Sunday, December 9, 2007

PERLIS PELOPORI GAGASAN ULAMAK SUNNAH AL-WAHHABI (SATU ANALISA)



PERLIS PELOPORI GAGASAN ULAMAK SUNNAH AL-WAHHABI
SATU ANALISA

Oleh: Ustaz Zamihan Al-Ghari

Assalamualaikum Warahmatullah…
Salam Aidilfitri buat semua pejuang Islam. Khususnya buat semua ikhwah yang menunjangi arus perjuangan Ahl Sunnah Wal Jamaah yang tulin. Taqabbalalahu minna wa minkum thaat. Wa kullu am wa antum bikhayr. Min ‘aidin wa fa izin..Insya Allah.


Semenjak Dr Asri menjawat jawatan Muftin Perlis, macam-macam karenah yang ditimbulkannya. Kali ini beliau cuba menubuhkan Gagasan Ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah pula. Kononya atas landasan NGO. Akan tetapi Menteri Besar pula dilantik sebagai penaung. Boleh ke Ketua Kerajaan dilantik sebagai penaung NGO? Banyaknya jawatan yang hendak dibolot? Buenos! Realitinya, mampukah kita memikul amanah dengan sebaik-baiknya. Atau sanggupkah kita berhujah dengan Allah di akhirat atas amanah yang tidak tertunai.


Justeru, tak salah kalau Dr Asri dikenali sebagai Tukang Kipas MB Perlis. Di samping beliau dapat mengukuhkan kedudukan dengan kontrak baru, beliau juga seolah-olah berkemampuan melebarkan sayap Wahhabinya dari Perlis ke seluruh negara.

NOSTALGIA

Motto “Menghidupkan Sunnah” adalah sesuatu yang murni. Sayangnya, ia dijadikan modal politik oleh Muhammad Abd Wahhab untuk mendapatkan kuasa dan pemerintahan. Jika para ikhwah menelusuri sejarah kemunculan fahaman & pemerintahan MAW dan Muhammad bin Su’ud (Pengasas Monarki Saudi) kedudukan ini adalah sesuatu yang amat jelas.
Sekali imbas, niat kedua-duanya adalah menjurus kepada kebaikan.
Namun, dipermulaan dakwah mereka adanya tentangan. Dipertengahan perjuangan mereka… wujudnya peperangan dan pertumpahan darah sesama Islam. Dan diakhirnya, mereka berjaya mengungguli kuasa pemerintahan. Perkongsian kuasa ini sinonim hingga ke saat ini atas nama Arab Saudi. Ini bukan kritikan…tapi sekadar sesi percambahan minda berasaskan fakta dan nilai sejarah peradaban dunia.

IDOLA
Kini, Dr Asri juga tidak ketinggalan menelusuri kronologi ini. Lalu motto “Memperjuangkan Sunnah” disemarakkan dengan pencapaian akademik yang tak seberapa. Tetapi cuba mengelabui awam dengan gelaran sarjana. Bahkan, kerap kali kedengaran Tuan Mufti ini melaungkan…sarjana…sarjana…sarjana!

HAKIKAT SARJANA
Walaupun tidak memiliki latarbelakang pengajian Islam yang kukuh beliau cuba menipu dirinya sendiri dan masyarakat awam bahawa beliau salah seorang sarjana Pengajian Islam. Para pembaca boleh menatapi tipu daya beliau dalam bukunya: 10 PERKARA BATAL IMAN & APA ITU SYIRIK.
Pada cover belakang bukunya, ruangan biodata : Asri mendakwa bahawa beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Bahasa Arab dan Syariah Islam dari Universiti Of Jordan, Jordan . (rujuk 10 Perkara Batal Iman & Apa Itu Syirik, 2007M, Cetakan Pertama, Wholesale Mart Business Point Sdn Bhd : Cheras)
Dr Asri turut menghebahkan latarbelakang akademik yang sama dalam Berita Harian sehari selepas beliau menerima watikah menjadi Mufti.
Kalau sekadar kesalahan percetakan takkan berulang kali biodata itu diterbitkan. Hakikatnya, Dr Asri tahu.
Tapi sengaja buat tak tahu. Takkan dia lebih rela menipu untuk mencari glamour? Lu mau tipu ka? Haiyya…! Tak elok makan hasil tipu-menipu. Lebih-lebih lagi kredibiliti anda sebagai seorang Mufti.

Perlu diketahui bahawa Universiti Of Jordan ( Universiti Ijazah Pertama Dr Asri) tidak pernah menawarkan program pengajian Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Pengajian Islam sekaligus. Hairannya, bagaimana Dr Asri boleh mendakwa beliau berkelulusan B.a Bahasa Arab dan Syariah Islam sekaligus.
Tak percaya, cuba tuan-puan tanyakan graduan yang semasa dengannya. Ataupun minta dilihat ijazah pertamanya itu. Jelas, beliau cuba mencipta mitos dalam memperkasakan jawatannya sendiri.
Tambahan pula, pembelajaran Bahasa Arab di Universiti di Jordan berbeza dengan kurikulum al-Azhar. Skop pembelajaran Bahasa Arab di Jordan lebih memberi fokus kepada tatabahasa, karya sastera seperti Syair (Jahili, Umawi, Abbasi, Moden dll) arudh, qafiah, prosa, kritik sastera dan lain-lain. Cukup ke peralatan ini membantu Tuan Mufti meraih gelaran sarjana tanpa asas pengajian yang kukuh?

Para graduan dari Jordan mengetahui hakikat ini. Tapi Dr Asri sanggup membohongi diri sendiri semata-mata untuk dilihat sebagai seorang sarjana Islam yang benar-benar tulin. Jika anda bermula dengan BA Bahasa Arab, MA (USM) Tesis : Bid’ah dan Phd Tentang Asbab Wurud Hadis (itupun disempurnakan oleh Penyelia anda) adakah anda layak digelar sarjana Islam yang tulin?

Mari kita sama-sama cermin hati dan tanyakan diri : Siapa Guru Mentor kita? Kitab mana rujukan teras kita? Setakat mana penguasaan ilmu kita? Bagaimana sikap keilmuan kita?
Setahu saya, ramai lagi pensyarah-pensyarah muda di Universiti tempatan/luar yang menggondol Phd lebih awal bahkan lebih matang dari beliau. Tak kedengaran pula mereka mengaku sarjana Islam.

Saya pernah ke Pattani, Singapura, Lubnan , Bahrain , Mesir dan Jordan tapi tak pernah ketemu orang yang mengaku dirinya sebagai sarjana tulin.
Perhatikan sirah para alim ulamak silam. Mereka mencapai standard sarjana lebih agung dari kita. Tapi mereka tak pernah sesekali ‘claim’ sebagai sarjana Islam. Sedangkan tahap kesarjanaan mereka diperakui seluruh dunia. Dan latarbelakang akademik mereka benar-benar original (musyafahah dan bersanad).
Jauh sekali berbanding kesarjanaan kita yang bersifat copy n paste dan diluluskan oleh seorang dua penyelia sahaja. Apatah lagi, zaman sekarang ni mereka yang berpengaruh boleh membeli Phd dengan mengupah si polan bin si polan bagi pihaknya.
Maka lahirlah sarjana agama ekspress. ALLAHU ALLAH!

SIKAP SARJANA
Sekali imbas, sikap sebahagian sarjana kita kini macam budak-budak. Sedarlah, kita bermula dengan jahil murakkab. Belajar sikit-sikit dengan bantuan orang. Kemudian dapat sijil..sambung lagi. Bila nafsu mengusai diri, muncul perasaan alim. Bersandarkan sedikit kedudukan maka semakin galak hati kita untuk cari glamour.
Bila dah ada publisiti murahan, mulalah naik tocang dan menyerang golongan yang tidak sehaluan dengan kita. Kita je yang baik lagi sunni.
Orang lain bercirikan bid’ah dan menyeleweng! Inikah nilai sarjana yang dilaungkan? Bersama kita mengakauntabiliti diri sendiri. Tanyakan diri, setakat mana ilmu yang ada benar-benar membawa kita menuju Allah.

SIKAP ALIM YANG SEBENAR
Bagi saya, jika seseorang itu memiliki penguasaan ilmu yang ampuh pasti rendah diri sifatnya. Lantaran bunga-bunga takwa telah memenuhi ruang hatinya. Dalam masa yang sama, seseorang itu pasti menjauhkan diri dari pelbagai pengakuan yang bukan-bukan. Hal ini jelas sebagaimana firman Allah SWT:
“Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui.”

Pendek kata, kalau sama perangai antara si alim dengan si jahil maka perangai si alim tadi menafikan kesarjanaan yang ada padanya. Lalu jadilah dia seorang yang tertipu dengan kesarjanaannya.

Paling tuntas, kalimah sarjana yang dilaungkan hanyalah kosmetik semata-mata. Ia tidak lebih sebagai satu alat untuk mencapai tujuan politik sebagaimana tokoh idolanya Muhammad Abd Wahhab. Tokoh ini mengaku sunni tapi sebaliknya mempunyai metodologi yang tersendiri. Kalau tidak, masakan ayahnya sendiri murka kepada fahaman, sikap dan tindakan provokatifnya terhadap ulamak dan masyrakat Islam pada waktu itu.(Ibn Humayd al-Hanbali, al-Suhub al-Wabilah, m/s 275)

Demikian Sohibus Samahah Tuan Mufti, mengaku sarjana tapi tidak memiliki asas yang kukuh dalam pengajian Islam. Dianggap sebagai Tokoh Hadis tapi satu kitab hadis pun tak pernah dipelajari secara betalaqqi. Berapa banyak pula hadis secara bersanad dihafaznya. Kalau setakat Muhaddis CD budak2 tadika pun layak digelar Muhaddis. Masya Allah!

PENAFIAN
Walaupun Dr Asri begitu keras menafikan persaman beliau dengan Muhammad Abd Wahhab, namun apabila kita mengkaji idea, fahaman, uslub, metodologi dakwah kedua-keduanya hampir sama. Sehati-sejiwa. Cuma metodologi Dr Asri lebih bersifat Liberal.

Justeru, secara asasnya didapati ada persamaan jelas antara beliau dengan MAW. Namun kekadang pemikiran Dr Asri lebih menjurus kepada Islam Liberal dan banyak menguntungkan bukan Islam.
Sehubungan dengan itu, para pencinta ilmu, pemimpin, pendakwah dan orang ramai dinasihatkan jangan tertipu dengan pelbagai slogan yang dikemukakannya.

MATLAMAT TIDAK MENGHALALKAN CARA
Tujuan menghidupkan sunnah bukanlah sesuatu yang mudah. Sebaliknya, ia memerlukan penguasaan ilmu, usaha yang kuat, kepakaran dan infrastruktur lengkap dalam merealisasikannya. Ciri ini amat penting bagi memastikan usaha tersebut mencapai standard yang diharapkan. Sekaligus tidak melahirkan natijah yang bersifat fitnah kepada Islam dan umatnya. Bahkan, impaknya dapat menyokong memartabatkan maruah Islam itu sendiri.
Sayangnya, Dr Asri dan Muhammad Abd Wahhab tidak memiliki ciri-ciri sebegini. Redakah anda, jika diri, agama dan umat Islam kita difitnah, terfitnah buat sekian lamanya.
Berbalik kepada tindakan Mufti Perlis yang hendak mewujudkan Gagasan Sunnah Wal Jamaah secara zahirnya adalah sesuatu yang baik. Itupun sekiranya matlamat penubuhan itu diasaskan kepada usaha jama’ie dalam mendaulatkan Islam secara syumul.
Firman Allah bermaksud;
“Dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”(Surah Al-Maidah : 2)
Kesimpulannya, matlamat yang baik tidak akan tercapai dengan cara yang salah.
Iaitu metodologi beliau untuk meruntuh dan membina pendekatan baru dalam pengurusan Islam di Malaysia adalah bertentangan dengan status yang sedia ada. Beliau tidak berhak (tidak berkemampuan) mentarjih perkara khilafiah furu’iyyah yang diperdebatkan dikalangan ulamak. Lalu menganggap pandangan lain sebagai tidak Islamik atau tidak sunni.
Sedangkan penentuan khilafiyah furu’iyyah telah diterima pakai di negara kita sebelum kelahiran beliau lagi.

Tajdid konon! Tajdid apa kalau sekadar mempraktikkan metodologi Salafiyah al-Wahhabiyyah di negara kita. Renungkan!

RASIONAL GAGASAN ULAMAK SUNNAH AL -WAHHABI
Buat para pemikir muslim. Jangan lupa bahawa setiap sesuatu ada hakikatnya. Mari kita celikkan pemikiran kita terhadap idea penubuhan Gagasan Ulamak Ahl Sunnah yang dicetuskan oleh Mufti Perlis ini. Cadangan ini nampaknya disokong penuh oleh Menteri Besar Perlis sebagaimana yang dilaporkan BERNAMA. Perhatikanlah…ada bahaya sedang menanti kita semua!

1) Gagasan ini tidak melalui prosedur yang sedia ada. Khususnya dalam mendapatkan restu pihak berkuasa agama terlebih dahulu. Dr Asri bercakap melampaui taraf Mufti, EXCO Agama dan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Bah Agama).

Saya rasa, tuan-tuan masih ingat satu ketika dulu Mufti Muda ini pernah ‘mengarahkan’ agar semua Jabatan agama menghentikan “Kursus Perkahwinan” yang telah dijalankan. Kononnya kursus tersebut mengandungi unsur lucah dan tidak mampu membantu pasangan berumahtangga. Benarkah keseluruhan kursus kahwin begitu? Apakah ini kesepakatan agensi agama hasil postmortem bersepadu dan menyeluruh? Atau sekadar ‘pandangan+arahan’ peribadi Mufti Perlis sahaja? Beliau sepatutnya sedar dengan bidang tugas dan kuasanya.
2) Sebagai Mufti Negeri, Dr Asri boleh berfikir secara matang tentang idea penubuhan ini. Beliau perlu berbincang dengan ahli Majlis Fatwa Negeri terlebih dahulu. Kajian tentangnya perlu dilakukan bagi melihat untung rugi penubuhan.
Selanjutnya, bawalah ke Mesyuarat JawatanKuasa Fatwa Kebangsaan sebagai makluman dan sesi percambahan idea penubuhan. Bukannya terus menyebarkan penubuhannya kepada awam dan disulami dengan pelbagai alasan yang mengelirukan.

Justeru, Penubuhan Gagasan ini menjustifikasikan KETIDAK IKTIRAFAN beliau terhadap fungsi PIHAK BERKUASA AGAMA DI MALAYSIA. Dan selama ini, beliau menggambarkan Institusi agama KITA TIDAK SUNNI atau TIDAK ISLAMIK ATAU TIDAK TULIN.
Tidak cukup dengan itu, MB Perlis secara terang-terangan mengaku bahawa Perlis mengamalkan Mazhab Syafi’ie tulin. (Mingguan Msia, 28 Oktober m/s 9). Jadi macamana dengan negeri-negeri lain. Apakah mereka mengamalkan mazhab Syafi’ie palsu.?
SUBHANALLAH!

3) Sohibus Samahah Dr Asri dan MB Perlis sebenarnya sedang merangka untuk melantik sarjana2 Wahhabi yang terpilih bagi merancakkan proses Mewahabikan Malaysia . Tak percaya!... cuba tuan-tuan perhatikan secara halus senarai nama mereka yang terpilih dalam Gagasan ini.

Situasi ini dikhuatiri mendatangkan polemik yg cukup besar ke atas umat Islam di negara kita. Peranan Mufti cuba dinafikan. Bahkan Para Mufti sendiri akan dipinggirkan secara automatik berdasarkan idea ini. Memandangkan sebahagian besar Mufti kita tidak memiliki standard sarjana yang dimaksudkan beliau.

Di samping itu, sarjana yang dikumpulkan pula tentunya dipilih sebulu dengan mereka. Bahkan sarjana inilah yang bakal menjadi hero-hero Wahhabi untuk mengkontradiksi pandangan atau pendekatan yang diambil oleh pihak berkuasa agama. Bayangkan apa yang akan berlaku kepada agensi agama, Institusi Islam, Fakulti Pengajian Islam, Pengurusan Islam dan masyarakat awam.? Pasti bertambah rancu dan keliru! Hoola-hoola!

4) Nampak gayanya, kita benar-benar ingin dijadikan seperti Indonesia . Di mana pergeseran antara Nahdatul Ulamak (Ulamak pemerintah) dan Muhammadiyyah (Ulamak Wahhabiyah) membingungkan umat dan merencatkan proses pengurusan Islam negara tersebut. Contohnya : puasa sama-sama bermula..tapi raya berlainan hari.
Riaknya sudah ada di Perlis, contohnya dalam kes penetapan Hari Raya Aidil Adha. Sebilangan ikhwah kita di sana tetap berkeras mahu beraya mengikut Arab Saudi. Sekaligus membelakangi pemerintah (Wali al-Amr). Kalau dahulu, mereka yang berkeras ini ditahan dan didakwa kerana berpaling dari ketetapan pemerintah. Tapi sekarang…macam 7x5 sahaja.

5) Kewujudan Gagasan ini pasti mengundang “bibit-bibit” perpecahan umat Islam di negara kita. Lihatlah kenyataan berona Mufti Perlis dalam BERNAMA: “Ditanya, sama ada gagasan itu akan bertindih peranan dan fungsinya dengan Persatuan Ulamak Malaysia (PUM), Dr Mohd Asri berkata, gagasan itu akan memberi tumpuan kepada Sunnah Wal Jamaah, iaitu mengikut ajaran al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad. "Kalau Persatuan Ulamak Malaysia dianggotai oleh semua orang yang dilihat mempunyai kecenderongan agama tetapi gagasan ini hanya dianggotai oleh mereka yang mempunyai kepakaran dan tahap akademik yang tinggi," katanya” Kenyataan Mufti Perlis ini menjustifikasikan satu anggapan bahawa menganggap PUM adalah sebuah gagasan yang tidak berasaskan kepada kandungan Al-Quran dan As-Sunnah. Mungkin disebabkan itu beliau menubuhkan Gagasan Ulamak Sunnah Wa Jamaah. Apakah mereka yang menanggotai PUM tidak mempunyai taraf akademik yang tinggi. Atau secara mafhum mukhalafahnya pendekatan PUM sudah menyeleweng dari landasan yang sebenar. Begitu ke Pak Syeikh? Na’uzubillah !

6) Mewujudkan satu Gagasan Ulamak (dengan slogan menghidupkan sunnah) beserta kewujudan agensi teras seperti JAKIM, JAIN, YADIM, YAPEIM, IKIM, PUM, ABIM dan menafikan peranan ‘Kesunahan” agensi ini merupakan tindakan yang kejam dan melahirkan perpecahan. Jangan sampai kita semua tuli dengan firman Allah;yang bermaksud ;“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai”
(Surah Al-Imran103) Firman Allah lagi yang bermaksud;“Dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu” (Surah Al-Anfal : 46) Sabda Nabi SAW;Maksudnya;“Jangan kamu berselisih, maka sesungguhnya mereka sebelum dari kamu telah berselisih, lalu mereka binasa”

ISU KHILAF BUKAN PUNCA PERPECAHAN
Kekhilafan yang berlaku dikalangan ulamak adalah sesuatu yang diharuskan dalam Islam. Ia disebabkan oleh perbezaan pandangan mujtahid terhadap nas yang bersifat dzanni. Lalu menatijahkan hukum yang berbeza antara satu sama lain.
Situasi ini sesuatu yang lumrah dikalangan mujtahidin. Selagi dalil bertaraf dzanni selagi itulah terbukanya ruang ijtihad.
Namun begitu, bukan semua manusia bertaraf mujtahid. Seorang Mufti bukan automatik memegang kad pengenalan mujtahid. Lebih2 lagi Mufti yang baru berusia setahun jagung tu.
Soalnya, kenapa kita lebih teruja dengan dalil dzanni sedangkan masih banyak tuntutan yang bersifat qat’ie (diijmak ulamak) belum dilaksanakan. Apatah lagi untuk dibuat penambahbaikan dalam proses pelaksanaan.

7 Perkara yang lebih memburukkan keadaan dalam penubuhan Gagasan ini ialah fokus perbincangan bersifat khilafiyyah furu`iyyah dikalangan ulamak. Hal Ini dibuktikan dengan kenyataan MB Perlis sendiri dalam BERNAMA;”Gagasan itu akan menjadi kumpulan pemikir dan pengkaji ke arah memastikan amalan harian dalam kerja-kerja ibadah dilakukan secara tulin dan tidak menyeleweng.”
Melihat kepada kenyataan ini, dapatlah difahami bahawa perbincangan mereka akan berkisar dalam perkara khilafiyyah furu’iyyah yang telah lama diperdebatkan oleh para ulama terdahulu. Contohnya seperti perbincangan tentang lafaz niat, qunut, wirid, talqin, tahlil, Yaasiin malam Jumaat, baca al-Quran atas kubur, doa beramai-ramai selepas solat dan sebagainya. (Lihat Utusan Malaysia : Wawancara, Ahad 28 Oktober 2007, m/s 9)

Ironinya, mereka mengambil pendekatan tarjih serta menghukum pihak lain dengan label menyeleweng, bid’ah, musyrik, tidak ada dalil, tidak tulin, bukan sunnah, Nabi SAW tidak pernah melakukannya dan MACAM-MACAM ADAAA. Sedangkan amalan-amalan tersebut (jika diperhalusi) sememangnya mempunyai sandaran nas Al-Quran dan As-Sunnah. Cuma mungkin dinilai lemah dari sudut pandangan mereka yang beraliran Wahhabi ini.
Bagi yang dituduh pasti tampil membela. Maka berlakulah jawab-menjawab, tulis-menulis, kutuk-mengutuk yang tak berkesudahan sampai kiamat.
Nampaknya Menteri Besar kita dah hilang fokus. Walaupun tidak memahami secara mendalam tentang urusan agama, beliau cuba mencampuri perdebatan isu khilafiyyah. Tak percaya kepada ahli agama ke? Terpulanglah.

Paling kurang pun, hormatlah pandangan dan pendekatan orang lain. Kenapa kita tidak boleh berbincang, bertoleransi dan mencari kata putus dalam masalah ini.

8 Penubuhan pelbagai sayap dlm perjuangan Islam sebenarnya merupakan acuan penjajah. Agenda ini dirangka supaya Umat Islam asyik bertelingkah sesama sendiri khususnya terhadap soal2 furuk (ranting agama). Manakala soal usul diserahkan kpd agensi Sekular, Liberal, Sosialis dan Orientalis untuk menguruskannya. Justeru, tidak hairanlah jika Dunia Islam bergelap dgn polemik ini.

Namun, realitinya negara kita masih belu terusik sepenuhnya. Malah kita ada acuan tersendiri. Acuan Akidah Imam al-Asy’ari (tanzih), bermazhab al-Syafi’ie dan bertasawuf Sunni telah lama dipraktikkan di alam nusantara. Dan sudah terbukti banyak kemajuan yang telah dicapai.
Kini, warna-warni perpecahan cuba dilakarkan. Marilah kita sama-sama mempertahankan status ini agar kita tidak diganggu-gugat oleh pelbagai makhluk perosak.

9 Teladanilah apa yang berlaku di seluruh dunia. Kemunculan pelbagai Gerakan dan gagasan banyak mendatangkan kelemahan dari kejayaan.
Logiknya, kewujudan NGO Syiah tentunya tak sebulu dengan NGO Wahhabi. Kedua-dua badan ini begitu agresif berbanding kesederhanaan NGO Sunni. Muncul pula NGO Modernisme atau Liberalisme yang membawa pendekatan yang berbeza dari gagasan sedia ada. Ditambah pula dengan fenomena ajaran sesat lagi menyeleweng dalam negara. Bayangkan tentu haru-biru jadinya.

Justeru, penubuhan Gagasan ini dijangka lebih mengeruhkan lagi keadaan.
10 Tindakan menubuhkan Gagasan Ulamak Ahl Sunnah yang di cetuskan oleh Dr Asri juga patut diragui. Atau lebih senang diibaratkan dengan pepatah “ada udang disebalik Mee”. Lebih-lebih lagi apabila Dato’ Seri Shahidan Kasim sendiri dilantik sebagai Penaung. Kenapa tak pilih Tan Sri Abd Hamid Othman atau Dato’ Abdullah Md Zin..tentu lagi power disebabkan kedua tokoh ini mendasari agensi agama.

Nampaknya kedua-dua saudara kita ni benar-benar nak jadi hero dalam drama ‘Pengurusan Islam di Malaysia.’ Hero apa ni kalau sekadar memerangi umat Islam Malaysia dengan khilafiayah-furu’iyyah berasaskan kpd metodologi Wahhabiyyah. Tak mengaku.. tak apa! Dilalah dan qarinah adalah jelas dan tidak berhajat kepada ikrar semat-mata.
Jika anda penganalisa politik, dapatlah anda merumuskan bahawa ini mungkin sebahagian dari taktik pilihanraya. Untuk apa? Untuk menarik perhatian PM kita bahawa merekalah jagoan sebenar yang tampil membela agama. Berilah ruang yang lebih luas kepada mereka. Kasi chance la.
Ringkasnya, kes ini boleh diklasifikasi sebagai usaha yang AMAT MERAGUKAN. Ada agenda peribadi kot! Alaa Bapak..calooonkan aku!

11 Walaupun Mufti Perlis menafikan hubungan gagasan ini dengan mana-mana parti politik, tetapi apa yang menghairankan mengapa ahli politik yang dilantik menjadi penaung, sedangkan disana terdapat ramai ahli-ahli akademik yang berpengalaman untuk dijadikan penaung, seperti Prof. Dr Mahmood Zuhdi, Prof Zakarian Stapa, Dato’ Mohd Salleh Hj Ahmad, Dato’ Hashim Yahya, Dato’ Dr Shukor Husin DLL. Tegasnya, ilmuan di atas tidak selari dengan fahaman dan pendekatan yang diperkenalkan Dr Asri dewasa ini.

Bagi saya yang fakir ini, kenyataan ini adalah satu gimik yang bersifat kosmetik untuk mengelabui mata orang melayu yang beragama Islam di Negara ini. Walhal Perlis sendiri masih tega dengan hukum sekular. Renunglah Firman Allah;Maksudnya;“Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran Yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah," nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) Dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu” (Surah An-Nisa’ : 61)
SYOR DAN CADANGAN
Setelah kita memahami dan menganalisa untung rugi Penubuhan Gagasan ini maka dapatlah dibuat beberapa rumusan mengenainya. Antaranya :

1) PENGGUNAAN kalimah Islam : Ahli Sunnah Wal Jamaah sudah lama dan banyak kali berlaku. Jika ada keraguan pada idea dan pendekatan nescaya ia pasti mendatangkan pelbagai kekeliruan kpd umat Islam. Di samping itu, ia juga dilihat menganggu proses kelancaran pembangunan dan Pengurusan Islam yang diterajui pemerintah sesebuah negeri atau negara.
Oleh itu, cadangan Penubuhan Gagasan Ini perlu DITOLAK kerana diyakini banyak memberi mudharat berbanding manfaat.

Berdasarkan slogan di atas, jelas kepada kita bahawa Dr Asri cuba menggunakan pendekatan hadmi wal bina. Iaitu meruntuh sistem yang sedia ada dan membinanya dengan pendekatan yang baru. Alasannya, kita semua tidak cukup Islamik atau tidak Sunni.

2) Kita perlu berhati-hati dengan agenda licik dan strategi mereka yang cuba menganggu kelancaran pengurusan Islam di Msia. Mereka bermula dengan cadangan kecil-kecilan. Lama kelamaan mereka mengungguli pemerintahan dan mampu memberi perubahan yang besar pada negara dan umat Islam.

3) Kita juga perlu mengambil langkah proaktif bagi membendung pemikiran yang merosakkan ini. Iaitu dengan mengawal selia media arus perdana dari terus dipergunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap Islam dan kepentingan umatnya.

4) Satu formula penyelarasan dan penyeragaman hal ehwal pentadbiran Islam seluruh negara diperlukan bagi mensistematikkan pengurusan Islam di Malaysia. Situsi ini amat penting bagi memastikan ummat berada pada satu pegangan, satu suara dan satu tindakan. Sekaligus mengurangi jurang pergeseran dan mengelakkan perpecahan dalam masyarakat.

HARAPAN NAN SUCI
Saya memohon jasa baik Ybhg Tan Sri, Dato’/Datin/Tuan/Puan agar memanjangkan perkara ini ke pihak atasan kerana impaknya amat besar terhadap Pengurusan Islam di negara kita. Saya tidak rela status quo kita diusik dan diubah mengikut rentak al-Wahhabiyyah. MALAYSIA adalah Malaysia .
Tetap Malaysia bukannya Saudi Arabia .
Artikel ini ditulis berdasarkan kepada hak kebenaran dan kebebasan suara selaku rakyat Malaysia yang beragama Islam. Ia juga sebagai momentum bagi sesi percambahan pemikiran setempat. Ia tidak berniat menghina atau memalukan mana-mana pihak. Allah sahaja yang menjadi saksi.
Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah sentiasa. Allah jua yang memperteguhkan jejak langkah kita menuju kebenaranNya. Allah merahmati mereka yang berjuang kerana cintakan agamaNya.

Salam Permisi,
Zamihan al-Ghari




SALAH FAHAM TERHADAP KEISTIMEWAAN REJAB ( JAWAPAN TERHADAP MOHD ASRI BIN ABDUL TALIB@ZAINUL ABIDIN )

SALAH FAHAM TERHADAP KEISTIMEWAAN REJAB[1]
Jawapan Terhadap Mufti Perlis






Oleh :
Zamihan Mat Zin al-Ghari
Pen Pengarah
Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
JAKIM


Pendahuluan

Rejab semakin melabuhkan tirainya. Namun, kita masih berperang mencari hakikatnya.
Antara benar dan salah.. sahih dan palsu menjadi pertikaian. Zaman kita kekadang yang benar dianggap salah. Dan yang salah dianggap benar. Amat kejam sekali. Zaman ini persis wanita yang mengandung. Lihatlah apa yang berlaku padanya dalam sekelip mata. Lebih-lebih lagi apabila penguasaan ilmu dan iman semakin tidak dipedulikan manusia.

Sehinggakan ada pihak yang menggelarkan diri mereka sebagai sarjana cuba menakut-nakutkan umat Islam dari melakukan amalan di bulan rejab. Alasannya, hadis yang berkaitan dengan kelebihan bulan rejab adalah palsu. Sedangkan kepalsuan yang didakwa hanya berdasarkan kepada pendapat satu riwayat hadis dan pandangan seorang ulamak sahaja. Iaitu Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Soalnya, apakah pandangan ini mewakili dunia kesarjanaan Islam keseluruhannya?

Ada pula yang sengaja mendatangkan dalil-dalil yang berat sebelah bagi mengikis keistimewaan bulan rejab. Bahkan melarang umat Islam melakukan amalan mendekatkan diri kepada Allah dengan tuduhan hadis berkenaan semuanya palsu, taksub pahala dan sebagainya. Ayuh, bukalah sedikit ufuk minda kita untuk menemui hakikatnya.

Bandingkan definisi, tafsiran dan keistimewaan rejab yang dikemukakan ini dengan dakwaan golongan yang menentangnya. Penulis menghidangkan hakikat Rejab dan keistimewaanaya menerusi kitab al-Ghunyah li thalib Thariq al-Haq karangan Syeikh Abd Qader al-Jaylani. Beliau merupakan Sultan para Wali dan terkenal sebagai seorang ulamak yang menghimpunkan ilmu zahir dan batin. Beliau juga terkenal dengan pakar hadis di zamannya. Keilmuan dan keimaman beliau turut diperakui sendiri oleh Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim al-Jauziyah dan seluruh cendikiawan Islam.

Pendekatan

Dalam memahami selok-belok rejab kita perlu cermat membuat penilaian terhadap sumber-sumber yang berkaitan dengannya. Tegasnya, Al-Qur’an, al-Hadis, pandangan ulamak muktabar dan fatwa berkaitan perlu dipersembahkan secara jujur dan telus. Ia boleh membantu kita dalam memahami kes berkaitan dan memberi justifikasi yang jelas dalam pelaksanaan. Paling tuntas, kita tidak mencemuh dan menuduh mereka yang ikhlas melakukan kebaikan.

Apabila kita meneliti kepelbagaian sumber yang ada ditangan para ulamak, didapati rejab ada keistimewaannya yang tersendiri. Maka tidak hairanlah intisari (matan) hadis “Rejab bulan Allah, Sya’ban bulanku dan ramadhan bulan umatku..” disokong oleh ramai para ulamak muktabar.

Antaranya, Imam Hibbatullah bin Mubarak. Beliau meriwayatkan keistimewaan rejab berdasarkan sanad-sanadnya yang jelas sebagaimana yang direkodkan oleh Syeikh Abd Qader al-Jaylani di dalam al-Ghunyah. Oleh, amat baik jika diperhatikan siapa beliau dan bagaimana qualiti sanad-sanad yang diriwayatkannya.

Tambahan pula, matan hadis : “Rejab bulan Allah, Sya’aban bulanku, ramadhan bulan umatku…” tidak bertentangan dengan nas al-Qur’an. Sebaliknya selari dengan perisytiharan Allah SWT pada surah al-Taubah ayat 36 tentang empat bulan haram yang dimaksudkan : Rejab, Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharam.

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyifatkan Nabi SAW sendiri pernah menegaskan bahawa rejab itu adalah bulan Allah. Iaitu bulan Ahlullah. Dan dikatakan penduduk (mukmin) Tanah Haram itu Ahlullah kerana Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka.” (al-Qurtubi, Jami’ Ahkam al-Qur’an, hlm 326 juz 6)

Imam Abu Daud pula membawa intisari hadis yang menampakkan kesaksian yang jelas tentang lafaz “Sya’ban bulanku”. Buktinya beliau meriwayatkan dari Abdullah bin Abi Qais dari Aisyah berbunyi : “Bulan yang paling disukai Rasulullah SAW ialah berpuasa di bulan Sya’aban. Kemudian Baginda menyambung puasanya hingga ke Ramadhan.”(Sulaiman bin al-Asy’at al-Sijistani, Sunan Abu Daud, t.th, Dar al-Fikr : Beirut , hlm 323 juz 2)

Imam al-Thabrani pula meriwayatkan dari Anas bin Malik RA bahawa apabila tibanya bulan rejab, Baginda mendoakan : “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan rejab dan Sya’aban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan ramadhan.”(al-Thabrani, Mu’jam al-Ausath, 1415H, Dar al-Haramain : Qaherah, hlm 189 juz 4, no hadis : 3939)

Hadis ini turut dipersetujui Imam Ahmad di dalam Musnadnya m/s 259 juz 1, hadis bernombor 2346.

Imam al-Thabrani juga meriwayatakan dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW tidak menyempurnakan puasa sebulan selepas berlalunya ramadhan kecuali pada rejab dan Sya’ban.” (ibid, hlm 161 juz 9 no hadis : 9422)

Jika sanad yang dibicarakan oleh Ibn Qayyim itu bermasalah dengan periwayatan Ibn Jahdam. Ianya tidak menggugurkan nilai keistimewaan rejab sama sekali. Ini kerana masih terdapat beberapa sanad yang lain menjelaskan kelebihan bulan rejab.

Al-Hafiz al-Haitsami di dalam Majma’ al-Zawa’id turut meriwayatkan tentang kelebihan bulan rejab. Walaupun dengan sanad-sanad yang dhaif, namun ia sudah memadai untuk menepati spesifikasi kelebihan untuk beramal dan meningkatkan hemah diri. Hal ini jelas sebagaimana yang diakui oleh para fuqaha’ dan ahli hadis menerusi kenyataan Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Arba’ien.

Lebih kukuh, Imam Muslim meriwayatkan dari Uthman bin Hakim al-Ansari beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr RA tentang puasa rejab (pada bulan rejab). Said menjawab : “Aku mendengar Ibn Abbas RA mengatakan : “Rasulullah SAW berpuasa rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.”(Muslim bin Hajjaj, Sahih Muslim,t.th, Dar Ihya Thuras al-Arabi : Beirut , hlm 811 juz 2)

Imam al-Nawawi mengatakan : “Apa yang zahir dari ucapan Sa’id bin Jubayr itu menjadi bukti bahawa tiada tegahan untuk berpuasa padanya (rejab) kerana (semata) bulan berkenaan. Bahkan kedudukannya sama mengikut baki bulan Islam yang lain. Dan tidak ada larangan (yang tsabit) untuk melakukan ibadat puasa di bulan rejab, tidak pula disunatkan kerana bulannya. Tetapi apa yang disunatkan ialah kerana kesunahan puasa tersebut.”(al-Nawawi, Syarh al-Nawawi ala Sahih Muslim, 1392, Dar Ihya’ Thuras al-Arabi : Beirut , hlm 38 juz 8)

Imam Abu Thayyib al-Azhim juga mengatakan : “Di dalam Sunan Abi Daud direkodkan bahawa Nabi SAW menggalakkan kita untuk berpuasa di bulan-bulan yang haram. Dan rejab adalah salah satu darinya.”( Abu Thayyib al-‘Azhim, Aun al-Ma’bud bi Syarh Sunan Abi Daud, 1415H, Cetakan Kedua, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Beirut , hlm 60 juz 7)

Al-Hakim pula meriwayatkan dari Nubaisyah RA : “Seorang lelaki menanyakan Nabi SAW, wahai Rasulullah! Kami memberi persembahan (kepada berhala) di zaman jahiliyah. Maka apa pula yang harus dilakukan di bulan rejab ini. Baginda menjawab : “Sembelihlah binatang ternakan kerana Allah di mana-mana bulan sekalipun. Lakukanlah kebaikan kerana Allah dan berilah makanan.” Imam Al-Hakim mengatakan : “Isnad hadis ini adalah sahih tetapi tidak dikeluarkan oleh Imam Bukhari dan Muslim menerusi kitab Sahih mereka berdua.”(Abu Abdillah al-Hakim, al-Mustadrak ala Sahihain, 1990, Cetakan pertama, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Beirut, hlm 263 juz 4)

Imam al-Baihaqi meriwayatkan dari Imam al-Syafi’ie berbunyi : “Telah samapai kepada kami bahawa al-Syafi’ie mengatakan : “Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam : malam jumaat, malam aidil adha, malam adil fitri, malam pertama bulan rejab dan malam nisfu Sya’ban.”(al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 1994, Maktabah Dar al-Baz : Makkah al-Mukarramah, hlm 319 juz 3)

Di dalam Syuab al-Iman, Imam al-Baihaqi meriwayatkan lagi tentang keistimewaan bulan rejab. Hadis itu berbunyi : Allah telah memilih bulan rejab. Rejab adalah bulan Allah. Barangsiapa yang memuliakan bulan Allah sesungguhnya dia telah memuliakan perintah Allah. Barangsiapa yang memuliakan perintah Allah sesungguhnya dia akan dimasukkan ke syurga al-Naim..”(al-Baihaqi, Syu’ab al-Iman, 1410H, Cetakan pertama, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Beirut , hlm 374 juz 3, no hadis 3814). Lihat juga hadis bernombor 3812 sebagai sokongan terhadap keistimewaan bulan rejab pada malam harinya.

Adapun hadis yang menunjukkan Nabi SAW melarang umatnya berpuasa di bulan rejab bukanlah satu larangan yang bersifat mutlak. Bahkan bertentangan dengan anjuran berpuasa sunat dalam Islam. Tambahan pula, hadis tersebut diriwayatkan oleh Daud bin ‘Atha al-Madani. Beliau merupakan perawi hadis yang dhaif. Para ulamak bersepakat mendhaifkan periwayatannya termasuk Imam Ibn Jauziy menerusi kitabnya al-‘Ilal al-Mutanahiyah (Ahmad bin Abu Bakar al-Kinani, Misbah al-Zujajah, 1403H, Dar al-‘Arbiah : Beirut , hlm 78 juz 2)

Imam al-Zahabi memperakui hadis berkenaan pauasa rejab sebagai hadis yang marfuk. Hadis itu berbunyi : “Barangsiapa yang berpuasa satu hari dalam bulan rejab Allah SWT akan menulis baginya pahala puasa bagaikan setahun. Dan barangsiapa yang berpuasa dua hari dalam bulan rejab Allah SWT akan menulis baginya pahala puasa bagaikan dua tahun.” (al-Zahabi, Mizal al-I’tidal Fi Naqd al-Rijal, 1995, Cetakan Pertama, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Beirut , hlm 417 juz 4)

Selain itu, al-Zahabi juga membawakan sanad yang mursal daripada Uthman bin Mathar, daripada Abd Ghafur bin Abd Aziz dari ayahnya tentang kelebihan berpuasa sehari dalam bulan rejab. (Ibid, hlm 70 juz 5 no hadis : 5570)

Tetapi beliau juga membawakan hadis palsu tentang puasa rejab yang berbunyi : “Barangsiapa yang berpuasa sehari di bulan rejab Allah kurniakan pahala baginya bagaikan berpuasa seribu tahun.” Imam al-Zahabi mengatakan : “Aku tidak mengetahui siapa (sebenarnya) yang mereka cipta hadis ini.” (ibid, hlm 197 juz 5 no hadis : 5973)

Imam Ibn Hajar al-Asaqalani juga membentangkan pertikaian ulamak terhadap hadis kelebihan tentang puasa rejab yang bersumberkan riwayat Abd Malik bin Harun bin ‘Antarah. Katanya : “Darulquthni memandang Abd Malik dan ayahnya (Harun) sebagai dhaif. Begitu juga dengan Imam Ahmad. Tetapi Yahya (Ibn Ma’in) menghukumnya sebagai pendusta. Abu Hatim menghukumnya sebagai matruk (ditinggalkan) hadisnya. Ibn Hibban menganggap dia sebagai pereka hadis...”(Ibn Hajar al-Asqalani, Lisan al-Mizan, 1986, Cetakan ke-3, Muassasah al-A’lami : Beirut, hlm 71-72 juz 4 no ind: 213)

Imam al-Munawi ketika membawakan hadis kelebihan puasa rejab yang panjang menasihati kita dengan katanya : “Hadis-hadis ini terhadis apa yang ditemukan oleh Ibn Hajar al-Asqalani, al-Sakhawi dan saya sendiri. Kebanyakkan dhaif. Barangsiapa yang ingin menghentikan perbincangannya dia boleh menilai pandangan ulamak (yang berkaitan dengannya). Barangsiapa yang ingin meneliti periwayatannya (telusurilah) rujuklah kepada pengarang yang berkaitan.” (al-Munawi, Fayd al-Qader, 1356H, Cetakan Pertama, Maktabah al-Tijariyah al-Kubra : Mesir, hlm 90 juz 4)




Perawi yang dipertikaikan

Adapun berkenaan dengan Ibn Jahdham, pengkritik periwatannya tidak memperincikan siapa sebenarnya Ibn Jahdam yang dimaksudkan Ibn Qayyim al-Jauziyah. Kitab-kitab biografi mencatatkan kepada kita beberapa nama Ibn Jahdham. Antaranya : Muhammad bin Jahdham, Jahdham bin Abdullah, Abu Muadz Jahdham bin Abd Rahman, Ubaidillah bin Jahdham dan Abu Hassan Ali bin Abdullah bin al-Hassan al-Hamazani.

Penjelasan Perawi

Imam Ibn Hibban meriwayatkan lima hadis dari Muhammad bin Jahdham yang dimaksudkan penulis.( Ibn Hibban, Sahih Ibn Hibban, hlm 443 juz 2, hlm 582 juz 4, hlm 194 juz 7, hlm 96 juz 8, hlm 193 juz 11)

Manakala al-Hakim meriwayatkan empat hadis di dalam kitab Mustadraknya daripada Muhammad bin Jahdham dan satu hadis lagi bersumberkan Jahdham bin Abdullah al-Qaisiy. (al-Hakim, al-Mustadrak ala sahihain, hlm 573 juz 4)

Imam Abu Daud meriwayatkan satu hadis dari Muhammad bin Jahdham berkenaan dengan zakat fitrah. Kenyataan boleh dirujuk paha hadis yang bernombor 1612 melalui Sunannya. (Abu Daud, Sunan Abu Daud, t.th, Dar al-Fikr : Beirut , hlm 112 juz 2)

Imam al-Tirmidzi meriwayatkan pula meriwayatkan dua hadis dari Jahdham bin Abdullah menerusi Sunannya. Perhatikanlah hadis bernombor 1563 dan 3235 di dalam Sunannya (al-Tirmidzi, Sunan al-Tirmidzi, t.thn, Dar Ihya’ Thuras al-Arabiy : Beirut , hlm 132 juz 4 dan hlm 368 juz 5)

Imam al-Baihaqi turut meriwayatkan hadis daripada Jahdham bin Abdullah bin Badr menerusi Sunan al-Kubra. Rujuklah hadis bernombor 12327 sebagai pemerincian. (al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 1994, Maktabah Dar al-Baz, hlm 265 juz 6)

Selain itu, Muhammad bin Jahdham dan Jahdam bin Abdullah juga merupakan perawi yang disenaraikan dalam rangkaian sanad-sanad Imam Ibn Majah, Imam AbdRazzaq, Imam Abu Ja’far al-Thahawi, Imam Ahmad, al-Thabrani dan lain-lain.

Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan Muhammad bin Jahdham merupakan orang suruhan Ibn Umar yang tsiqah. Dan beliau perawi al-Bukhari tetang zakat fitrah.(Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, 1379, Dar al-Makrifah : Beirut , hlm 368 juz 3)

Manakala, di dalam kitab al-Kuna wa al-Asma, pengarangnya membawakan biografi Abu Muadz Jahdham bin Abd Rahman. Beliau seorang perawi yang meriwayatkan dari Ikrimah. Dan Muhammad bin Yazid dan Ubbad bin Awwam mengambil hadis darinya.(Muslim bin Hajjaj al-Qusyairi, al-Kuna wa al-Asma, 1404H, Matbaah Jamiah Islamiyah Madinah al-Munawwarah, hlm 775 juz 1)

Di dalam kitab al-Muntaqa fi sard al-Kuna diperjelaskan pula tentang Ubaidillah bin Jahdham yang meriwayatkan dari Qadhi Syuraih. Periwayatannya diambil pula oleh Jarir bin Hazm.(al-Zahabi, al-Muntaqa fi sard al-Kuna, 1408H, Matbaah Jamiah Islamiyah Madinah al-Munawwarah, hlm 153 juz 1)

Manakala ada seorang lagi Ibn Jahdham yang diperkatakan. Iaitu Abu Hassan Ali bin Abdullah bin al-Hassan al-Hamazani. Beliau merupakan salah seorang Syeikh Imam al-Kabir Syeikh Sufiyyah di Makkah al-Mukarramah. Demikian menurut terjemahan biodata yang dibuat oleh Imam al-Zahabi menerusi kitab Siyar A’lam al-Nubalak, hlm 275 juz 17.

Meriwayatkan daripada beliau ialah Abi Hassan bin Salamat al-Qaththan, Ahmad bin Uthman al-Adami, Ali bin Abi al-Aqab dan Khalq. Dia bukanlah seorang yang tsiqah. Bahkan ditohmah dengan pelbagai musibah. Ibn Khairun mengatakan : “Dikatakan bahawa beliau mendustakan hadis. Khabar tentangnya telah kusebutkan di dalam kita al-Tarikh wa al-Mizan”. Beliau meninggal dunia tahun 441H.”(al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubalak, 1413H, Muassasah al-Risalah : Beirut , cetakan ke-9, hlm 275 juz 17)

Ibn Jauziy al-Hanbali (bukan Ibn Qayyim al-Jauziyyah) ketika mengulas hadis berkenaan solat al-Raghaib (periwayatan) Ibn Jahdham mengatakan : “Hadis ini direka-reka dan mereka (ulamak hadis) menuduh Ibn Jahdham melakukannya dan menisbahkan beliau dengan berdusta.”(al-Zahabi, Mizan I’tidal fi Naqd al-Rijal, hlm 162 juz 8)

Pendapat ini berbeza dengan pendapat Imam Abd al-Karim al-Qazwini. Di dalam Tadwin fi Akhbar al-Qazwin beliau mencatatkan : “al-Kayya Syarwiyyah di dalam Tabaqat Ahli Hamadan mengatakan bahawa Abu Hassan Ibn Jahdham merupakan seorang yang tsiqah. Beliau seorang yang dikenali dengan ilmu hadis dan meninggal dunia 407H.” (Abd al-Karim al-Qazwini, al-Tadwin fi Akhbar Akhbar al-Qazwin, 1987, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah: Beirut, hlm 370 juz 3)

Al-Ajlouni pula pernah menyebut satu riwayat dari Ibn Jahdham ini. Di dalam kitab Kasyf al-Khafa’ li Muzil al-Ilbas beliau memuatkan satu riwayat dari Abu Hassan Ali bin Abdullah bin al-Hassan (Ibn Jahdham) daripada Abi Muhammad al-Hariri berkenaan dengan hikmah Ilahiyyah. Imam al-Ajlouni tidak menarafkan periwayatan Ibn Jahdham ini. Keterangan boleh dirujuk kepada hadis bernombor 3124.

Dari biodata perawi ini boleh dibuat beberapa kesimpulan.

1) Sekadar menyebut nama seorang perawi (Ibn Jahdham) belum cukup untuk membuktikan hadis tersebut adalah palsu. Ini kerana nama Ibn Jahdham terdiri dari beberapa orang perawi yang tsiqah dan meriwayatkan hadis dari kitad-kitab sahih mahupun sunan.

2) Perawi yang dipertikaikan perlu diperincikan dengan tepat. Perawi yang dikritiki ialah Abu al-Hassan Ali bin Abdullah Ibn Jahdham. Beliau merupakan seorang tokoh sufi. Mengaitkan tokoh sufi dengan amalan memalsukan hadis adalah contoh sarjana liberal yang tidak bertanggungjawab.Perlu diketahui bahawa Fudhail Bin ‘Iyadh pernah meriwayatkan dari beliau.

3) Walaupun kedudukan beliau dipertikaikan. Sebahagian ulamak hadis mengatakan beliau tidak tsiqah. Tetapi beliau ditsiqahi dikalangan ulamak Qazwin. Sebahagian ulamak pula mentadh’ifkan periwatannya. Sebahagian lagi menuduhnya sebagai pemalsu hadis. Justeru, beliau bukanlah seorang perawi yang dimuktamadkan sebagai pemalsu hadis. Dan tidak sepatutnya tuduhan itu menjadi satu penarafan terhadap periwayatan beliau tanpa merai beberapa pandangan yang lain terhadapnya.

Tambahan pula, kedudukan beliau sebagai Imam al-Kabir Syeikh al-Sufi di Makkah menjustifikasikan kepada kita satu kepercayaan identiti beliau. Ternyata beliau seorang yang dihormati lagi disegani.

Justeru, kita perlu melihat kepada kedua-dua sudut antara tajrih dan ta’dil terhadapnya. Bagi saya, tajrih beliau hanyalah berkisar kepada tohmahan semata-mata. Mungkin ada tangan-tangan yang tidak senang hati dengan aliran kesufiannya. Mungkin juga faktor politik atau environment semasa yang mewarnai tajrih keatasnya.
Manakala keadilan beliau itu jelas. Walaupun riwayatnya tidak cukup kuat mencapai taraf sahih, namun tidak semua periwatannya bertentangan dgn riwayat yang sahih. Ataupun kita boleh menerima periwayatan yang dhaif jika ada kesaksian dan sokongannya.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada keterangan di atas, jelaslah kepada kita bahawa rejab mempunyai pengertian dalam kelasnya yang tersendiri. Sumber-sumber hukum melalui Al-Qur’an, al-Hadis dan keterangan para ulamak Salaf pula memberitahu kita bahawa di sana terdapat hadis-hadis yang sahih, hasan, mursal, marfuk, dhaif, dhaif jiddan, wahin (amat lemah) dan palsu seputar rejab.

Oleh itu, setiap isu dan dalil harus difahami secara menyeluruh lagi mendalam agar kita tidak tersasar dari landasan yang benar.

Dalil-dalil yang jelas, terang lagi bersuluh sepatutnya diamalkan. Manakala dalil-dalil yang lemah boleh dijadikan bahan sokongan dan penambahbaikan dalam sesuatu amalan. Manakala dalil-dalil yang palsu seharusnya ditinggalkan. Bahkan perlu diperjelaskan kekurangan dan kesannya terhadap mutu periwayatan, penghujahan dan amalan.

Terbukti juga kepada kita bahawa satu sanad dan satu pendapat belum baligh untuk dijadikan asas pemutusan sesuatu hukum. Apatah lagi untuk digunakan sebagai anjakan bagi memberi was-was atau menakut-nakutkan umat Islam melakukan amalan tambahan bagi mendekatkan diri kepada Allah. Walhal, kita sendiri tidak berganjak kemana-mana dengan penghujahan dan kefahaman kita.

Justeru, disamping penguasaan ilmu, kita perlu warak dalam mencari pendekatan dan membuat penilaian terhadap sesuatu perkara. Ini penting supaya kredibiliti kita terpelihara. Dalam masa yang sama mampu memberi input membina untuk Islam dan umatnya.

Sempena sepertiga rejab yang mulia. Renunglah, setakat mana ilmu kita? Berapa banyak yang diamalkannya. Dan dimana pula keikhlasannya. Kalau kita tidak mampu melakukan kebaikan, kita perlu berusaha memahaminya. Jangan sesekali cuba menghalang kebaikan. Barangsiapa cuba menghalang mereka yang ikhlas melakukan kebaikan, memperbaiki amalan dan melatih diri menuju Allah, Allah juga akan menghalang perjalanan hidupnya.

Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah dan lain-lain kebaikan di bulan rejab. Semoga amalan rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah. Pencarian hakikat rejab sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian hati kita. Sucikan suapan, pakaian dan perbuatan kita. Insya Allah sinar keagungan rejab mampu menjadi milik kita secara hakikatnya.


[1] Kertas konsep ini dibentang dalam program Diskusi Ilmiyyah pada 8hb Ogos 2007, jam 8-9mlm anjuran Surau al-Amin, Presint 8, Putrajaya.





AL-GHARI.


http://www.al-ghari.blogspot.com/

MENCARI HAKIKAT REJAB



MENCARI HAKIKAT REJAB

Oleh :
Syeikh Zamihan al-Ghari
Pen Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
JAKIM


Definisi Rejab

Rejab berasal dari kalimah tarjib bermaksud kemuliaan atau keagungan. Dikatakan juga kalimah rejab itu diambil dari perkataan arab “aku memuliakannya dengan penuh kemuliaan”. Ada juga pendapat ulamak yang mengatakan bahawa rejab bermaksud berpenat-lelah dan mencari stamina kerana banyak kebaikan padanya.

Ada pula yang mengertikan rejab dengan berulang-ulangnya ingatan terhadap Allah dan mengagungkanNya. Ia disesuaikan dengan satu pendapat bahawa para malaikat mengangkat suara untuk bertasbih, bertahmid dan mentaqdiskan Allah sempena bulan ini. Segelintir ulamak berpendapat bahawa rejab itu dikenali dengan rejam kerana Syaitan itu dikatakan direjam sehingga tidak dapat menyakiti orang yang beriman di bulan keagungan Allah.

Tafsiran Kesufian

Lebih halus, rejab terdiri daripada tiga abjad. Iaitu terangkai dengan huruf ra’, ba dan jim. Sultan Para Wali, Syeikh Abdul Qader al-Jaylani pernah mentafsirkan kalimah tersebut satu persatu. Huruf ra mewakili rahmat Allah, jim mewakili sifat Jud (kedermawanan) Allah dan ba’ mewakili birr (kebaikan) Allah. (Abd al-Qader al-al-Jaylani, al-Ghunyah li Thalib Tharik al-Haq Azza WaJalla, 1996-1416H, Maktabah Usamah bin Zayd, Halab : Syiria, hlm 229)

Pentafsiran terhadap rangkaian abjad ini ada kebenarannya apabila diintegrasikan dengan ayat suci al-Qur’an al-Karim terutamanya basmalah yang terletak pada permulaan surah al-Fatihah. Dan Basmalah dibaca secara minima sebanyak 17 kali sehari semalaman melengkapi baki al-Fatihah. Maka teramat mudah bagi kita untuk memahami dan menjiwai kebaikan, kedermawanan dan kasih sayang Allah dalam basmalah untuk menikmati kebesaran dan keagungan Allah. Sayangnya, hakikat rejab semakin tenggelam kerana manusia semakin ketandusan iman.

Panggilan Rejab

Bulan rejab turut dikenali dengan beberapa panggilan. Antaranya ialah Rejab al-Mudar, Mansil al-Asinnah, Syahr al-Asham , Syahr al-Asob, Rejabal-Muthahhir, Rejab al-Fard dan lain-lain.

Rejab al-Mudhar merujuk kepada qabilah Mudhar dari suku bangsa Quraisy. Golongan ini amat memuliakan bulan rejab dengan pelbagai acara ibadat. ...”(Ibn Hajar al-Asqalani, Lisan al-Mizan, 1986, Cetakan ke-3, Muassasah al-A’lami : Beirut, hlm 71-72 juz 4 no ind: 213)



Rejab juga dikenali dengan al-Mudhir bermaksud memudharatkan. Iaitu persengketaan dan pertempuran senjata tidak atau jarang kedengaran berlaku kerana kemudharatan berperang pada bulan berkenaan.(al-Qurtubi, Jami’ lil Ahkam al-Qur’an, 1372H, Cetakan ke 2, Dar al-Sya`ab : Qaherah, hlm 326 juz 6).

Rejab al-Mudhir juga dinisbahkan kepada pemimpin jahiliyyah Rabi’ah bin Nizar yang mengharamkan bulan ramadhan dan menggantikan ramadhan dengan panggilan rejab. Dan perbuatannya itu sebenarnya memudharatkan dirinya sendiri.(ibid, hlm 133 juz 8)

Manakala Mansil al-Asinnah bermaksud bulan perdamaian atau gencatan senjata. Lazimnya, bangsa arab jahiliah yang berbalah, berdendam, berperang dan berbunuh-bunuhan akan meletakkan senjata mereka sempena kedatangan bulan rejab yang mulia.(al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, 1987, Cetakan ke 3, Dar Ibn Katsier, hlm 1591 juz 4)

Mereka mempercayai wujudnya kedamaian dan kegencatan pada bulan rejab. Akhirnya, rejab itu sinonim dengan kepercayaan dan cara hidup mereka.

Realitinya, kita turut melihat bahawa pada bulan ini kegemparan, kegoncangan dan keganasan sedikit menurun berbanding sebelumnya. Begitu juga dengan fenomena gempa bumi, gunung berapi, tsunami dan beberapa malapetaka yang melibatkan angka korban yang besar turut menyusut. Mungkin, inilah sebahagian wajah kedamaian yang tersurat dalam bulan Rejab. Subhanallah!

Rejab al-‘Ashom bermaksud bulan kebisuan. Iaitu satu bulan yang tidak kedengaran kemurkaan Allah yang besar kepada umat manusia pada bulan ini. Bahkan dalam masa yang sama, Allah menghapuskan kejahatan, kesyirikan dan kesengsaraan hambaNya. Hal ini selari dengan apa yang diriwayatkan oleh Imam Ibrahim al-Nakha’ie rhm berbunyi : Sesungguhnya Rejab itu adalah bulan Allah. Padanya Allah SWT melayarkan Nabi Nuh AS dan kaumnya. Baginda dan kaumnya berpuasa. Lalu Allah selamatkan mereka dari ribut taufan dan menyucikan bumi ini dari sirik dan permusuhan.” (Abd al-Qader al-al-Jaylani, al-Ghunyah li Thalib Thariq al-Haq Azza WaJalla, 1996-1416H, Maktabah Usamah bin Zayd, Halab : Syiria, hlm 230)

Sayyidina Utsman bin Affan juga menyifatkan Rejab al-‘Ashom sebagai bulan penyucian harta dari unsur yang haram. Iaitu dengan membayar segala hutang piutang dan mengeluarkan zakat jika masih berbaki. (ibid, hlm 230)

Anjuran diatas amat praktikal dalam masyarakat memandangkan kita telah menikmati kenaikan gaji dan menunggu pengumuman bonus sebulan dua lagi. Justeru, jangan diikut prinsip nafsu: bila susah menagih kasihan, bila senang lupa daratan. Dikhuatiri kita tidak mampu merasai keagungan Allah di bulan rejab. Bahakan bercerai kasih dengan Allah tiada talakNya. Justeru, binalah batas kesucian, semailah benih kezuhudan. Nescaya dalam kezuhudan adanya kebesaran dan keagungan Tuhan.

Di samping itu, rejab juga dikenali dengan panggilan Syahr al-Asob. Iaitu bulan Allah mencurahkan kasih sayang keatas hamba-hambaNya. Ada padanya rahmat yang tidak dapat dilihat dengan mata, tidak terdengar dengan telinga dan tidak terlintas di hati manusia.(ibid,hlm 231)

Ia juga turut dikenali dengan Rejab al-Muthahhir bermaksud bulan penyucian. Iaitu menyucikan dosa hamba-hambaNya daripada salah silap dosa dan noda. Terutamanya dosa mereka yang melakukan ibadat puasa. Imam Hibbatullah bin al-Mubarak al-Saqathi meriwayatkan dengan isnadnya daripada al-A’masy daripada Ibrahim daripada Alqamah daripada Abu Sa’id al-Khudri rhm bahawa Nabi SAW bersabda : Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) Dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan Yang dihormati. Rejab dikenali dengan al-Ashom. Dan tiga bulan haram yang berturutan (Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram). Rejab itu bulan Allah, Syaa’ban bulanku dan ramadhan bulan umatku. Barangsiapa yang berpuasa sehari di bulan rejab dengan keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah nescaya dia akan mendapat keredhaan Allah yang besar..”(ibid, hlm 231)

Amalan sunat

Islam menawarkan solusi kehidupan yang sempurna dan mantap. Disamping kita mempertingkatkan quantiti dan qualiti ibadat solat di bulan Israk dan Mikraj, qualiti puasa juga harus dipertingkatkan sempena bulan rejab.

Umum mengetahui bahawa puasa adalah diet yang paling balik. Raja segala ubat. Elok dipraktikkan samada di awal bulan, pertengahan bulan dan diakhir bulan dalam Islam. Asalkan ia tidak bertentangan dengan hari-hari yang diharamkan berpuasa seperti hari raya dan sebagainya. Begitu juga puasa Isnin dan Khamis dalam bulan rejab. Jika diamalkan, ia benar-benar bertindak sebagai set penyucian jiwa yang paling baik dan berkesan berbanding produk-produk ciptaan manusia. Ia merupakan pemangkin nilai-nilai murni dan integriti. Ia juga merupakan warming up untuk mendekati Sya’ban dan seterusnya Ramadhan. Ternyata, amalan memerlukan stamina. Tanpa stamina kita pasti akan dibelasah oleh runtunan jiwa dan keinginan dunia.

Merancanglah untuk beramal. Putaran masa sesekali tidak kasihan belas kepada kita. Sedarilah firman Allah SWT. Demi masa sesungguhnya manusia berada dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan melakukan amal soleh…”


Al-GHARI.

HILANGNYA MUTIARA ILMIAH KERANA KEJAHILAN



HILANGNYA MUTIARA ILMIAH KERANA KEJAHILAN

Oleh :
Zamihan Mat Zin al-Ghari,
Penolong Pengarah,
Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)


PENDAHULUAN :

Sikap suka memperkatakan sesuatu tanpa fakta ilmiah semakin menjadi-jadi. Lebih-lebih lagi terhadap fakta yang melibatkan sumber perundangan Islam dan kreadibiliti alim ulamak itu sendiri. Amat malang sekali, apabila Mufti baru kita kerap kali mengecam para alim ulamak tradisional. Atas alasan kononnya ulamak tradisional bersifat konservatif, menyampaikan ilmu agama tidak berfakta, menokok nambah cerita, membawa riwayat Israeliyyat dan hadis palsu.


LATARBELAKANG:

Bahkan dalam masa yang sama, Mufti Baru itu dengan angkuh mendakwa bahawa beliau seorang yang berfakta, menekankan aspek kesarjanaa dan membawa tajdid (pembaharuan) dalam memahami agama. Sebenarnya, inilah sebahagian daripada manifestasi sikap yang melampau dalam agama. Sikapnya yang suka mengecam orang lain dan dalam masa yang sama mengangkat diri sendiri sebagai jaguh amat dikesali. Manakala prinsip tajdid yang dibawanya pula apabila dianalisa lebih banyak mendatangkan kerosakan dari kebaikan kepada kita. Jika dianalisa, Tajdid ala Wahhabi yang diperkenalkannya banyak mendatangkan kerancuan diminda masyarakat kita.

Awal tahun, Mufti termuda kita (Mufti Perlis) telah membuat kenyataan di dalam Berita Harian pada 5hb Januari 2007 bahawa ramai dikalangan ustaz-ustaz kita yang mengajar di masjid dan surau membacakan hadis palsu. Beliau mendakwa bahawa hadis : “Tuntutlah ilmu walau sehingga ke negeri China ” merupakan hadis palsu. Mufti itu mengajak kita supaya merujuk kepada beberapa kitab yang diisyaratkannya. Tetapi beliau sendiri tidak meluahkan isi sebenar kandungan kitab-kitab yang menjadi rujukannya itu. Ini satu metodologi penyembunyian fakta secara terhormat. Dan bukan dari prinsip kesarjanaan dalam Islam.

PUNCA HADIS:

Marilah kita sama-sama membuka minda untuk menilai status hadis : “Tuntutlah Ilmu walau sehingga ke negeri China ” dengan sejelas dengan sejelas-jelasnya. Apakah dakwaan Mufti termuda itu boleh dianggap sebagai satu fakta yang benar?

Sebenarnya, hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Rabi’ di dalam Musnadnya pada Bab Menuntut Ilmu dan kelebihannya hadis bernombor 18. (lihat al-Rabi’ bin Habib bin Umar al-Basri, Musnad al-Rabi’, cetakan Dar al-Hikmah : Bayrut, 1415H, tahkik Muhammad Idris, juz 1 m/s 29)

Hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam Syuab al-Iman, hadis bernombor 1663. (lihat Abu Bakar Ahmad bin Hussein al-Baihaqi, Syuab al-Iman, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Bayrut, Cet Pertama, 1410H, tahkik : Muhd Sa’id Basyuni Zaglul, juz 2 m/s 253). Hadis ini juga disebut di dalam Musnad al-Bazzar bernombor. Akan tetapi al-Bazzar menolaknya dengan menarafkan sebagai palsu. Atas alasan Abi ‘Atikah merupakan perawi yang tidak dikenalinya. (Abu Bakar Ahmad bin Amru al-Bazzar, Musnad al-Bazzar, Muassasah Ulum al-Qur’an : Bayrut, Cet Pertama, 1409H, tahkik : Dr Mahfuz al-Rahman Zainullah, juz 1 m/s 75)

Hadis ini juga disebutkan oleh Abi Syujak Syarawaih al-Hamazani di dalam Firdaus bi Ma’tsur al-Khitab bernombor 236. (lihat al-Hamazani, Firdaus bi Matsur al-Khitab, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Bayrut, Cet Pertama, tahkik: Muhd Sa’id Basyuni Zaghlul 1986M, juz 1 m/s 78)

PERSOALAN:

Soalnya, apakah para ulamak yang meriwayatkan hadis ini dan mengabadikan di dalam karangan mereka boleh kita kategorikan sebagai pemalsu hadis. Masya Allah, jikalau Tuan Mufti tetap berpendapat sedemikian ternyata Tuan Mufti tidak menguasai seni ilmu hadis. Maksudnya ialah keupayaan dalam memahami kedudukan hadis, kecacatan hadis dan feqh al-Hadis itu sendiri. Justeru, apakah nilai disebalik MA dan PHD hadis yang tuan miliki.

KEDUDUKAN HADIS:

Sekarang marilah kita sama-sama menelusuri perbincangan tentang status hadis ini. Imam Abd Rauf al-Munawi di dalam Fayd al-Qadhir Syarh Jami’ al-Saghir ketika membuat ulasan terhadap hadis ini mengatakan : “Al-Baihaqi mengatakan matannya (hadis ini) masyhur akan tetapi isnadnya dha’if. Dan diriwayatkan daripada (beberapa) sanad yang lain yang sempurna kedudukannya. Manakala Ibn Abd al-Barr di dalam kitabnya Fadhl al-Ilmi (Kelebihan Menuntut Ilmu) meriwayatkan hadis ini daripada Jaafar bin Muhammad al-Zaghuni daripada Ahmad bin Abi Suraij al-Razi daripada Hamad bin Khalid al-Khayyath daripada Tharif bin Salman bin ‘Atikah daripada Anas ‘Ad daripada Muhammad bin Hasan bin Qutaibah daripada Abbas bin Abi Ismail daripada Hassan bin ‘Athiyyah al-Kufi daripada Abi ‘Atikah daripada Anas.

Bagi saya, apa yang dijelaskan oleh Imam al-Munawi ini hampIr sama nadanya dengan kenyataan Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya Lisan al-Mizan (Ibn Hajar al-Asqalan, Lisan al-Mizan, Muassasah al-A’lami: Bayrut, Cet ke-3, 1986M, juz 6 m/s 304)

Imam Al-Ajlouni meneruskan ulasannya : “Dan Ibn Hibban mengatakan hadis ini hadis yang bathil yang tidak ada sumbernya berdasarkan hujjah bahawa al-Hassan (perawi hadis ini) merupakan perawi yang dhaif. Manakala Abi ‘Atikah (merupakan seorang) perawi yang munkar. Dan di dalam kitab al-Mizan dijelaskan bahawa riwayat Abu ‘Atikah daripada Anas diperselisihkan tentang namanya dan periwayatannya adalah dhaif sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi. Imam al-Sakhawi pula dan lain-lain ulamak mengatakan : “Hadis ini dhaif berdasarkan kepada dua faktor. Dan Ibn Hibban mengatakan hadis ini hadis yang bathil yang tidak ada sumbernya. Manakala Ibn al-Jauzi menarafkan ia sebagai hadis yang direka. Dan kami memilih atau menuruti pendapat al-Mizzi (Imam al-Hafiz Jamaluddin al-Mizzi yang mengatakan bahawa hadis ini diriwayatkan dengan beberapa riwayat dan apabila dicantumkan dengan sebahagian riwayat yang lain kemungkinan ia mencapai standard hadis hasan. Dan al-Dhahabi mengatakan di dalam Talkhis al-Wahiyat bahawa hadis ini diriwayatkan dengan banyak riwayat. Sebahagian bertaraf wahiyat (amat lemah) dan sebahagiannya sholeh… (baik).” (Abd Rauf al-Munawi, Fayd al-Qadir Syarh Jami’ al-Soghir, Maktabah al-Tijariah al-Kubra, MesirCetakan Pertama, 1306H m/s 543 juz 1)

Tidak cukup dengan keterangan di atas, marilah kita sama-sama meneliti pula apa yang dikemukakan oleh Imam al-Ajlouni di dalam kitabnya Kasyf al-Khafa’ li Muzil al-Ilbas Ketika membahaskan hadis “Menuntut ilmu satu kefardhuan bagi setiap individu muslim” beliau mengatakan : “Hadis riwayat Abi ‘Atikah (pada awal lafaznya) Tuntutlah ilmu walau ke negeri China dan keduanya (lafaz akhir)” terdapat beberapa komentar. Ibn Abd al-Barr juga meriwayatkan daripada Anas dengan riwayat yang banyak. Tetapi keseluruhannya mempunyai kecacatan dan tiada hujjah padanya dari sudut isnad menurut pakar hadis.”

Katanya lagi : “Menurut al-Bazzar hadis ini diriwayatkan daripada Anas dengan sanad-sanad yang amat lemah. Dan yang paling hasannya ialah apa yang diriwayatkan oleh Ibrahim bin Salam secara marfuk daripada Anas. Dan tidak diketahui orang yang meriwayatkan daripada Ibrahim bin Salam kecuali Abu ‘Asim. Manakala pada perbincangan hadis bab (Bab Ilmu) telah dikemukakan riwayat-riwayat daripada Ubai, Jabir, Huzaifah, al-Hussein bin ‘Ali, Ibn Abbas, IbnUmar, Ali, Ibn Mas’ud, Abu Hurairah, ‘Aisyah, Um Hani’ dan lain-lain. Ringkasnya ialah berdasarkan apa yang ditakhrijkan oleh al-Iraqi terhadap kitab Ihya’ Ulumuddin karangan al-Ghazali…”

Selanjutnya al-Ajlouni mengulangi pendirian al-Baihaqi terhadap hadis ini. Di samping itu, beliau mengemukakan pendapat Imam Ahmad terhadap hadis ini berdasarkan apa yang dinukilkan daripadanya Ibn al-jauzi di dalam Ilal al-Mutanahiyah dengan katanya : “Hadis ini tidak tsabit sesuatupun berkaiatan dengan hadis bab menurut pandangan kami. Dan demikian juga pandangan Ishaq Ibn Rahawiyah dan Abu Ali al-Nesyaburi. Manakala Ibn al-Solah mengisyaratkannya sebagai hadis masyhur yang tidak bertaraf sahih. Dan pendapat ini diikuti oleh Imam al-Hakim. Akan tetapi al-Iraqi mengatakan sesetengah ulamak hadis mentashihkannya dengan beberapa isyarat sebagaimana yang dijelaskan beliau dalam ulasan beliau terhadap Ihya’ Ulumuddin. Imam al-Mizzi pula mengatakan : “Isyarat hadis ini mencapai status hasan sebagaimana yang didapati di dalam Maqasid al-Hasanah. Manakala Ibn Hajar al-Asqalani di dalam al-Lali’ selepas meriwayatkan pelbagai riwayat dari Ali, Ibn Mas’ud, Anas Ibn Umar, Ibn Abbas, Jabir dan Abi Said mengatakan bahawa pada hadis ini terdapat beberapa pandangan.” (Syeikh Ismail b Muhammad al-Ajlouni, Kasyf al-Khafa’ li Muzil al-Ilbas, Cet ke-4 Muassasah al-Risalah, Bayrut, 1405H, tahkik Ahmad al-Qallasy m/s 56-57 juz 2)

PENGHUJAHAN :

berdasarkan keterangan di atas jelaslah kepada kita bahawa hadis : “Tuntutlah ilmu walau ke negeri China ” diriwayatkan dengan banyak riwayat. Sebahagian dari riwayat tersebut berstatus dhaif. Akan tetapi bila dihimpunkan beberapa riwayat yang dhaif dan didatangkan dengan beberapa syahid (kesaksian) yang lain riwayat dhaif tersebut akan mencapai status hasan.

Manakala beberapa riwayat yang bertaraf amat lemah dan berstatus munkar atau palsu ditolak oleh para ulamak. Hal ini diputuskan berdasarkan kepada kedudukan kedudukan perawi dalam sanad-sanad yang tersendiri sebagaimana yang diperjelaskan di atas. Dan ketentuan ini amat mudah difahami bagi mereka yang mendalami ilmu hadis. Sayangnya Mufti Baru kita menggunakan metodologi bersifat hukmi semata tanpa tafsili. Apakah ini sati estetika ilmiah yang boleh dikongsi bersama?.

Di samping keterangan menerusi kitab-kitab di atas, banyak lagi keterangan yang boleh dinukilkan di sini melalui beberapa kitab. Antaranya melalui kitab al-Kamil fi Dhua’fa al-Rijal, al-Majruhin,Ttarikh al-Baghdad, al-Tadwin fi Akhbar Qazwin, Kasyf al-Dzunun, Abjad al-Ulum dan lain-lain. Namun penulis menyingkatkan perbincangan untuk memberi focus perbincangan kita. Tetapi penulis tidak teragak-agak untuk menghuraikannya secara lebih lanjut jika memerlukan.

MATAN HADIS:

Selain keperihalan sanad, marilah kita menganalisa sedikit tentang kedudukan matannya. Matan hadis ini adalah jelas berstatus masyhur sebagaimana penjelasan Imam al-Baihaqi. Tidak cukup dengan itu, para ulamak tidak lupa untuk menghuraikan matan hadis ini. Buktinya, Imam Al-Ajouni ketika menukilkan huraian al-Baihaqi dengan katanya : “Hadis ini (menuntut kita) untuk mempelajari ilmu yang bersifat umum yang mana seseorang tidak patut jahil mengenainya. Ataupun ia bermaksud satu tuntutan menimba ilmu-ilmu yang bersifat khusus. Atau yang dimaksudkan dengan tuntutan “Menuntut ilmu satu kefardhuan bagi setiap individu muslim” sehingga seseorang itu mampu melaksanakan tuntutan keatas dirinya…”

Selain di atas, ramai lagi para ulamak tampil menghurai hadis ini. Antaranya Imam Abdullah ‘Alawi al-Haddad di dalam Nashai’ al-Diniyyah wa Wasoya al-Imaniyyah. Maka buatlah pemerhatian yang sebaik-baiknya sebelum melontarkan hukum terhadap sesuatu perkara.

Secara realitinya pula, matan hadis ini tepat dengan apa yang berlaku pada hari ini. Walaupun Rasulullah SAW tidak pernah sampai ke negeri China , namun wawasan pemikiran Baginda SAW terlebih dulu sampai ke sana . Bukankah China dulu dan kini terkenal dengan industri pembuatan tembikar/kaca, kertas, kain sutera, jarum, barangan mainan dan barangan cetak rompak. Malah dunia mana pada hari ini tidak diduduki orang cina. Dan terbukti pada hari ini bahawa orang cina yang menguasai ekonomi sehingga ekonomi Amerika pun turut tergugat dengan peranan yang dimainkan China . Justeru, apa salahnya kita mempelajari sikap yang baik, disiplin, kemahiran dan teknologi mereka. Tuan Mufti sendiri ada menyentuh hakikat ini pada tulisan di akhbar Berita Harian pada 4hb. Namun pada tulisan 5hb Januari 2007 beliau sendiri menulis di bawah sedar.


KESIMPULAN :

Hasilnya, semua keterangan ini membuktikan kepada kita bahawa para ulamak tidak seia sekata dalam menentukan hadis ini. Apa yang jelas ialah status hadis ini ditentukan berdasarkan kepada susur galur periwayatan sanad-sanadnya yang banyak. Hasilnya, ada riwayat yang berstatus dhaif dan palsu. Walaupun dhaif jika dihimpunkan dengan beberapa periwayatan dan kesaksian yang lain ia akan mencapai taraf hasan. Apabila ia bertaraf dhaif ataupun hasan ternyata ia boleh diamalkan menerusi disiplin ilmu hadis.

Buktinya, Al-Imam al-Nawawi –secara masyhur- di dalam al-Arba’in mengatakan bahawa para fuqaha’ dan muhaddithin telah bersepakat untuk menerima pakai hadis dhaif dalam bab Fadha’il a’mal (kelebihan untuk beramal) dan Bab Etika serta tidak ianya tidak berstatus palsu. Justeru, jika Tuan Mufti mendakwa ianya palsu mengapa Tuan Mufti tidak memperincikan sanad-sanadnya sebagaimana menurut disiplin pencinta ilmu hadis.

Sayangnya, Mufti Baru kita seakan sengaja menyembunyikan fakta ini. Dimana nilai kesarjanaan yang dilaung-laungkannya. Amat malang , kerana berasaskan kepada fakta yang disembunyikan ini, beliau membuat kecaman terbuka terhadap Tuan-tuan Guru dan Ustaz-ustaz kita bahawa kebanyakkan mereka menyampaikan ilmu agama dengan hadis palsu. Scenario ini sedikit sebanyak mendatangkan fitnah kepada mereka. Masya Allah. Jika ada benarnya dakwaan Mufti baru ini, saya meminta Tuan Mufti kemukakan butiran individu tersebut, lokasi pengajaran mereka, sanad dan matan yang dibawa mereka untuk dimuzakarahkan. Hal ini penting supaya Tuan Mufti tidak menuduh secara sembarangan. Dan maruah Tuan Mufti tidak tercemar di mata masyarakat.

Nampaknya, mutiara-mutiara ilmiah dan hikmah kita semakin hilang apabila institusi agama diterajui oleh mereka yang jahil dalam disiplin ilmu ini. Lantaran itu, tidak hairanlah jikalau ada suara-suara sumbang yang mengkritik ulamak dan pendakwah secara menghina bukannya bersifat membina. Semoga Allah mengurniakan hidayah kepada kita semua terhadap apa yang disukai lagi diredhaiNya.


AL-GHARI.

HUKUM MENGGERAKKAN JARI TELUNJUK KETIKA BERTASYAHHUD DALAM SOLAT


HUKUM MENGGERAKKAN JARI TELUNJUK
KETIKA BERTASYAHHUD DALAM SOLAT


1.0 PENDAHULUAN

Kebanyakkan dari kita keliru dengan perbuatan menggerakkan jari telunjuk di dalam solat. Ternyata terdapat pelbagai gerakan dan gaya yang ditampilkan. Lantaran itu, isu ini hangat diperkatakan. Baik dikalangan bangsa arab mahupun dikalangan kita. Ternyata kita masih samar-samar dalam mencari jawapannya. Apakah kedudukan hukum yang sebenarnya. Apakah pandangan mazhab kita dan mazhab-mazhab empat dalam masalah ini. Bersama kita lapangkan hati dan minda kita untuk menerokai hakikatnya.


2.0 LATARBELAKANG PERMASALAHAN

Sebenarnya isu ini bertaraf permasalahan ranting feqhiyyah. Iaitu antara afdhal dan tidak afdhal sahaja. Maksudnya setiap individu diberi pilihan samada untuk menggerakkan jari telunjuk ketika bertasyahhud atau tidak. Jika dilakukan seseorang itu akan mendapat tambahan pahala. Dan jika tidak dilakukan tidak mengapa. Inilah nilai estetika syariat yang bersifat fleksibel dalam kelasnya tersendiri.

Tambahan pula, terdapat pelbagai isu yang lebih besar perlu diutamakan. Jika kita hanya berkisar pada daerah isu yang kecil maka hasilnya tak sampai ke mana. Dan kita seperti bergerak dalam kehilangan arah tuju.


3.0 PUNCA PERMASALAHAN

Ketahuilah bahawa isu ini merupakan isu yang baru berlaku. Ia mula dikesan di zaman kita apabila Syeikh Nasiruddin Al-Albaani di dalam kitabnya SifatusSolah An-Nabi[1] mendakwa disunatkan menggerakkan jari terlunjuk ketika bertasyahhud secara berterusan sehingga salam dan selesainya solat. Beliau mendakwa perbuatan sebeginilah yang sunnah dan sunat sebenarnya. Manakala perbuatan selainnya dikatakan tidak sunnah.
Malangnya, ada sesetengah pihak begitu keras menuduh sebahagian dari kita yang tidak melakukan amalan di atas (sebagaimana mereka) sebagai pembuat bid’ah yang sesat. Dan layak dihumban ke dalam neraka kerana dikatakan tidak mengikuti jalan yang diajar oleh Rasulullah. Masya Allah. Ekoran itu perlakulah tuduh-menuduh. Dan kita salah bertelingkah dengan isu kecil seperti ini. Dimanakah sikap berlapang dada dan tawaddhuk kita?

Justeru itu, inilah masanya yang sesuai untuk kita menelusuri dakwaan beliau. Sekaligus menjawab menjawab kemusykilan ini. Kita tidak perlu memerah otak atau bekerja keras untuk menyelesaikannya. Hanya kepada Allah SWT kita memohon taufik dan pertolongan.


4.0 KEDUDUKAN HUKUM

Ketahuilah bahawa Imam Al-Hafiz Mahyiddin An-Nawawi rhm telah ditanya di dalam kitabnya Al-Fatawa tentang isu mengerakkan jari (telunjuk) di dalam solat. Pertanyaan itu berbunyi : “Adakah menggerakkan jari telunjuk pada tangan kanan itu disunatkan.? Bilakah waktu yang sesuai untuk menggerakan jari tersebut? Adakah menggerakkanya secara berterusan itu membatalkan solat?”- hingga tamat soalan.

Maka Imam al-Nawawi rhm menjawab : “Disunatkan mengangkat jari telunjuk dari tangan kanan ketika melafazkan huruf ‘hamzah’ pada kalimah ( áÇ Åáå ÅáÇ Çááå ) sekali sahaja[2] tanpa menggerak-gerakkanya[3] Sekiranya seseorang itu mengulangi pergerakannya berkali-kali, maka hukumnya adalah makruh. Hal ini tidak membatalkan solat. Demikian menurut pendapat yang sahih. Dikatakan juga, iaitu menurut pendapat yang lemah batal solatnya”… Tamat Fatwa Al-Nawawi m/s 54

Dalam menyelesaikan masalah ini, kami akan mendedahkan bukti-bukti mereka yang mengatakan bahawa sunat menggerakkan jari telunjuk secara berterusan. Kemudian kita akan membincangkan dalil-dalil tersebut satu persatu. Kami juga akan menjelaskan bahawa dalil-dalil yang dipergunakan oleh mereka di atas itu tidak sesuai. Hal ini diperolehi berdasarkan hujah-hujah dan bukti yang terang lagi bersuluh. Insya Allah…

Disamping itu, kita juga akan menjelaskan dalil yang mengatakan bahawa tidak disunatkan mengerakkan jari telunjuk secara berterusan menerusi pandangan para ulamak yang muhaqqiq.

Pendapat para ulamak Mazhab :

1) Di dalam kitab Auni Al-Ma’bud m/s 455 juz 3 dinyatakan bahawa Syeikh Salamullah berkata di dalam Syarah Muwattha dengan katanya “Pada hadis Wail bin Hujr menurut Abu Daud[4] yang berbunyi “Kemudian Baginda mengangkat jari telunjuknya, lalu saya dapati Baginda menggerakkan jari telunjuknya sambil berdoa”.

Hadis ini menjelaskan adanya perbuatan menggerakkan jari telunjuk ketika bertasyahhud. Inilah pendapat yang diambil oleh Imam Malik dan kebanyakkan ulamak. Perkara inilah sebenarnya yang dimaksudkan dengan “menggerakkan jari”. Dan maksud yang diputuskan di sini tidak ada percanggahan dengan riwayat yang telah dibawa oleh Imam Muslim daripada Abdullah bin al-Zubair yang bermaksud “Adalah Rasulullah SAW menyisyaratkan jari telunjuknya sambil berdoa tanpa menggerakkannya.”[5] -tamat “Auni Al-Ma’bud”

2) Berkata penulis kitab Ar-Raudh Al-Marba’ Al-Hanbali m/s 59 juz 1 : “Nabi SAW mengisyaratkan dengan jari telunjuknya tanpa menggerakkan jari Baginda ketika bertasyahhud dan doanya di dalam solat dan selainnya. Perbuatan ini dilakukan oleh Baginda ketika mana Baginda menyebut lafaz Allah SWT. Ianya sebagai suatu peringatan keatas tauhid”. –tamat dari ‘Ar-Raudh Al-Marba’ – kitab ini merupakan kitab mukhtasar yang muktamad (dipegangi) dikalangan ulamak Al-Hanabilah.

3) Berkata pula Syeikh Al-Mazhab Al-Hanabilah iaitu Ibn Qudamah Al-Hanbali di dalam kitanya “Al-Mugni” m/s 534 juz 1 : “Dan baginda mengisyaratkan dengan jari telunjuk dengan mengangkatnya ketika Baginda menyebut lafaz Allah Taala ketika bertasyahhud. Perkara ini ditentukan berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin al-Zubair yang bermaksud : “Sesungguhnya Nabi SAW mengisyaratkan dengan jari telunjuknya dan Baginda tidak menggerakkannya”. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud. –Tamat.


5.0 MAKSUD ‘MENGGERAKKAN JARI TELUNJUK’

Ketahuilah (semoga kalian dirahmati Allah) bahawa perkara yang dimaksudkan oleh Sayyidina Wail bin Hujr pada lafaz ( áÇ Åáå ÅáÇ Çááå ) itu ialah menggerakkan jari telunjuk sekali sahaja. Ianya merupakan satu isyarat kepada tauhid. Hal ini amat bertepatan sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda SAW yang tidak menggerakkan jari telunjuknya daripada awal tahiyyat. Akan tetapi baginda menggerakkannya ketika membaca ( áÇ Åáå ÅáÇ Çááå ).

Adapun hadis Sayyidina Abdullah bin al-Zubair itu adalah menafi perbuatan menggerakkan jari secara berulang-ulang. Maknanya ialah perbuatan menggerakkan jari itu hanya cukup untuk sekali sahaja.

Jadi, kita dapati disini ialah tidak ada pertentangan antara dua hadis. Inilah penjelasan secara ringkas daripada para ulamak didalam menjelaskan masalah ini. Disini kami bawakan penjelasan beberapa orang ulamak yang kami naqalkan daripada kitab-kitab mereka:-

Imam An-Nawawi rhm di dalam “Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzab” m/s 455 juz 3, mengatakan “Ulamak mengatakan…hikmat meletakkan dua telapak tangan di atas dua paha ketika bertasyahhud ialah untuk mencegah daripada melakukan perkara yang sia-sia...”

Pada sudut yang sama, beliau menuqilkan pendapat Imam Al-Baihaqi sebagai berkata : “Sesungguhnya perkara yang dimaksudkan pada hadis riwayat Sayyidina Wail b. Hujr itu dengan lafaz ( íÍÑßåÇ ) iaitu “Dia menggerakkannya” ialah mengangkat jari telunjuk sekali sahaja. Iaitu tanpa menggerakkannya secara berterusan. Maksud ini bertepatan dengan apa yang telah diriwayatkan oleh Abdullah b. al-Zubair dengan Lafaz
( áÇ íÍÑßåÇ ) iaitu “Dia (Nabi) tidak menggerakkannya”. Demikian perkataan Imam Al-Baihaqi yang dinuqilkan oleh Imam An-Nawawi ke dalam kitabnya “Al-Majmu’” daripada Sunan Al-Kubra – Al-Baihaqi m/s 132 juz 2. Kami bawakannya disini secara ringkas.

Dan sesungguhnya kami telah membawakan fatwa Imam Al-Nawawi yang mengatakan bahawa dimakruhkan menggerakkan jari secara berterusan di dalam solat. Turut menguatkan pendapat kami ini ialah apa yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud di dalam Sunannya dengan sanad yang sahih daripada Numair Al-Khuzai’ie. Numair sebagai berkata : “Aku melihat Nabi SAW meletakkan telapak tangannya di atas paha kanan sambil membengkokkan sedikit jarinya.”[6]

Adapun hadis “menggerakkan jari telunjuk itu terlebih berat keatas Syaitan daripada besi” tidak boleh dijadikan dalil untuk menggerakkan jari secara berterusan. Akan tetapi maksud sebenar hadis ini ialah orang-orang yang bertasyahhud itu apabila mereka mengangkat jari telunjuknya merupakan manifestasi isyarat tauhid, seolah-olah mereka memukul syaitan dengan besi.

Hadis ini bukan bermaksud syaitan itu berada dibawah telunjuk ketika kita menggerakkannya. Andaian yang mengatakan bahawa syaitan berada dibawah telunjuk hanyalah satu kesamaran sahaja. Dan dengan kesamaran inilah orang yang menggerakkannya itu beranggapan bahawa dia sedang memukul syaitan. Pendapat seperti ini tidak diperkatakan oleh orang-orang yang berakal.

Sebagai satu peringatan disini, dinyatakan bahawa hadis “menggerakan telunjuk itu terlebih dahulu berat keatas syaitan daripada besi” adalah dhaif dari sudut sanabnya. Pada sanad hadis ini terdapat seorang perawi yang dihukum tsiqah (dipercayai) oleh Ibn Hibban. Akan tetapi perawi itu juga dihukum dhaif oleh jumhur (kebanyakan ulamak)

Imam Al-Hafiz Ibn Hajr Al-Asqolani didalam “At-Taqrib At-Tahzib” menyatakan : “Katsier b. Zaid ialah ialah seorang yang benar. Tapi selalu membuat silap di dalam meriwayatkan hadis. Dia bukanlah perawi daripada Bukhari dan Muslim (Sahihain)”.


6.0 MAKSUD ‘AL-TAHLIQ’

PENJELASAN TERHADAP MAKNA AT-TAHLIQ (MEMBUAT BULATAN MENGGUNAKAN JARI)

Setengah dari kita menyangka bahawa At-Tahliq itu ialah menggerakkan jari telunjuk dengan membuat satu bulatan. Ini adalah sangkaan yang salah. Sebenarnya perkara yang dimaksudkan dengan At-Tahliq itu ialah seseorang yang mengerjakan solat (di dalam tasyahhud) itu menjadikan jari tengah (jari hantu) bertangkup dengan ibu jari diiringi dengan anak-anak jari yang lain. Tangkupan ini menjadikan satu bulatan. Perbuatan ini sebenarnya tidak membawa kepada makna menggerakan jari. Demikianlah mengikut penjelasan daripada kitab-kitab Al-Sunan.

Sesungguhnya Imam Ahmad telah meriwayatkan perihal tahliq ini di dalam Al-Musnad m/s 316 juz 4. Ibn Khuzaimah pula meriwayatkan hadis ini di dalam Sahihnya bernombor 697. Kedua riwayat ini melalui Wail b. Hujr r.a yang berbunyi : “Saya melihat Nabi SAW membuat bulatan antara jari tengah dengan ibu jarinya dengan mengangkat jari telunjuknya sambil berdoa (menyeru) ketika bertasyahhud”.

Hadis ini juga turut diriwayatkan oleh Imam An-Nasaie di dalam Sunannya m/s 35/36 juz 3, akan tetapi dengan lafaz yang berlainan. Riwayat itu berbunyi : “Rasulullah SAW menggenggam kedua jarinya lalu membuat bulatan. Saya melihat Baginda membuatnya sebegini (lalu dia mengisyaratkan dengan telunjuknya dan membuat bulatan melalui jari tengah dengan ibu jarinya)” – Maka berhati-hatilah.


7.0 PERANAN KITA

7.1 Kita perlu memahami sesuatu dari akar umbinya. Maksudnya status permasalahan, punca permasalahan dan menelusuri pendapat para ulamak secara berdisiplin. Di samping mengamati dalil-dalilnya.

7.2 Kita tidak perlu tergesa-gesa dalam mencari kata putus terhadap sesuatu permasalahan. Kelak nanti, apa yang kita pegangi sebenarnya tidak dituntut. Manakala apa yang kita tinggalkan itu sebenarnya satu tuntutan.

7.3 Perasaan insaf, sedar diri dan tawaddhuk perlu ada pada kita walau apa jua status dan kedudukan kita.

7.4 Kita hendaklah menyampaikan sesuatu dengan penuh releven dan hikmah agar kebenaran mampu terserlah dengan nilainya.


8.0 KESIMPULAN


8.1 Menggerakkan jari merupakan salah satu permasalahan cawangan dari ranting feqhiyyah. Ia melibatkan soal afdhal dan tidak afdhal sahaja. Bukannya antara halal dan haram ataupun sah dan tidak.

8.2 Kita tidak boleh menghukum seseorang dengan ahli bid’ah disebabkan dia tidak melakukan perkara sunnah. Ini kerana kemungkinan sunnah tersebut merupakan khususiyyah atau bermaksud sunnat sahaja. Sedangkan tuduhan sesat dan bid’ah sebenarnya amat berat kerana ia boleh mengeluarkan seseorang dari Islam.

8.3 Kita seharusnya berlapang dada terhadap sesuatu isu yang boleh membawa kesepakatan dan toleransi antara sesama kita.
[1] Buku karangan Syeikh al-Baani ini telah diterjemahkan ke dalam edisi Bahasa Melayu oleh Us Abdullah Qari Hj Salleh dan Us Hussien Yee dan lain-lain berjudul “Ciri-ciri Solat Nabi SAW.” Sebenarnya intisari buku ini lebih merupakan simpulan pendapat Syeikh al-Baani yang tidak berpegang kepada mana-mana mazhab. Bahkan condong kepada pemikiran Salafiyah al-Wahabiyyah. Dan ketahuilah bahawa pendekatan feqhiyyah yang diutarakan mereka ini jauh berbeza dengan pegangan dan pengamalan rasmi kita di Malaysia . Ternyata, jika cuba diimplimentasi ia sedikit sebanyak mendatangkan kerancuan di kalangan masyarakat. Lantaran itu, Tuan Guru kami Syeikh Hasan al-Saqqaf cuba memperbetulkan beberapa dakwaan Syeikh al-Baani dengan membawa perbincangan feqhiyyah menjurus kepada mazhab al-Syafi’ie untuk disesuaikan dengan realiti pengamalan syar’ie di negara kita khususnya.

[2]Dalil perbuatan ini adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar r.a yang bermaksud : “Adalah Nabi SAW apabila baginda mendirikan solat, Baginda meletakkan tangan kanannya diatas paha kanan dan menggenggam jari jemarinya. Lalu Baginda mengisyaratkan (mengangkat) jari telunjuknya (yang dekat dengan ibu jarinya). Baginda juga telah meletakkan tangan kirinya diatas paha kiri.” –Riwayat Al-Khamsah kecuali Al-Bukhari.

[3] Perbuatan ini berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Zubair r.a yang bermaksud ; “Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW mengisyaratkan dengan jari telunjuknya tanpa menggerakkannya”. Ini adalah hadis yang sahih yang dikeluarkan oleh Abu Daud dan Al-Baihaqi. Insya Allah kita akan membuat kupasan secara panjang lebar tentang hadis ini dihadapan.

[4] Sesunggunya Al-Baani telah tertipu dengan nisbah sesetengah yang baru terhadap Abu Daud. Maka, kita katakana bahawa nisbah beliau terhadap Abu Daud ini berdasarkan kepada taklid. Inilah sebahagian daripada dalil-dalil yang banyak yang membuktikan bahawa Al-Baani bukanlah seorang muhaddis. bahkan dia hanya seorang penuqil daripada kitab-kitab hadis sahaja. Maka berhati-hatilah.

[5] Bagi saya (penulis) : “Hadis ini juga bukan tercatat di dalam Sahih Muslim. Akan tetapi ia wujud di dalam Sunan Abu Daud. Maka berhati-hatilah.


[6] Hadis ini telah disahkan oleh para Huffaz (Ahli hadis). Malik b. Numair Al-Khuza’ie adalah seorang yang diterima pada sanadnya. Hal ini sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Ibn Hajr di dalam “At Taqrib-At Tahzib”. Tidak ada hadis yang diriwayatkan daripada beliau melainkan seorang perawi sahaja. Dan para huffaz telah mengesahkan hadisnya. Dan kebanyakkan orang-orang yang dipercayai mempercayai riwayatnya kerana hadis ini bukan hanya diriwayatkan oleh beliau seorang sahaja. Mereka seperti Thabit b. Qais Az-Zarqi Al-Madini. Saya telah menjelaskan hal ini satu persatu didalam kitab saya “Imta’ Al-Ilhaz bitausiq Al-Huffaz”. Dan Imam Al-Hafiz Ibn Khuzaimah telah menghukum sahih hadis Malik b. An-Numair Al-Khuza’ie ini didalam “sahih”nya m/s 354 juz . Al Hafiz Ibn Hajr juga turut mengakuinya didalam kitabnya “Al-Isobah” ketika menterjemahkan perawi ini bernombor 8807. Disamping itu, Ibn Hibban juga telah meriwayatkan hadis ini didalam sahihnya m/s 202 juz 3. bernombor 1943. Beliau juaga dengan Abu Daud (tanpa reaksi) didalam sahihnya m/s 260 juz 1 bernombor 911. Saya rasa sudah mencukupi bagi kita untuk menghukum hadis ini dengan sahih. Sayang sekali, Al-Baani telah menghukumnya dhaif (lemah) didalam kitabnya “Taman Al-Minnah”, kemudian saya dapati beliau menghukum sahih pula hadis Malik b. An-Numair Al-Khuza’ie ini didalam kitabnya “Sahih Sunan An Nasaie” m/s 272 juz 1. Dan ternyata ini adalah tanaqudh (berlawanan), Maka berhati-hatilah.
AL-GHARI.

Thursday, December 6, 2007

ILIM SEMARAKKAN ILMU FALAK DI SABAH


ILIM SEMARAKKAN ILMU FALAK DI SABAH

Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) melalui Pusat Pengajian Ilmu Teras (PPIT) telah mengadakan Kursus Falak Qiblat Siri 1 peringkat negeri Sabah baru-baru ini. Kursus ini diadakan di Beverly Hotel, Kota Kinabalu bermula 26– 29hb November lalu. Dan dirasmikan oleh Sahibus Samahah Dato’ Hj Ahmad Alawi Hj Adnan, Mufti Negeri Sabah.

Kursus ini melibatkan 42 orang pegawai agama dari seluruh negeri Sabah . Ia merupakan hasil kerjasama ILIM, JAKIM dan Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam Negeri Sabah (JAHEINS).

Kursus julung-julung kali di adakan ini bertujuan :

1. Melanjutkan pemahaman aspek teori dan teknikal berkaitan penentuan arah kiblat.

2. Meningkatkan kemahiran amali dalam penentuan arah kiblat

3. Membina sikap positif dan peka terhadap penyelesaian masalah semasa kerja-kerja sebenar penentuan arah kiblat.

Sepanjang kursus ini, para peserta didedahkan dengan kedudukan glob bumi, penentuan arah utara, bacaan peta dan hitungan azimuth qiblat, pencerapan matahari untuk azimuth rujukan, kaedah ijtihad dan tradisional, manual praktikal penentuan arah qiblat, semakan premis sebenar dan isu semasa berkaitan qiblat.

Di samping itu, ILIM juga tidak ketinggalan memberi pendedahan kepada peserta menggunakan peralatan canggih seperti teodolite dan kompas prismatik. Kedua-dua peralatan ini dilihat satu keperluan terkini dalam tujuan penyemakan dan pentuan arah qiblat yang tepat.

Di akhir kursus, para peserta didedahkan dengan ’peperiksaan dalaman’ bagi menguji penguasaan dan kecekapan para peserta.

Kehadiran dua penceramah pakar Falak, En Baharrudin Zainal dan En Ahmad Taufan Abd Rashid menjadikan kursus ini bertambah lancar dan meriah. Teori kursus ini bermula di Beverly Hotel. Manakala praktikum semakan dan penentuan arah qiblat dijalankan di Balai Cerap al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Kota Kinabalu.

Memandangkan isu penentuan dan semakan arah qiblat begitu serius di Sabah maka Pusat Pengajian Ilmu-ilmu Teras (PPIT) ILIM mengambil inisiatif segera untuk menanganinya. Tambahan pula, pelaksanakan kursus ini membuktikan ILIM begitu komited dalam usaha memberi latihan dan kemahiran kepada para pegawai agama seluruh negara.

Al-Hamdulillah, dengan kerjasama yang baik lagi erat, akhirnya kursus ini diseliakan dengan jayanya oleh Tuan Hj Zamihan Hj Mat Zin al-Ghari dan barisan urusetia yang terdiri dari para pegawai dan kakitangan ILIM, JAKIM. Rata-rata peserta berpuashati dengan input dan kualiti pengurusan pihak penganjur. Semoga kursus seperti ini terus di adakan bagi menyemarakkan ilmu falak seluruh negara.

www.al-ghari.blogspot.com

MENJAWAB KRITIKAN DR. HAKIM IHSAN


MENJAWAB KRITIKAN DR HAKIM IHSAN
Oleh : Hj Zamihan Hj Mat Zin al-Ghari

Izinkan saya memberi respon berkenaan tulisan Dr Hakim Ihsan dalam Utusan Malaysia 21 Februari terhadap saya. Jika ditinjau dari prinsip akademik, kritikan beliau sedikitpun tidak menyentuh tentang tulisan saya berkenaan Fahaman al-Tabdi’ Ancam Ahli Sunnah Wal Jamaah. yang disiarkan pada 12 Februari lalu. Sebaliknya beliau membayangkan kegerunannya terhadap pemikiran saya. Soalnya, apakah intipati pemikiran saya itu?

LATARBELAKANG


Dalam tulisan terdahulu, saya hanya menjelaskan ancaman pemikiran al-Tabdi’ yang menganggu kelancaran pembangunan yang dicetuskan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Iaitu fahaman yang mengetengahkan perkara-perkara furuk (isu-isu ranting) dalam syariat Islam. Dan isu-isu ini dijadikan momentum untuk membid’ahkan golongan yang tidak selari dengan fahaman mereka. Dan seterusnya fahaman ini turut menjangkiti masalah akidah. Mereka yang berfahaman ini percaya bahawa Allah mempunyai wajah, mata, tangan, kaki, lambung, jari-jemari, ketawa, datang, turun, berpindah, berada di langit, duduk diatas arasy dan lain-lain lagi.

HAKIKAT

Seterusnya, saya menukilkan sejarah, metodologi dan kedudukan fahaman ini serta beberapa contoh yang berlaku dalam masyarakat. Kronologi ini kemudiannya dibuktikan dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan terhadap fahaman ini. Mungkin, hal ini yang menggerunkan hati Dr Hakim Ihsan dan yang sewaktu dengannya. Apakah semua ini manifestasi pemikiran saya yang bahaya? Atau fahaman ini yang merbahaya. Ternyata, hujah ilmiah saya cuba di make-up dengan emosi dengan tanggapan peribadi beliau.

DAKWAAN

Dakwaan Dr Hakim Ehsan bahawa saya mengajak umat Islam melangkah ke belakang dan mengaitkan kelesuan JAKIM dengan saya adalah tidak masuk akal sama sekali. Ini kerana dakwaannya sedikitpun tidak dibuktikan dengan nilai ilmiah menurut metodologi Ahli Sunnah Wal Jamaah. Malah dakwaan beliau lebih bertunjangkan ammarah beliau terhadap saya. Kemungkinan disebabkan apa yang saya tulis tersurat secara realiti dengan fahaman dan pendekatan beliau dalam memahami agama.

Beliau terus menyerang saya. Bahkan cuba meraih simpati Jabatan saya untuk mengambil sebarang tindakan terhadap saya. Oleh yang demikian, tindakan beliau yang menggunakan analogi qias yang tidak ada persamaan antara perkara juz’i dan kulli merupakan satu pendekatan yang bertentangan dengan prinsip pensabitan hukum dalam Islam.


PENDEDAHAN

Apakah pendedahan saya berasaskan kepada keputusan Mesyuarat JawatanKuasa Fatawa Kebangsaan beerti mengajak umat Islam ke belakang? Kalau benar, bermakna Majlis Fatwa Kebangsaan yang dianggotai para Mufti negeri terlebih dahulu mengarah ke belakang sebelum saya.

Dan jika pandangan ini dianggap ya, maka secara automatik Dr Hakim Ihsan tidak mengiktiraf peranan para Mufti dalam Majlis Fatwa Kebangsaan dan merendah-merendahkan hasil usaha mereka semata-mata tidak selari dengan fahaman beliau. Tahukah Dr Hakim Ehsan bahawa sikapnya yang cuba menentang Fatwa Kebangsaan itu merupakan satu kesalahan dan boleh di dakwa mengikut Akta Kesalahan Syariah 559, Seksyen 12. jika disabitkan kesalahan beliau boleh dikenakan hukuman denda sebanyak tiga ribu ringgit Malaysia atau dipenjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali.


PROPAGANDA

Manakala isu kelesuan JAKIM hanyalah propaganda sahaja. Dan ia tiada kena mengena dengan saya. Namun sengaja dikaitkan supaya masyarakat awam nampak jelas wujud permasalahan antara saya dengan majikan. Apa yang jelas, beliau cuba mereka cerita donggeng dan meraih simpati walaupun tiada sebarang bukti. Justeru, dengan segala hormatnya saya meminta beliau menampilkan bukti-bukti dalam mengaitkan kelesuan JAKIM dengan saya. Hal ini bersesuaian dengan kaedah “Orang yang mendakwa mengemukakan bukti dan orang yang ingkar perlu bersumpah.”


SIKAP MENCEMUH

Selain itu, Dr Hakim Ihsan juga menggunakan pendekatan mencemuh dalam menginterprestasikan tulisan saya. Hal ini dibuktikan dengan penggunaan empat kali perkataan “jumud dan taksub” terhadap saya.

Kalimah ini sering diulangani beliau tanpa sebarang fakta yang kukuh. Sebaliknya berdasarkan andaian semata-mata. Bagi mereka yang mendokong kajian ilmiah, metodologi ini tidak boleh diterima sama-sekali. Sebaliknya, apa yang saya tulis secara tersiratnya benar-benar menggambarkan kemunculan pendokong fahaman al-Tabdi’ di Malaysia. cubalah anda membuat culaan di sesetengah masjid dan surau-surau di tempat anda. Paling dekat, tulisan Dr Hakim Ihsan adalah bukti yang paling jelas kepada kita semua tentang realiti fahaman ini. Justeru dapatlah disimpulkan bahawa kewujudan Fahaman al-Tabdi` adalah satu realiti.


SERKAP JARANG

Seterusnya, dakwaan Dr Hakim Ihsan bahawa saya hanya menjadi pejuang kepada isu cabang dan furuk adalah tidak berasas sama sekali. Buktinya, banyak kertas kerja dan hasil-hasil tulisan saya yang membincangkan masalah akidah, ibadah, pemikiran kontemporari, muzik dan tasawuf diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri dan juga Jabatan Mufti. Apakah institusi agama ini tidak peka dengan penulisan saya? Atau mereka sengaja menjumudkan pemikiran mereka. Cubalah Tuan Dr berlapang dada sebagai seorang yang benar-benar professional. Gunakanlah pertimbangan akal yang waras dengan pacuan hati yang suci supaya kita mampu menggarap hakikat sesuatu perkara.


TUDUHAN PALSU

Saya kehairanan apabila membaca tulisan Dr Hakim Ihsan yang mendakwa saya mewajibkan umat Islam bertaklid dan taksub kepada mazhab al-Shafi’ie semata-mata sedangkan tulisan dan ceramah saya tidak sedemikian. Bahkan saya tidak pernah mewajibkan hal ini kepada sesiapa pun. Malahan, Para ilmuan pun tidak pernah bersepakat dalam mewajibkan kita melazimi sesuatu mazhab.

Cumanya, mazhab al-Shafi’ie hanya digunakan sebagai satu pendekatan dalam menyusun atur pengurusan Hal Ehwal Islam di Malaysia sahaja. Di samping meraikan pandangan mazhab-mazhab yang lain (Mesyuarat JawatanKuasa Fatwa Kebangsaan Kali ke-14 yang bersidang 22-23 Oktober 1985) Justeru, terus terang saya katakan bahawa dakwaan yang mengatakan saya mewajibkan umat Islam bertaklid dan taksub kepada mazhab al-Shafi’ie hanyalah satu pendustaan terhadap saya. Semoga Allah mengampuni beliau.


TEKNIK PROVOKASI

Nampaknya, Dr Hakim Ihsan terus memprovokasi saya dengan pemikiran-pemikiran negativ secara sembrono. Buktinya beliau menuduh saya mewajibkan bacaan Yaasin, tahlil dan talkin serta menggambarkan saya sebagai seorang yang menolak kajian Islam yang moden dan terikat kepada kitab-kitab pondok.

Dalam sudut yang lain beliau menuduh : “Zamihan yang mewakili JAKIM mengharamkan penyelidikan Islam serta mewajibkan umat Islam. Sebenarnya ini adalah manifestasi pemikiran jumud Fahaman al-Tabdi’ yang bernadi di hati beliau. Demi Allah! Saya tidak pernah mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah dan RasulNya termasuk kes-kes di atas.

Hakikatnya, tiada seorang pun dikalangan umat Islam yang berakal mengatakan amalan di atas sebagai wajib. Malahan ia merupakan aksesori tambahan kepada amalan kita dan sebagai pintu pendekatan kepada Allah SWT.

Saya mempunyai koleksi ceramah dan kertas kerja untuk membuktikan sedemikian. Soalnya, jika Dr Hakim Ihsan benar-benar meneliti karya saya secara ilmiah dan professional tentu ada justifikasinya yang benar.

Akan tetapi beliau memilih pendekatan tanpa sebarang pengertian yang benar. Tidak gementarkah hatinya bila membaca ayat Allah yang bermaksud : “Dan orang-orang yang menyakiti hati orang-orang yang beriman laki-laki dan perempuan terhadap sesuatu yang tidak dilakukan mereka, maka sesungguhnya mereka telah melakukan pendustaan dan dosa yang amat nyata.”-al-Ahzab 58)


MENGHINA INSTITUSI PONDOK

Dr Hakim Ihsan juga nampaknya tidak senang hati dengan mereka yang mentelaah kitab-kitab yang diajarkan di pondok-pondok. Beliau banyak mencemuh dengan kata-katanya : “institusi pondok yang jumud…mengagung-agungkan kitab pondok...alangkah pelik kitab kuning kurun ke-17 dan 18 masihi hendak diwajibkan ke atas umat Islam modern”

Ingin saya pertanyakan, apakah dosa institusi pondok, kitab-kitab kuning (lama), Tuan-Tuan Guru dan para pelajar pondok sehingga ia diprovokasi seburuk rupa. Lupakah Dr Hakim bahawa pendidikan Islam di Tanah Melayu dahulu diterajui oleh system pondok (sebelum kedatangan penjajah). Akhirnya, lahirlah institusi agama Islam, system pengurusan, kewangan dan muamalat Islam serta lain-lainnya. Perlu disedari bahawa kemunculan para alim ulamak kini sebahagian besarnya dari system pengajian tradisional. Dan Jangan sesekali Tuan Dr lupa bahawa Islam yang samapi ke dalam hati sanubari Tuan juga kemungkinan datangnya dari system ini. Kajian ilmiah amat banyak untuk menyingkapkan semua ini.


FITNAH UMAT ISLAM

Sedarkah Tuan Dr bahawa kenyataan Tuan Dr menyebabkan ramai umat Islam terfitnah. Maka berhati-hatilah dalam mengemukakan pandangan. Bersama kita renungkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.”-al-Maidah ayat 8).

Nasihat saya, cubalah Tuan Dr membuka sedikit ufuk minda untuk melihat perkembangan system pondok secara global. Maksudnya lihatlah kejayaan system halaqah ilmiyyah yang diwarisi di zaman Nabi SAW, para sahabat, tabi’in dan diteruskan dari generasi hingga kini. Renunglah kejayaan system pengajian ini di seluruh dunia. Saya mengesyorkan agar tuan melawat pondok-pondok pengajian yang ada di negara kita. Dan selamilah realiti dan hakikatnya.


SALAH TAFSIR

Walau apapun, saya tidak menafikan peranan dan sumbangan institusi lain, tapi hanya sekadar membangkitkan nostalgia dan pendidikan alternative dalam memahami urusan agama secara lengkap dan menyeluruh. Sayangnya ia disalah tafsirkan dan dijumudkan oleh seseorang yang mengaku professional dan berfikiran moden tapi jahil dan pesimis dengan realiti sebenar. Janganlah menjadi musuh terhadap apa yang tidak diketahui.

Walaupun isu DNA, pengklonan, perpaduan kaum, integrasi nasional, media, hiburan, sains ICT dan lain-lain tidak disentuh secara langsung di dalam kitab-kitab lama namun ia tidak beerti isu-isu ini dipinggirkan dari karya alim ulamak. Malahan di dalam karya mereka wujud beberapa kaedah atau usul yang boleh dijadikan platform dalam memutuskan hukum terhadap kes-kes kontemporari yang berkaitan. Sebenarnya, Al-Qur’an pun tidak menaskan secara tekstual (langsung) tentang isu-isu di atas, namun ada beberapa petunjuk dan kaedah yang dirintis oleh mujtahid professional dalam membuat penyelarasan antara petunjuk Al-Qur’an dengan perkembangan semasa. Dan inilah yang tersurat, tersirat dan terhayat dalam Akademi Fiqh Sedunia sebenarnya.

Kesimpulannya, tulisan Dr Hakim Ihsan hanyalah pandangan peribadi yang bersifat emosi. Nada-nada emosional jelas sebagaimana yang dibuktikan di atas. Beliau tidak mengemukakan fakta-fakta ilmiah yang kukuh bagi menolak tulisan saya. Hasil perbincangan ini juga menatijahkan kepada kita bahawa Fahaman al-Tabdi’ satu realiti. Bukannya fantasi atau rekaan saya semata-mata.


SERAGAM FATWA

Tiba masanya untuk kita menyeragam dan menyebarluaskan keputusan-keputusan fatwa yang sedia ada supaya masyarakat kita jelas dengan status amalan atau pegangan berkaitan agama. Hal ini penting supaya Majlis Fatwa dihormati dan keharmonian amalan beragama tetap teguh terpelihara. Seterusnya melancarkan lagi agenda pembangungan negara.

Walaupun banyak serangan peribadi terhadap saya dilontarkan, namun saya boleh menerima segala nasihat dan teguran sesiapa sahaja dengan berlapang dada. Saya sedar, diri saya hanyalah insan yang banyak dosa dan jauh dari Allah SWT. Jangan jadikan perselisihan satu permusuhan. Sebaliknya jadikanlah perselisihan satu pendekatan dalam mencari kebenaran dan kebaikan untuk Islam dan ummatnya.

Dan saya bersedia untuk berbincang pelbagai isu-isu agama secara bersemuka dengan sesiapa sahaja pada bila-bila masa. Hubungi saya di : alsalafi76@yahoo.com atau di talian : 03-89222693. Wassalam.


Hamba Allah yang hina,

Hj Zamihan Hj Mat Zin al-Ghaari,
AJK Persatuan Ulamak Malaysia (PUM)
Cawangan Wilayah Persekutuan,
K.Lumpur


AL-GHARI.

Visit Bil.

 

blogger templates 3 columns | Techzilo