Tuesday, September 9, 2008

Raja Petra: JAKIM LAPOR POLIS



PUTRAJAYA 5 Sept. - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama tiga lagi agensi Islam hari ini membuat laporan polis ke atas pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin (gambar) ekoran beberapa artikel dan komentar pembaca pada laman web itu yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.


Laporan polis ke atas laman web dan penulis blog tersebut turut dilakukan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Balai Polis Putrajaya di sini pada pukul 12.30 petang. Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz yang mengetuai kumpulan agensi tersebut berkata, pihaknya memberi perhatian berat terhadap beberapa artikel yang ditulis oleh Raja Petra antaranya yang boleh ditafsirkan sebagai menghina Islam, Nabi Muhammad dan umat Islam.


''Tulisan tersebut yang bersikap prejudis dan kelihatan bersuara bagi pihak orang lain yang tidak memahami Islam atau seperti pendekatan biasa media Barat. ''Ia seolah-olah menjadi penghubung kepada pihak berkenaan untuk menghina Islam, kita minta pihak berkuasa menyiasat tulisan tersebut agar ia menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya jangan ambil tindakan tidak bertamadun," katanya kepa- da pemberita di sini hari ini. Turut hadir membuat laporan polis ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Anan C. Mohd.; Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali dan Pengurus Besar Pentadbiran dan Kewangan YADIM, Dr. Abdul Ghani Mohamad.


Laporan tersebut membabitkan artikel yang ditulis oleh Raja Petra bertajuk I Promise to be a good, non-hypocritical Muslim dan ulasan-ulasan pada artikel bertajuk Not all Arabs are descendants of the Prophet yang didakwa menghina umat Islam dan Nabi Muhammad. Baru-baru ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyekat akses laman web Malaysia Today tetapi ia tetap boleh dilayari sehingga kini apabila pemiliknya menggunakan pelayar Internet yang lain.


Menurut Wan Mohamad, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pihak berkenaan kerana Jakim tidak akan berupaya mengawal kemarahan umat Islam sekiranya tulisan-tulisan menghina sedemikian terus disebarkan.
Beliau berkata, persoalan sama ada penulis blog berkenaan perlu menarik balik tulisan-tulisan atau ulasan dalam laman web itu adalah tidak penting kerana pihak berkuasa mempunyai peruntukan undang-undang untuk bertindak. Katanya: ''Apa yang menghalang dia membuka laman web atau saluran lain, kalau sekat Malaysia Today, dia boleh tulis dalam pelbagai bentuk. Jadi, terserah kepada pihak keselamatan yang lebih arif apa yang perlu diambil tindakan.


''Kita nak jalinkan hubungan baik dengan penganut agama lain tetapi kalau ada penulis perosak seumpama ini, ia boleh mengganggu hasrat melihat rakyat hidup harmoni dan memahami antara satu sama lain. ''Kita baru reda isu Majlis Peguam, tidak mahulah isu ini akan bertambah sebab yang rugi nanti bukan orang Islam sahaja tetapi semua rakyat Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, Wan Mohamad berkata, Jakim sentiasa melakukan pemantauan terhadap artikel-artikel yang dilihat menghina Islam termasuk sudah mengenal pasti kelompok yang cenderung menyinggung perasaan dan maruah umat Islam.


''Sejak dari awal penubuhan Jakim, ini adalah sebahagian tugas kita memantau bahan-bahan penerbitan. Kita harap mereka tidak menjemput kita untuk membuat laporan polis dan bukan tugas kita untuk memberikan amaran kerana masing-masing memahami undang-undang.
''Mereka bebas menulis apa saja tetapi jangan menghina Islam dan mereka berhak dikenakan tindakan kalau melanggar undang-undang," katanya. Sumber: Utusan
ULASAN :
1) Tindakan JAKIM,JAWI, MAIWP dan YADIM melaporkan propaganda menghina Islam yang dikeluarkan oleh Raja Petra kepada pihak polis amat wajar. Ini kerana tindakan berkenaan masih berada di bawah bidang tugas JAKIM untuk memantau dan mengawal sebarang terbitan @ sebaran yang menghina Islam dan umatnya.
2) Laporan itu dibuat supaya pihak berwajib boleh mengambil tindakan perundangan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengapi-apikan umat Islam dengan isu sensitif agama. Dikhuatiri ia dijadikan anjakan untuk mencetuskan tindakan tidak bertamadun, kekacauan serta mengancam keselamatan negara.
3) Sebelum ni pun, Raja Petra al-Librali sudah acap kali menghina Islam dan mencetuskan kemarahan umat ini. Kita masih boleh bersabar. Kesabaran pun ada tahapnya. Awaas! jangan sampai ada pihak tertentu yang mengambil tindakan sendiri secara irhabiy membelakangi undang2 negara. Ini tentu memburukkan keadaan. Bertindaklah wahai pihak keselamatan.
4) Saya menyeru kepada setiap warga yang beriman, adalah menjadi KEWAJIPAN anda semua untuk mempertahankan kesucian agama dari terus dihina oleh musuh-musuh Allah SWT.

No comments:

Visit Bil.