalah yang mempunyai sifat-sifat tersebut. Dalam erti kata lain kita tidak mengakui bahawa yang tidak mempunyai sifat-sifat tersebut juga adalah Allah.

Seperti yang dinyatakan oleh Dr. Asri memang masyarakat Jahiliyyah menggunakan nama Allah, tetapi nama Allah di situ digunakan dari sudut bahasa sahaja dan sebelum perkataan itu diIslamisasikan. Ia kemudian menjadi nama khusus yang merujuk kepada sifat-sifat di atas. Kata-kata solat, contohnya, dari segi bahasa adalah doa dan telah digunakan oleh orang Arab sejak pra-Islam lagi, ia kemudian menjadi istilah yang merujuk khusus kepada apa yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w. Oleh itu kita tidak boleh mengatakan orang Katolik juga melakukan solat hanya kerana mereka berdoa di gereja.

Umat Islam perlu melihat apa yang berlaku di sebalik persoalan nama Allah ini. Jika kita lihat dengan teliti isu ini dengan isu-isu yang sebelumnya kita akan dapat melihat hubungannya. Contohnya isu pluralisme agama yang giat dipromosikan oleh orang bukan Islam dan sebahagian orang Islam sendiri iaitu Islam Liberal. Para pendukung pluralisme agama ini berusaha untuk mendangkalkan makna-makna atau kata kunci dalam agama. Mereka mengatakan bahawa Tuhan dalam agama manapun pada peringkat tertinggi (transcendental) adalah sama. Bagi umat Islam, konsep Tuhan kita jauh berbeza dengan konsep Tuhan dalam agama mana pun. Pendukung pluralisme agama juga menekankan wujudnya persamaan antara agama-agama dan perbezaan perlu diketepikan untuk kebaikan bersama. Padahal bagi kita perbezaan fundamental antara Islam dengan agama lain walaupun sedikit adalah sangat penting dan tidak boleh dipinggirkan. Sebahagian orang bukan Islam bahkan mengaku telah Islam tanpa perlu masuk Islam. Kerana mereka merasa telah 'berserah diri' kepada Tuhan. Di sini mereka merujuk perkataan Islam dari sudut bahasa ialah berserah diri. Jika Allah hanya bermakna Tuhan maka kini mereka akan mendakwa bahawa mereka juga telah beriman kepada Allah. Padahal mereka hanya percaya pada Tuhan.

Contohnya lagi kita tidak boleh menggunakan kata 'liberal' untuk makna terbuka kerana ia memberi konotasi yang dalam. Kita pun tidak akan mengatakan bahawa mereka telah memonopoli perkataan liberal. Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas adalah sarjana Islam yang paling tegas dalam hal pemberian nama atau istilah ini. Bagi beliau banyak kekeliruan berpunca daripada penamaan. Contohnya pelajaran berbeza dengan pendidikan dan ta'dib. Istilah moden dan klasik dalam pembahagian sejarah bagi beliau tidak relevan dengan sejarah Islam dan lain-lain lagi.

Sebenarnya tidak ada nas sorih dan qat'i dalam persoalan ini. Nas dan dalil yang dikemukakan oleh Dr. Asri hanya menunjukkan bahawa masyarakat Jahiliyyah telah menggunakan kalimat Allah untuk merujuk kepada Tuhan mereka. Kita perlu melihat ayat-ayat dan hadis-hadis seumpamanya dalam konteks penggunaannya dari sudut bahasa. Dari sudut bahasa Allah bermakna Tuhan. Ayat-ayat tersebut turun ketika Islam mula diperkenalkan sebagai proses berdialog dengan kaum musyrikin. Setelah konsep-konsep penting dalam Islam jelas dan worldview Islam terbentuk maka di sini proses Islamisasi berlaku baik terhadap bahasa, budaya dan pemikiran masyarakat Arab. Oleh kerana itu dengan mendangkalkan makna Allah maka kita telah menafikan proses Islamisasi tersebut dan kembali seolah-olah Islam belum bertapak. Memang kita boleh membuat kesimpulan tidak menjadi masalah orang bukan Islam menggunakan nama Allah kerana hal tersebut "tampak" secara literalnya wujud dalam al-Qur'an. Namun, dalam berijtihad seseorang ilmuwan tidak boleh hanya bersandarkan kepada makna literal teks atau nas tetapi perlu juga melihat kepada maqasid dan falsafah yang mendasarinya sebagaimana telah ditegaskan oleh al-Shatibi.

Persoalan nama Allah tidak boleh dilihat dari sudut fiqh sahaja khususnya kerana ia menyangkut aqidah. Ia mesti melibatkan kepakaran dalam bidang falsafah Islam, dan lebih spesifik metafizik Islam dan epistemologi Islam. Dalam perbualan peribadi dengan seorang tokoh pemikiran Islam, Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, beliau memberitahu dan menyambung hujah Prof S.M.N al-Attas bahawa al-Qur'an telah merubah dan memperbaiki kekeliruan dan kerusakan yang telah terjadi kepada hakikat-hakikat penting yang berkisar di sekitar ketuhanan, kemanusiaan dan kejadian. Dalam hal ini yang terjadi ialah proses Islamisasi terutama tentang hakikat ketuhanan yang merupakan tiang seri agama Islam. Menurut beliau lagi sekarang ini yang kelihatan sedang berlaku ialah proses deislamisasi dengan membawa makna-makna yang asing dan berlawanan dengan aqidah dan pandangan alam Islam, samada aliran-aliran sekular atau dari agama-agama lain.

Prof Wan Mohd Nor juga berkata setiap istilah dalam semua bahasa mempunyai batas-batas makna yang sah yang mencerminkan pandangan alam tertentu, dan yang membezakan sesuatu istilah itu dengan yang lain. Persamaan yang banyak pun masih memerlukan istilah atau nama yang berbeza jika terdapat hanya satu perbezaan yang penting.


Sebab itulah semua bahasa-bahasa yang tinggi mempunyai kamus. Keldai, kuda, baghal banyak persamaan tetapi terdapat perbezaan; dua manusia kembar siam juga diberi nama yang berbeza. Orang bukan Islam boleh mempekayakan kamus peristilahan Bahasa Melayu dengan menggunakan nama lain bagi Tuhan mereka. Dalam konteks Kristian, mereka boleh gunakan Tuhan, Dewata, Deus, Theos, atau God. Selama ini gereja, kuil, sami, paderi, uskup dan lain telah memperkayakan Bahasa Melayu dan tidak menimbulkan kekeliruan dan kemarahan masyarakat yang beragama lain. Di sini jelaslah bahawa seseorang yang bercakap tentang persoalan aqidah mesti faham kaitannya dengan worldview, tasawur dan pemikiran Islam. Dalam hal ini, aqidah tidak hanya bermakna kepercayaan dan keimanan dalam ertikata yang sempit seperti biasa difahami oleh masyarakat umum, namun ia adalah satu set keyakinan yang dapat memberi kesan kepada cara berfikir (worldview) dan cara hidup (way of life) seseorang Muslim.

Kita juga perlu berfikir mengapa kaum Katolik ingin menggunakan nama Allah? Kita tidak boleh tertipu dengan hujah persamaan nama yang bagi sesetengah orang hanya bersifat luaran. Kita tahu pada hakikatnya nama Tuhan mereka bukan Allah. Nama Allah mungkin relevan bagi penganut Kristian di negeri-negeri Arab tetapi tidak di selain negeri Arab. Oleh itu jelas terdapat agenda yang tersembunyi yang tidak boleh luput dari perhatian umat Islam. Isu ini juga dibangkitkan dengan memanfaatkan toleransi dan dialog antara agama yang semakin mendesak ketika ini.

Tindakan membiarkan pihak Kristian menggunakan kalimat Allah bukan satu toleransi tetapi satu penggadaian hak dan kedaulatan. Ia adalah satu kerugian yang besar dan kelemahan yang nyata apabila umat Islam membiarkan penganut agama lain mendangkalkan konsep dan istilah penting dalam Islam. Perkataan Allah, solat, tawhid, rasul, bahkan istilah Islam itu sendiri membawa makna yang tersendiri setelah diislamisasikan. Kalimat-kalimat ini telah menjadi bahagian penting daripada pandangan sarwa Islam (Islamic worldview). Jika ia dikaburkan maka sudah tentu akan memberi kesan kepada pemikiran dan aqidah umat Islam.

Sesiapa pun yang ingin memahami persoalan ini perlu sedar bahawa beberapa istilah keagamaan tertentu telah menjadi 'milik' umat Islam. Sebarang tindakan meng-'import' nya boleh dianggap sebagai penyalahgunaan dan pencabulan terhadap agama Islam. Istilah-istilah keagamaan mesti dihormati, dari agama manapun ia datang, oleh penganut agama lain. Toleransi mungkin berlaku jika wujud penghormatan terhadap agama lain. Nama dan istilah tertentu seperti Pope, Paderi (priest), Sami (Monk) dalam agama-agama tertentu tidak boleh digunakan sewenang-wenang oleh penganut agama lain. Ini bukan sahaja kerana ia telah sinonim dengan agama penggunanya tetapi juga kerana kalimat ini telah diwarnai atau mengandungi pandangan sarwa penggunanya.

Oleh itu tindakan Kementerian Dalam Negeri pada 31 Disember 2007 melarang penggunaan nama Allah dalam surat khabar Herald adalah tindakan tepat dan positif yang bermakna bagi umat Islam. Ia perlu disokong dan orang-orang agama tidak sepatutnya mengeruhkan lagi keadaan. Umat Islam mesti mempertahankan nama Allah untuk tidak digunakan oleh orang bukan Islam selagi termampu. Masyarakat Islam di negeri-negeri Arab tidak mempunyai kemampuan untuk mempertahankan hal ini kerana ia berlaku secara halus dan di luar kawalan mereka. Kebelakangan ini tampaknya ketidaksepakatan orang Islam dalam hal ini telah membuka ruang kepada Herald Tribune untuk menggugat keputusan Kementerian tersebut.

Maka dapat disimpulkan bahawa jika dilihat dari sudut falsafah dan pemikiran, dan bukan hanya dari sudut fiqh, kita akan melihat bahawa nama memberikan seribu makna. Jauhnya perbezaan antara Allah dengan Tuhan ibarat langit dengan bumi. Jelaslah isu ini bukan isu perebutan nama tetapi isu yang menyangkut jantung aqidah. Ia juga berkaitrapat dengan pendangkalan makna Allah untuk menjustifikasikan pluralisme agama. Kita tidak boleh membiarkan pendangkalan makna tersebut berlaku tanpa penolakan umat Islam. Adalah menjadi tanggungjawab semua ilmuwan Islam untuk menentang segala usaha mendangkalkan makna dalam Islam.

*Penulis adalah Felo Penyelidik ATMA (Institut Alam dan Tamadun Melayu), UKM.

Dr Asmadi juga mengulas dalam isu ini :


Pada saya, ada beberapa perkara yang perlu diteliti dalam memperbahaskan isu penggunaan nama Allah.

Pertamanya,

kitab-kitab agama-agama langit terdahulu tidak diturunkan dalam bahasa Arab, justeru tidak timbul langsung penggunaan istilah ‘Allah’ untuk agama-agama langit seperti ‘Yahudi’ dan ‘Kristian’. Al-Quran kemudiannya menjelaskan bahawa konsep tauhid agama tersebut yang asal ialah kepercayaan kepada Allah SWT walaupun telah diselewengkan oleh para pendeta dan paderi. Hakikat bahawa kitab-kitab Yahudi dan Kristian bukan berbahasa Arab iaitu taurat dan injil (bible), keduanya tidak menggunakan nama ‘Allah’ untuk merujuk tuhan mereka. Sebaliknya Islam tidak pernah menggunakan istilah yang mereka gunakan terhadap Allah sebagai nama kepada tuhan di dalam ajaran Islam.

Keduanya,

ayat-ayat yang disebutkan di atas adalah berkaitan dengan ayat-ayat sebelumnya. Contohnya, ayat 23 dan 24 Surah Luqman menceritakan orang-orang yang kufur terhadap Allah SWT dan mereka ditimpakan dengan azab yang pedih. Justeru, di kalangan mereka yang kufur (menyembah selain dari Allah SWT), jauh di sudut hati mereka mengakui adanya tuhan yang esa yang menjadikan langit dan bumi. Ini tidak menandakan orang-orang kafir menggunakan lafaz Allah dan menyembah Allah sebagai tuhan mereka.

Demikian juga dalam surah al-Ankabut, ayat sebelumnya menceritakan rahmat Allah.
Sekiranya ditanya kepada orang-orang kafir siapakah tuhan mereka, nescaya mereka akan mengatakan Allah. Namun mereka tetap berpaling. Iaitu mereka masih berpaling dengan tidak meyembah Allah SWT
.
Justeru, ayat ini tidak boleh digunakan untuk menunjukkan tuhan mereka ialah Allah SWT.


Ketiganya,

kemungkinan ada pandangan mengatakan ‘orang-orang Arab Jahiliyah’ menggunakan perkataan ‘Allah’ untuk merujuk kepada ‘tuhan’. Benarkah begitu? Sebaliknya orang-orang Arab sebelumnya banyak menggunakan perkataan ‘ilah’ untuk merujuk kepada tuhan, contohnya ilah latta dan ilah al-uzza.

Sebaliknya, al-Quran datang menggunakan perkataan ‘Allah’ dan bukan perkataan ‘ilah’ bersama penafian Allah itu mempunyai anak, dan penafian Dia mempunya pembantu yang terdiri dari ilah-ilah yang lain sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Mukminun, ayat 91 yang bermaksud:

Dan tidaklah Allah mempunyai anak, dan tidaklah bersamanya tuhan yang lain (sebagai pembantu). Oleh itu, sekiranya setiap tuhan memutuskan keputusannya sendiri, nescaya sesetengahnya di atas sesetengah yang lain (menguasai yang lain), mahasuci Allah daripada apa yang mereka sifatkan.


Keempatnya, umat Islam perlu mempertahankan penggunaan nama ‘Allah’ hanya untuk orang-orang Islam kerana beberapa sebab, antaranya:

i. Antaranya penggunaan perkataan ‘Allah’ telah melalui proses penyucian dari segala kesyirikan yang muncul dari zaman selepas nabi-nabi sebelumnya sehingga hari ini sehingga diiktiraf sebagai tuhan orang-orang Islam. Sila lihat kamus-kamus moden bagi membuktikan perkara ini. Justeru itu, membenarkan penggunaan istilah itu kepada bukan Islam adalah satu tindakan ke belakang untuk kembali ke zaman penggunaan nama Allah yang dipenuhi kesyirikan. Sekaligus, ia mengenepikan usaha al-Quran yang berulang kali menafikan sifat-sifat kesyirikan (mempunyai anak dan pembantu-pembantu) yang ada pada zat Allah SWT.

ii. Berpegang pada pandangan bahawa dalam al-Quran menyebut orang-orang kafir menggunakan penggunaan nama Allah, adalah pandangan yang cetek. Tidakkah mereka membaca bersama bahawa al-Quran berulang-kali mensucikan nama ‘Allah’ dari bersifat dengan sifat kelemahan.

iii. Kalau benarpun, ada penggunaan ‘Allah’ sebelum Islam, ia adalah nama umum, yang kemudiannya menjadi nama khusus untuk tuhan orang-orang Islam setelah melalui proses mensucikan nama Allah SWT dari segala sekutu yang tidak layak untuknya.


WaLlahua'lam

p/s : Jangan samakan antara masyarakat Arab yang sudah lama terdedah dengan kalimah Allah dan lebih kukuh pegangan aqidahnya berbanding masyarakat Islam di Malaysia. Apatah lagi setelah banyak pula fahaman-fahaman yang menyeleweng. Dan ada juga fahaman ekstrim yang menghukum sesat pada perkara ijtihad yang hanya menimbulkan lebih banyak kekeliruan dan permusuhan.

Wednesday, January 13, 2010

Keputusan Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan 2008 Mengenai Kalimah Allah

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Mengenai Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah



Bil. Muzakarah : Kali Ke-82
Tarikh : 5 Hingga 7 Mei 2008
Tempat : Holiday Villa Hotel & Suites
Alor Star Kedah


1) Ulasan/Hujah
i. Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang Kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah triniti. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverand Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang Kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu, lafaz Allah juga tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.

ii. Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakala Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh, Elohim dan juga Yhwh.

iii. Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.

iv. Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.

v. Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaannya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.


vi. Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.


vii. Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama Kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama.


viii. Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God diterjemahkan sebagai Allah.


ix. Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri supaya kesucian agama dan akidah umat Islam dapat dipertahankan.


x. Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi faktor utama adalah berasaskan kepada akidah dan kesucian agama Islam.


xi. Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.

xii. Larangan terhadap penggunaan kalimah Allah ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Mei 1986 yang memutuskan empat (4) perkataan khusus iaitu Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah tidak dibenarkan penggunaannya oleh bukan Islam. Pada masa ini terdapat 10 buah negeri telah memperuntukan larangan penggunaan kalimah Allah dalam Jadual kepada Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang masih dalam proses menggubal Enakmen ini.


2) Keputusan


i. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

ii. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

-----------

Ulasan saya :

Sudah jelas fatwa Majlis Kebangsaan kali ke - 82 ini dikeluarkan bagi menghalang agama lain menggunakan Kalimah Allah sewenang-wenangnya apatah lagi tujuannya adalah untuk menimbulkan kekeliruan kepada umat Islam. Malangnya ada juga yang menyokong penggunaan kalimah Allah secara total tanpa memikirkan kesan dan akibatnya pada masa akandatang.

Lihatlah dengan mata hati tentang apa yang terjadi di Indonesia apabila pihak Kristian dibenarkan untuk menggunakan kalimah Allah di sana. Di bawah ini adalah antara contoh-contohnya :


imageimageBelum lama ini, di deretan kios buku-buku bekas di sekitar perempatan Senen Jakarta, saya menemukan sebuah buku berjudul ?Beriman dengan Taqwa? terbitan satu penerbit Katolik di Yogyakarta. Buku ini merupakan buku serial Pustaka Teologi dalam agama Katolik. Bagi orang Muslim, judul buku semacam ini tentulah tidak asing, karena kata-kata iman dan taqwa memang merupakan kosa kata resmi dalam agama Islam. Kata ?iman? memiliki makna khusus, tidak bisa diganti dengan istilah lain. Orang yang beriman kepada hal-hal yang wajib diimani, dalam istilah Islam disebut sebagai orang ?mukmin?.

Karena itu, kata ?iman? sebagai istilah khusus, tidak sama dengan kata ?percaya?. Kalimat ?Saya percaya kepada Presiden? tidak bisa kita ganti dengan kalimat ?Saya beriman kepada Presiden?. Begitu juga kata ?taqwa? dalam agama Islam, memiliki makna khusus, yang bukan sekedar makna bahasa (lughawi). Secara umum, orang-orang Islam yang taat kepada Allah, yang melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-larangan-Nya, disebut sebagai orang-orang yang bertaqwa (muttaqun).

Tentulah, istilah Islam itu akan sangat aneh andaikan kita terapkan untuk orang di luar Islam. Misalnya, karena dipandang memiliki kepercayaan yang kuat dan taat kepada agama Kristen, maka George W. Bush, Billy Graham, dan sebagainya, lalu diberi julukan sebagai orang-orang Kristen yang mukminun dan muttaqun. Atau, mereka disebut sebagai orang-orang Kristen yang shalihun dan muhtadun (yang mendapat hidayah). Tentu sebutan itu akan sangat ganjil dalam pandangan Islam.

Dengan membaca judul buku ?Beriman dengan Taqwa? dalam perspektif Katolik tersebut, kita bertanya, bagaimana jika suatu ketika nanti di Indonesia berdiri sebuah gereja bernama ?Gereja at-Taqwa? atau ?Gereja Shirathal Mustaqim?? Apakah hal itu bisa dibenarkan?

Rujukan dari : http://forum.swaramuslim.net/threads.php?id=4112_0_24_0_C

Seorang pendakwah bebas iaitu Ustaz Haji Mohd Farhan Abdullah al Hafiz atau dahulunya dikenali sebagai Pastor Yohanes menerangkan antara jarum halus missionari Kristian untuk menarik umat Islam agar memeluk agama Kristian menyebutkan :

Dalam sebuah buku diterbitkan oleh Universities and Colleges Christian Fellowship di United Kingdom tahun 1981 - Light on Islam : Reaching Out to Muslims Students In Britain - digariskan beberapa kaedah untuk menawan orang-orang Islam agar memeluk agama Kristian antara isinya :

"Terangkan tentang Jesus sebagai kalimah Tuhan, tidak sebagai anak Tuhan, kerana banyak masalah dan kekeliruan yang akan timbul".

Selain dari itu, beliau juga mengajak agar kita meneliti dan memahami apa yang ditulis oleh George W Peters dalam makalahnya, An Overview of Missions To Muslims. Peters mengakui betapa besar pengorbanan dan tugas yang terpaksa mereka lakukan demi mengkristiankan orang-orang Islam dengan ungkapan
"...(for those) who labored in blood, tears and sweat, and with prayer and patience in the Muslim world..."

Jangan terkejut! Ustaz Farhan juga mendedahkan bahawa terdapat risalah-risalah Kristianisasi yang telah tersebar antaranya seperti :




Risalah Kristian di bahagian depan kulit risalah tertulis kalimah Basmalah - RAHSIA JALAN YANG LURUS- Al Mustaqim.

Rujukan : Al Islam, April 2009, m/s 8-9

Ketahuilah wahai saudaraku tentang realiti sebenar apa yang dihadapi kini. Sudah sewajarnya kalimah Allah dilarang terus dari di'pergunakan' samada oleh Kristian atau agama-agama lain untuk mengelirukan umat Islam. Tugas kita sebagai umat Islam adalah dengan memantapkan lagi aqidah, belajarlah dengan guru yang bertauliah dan jauhi dari aqidah tajsim dan taysbih (menjisimkan dan menyamakan Allah dengan makhluknya).

Benarlah firman Allah :



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ (١) ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ (٢) لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ (٣) وَلَمۡ يَكُن لَّهُ ۥ ڪُفُوًا أَحَدُۢ (٤)


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. (1) Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. (2) Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan (3) Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.(4)(surah al Ikhlas : 1-4)

Wallahua'lam bissowab.

p/s: Terdapat artikel yang ditulis oleh ilmuwan agama yang bagus untuk dibaca antaranya :


  1. Penjelasan Isu Orang Kristian Menggunakan Kalimah Allah
  2. Penggunaan Nama Allah : Antara Celaru Dan Keliru
  3. Fakta Menarik Sekitar Isu "Kalimah Allah"
  4. Isu Penggunaan Kalimah Allah Bagi Orang-orang Kristian
  5. Jika Kita Gagal....
  6. Orang Kristian Pun Menentang Penggunaan Kalimah Allah
  7. Isu Kehilangan Adab Dalam Penggunaan Nama Allah : Jangan Jadi Naif !
  8. Antara Nama Dan Hakikat

Saturday, January 2, 2010

PENYELEWENGAN TAUHID DAN KALIMAH ALLAH


Kamus Dewan Bahasa, kamus paling autoritatif mengenai bahasa Melayu menyatakan dengan jelas bahawa perkataan ALLAH bermaksud Tuhan Yang Satu dalam Bahasa Melayu. Manakala The Hutchinson Encyclopedia hlm 27 menjelaskan perkataan ALLAH ditafsirkan sebagai, "ALLAH: Islamic name for God". Penjelasan yang sama boleh didapati jika kita merujuk kepada Encycopedia Brittanica, Wikipedia dan lain-lain sumber. Kesimpulannya, jelas bagi kita bahawa nama ALLAH dikaitkan dengan Tuhan Yang Satu, Tuhan umat Islam. Ia nyata amat berbeza dengan maksud 'Eli atau Yehowah' dalam konsep ketuhanan Kristian dan Yahudi.


Dari sudut bahasa apa sekalipun, kalimah ALLAH adalah kata nama khas. Ia merujuk kepada Tuhan Sebenar yang diseru oleh Nabi kita Muhammad SAW untuk beriman denganNya. Tanpa menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu pun. Ajaran ini selaras dengan seruan para Rasul terdahulu. Pendek kata, semua Para Anbiya AS menyeru kepada akidah mentauhidkan Allah SWT. Iaitu mengesakan Allah pada Dzat, Sifat, Af''al dan Asma'nya. Oleh kerana prinsip ini dibawa Nabi kita Muhammad SAW, maka kalimah ini menggambarkan intipati Ketuhanan yang jelas secara eksklusif milik Islam itu sendiri. Ia bukan milik sesiapa pun, samada Muslim atau kafir, baik manusia atau mana-mana makhluk di alam ini.


Hakikat ini dijelaskan sendiri oleh Allah SWT di dalam Al-Qur'an bermaksud : "Katakan Muhammad bahawa ALLAH itu Esa, Ia tempat tumpuan segalaNya (berdiri sendiri, tidak bergantung dengan sesiapa). Dia tidak beranak. Dan tidak pula diperanakkan. Dan ALLAH itu tidak sekufu/setara/serupa dengan segala sesuatu" (Al Ikhlas: 1-4).


Berasaskan ayat ini, golongan bukan Islam, terutamanya kristian tidak berhak mempergunakan kalimah Allah SWT sama sekali. Baik di dalam pertuturan, perbuatan mahupun terbitan mereka. Ini kerana kepenggunaan kalimah berkenaan tidak bertepatan dengan konsep tauhid yang sebenar yang melambangkan Allah SWT sebagai Dzat yang wajib ada dengan KeEsaanNya dalam Islam. Berbanding prinsip tiga Tuhan dalam tradisi kristian.

Jika golongan bukan Islam ingin mempergunakan kalimah Allah SWT, mereka perlu mengiktiraf kandungan kitab Suci al-Qur'an sebagai satu-satunya petunjuk kepada jalan ketaqwaan (Al Baqarah:2). Buangkan kepercayaan mereka kepada kitab Injil yang telah diubah atas nama pendustaan kepada Nabi Isa AS. Solanya, berbaloikah kristian katholik mengorbankan kepercayaan mereka berbanding tuntutan penggunaan kalimah Allah ini?

Bukan itu sahaja, golongan kristian juga perlu beriman dengan Kenabian Nabi kita Muhammad SAW sebagai Nabi Yang Terakhir. Dialah Allah yang mengutuskan Muhammad SAW dengan petunjuk dan agama yang benar yang menjuarai semua agama dan kepercayaan yang ada. Dan cukuplah Allah SWT yang menjadi saksi atas semua itu (Al Fath: 28). Jika kristian 'pelahap' sangat ingin menggunakan nama Allah SWT, eloklah mereka memeluk Islam dengan melafazkan syahadah. Mereka boleh menggunakan kalimah Allah SWT setiap masa dan ketika. Saya kira, ini boleh menyelesaikan kemelut kepenggunaan ini. Soalnya, sanggupkah mereka?Adapun hujjah sesetengah cendiakawan yang membenarkan penggunaan kalimah Allah menerusi surah Az Zukhruf : 86-87 dan Al Ankabut: 63 adalah TIDAK BENAR sama sekali. Mereka tidak memahami kandungan ayat berkenaan dalam kerangka ketuhanan yang benar.

Pertama : Ayat - ayat di atas adalah uslub mujadalah. Iaitu gaya bahasa perbantahan yang berlaku antara Nabi SAW dengan golongan musyrikin tentang akidah tauhid. Buktinya Allah SWT memerintahkan Nabi SAW supaya berbahas dengan mereka dengan cara yang lebih baik.(al-Ankabut 46) Jadi, uslub mujadalah tak sah dipetik sebagai hujjah kerana lafaz ini dirakam oleh Allah SWT sebagai pengajaran kepada kita bahawa golongan kafir hanya mahu berbantah-bantah, berdolak-dalik dengan ucapan. Tetapi hakikatnya, pertuturan mereka dipenuhi dengan kalimah dusta terhadap Baginda SAW. Maka benarlah kesimpulan feqhiyyah : Hakikat Lafaz yang digunakan menunjukkan maksudnya bukan menunjukkan sendi frasanya.

Kedua : Golongan musyrikin yang tidak mahu beriman dengan syariat Nabi SAW dicabar dengan hujjah logik : Siapakah yang mencipta langit bumi? Mereka mengatakan : Allah!. kalimah Allah yang digunakan disini hanya dari sudut bahasa sahaja. Ia bukan bermaksud mengiktiraf Allah Yang Esa yang diserukan oleh Nabi SAW. Atau dengan kata lain, jawapan Allah yang diberikan musyrikin disini hanya berdasarkan apa yang ada dalam zihn (kotak pemikiran) mereka sahaja. Iaitu berdasarkan kepercayaan yang diwarisi datuk nenek moyang mereka yang menyembah berhala. Bukannya satu pengiktirafan konsep ketuhanan yang sebenar yang dibawa Nabi SAW. Lantaran itu, mereka terus menyembah berhala dan menolak konsep ketuhanan (akidah tauhid) yang di bawa Nabi SAW dan meneruskan kekufuran. Ternyata, pengucapan 'Allah' dalam ayat ini adalah dibuat dengan nada pembohongan semata-mata. Allah SWT sendiri menyifatkan pembohongan mereka (al-Ankabut ayat 61) dengan lafaz : فأنى يؤفكون

Lafaz ini dihurai oleh Imam al-Qurtubi dengan katanya : Iaitu mengapa mereka kufur untuk mentauhidkanKu dan berpaling dari mengabdikan diri kepadaKu." Penjelasan ini membuktikan bahawa golongan musyrikin sebenarnya tidak beriman dengan Allah SWT. Sebaliknya hanya mengungkapkan kalimah Allah untuk melepaskan diri dari kebenaran berhujjah.

Ketiga : Kita Umat Islam tidak boleh sesekali mengiktiraf golongan bukan Islam sebagai ahli tauhid rububiyyah disebabkan mereka mengucapkan kalimah Allah. Ini kerana ucapan kalimah Allah pada mereka bukan merujuk kepada Tuhan Yang Esa dengan segala sifat kesempurnaan. Sebaliknya mereka menggambarkan Allah dengan kepelbagaian prinsip KeTuhanan. Buktinya, Golongan yahudi dan kristian saling mempercayai bahawa Allah itu mempunyai anak. (al-taubah 30). Golongan yang lain pula terus mengambil berhala sebagai sembahan. Sedangkan Allah SWT membantah kenyataan mereka dalam ayat yang sama : "Demikianlah perkataan mereka Dengan mulut mereka sendiri, (Iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?

Melalui ayat ini terbukti kepada kita bahawa konsep syirik yahudi dan kristian jauh berbeza dengan pengertian akidah tauhid. Justeru mereka tidak berhak menggunakan kalimah Allah SWT dalam keadaan mensyirikkannya.

Keempat : Allah menjelaskan bahawa golongan yang mempersekutukan Allah sebenarnya berada diterminal kenistaan dan kekufuran. Buktinya Allah SWT berfirman : "Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang Yang tetap berdusta (mengatakan Yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik) kepadaNya." (al-Zumar ayat 3)

Jika Allah SWT menjenamakan mereka dengan golongan yang berdusta dan sentiasa kufur kepadaNya, mengapa kita ingin memandai-mandai untuk mendakwa mereka bertauhid dan ingin mengizinkan mereka mempergunakan kalimah Allah SWT. Apakah kita ingin memandai-mandai melebihi ketentuanNya.

Kelima : Allah SWT sendiri menjelaskan pendirian ketuhanan musyrikin di dalam surah Yasiin ayat 78 : "Serta ia mengemukakan satu misal Perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: "Siapakah Yang dapat menghidupkan tulang-tulang Yang telah hancur seperti debu?"Katakanlah: "Tulang-tulang Yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan Allah Yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Dia Maha mengetahui akan Segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya)"

Ayat ini menjelaskan bahawa penanya soalan di atas tidak mengetahui hakikat ketuhanan dan enggan mempercayai adanya kehidupan selepas kematian. Sebaliknya mereka mengejek Nabi SAW. Lalu Allah SWT menjawab ejekan mereka pada ayat 79 surah yang sama. Adakah patut bagi orang yang berakal mendakwa bahawa penanya di atas beriman dengan tauhid rububiyyah? Ternyata ia tidak sesekali.

Keenam : Di dalam surah al-Jatsiyah ayat 24 Allah berfirman : "Dan mereka berkata: "Tiadalah hidup Yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah Yang membinasakan kita melainkan edaran zaman". pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.

Ayat ini jelas membuktikan bahawa golongan yang tidak menerima seruan Nabi SAW adalah golongan bukan Islam. Mereka menyangka bahawa tiada suatu kuasa pun yang boleh membinasakan mereka kecuali peredaran masa. Ertinya mereka tidak yakin dengan kekuasaan Allah SWT. Dan Allah menempelak kenyataan mereka bahawa kepercayaan itu adalah sangkaan yang tidak berdasarkan fakta yang benar. Adakah orang yang tidak meyakini Kebesaran dan Keagungan Allah dikira bertauhid rububiyyah? dan kita pula ingin membenarkan mereka memperkotak-katikan nama Allah yang maha suci? Nau'zubillah.

Ketujuh : Jika golongan bukan Islam mengiktiraf tauhid rububiyyah, mengapa Allah SWT mencabar mereka dalam surah al-Ghasiyyah ayat 17 -23 bermaksud : "(Mengapa mereka Yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta Bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit Bagaimana ia ditinggikan binaannya.? Dan keadaan gunung-ganang Bagaimana ia ditegakkan? Dan keadaan bumi Bagaimana ia dihamparkan? Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (Wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada Yang menolaknya), kerana Sesungguhnya Engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan; Bukanlah Engkau seorang Yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam Yang Engkau sampaikan itu). Akan tetapi sesiapa Yang berpaling (dari kebenaran) serta ia kufur ingkar. Maka Allah akan menyeksanya Dengan azab seksa Yang sebesar-besarnya."

Jika benar golongan bukan Islam mentauhidkan Allah dengan tauhid Rububiyyah mengapa Allah masih mencabar mereka supaya menekspresi akal.? Mengapa pula mereka diistilahkan Allah dengan 'berpaling dari kebenaran ' serta 'kufur lagi ingkar'. Mengapa pula mereka dijanjikan Allah dengan siksaan yang besar. Ayat ini menunjukkan bahawa mereka sepincingpun tidak beriman ayat-ayat Allah SWT.

Sebenarnya masih banyak ayat al-Qur'an dan al-hadis yang membuktikan kepada kita bahawa golongan bukan Islam sememangnya tidak memahami ketuhanan Allah yang sebenar. Malah golongan ini mempunyai doktrin ketuhanan tersendiri berdasarkan tradisi dan kepercayaan mereka. Jika mereka terus diikat dengan kepercayaan tradisi dan mempersekutukan Allah, bagaimana bisa mungin kita katakan mereka itu bertauhid? Dan bagaimana pula kita ingin membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah dalam terbitan atau pengamalan mereka.?

Kesimpulannya, setiap nas perlu ditafsirkan mengikut metodologi yang jelas. Iaitu mengikut urutan ayat sebelum dan selepasnya, perkaitan dengan ayat yang lain samada dalam satu surah yang sama atau surah yang berbeza. Ataupun berdasarkan kepada Sunnah yang sahih lagi mutawattir dalam membicarakan isu akidah. Hal ini jelas sebagaimana yang diperakukan Ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah.Hasil penjelasan ini, dapatlah diketahui bahawa ayat 86-87 Az Zukhruf dan ayat 63 Al Ankabut sesekali tidak menyatakan bahawa ALLAH membenarkan penggunaan nama ALLAH bagi maksud selain daripada Tuhan Yang Esa. Malahan tiada satu nas pun yang menunjukkan Islam mengiktiraf kesyirikkan dan kekufuran itu tergabung dengan pakej tauhid rububiyyah. Bukankah tauhid hanya satu. Tidak berbilang-bilang.

Justeru, mengapa dengan mudah kita ingin membenarkan golongan bukan Islam menggunakan kalimah suci Allah dalam kekufuran. Jika kita menggunakan ayat di atas bagi menjustifikasikan keizinan penggunaan kalimah Allah untuk bukan Islam kita sebenarnya kita menggunakan dalil bukan pada tempatnya.Bahkan tindakan ini juga lebih bersifat mempromosi perkongsian ketuhanan Allah. Ini adalah prinsip yang bathil. Satu malaysia tidak boleh menghalalkan prinsip satu Tuhan. Tidak sesekali.


Apa yang jelas, rancangan Kristian Malaysia untuk menggunakan perkataan ALLAH dalam konteks triniti tidak patut dibenarkan sama sekali. Ia menodai prinsip ketuhanan yang Esa yang menjadi teras akidah Islam. Ia juga berupaya membangkitkan sensitiviti dan amarah bangsa melayu muslim. Hasilnya kemana? Fikirkanlah.


Saya menyeru kepada semua pihak terutamanya Raja-raja Melayu agar mengembalikan diri kepada konsep ketuhanan Tauhid yang sebenar. Kebenaran Tauhid memberi momentum kepada kita untuk sentiasa memacu hidup berdampingan dengan Allah SWT. Sekaligus meraih pertolonganNya. Berhati-hatilah dengan dakyah sesetengah pihak yang tidak segan silu menggunakan nama YB, Dato, Tok Guru, Prof dan Dr membenarkan nama Allah dipergunakan oleh bukan Islam atas alasan yang batil. Apakah mereka telah dijangkiti prinsip liberalisme agama. Atau hati mereka sedang diselimuti kejahilan tauhid yang halus. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita dalam memahami akidah Tanzih dan mempertahankan kesuciannya. Wallahua'lam.

Visit Bil.

 

blogger templates 3 columns | Techzilo