Tuesday, March 11, 2008

REDHAILAH KETENTUANNYA



SUKAR DITERIMA

Pilihanraya ke-12 berlalu sudah. Semua pihak perlu akur dengan keputusan yang sememangnya sudah diatur oleh Allah. Manusia mampu merancang. Tetapi Allah yang menentukan. Kalah menang adat pertandingan. Namun suratan takdir kehidupan amat sukar diterima oleh manusia walau kita dituntut untuk mengimaninya. Ia sebenarnya bergantung kepada kualiti keimanan kita.

Bagi mereka yang berada di terminal nafsu mutma’innah, keredhaan merupakan pakaian dalam kehidupan. Manakala bagi mereka yang berada di stesen ammarah dan lawwamah mereka sukar menerima kenyataan dan suratan ketentuan. Pelbagai alasan kekalahan diberikan. Sukar diterima dan diterjemahkan. Sebaliknya, hati yang redha mudah menerima segala suratan takdir dariNya setelah berhempas pulas berusaha.


TANDA-TANDA REDHA :

Syeikh Abdul Qader al-Jailani mengatakan : “Tanda redha ialah jangan sesekali engkau mencita-citakan sesuatu yang selain dari Allah. Seseorang yang memprotes Allah dari takdirNya adalah orang yang mati agama, tauhid, tawakal dan ikhlasnya. Hati orang mukmin itu tidak mengenal kenapa?Bagaimana? Tiada harus mukmin itu mengenalnya. Sebaliknya dia perlu mengatakan : “Jiwa itu memang tabiatnya suka menentang dan membantah. Maka barangsiapa yang mahu membetulkan jiwanya yang jahat itu hendaklah dia berjihad terhadapnya sehingga dia terselamat dari bahaya jiwanya. Ingatlah jiwa itu bahaya di atas bahaya. Apabila jiwa ditekan barulah ia menjadi baik atas kebaikan. Barulah ia mengikuti semua ketaatan. Meninggalkan semua kedurhakaan.” (al-Jaylani, Fath al-Rabbbani Wa Faydh Rahmani, hlm 34)

Situasi ini bersesuaian dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Fajr ayat 27-28 berrmaksud : “Wahai jiwa yang tenteram, Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai.”

Kesimpulan, berilah sedikit ruang untuk hati kita menerima ketentuan sesuatu perkara. Alasan dan komentar sesekali tidak memuaskan hati manusia secar total. Namun jika hati diikat dengan kekuasaan dan kehendakNya jiwa pasti pasrah untuk menerima apa sahaja.


JIWA BOBROK:

Jiwa yang bobrok selalu terdetik kegusaran di dasarnya. Apabila beroleh kenikmatan mereka hadapi dengan kegembiraan. Namun apabila ditimpa kekalahan atau kesulitan mereka berada dalam kesedihan. Hatinya seringkali tiada kepuasan. Samada menerima kebenaran atau menghadapi kezaliman insan. Inilah sebahagian sindrom kecintaan hati terhadap mata benda dunia yang sementara. Kita sebenarnya tidak dicipta untuk memperhambakan diri kepada dunia. Tetapi hidup dunia merupakan pengabdian diri kepadaNya. Dan Pola penempatan hidup pasti beralih jua. Yakinlah dengan janji-janjiNya.


KESIMPULAN :

Apapun, hidup adalah satu tanggung jawab. Jika anda menanggung hidup, pandai-pandailah untuk menjawab di akhirat. Itulah hakikat disebalik perkataan Tanggung dan Jawab. Selamatlah bagi mereka yang tahu menanggung dan tahu untuk menjawab. Terimalah seadanya dan Redhailah ketentuanNya. Jadilah seperti hatimu seperti mawar, walau tumbuh berduri, indah dipandang dan harum mewangi.

1 comment:

the indie story said...

Lim Guan Eng sepatutnya lebih berhati-hati bila mengeluarkan kenyataan. Tersalah cakap buruk padahnya. Silap-silap kerajaan DAP di Penang hanya sempat bertahan tak sampai 3 bulan. Tolong jaga sikit perasaan hati kaum Pribumi Melayu Islam. Agaknya beliau terlupa bahawa kemenangan besar DAP di Pulau Pinang adalah hasil undi daripada semua kaum, termasuklah melayu. Jadi beliau tidak seharusnya bermegah diri mendabik dada dengan beranggapan bahawa itu adalah kemenangan mutlak untuk Democratic Action Party (DAP) yang terkenal dengan konsep slogan ‘Malaysian Malaysia’.

Sila baca artikel seterusnya di:

http://theindiestory.blogspot.com

tQ

Visit Bil.