Sunday, May 23, 2010

Luaskan Makna Politik

Mufti Perak : Tan Sri Harussani Zakaria

Sebagai seorang Mufti, saya bertanggungjawab menjelaskan kepada orang ramai bahawa mafhum politik adalah lebih luas daripada hanya berpolitik secara kepartian. Berpolitik secara kepartian hanyalah satu wasilah daripada banyak wasilah lain yang akan menyampaikan kepada maksud politik yang lebih luas itu.

Apa yang saya dapati kebanyakan orang Islam khususnya orang Melayu terperangkap dengan definisi yang sempit ini sehingga menghabiskan banyak masa, tenaga, buah fikiran dan menambahkan jurang perbezaan sesama Muslim sedangkan matlamat asal politik itu semakin jauh dari jangkauan. Kebanyakan ahli masyarakat tidak lagi melihat politik dari sudut ilmu dan falsafah sebenarnya tetapi lebih terpengaruh dengan tindakan dan gelagat ahli-ahli politik yang mewarnai iklim berpolitik tanah air. Berpolitik sering difahami dan dilatari dengan perebutan kuasa, pertikaman lidah, tuduh menuduh, gelar menggelar dan sebagainya .

Politik dari sudut bahasa yang mudah untuk difahami menurut sebahagian ilmuwan adalah melaksanakan sesuatu dengan memastikan kebaikan pada perkara itu. Manakala dari sudut kemasyarakatan bermaksud mengurus secara bijaksana dan pandangan dengan analisis yang tajam terhadap kesan sesuatu tindakan. Ia juga membawa makna sekumpulan hal ehwal urusan yang berkaitan dengan pentadbiran negara. Politik juga dapat diertikan sebagai satu kegiatan ummah menyokong dan mendokong usaha melaksanakan syariat untuk merealisasikan Islam yang syumul dapat dipraktikkan melalui sebuah institusi yang menjadi penerajunya. (Umat dan Negara dalam Syariat Islam karangan Dr. Abdul Karim Zaidan).

Saya sangat risau dalam pertembungan aliran politik Melayu antara aliran Islamis dan nasionalis akan menjerumuskan mereka menggunakan pendekatan aliran falsafah Machiavelli iaitu matlamat menghalalkan sebarang cara (ends justify the means) .Perkembangan mutakhir ini menjelmakan wajah-wajah Melayu yang lebih mesra dengan kehendak orang bukan Islam baik di pihak pemerintah mahupun pembangkang.

Kenyataan ini mungkin ditafsirkan sebagai asabiah oleh sesetengah pihak namun, saya berpegang kepada definisi asabiah yang diberi oleh Nabi Muhammad SAW menerusi hadis Baginda SAW:
Seorang lelaki (ayah perempuan yang meriwayatkan hadith) bertanya: Wahai Rasulullah, adakah dianggap asabiah, puak orang yang sayang kepada kaum bangsanya? Jawab Baginda saw:
Tidak, tetapi asabiah adalah apabila seorang itu menolong bangsanya kepada kezaliman.
(Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan sebagainya). Imam Al-Munawi ketika mensyarahkan perkataan asabiah lalu berkata: "Iaitu membantu kezaliman…" (rujuk Aun Al-Ma'bud)

Adapun tentang kecintaan terhadap sesuatu bangsa, Rasulullah saw sendiri ada menegaskan mengenai kecintaan terhadap bangsa Arab sebagaimana dalam hadis: "Kecintaan terhadap bangsa Arab itu adalah (tanda) keimanan dan kebencian kepada mereka adalah (tanda) kemunafiqan (Imam Al-Hakim berkata: Hadis ini sahih walaupun tidak diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim.)

Terlibat

Sikap saya terhadap bangsa Melayu adalah amat jelas dalam banyak kenyataan saya sebelum ini. Saya tidak sekali-kali membela bangsa ini jika ia terlibat dalam kemaksiatan dan kemungkaran. Kenyataan saya terhadap Sure Heboh, gejala vandalisme, teguran saya terhadap cadangan kerajaan untuk melesenkan judi kejohanan bolasepak Piala Dunia adalah sedikit contoh bahawa saya tidak bertolak ansur dalam soal syariat Allah. Bagi bangsa Melayu yang saya cintai ini, saya melihat perpecahan sesama Muslim adalah maksiat yang besar dan soal perpaduan adalah sesuatu yang tidak ada tawar menawar dan perlu ditandai dengan harga mati!

Dalam keghairahan berpolitik berparti saya mengingatkan orang Melayu Muslim agar kembali kepada Allah SWT menerusi firman-Nya:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani.
(terjemahan ayat 11 dan 12 surah al-Hujurat)

Setiap orang Islam segenap peringkat wajib kembali kepada "usul" perpaduan yang terkandung dalam ayat-ayat tersebut. Saya merasa yakin, tidak guna jika segelintir orang Melayu Islam memegang tampuk pemerintahan sedangkan yang lain terus bercakaran.

Salah satu mekanisme yang digunakan oleh Rasulullah SAW untuk menyatupadukan umat Islam adalah melalui masjid. Saya menyatakan satu ketika dahulu apabila kita pergi ke masjid, tinggalkan politik di pagar masjid, tetapi ramai yang tersalah anggap malah menuduh saya jahil sejarah kerana memisahkan politik dari masjid. Politik yang saya minta supaya disangkut di tepi masjid adalah politik yang memecahbelahkan masyarakat, politik yang menyebabkan penyokong sesuatu parti tidak akan duduk mendengar majlis ilmu yang disampaikan oleh seteru parti politiknya.

Namun hal ehwal umat Islam yang perlu diurus dengan baik dari sudut pemerintahannya, budayanya, ekonominya sudah tentu tidak dilarang. Satu lagi fakta sejarah yang mungkin terlepas pandang adalah ramai mengatakan apa salahnya bercerita hal-hal politik di dalam masjid. Saya berpandangan tidak ada salahnya jika ia akan menjadikan umat Islam lebih bersatu padu dan menjadi umat yang lebih kuat bekerja memakmurkan dunia ini.

Dihentikan

Tetapi jika menjadikan umat ini lebih parah berpecah belah, mengecilkan skop politik hanya dengan berparti, maka saya katakan hendaklah perbuatan itu dihentikan. Apabila kita kembali kepada sejarah, memang Nabi SAW banyak menguruskan hal ehwal umat di dalam Masjid Nabawi namun kita harus tahu bahawa lokasi rumah Nabi SAW adalah amat dekat dengan masjidnya maka sudah tentu penurunan wahyu yang bertalian arus dibacakan oleh Nabi SAW di masjid kerana berdekatan dengan rumahnya.

Apabila wilayah Islam semakin berkembang dan hal-ehwal umat Islam diurus secara berinstitusi maka secara langsung hal-ehwal berkenaan diurus melalui institusi berkenaan sebagai contoh urusan kehakiman diurus oleh mahkamah, urusan kesihatan diurus oleh hospital dan sebagainya.

Apa yang berlaku sekarang segelintir masjid dijadikan gelanggang caci mencaci dan umpat mengumpat yang jelas diharamkan Allah SWT seperti yang terkandung dalam ayat 10-11 surah al-Hujurat yang bermaksud:
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (10) Wahai orang-orang yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki Yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman, dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (11)

Apatah lagi perbuatan yang haram atau dilarang oleh agama ini, jika dilakukan pula di dalam masjid, sangat besar dosanya. Perbuatan ini sebenarnya, adalah hasil hasutan Iblis seperti yang difirmankan Allah SWT dalam surah al-Dzukhruf : 36-37:
Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. (36) dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (37)


Atas sebab inilah pihak berkuasa agama mengambil pendirian melarang sebarang kegiatan politik kepartian di masjid.

Larangan berpolitik di masjid hendaklah difahami seperti penjelasan di atas. Saya juga berharap semua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang memahami hal ini serta hormat dengan peraturan larangan berpolitik di masjid sama ada dengan ungkapan , simbol-simbol parti atau aktiviti politik yang berselindung dengan majlis bacaan yasin dan sebagainya untuk memenangkan calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya.

Buat akhirnya, bagi saya, setiap orang berhak berpolitik walaupun tidak berparti!

Wednesday, May 19, 2010

Sejarah perkembangan tasauf

Org sufi kelihatan rajin membaca al-Qur'an, berzikir, berwirid, berdoa beramai-ramai. Sayangnya amalan ini dianggap sebagai bid'ah yang sesat oleh puak Wahhabiy. Lantaran itu, Sebahagian besar Wahhabiy memusuhi Sufi dan ilmu Tasawwuf.

MINGGU lepas kita telah meninjau takrif dan makna istilah-istilah utama dalam cabang ilmu tasauf. Ia memberi gambaran betapa tasauf adalah satu disiplin ilmu yang tersendiri, tersusun dan ilmiah sifatnya.
Di kalangan ulama terdapat perselisihan mengenai bila ilmu ini bermula. Ada yang berpandangan ia telah wujud sebelum Nabi SAW dibangkitkan. (Abu Nasr al Siraj, al-Luma' h.42, Ibnu al-Jawzi, Talbis al-Iblis, h.173)
Ibnu Khaldun dan beberapa ulama lain pula berpendapat bahawa tasauf mula tumbuh pada kurun ke-2 Hijrah ketika manusia mula menumpukan perhatian kepada dunia.


Maka golongan sufi berusaha mengajak mereka ke arah zuhud dan beribadat. (Muqaddimah, h. 517)
Dapat diperhatikan bahawa perbincangan tentang tasauf banyak dinaqalkan daripada tokoh-tokohnya yang awal seperti al-Hasan al-Basri r.a (w. 110 H) dan Sufyan al-Thauri r.a (w. 161 H). Pada permulaannya, tasauf berkisar tentang sifat zuhud kepada dunia, mengosongkan diri untuk beribadat, bermujahadah melawan hawa nafsu dan mentaati perintah Allah sehingga menatijahkan akhlak yang mulia.

Tasauf di zaman nabi SAW
Jika inilah inti dan pokok ajaran tasauf maka pada hakikatnya, tasauf sudahpun wujud dan terjelma pada zaman nabi SAW lagi iaitu melalui acuan akhlak dan kehidupan Rasulullah SAW.
Amat jelas perjalanan awal baginda SAW menuju kepada Allah adalah berasaskan acuan tasauf iaitu tafakur, 'uzlah (khalwat), riadah (latihan) dan mujahadah. Elemen ini dicernakan melalui perkataan dan perbuatan baginda SAW, sehingga roh baginda SAW berjaya melalui proses penjernihan dan penyucian sebagai persiapan untuk menerima wahyu.


Kita maklum bahawa nabi SAW pernah beruzlah mengasingkan diri di Gua Hira' sebelum diturunkan wahyu. Sesudah diangkat sebagai rasul, baginda SAW menjalani kehidupan yang sarat dengan keimanan, ilmu, ibadah, zuhud, warak dan mujahadah.Para sahabat pula berjalan di atas risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW dengan tekun dan penuh dedikasi. Mereka tidak menghafaz satu ayat daripada ayat-ayat al-Quran, melainkan selepas beramal dan melaksanakannya. Mereka hidup dalam keadaan zuhud dan warak semasa hayat dan selepas kewafatan Rasulullah SAW. Selain kehidupan amali nabi SAW dan para sahabat kita juga boleh menemukan bukti hadirnya tasauf dalam ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang bercitra tasauf. Sekalipun istilah tasauf belum lagi dipopularkan pada zaman tersebut.


Era pengasasan dan perkembangan
Kemudiannya, tumpuan terhadap agama mula berkurangan bermula pada akhir kurun pertama Hijrah (zaman sahabat) dan ia berterusan tahun demi tahun hingga para salafussoleh bimbang akan berlaku musibah.
Untuk menyelesaikan permasalahan tersebut, para ulamalah yang menjadi wakil untuk berusaha menjaga dan memelihara agama. Maka sekumpulan mereka bangun untuk menjaga kedudukan Islam dan menulis permasalahan hukum-hakam agama dan kaedah-kaedahnya (fiqh).


Bagi kumpulan ulama yang lain, bangun untuk menjaga kedudukan iman, menulis usul agama dan kaedah-kaedahnya (tauhid) sebagaimana yang terdapat di sisi salafussoleh mereka. Sementara kumpulan ulama yang lain, bangun menjaga kedudukan ihsan dan menulis amalan-amalannya dan keadaannya (tasauf).
Kumpulan yang pertama (fiqh) ialah imam-imam yang empat (Imam Hanafi, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad) dan pengikut-pengikut mereka. Kumpulan yang kedua (tauhid) ialah Imam Abu Hasan al-Asy'ari r.a, sheikh-sheikh dan sahabat-sahabatnya dan golongan yang ketiga (tasauf) ialah Imam al-Junaid r.a, sheikh-sheikh dan sahabat-sahabatnya.


Berdasarkan pemerhatian ini, para imam ini bukanlah pengasas ilmu-ilmu dalam erti kata sebenar. Imam al-Junaid r.a (w. 297H) bukanlah pengasas tasauf dan tarekat kerana tasauf merupakan sebahagian daripada warisan Rasulullah SAW yang bersumberkan wahyu daripada Allah SWT. Tasauf sering dinisbahkan kepadanya, kerana beliaulah tokoh yang mengambil inisiatif awal memperkatakan kaedah tasauf dan usulnya serta menyeru manusia beramal dengannya. Ada juga yang mempersoalkan kenapa ilmu tasauf tidak tersebar pada kurun yang pertama Islam dan ia tidak muncul melainkan selepas zaman sahabat dan tabien?
Pada kurun yang pertama, mereka tidak berhajat kepada ilmu tasauf kerana penduduk pada zaman tersebut terdiri daripada orang yang warak, bertakwa dan kuat bermujahadah.


Oleh yang demikian, ketika itu belum timbul keperluan diadakan pengajaran tentang sesuatu ilmu secara terperinci. Keadaan mereka samalah dengan orang Arab tulen; mereka mengetahui Bahasa Arab melalui warisan daripada satu generasi ke satu generasi sehingga mereka boleh menggubah bait syair yang indah dan tinggi mutu bahasanya berdasarkan fitrah mereka tanpa ada pengetahuan sedikitpun mengenai kaedah-kaedah Bahasa Arab, i'rab dan sebagainya. Mereka tidak perlu mempelajari ilmu nahu dan balaghah. Namun, setelah meluasnya pelbagai lahjah dan berlakunya kelemahan untuk mengungkapkan bahasa, pembelajaran Bahasa Arab dan kaedah-kaedahnya menjadi penting untuk memberi kefahaman kepada orang asing. Ketika itu, ilmu ini menjadi penting dalam masyarakat sebagaimana ilmu-ilmu lain yang tumbuh dan disusun mengikut urutan masa dan waktu yang munasabah.


Sahabat dan tabien, sekali pun tidak dinamakan dengan mutasawwifin, mereka adalah ahli sufi sebenar yang menerapkan nilai-nilai kesufian di dalam kehidupan mereka. Apakah yang dikehendaki oleh tasauf selain menjuruskan kehidupan semata-mata kerana Allah dan bukannya kerana diri sendiri, sambil menghiasi diri dengan sifat zuhud dan bermulazamah (diiringi) dengan ibadah, serta menghadapkan jiwa dan roh sepenuhnya kepada Allah setiap masa. Sifat-sifat kesempurnaan inilah yang diamalkan oleh para sahabat dan tabien sehingga melayakkan rohani mereka meningkat kepada darjat yang lebih tinggi.


Mereka tidak sekadar mengikrarkan keimanan dan melaksanakan kefarduan Islam, tetapi menyertakan pengakuan dengan zauq dan wujdan (menyelami amal dengan merasai nikmat kelazatan beramal).
Malah, mereka juga menambah amalan-amalan sehingga basirah (mata hati) mereka disuluh cahaya, dan hati-hati mereka terpancar hikmah dan limpahan cahaya ketuhanan.


Keadaan mereka diikuti pula oleh golongan tabien dan tabi' tabien. Juga penting diperhatikan, tokoh-tokoh ulama yang menyusun ilmu tasauf ini seperti al-Hasan al-Basri (w.110H), Sariy al-Saqati (w.253H), Abu Yazid al-Bustami (w.261H), Sahl al-Tustari (w.283H) dan al-Junaid (w.297H), masih tergolong daripada generasi tiga kurun terawal Islam yang mendapat pengiktirafan nabi SAW sebagai kurun-kurun terbaik Islam.

Kesimpulannya, kandungan dan konsep ilmu tasauf telah wujud pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat. Cuma istilah-istilah ini belum lagi digunakan dalam amalan mereka. Pada zaman tersebut, tasauf merupakan sifat umum yang terdapat pada hampir seluruh sahabat r.a tanpa terkecuali. Kekuatan cahaya nubuwwah dan hidayah kerasulan yang ada pada masa itu, menyebabkan mereka tidak memerlukan kepada satu bentuk yang khusus, berkenaan cara-cara menjalani perjalanan menuju kepada Allah. Namun konsep tasauf telah pun ada dan dihayati oleh nabi SAW dan para sahabat baginda kerana perjalanan dan konsep tasauf dan tarekat itu sendiri adalah sebahagian daripada Islam. PANEL PENULIS YAYASAN SOFA

Wednesday, May 12, 2010

Tiada Istilah Pertaruhan Haram atau Halal Dalam Islam




يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا ٱلْخَمْرُ وَٱلْمَيْسِرُ وَٱلأَنصَابُ وَٱلأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ ٱلشَّيْطَانِ فَٱجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (al-Maaidah: 90)

Wednesday, April 21, 2010

SUKA LANGGAR PERATURAN


Anak bekas mufti mohon petisyen pembatalan


KUALA LUMPUR 19 April - Anak bekas Mufti Perlis, Fathul Bari Mat Jahya hari ini memfailkan petisyen pengisytiharan untuk membatalkan penggunaan Seksyen 53 (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (Pindaan 2004) bagi mendakwa beliau kerana mengajar agama tanpa tauliah di negeri itu.

Permohonan itu difailkan di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi Seremban pagi ini bagi mengisytiharkan Mahkamah Syariah Negeri Sembilan tiada bidang kuasa untuk membicarakan sesuatu kesalahan di bawah seksyen tersebut. Petisyen ke atas kerajaan Malaysia, Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) itu dibuat melalui peguam Kamarul Hisham Kamaruddin.

Fathul Bari, 30, berkata, tindakan itu diambil untuk menegakkan haknya seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan beliau memohon petisyen. "Saya tidak menafikan peranan institusi agama. Tetapi bidang kuasa yang digunakan untuk mendakwa saya bersama rakan lain tidak menurut Perlembagaan Persekutuan," jelasnya pada sidang akhbar selepas permohonan tersebut difailkan di sini hari ini.

Turut hadir, Nik Amirul Faiz Nik Md. Yusof, 25, yang membuat permohonan yang sama.
Fathul Bari dan Nik Amirul Faiz bersama dua pengikutnya, Abdullah Sanusi Othman, 40; dan Khairudin Daud, 55, ditahan oleh JHEAINS pada pukul 11.30 pagi, 28 Februari lalu. Ketika itu beliau sedang menyampaikan ceramah sempena sambutan Maulidur Rasul kepada 50 orang awam di Maahad Ittiba Sunnah, Kilometer 1.5, Jalan Lama Seremban-Kuala Pilah.

Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kuala Pilah untuk soal siasat selain beberapa buah buku serta peralatan yang digunakan turut dirampas dalam serbuan itu.
Fathul Bari dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah dan dituduh di bawah seksyen tersebut manakala pengikutnya ditahan mengikut Seksyen 34 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (Pindaan 2004) yang dibaca bersama Seksyen 37 enakmen sama kerana dituduh bersubahat.

Keempat-empat mereka tidak mengaku salah dan dibebaskan dengan jaminan RM2,200 ke atas Fathul Bari dan RM2,000 kepada setiap pengikutnya. Bagi kesemua pertuduhan tersebut, setiap tertuduh boleh didenda sebanyak RM3,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.


Ulasan :

1) Kesalahan mengajar agama tauliah merupakan satu enakmen negeri yang terletak di bawah bidang kuasa Sultan @ Yang Dipertuan negeri sebagai ketua Agama Islam negeri berkenaan. Sesiapapun samada Datuk, Profesor, Tengku, Dr, Ustaz mahupun Cikgu perlu mendapatkan tauliah utk menyampaikan ceramah agama. Kecuali mereka diberi pelepasan dengan pengecualian tertentu. Manakala permit polis diperlukan untuk sebarang ceramah politik kepartian. Ketetapan ini terunjur dari akta dan enakmen sedia ada dalam negara kita. Barangsiapa yang tidak mematuhi undang-undang yang sedia ada boleh dikatakan sebagai samseng. Bukan sekadar samseng undang-undang konvensional. Tetapi ramai juga yang cuba berlagak samseng mencabuli enakmen agama.

2) Maahad Ittiba' al-Sunnah Kuala pilah memang dikenali menyebarkan fahaman kaum muda sejak dulu lagi. Pengasasnya, Arwah Ustaz Hashim Ghani pernah mengarang buku : HARAM DAN SESAT BERMAZHAB. Jika kita menganalisa buku ini didapati beliau secara sengaja menghukum sesat,bid'ah dan haram kepada berjuta-juta umat Islam di dunia ini yang berpegang kepada pandangan mazhab muktabar. Walhal beliau bukan seorang ulamak. Bukan pula seorang mujtahid. Sebaliknya beliau juga seorang pentaqlid kepada pandangan Syeikh Ma'syumi Khojandi yang berfikrah Wahhabiy. Nampaknya, secara tanpa sedar, Ustaz Hasyim Ghani juga menghukum dirinya sendiri dan juga gurunya sebagai pembuat bid'ah, haram dan sesat. Idea ini kemudiannya diperjuangkan oleh anak dan pengikutnya. Bahkan sesiapa sahaja yang sehati sejiwa dengan metodologi kaum muda kelihatan mempunyai keterikatan dengan dengan maahad ini. Termasuklah individu di atas.

Inilah buku yang didakwa 'Sunnah' tetapi sebenarnya bersikap anti mazhab serta menghukum sesat umat Islam yang berpegang kepada pandangan mazhab muktabar. Mereka bukan sekadar mendakwa diri mereka suci (golongan sunnah) tetapi dlm masa yang sama menuduh orang lain sbg ahli bid'ah, sesat, jumud, syiah, ahbash dan pelbagai gelaran yang buruk. Jelasnya, ini adalah sebahagian dari pemikiran yang punah - ranah.

3) Selain itu, Rasul Dahri juga dikesan berkeliaran di Maahad ini bagi menyebarkan dakyahnya. Dalam masa yang sama, terdapat beberapa individu dari kumpulan Muhammadiyah Singapore turut menghadirkan diri dalam beberapa program yang dianjurkan. Oleh itu, saya menyeru pihak JAHEINS, PDRM dan SB supaya terus melakukan siasatan dan pemantauan kerana kemungkinan besar maahad ini dijadikan pengkalan untuk melakukan aktiviti yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dan tidak mustahil aktiviti mereka menjurus kepada aktiviti radikalisme agama memandangkan beberapa pemimpin JI pernah menjadikan maahad ini sebagai markaz mereka satu waktu dahulu.

4) Untuk makluman semua, Us Fathul Bari sebelum ini pernah ditangkap JAIS kerana mengajar agama tanpa tauliah. Kesnya sama dgn Dr MAZA, Dr Abdullah Yasin, Rasul Dahri dan beberapa individu lain. Kronologi kes ini membuktikan kepada kita bahawa pemahaman dan pemikiran agama mereka ditolak oleh pihak berkuasa agama kerana bertentangan dgn prinsip Ahli Sunnah wal Jamaah yang sebenar. Walaubagaimanapun, mereka tetap mencari jalan untuk melepaskan diri dari disabitkan kesalahan dengan apa cara sekalipun. Bagi mereka : menyambut maulidurrasul bid'ah sesat. tetapi kalau mereka ceramah..tak bid'ah pulak. Inilah sikap sebenar perjuangan mereka. Iaitu mengeluarkan hukum terhadap orang lain sesuka hati sahaja. Tetapi 'melepas pandang' untuk diri sendiri. Mereka juga gemar bersikap keras kepala dan membelakangi undang-undang yang berkuatkuasa dalam negara. Anak Pak Wahhab memang suka langgar peraturan pihak autoriti agama.

Penulisan bekas mufti cari glamour

Imbas kembali ketika Dr MAZA di tahan dan hadir di mahkamah Syariah Gombak Timur


KUALA LUMPUR: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berpendapat bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin cenderung kepada pandangan kumpulan seperti Muhammadiyyah di Indonesia dan Ibnu Taymiyyah di Asia Barat, berdasarkan penulisan artikelnya bertajuk Cabaran Gerakan Pembaharuan.

Beliau juga berkata, artikel Mohd Asri itu yang didakwa berunsur hasutan terhadap agama dan institusi Raja-Raja Melayu, boleh dilihat sebagai lebih kepada tujuan mencari publisiti. “Penulisannya yang seolah-olah memperkecil Raja dan ulama adalah satu fitnah serta tuduhan melulu,” katanya kepada Berita Harian.
Ahad lalu, 50 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam membuat laporan polis terhadap Mohd Asri yang didakwa menulis artikel di sebuah laman web berunsur hasutan terhadap agama dan institusi Raja-Raja Melayu.Laporan polis itu dibuat oleh Yang Dipertua Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Yusri Mohamed. Yusri berkata, dakwaan Mohd Asri dalam artikel itu jelas menunjukkan Raja-Raja Melayu dan istana menolak pembaharuan agama kerana didakwa tunduk kepada penjajah serta diampu oleh ulama.




Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim, turut sependapat bahawa kebanyakan isu yang ditimbulkan satu persatu oleh Mohd Asri lebih kepada bertujuan mencari publisiti. Sebagai ulama, katanya, kenyataan yang dikeluarkan Mohd Asri perlu ada bukti supaya tidak mengakibatkan orang ramai hilang kepercayaan kepada kewibawaan beliau.“Mohd Asri tidak wajar mencetuskan isu berkaitan agama secara terbuka bagi mengelakkan berlaku lebih banyak lagi kekeliruan dalam masyarakat.“Beliau sebagai bekas mufti mesti tahu bahawa kita ada jawatankuasa dan juga perjumpaan antara mufti dan ulama... di situlah tempat untuk menyalurkan apa saja yang tidak puas hati,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMA MAIWP) di sini, semalam.



Sementara itu di SHAH ALAM, kehadiran Mohd Asri ke Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), kelmarin, untuk membantu siasatan berhubung tulisannya bertajuk 'Telan Air Ludah Ustaz' dalam laman berita portal Malaysiakini.com pada 12 April lalu, disifatkan gagal membuahkan hasil. Pegawai Perhubungan Awam Jais, Nurhamizah Othman, berkata Mohd Asri tidak dapat memberikan maklumat tepat dan spesifik membabitkan sumber asal maklumat penulisannya yang diperlukan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jais untuk mengambil tindakan selanjutnya bagi mengekang dan membanteras kegiatan berkenaan.



Lakaran kartunis yang dmuatkan Dr Asri di laman webnya boleh disifatkan menghina JAIS berhubung tangkapan terhadapnya yang mengajar agama tanpa tauliah. Menghina Jabatan Agama beerti menghina Sultan negeri berkenaan memandangkan Tuanku Sultan adalah Ketua Agama Islam bagi negeri berkenaan.

Katanya, dakwaan Dr Mohd Asri bahawa beliau mendapat maklumat untuk penulisannya daripada lima indi-vidu yang terpaksa dirahsiakan nama mereka kerana sudah diamanahkan untuk berbuat demikian, adalah tidak konsisten dengan prinsip bersama menjaga agama.“Sebaliknya, pendedahan bersifat terbuka kepada umum sebegitu rupa boleh dikatakan sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab dan bersifat subjudis atau `baling batu sembunyi tangan', yang memungkinkan lahir senario baru dan persepsi tidak baik umat Islam di Selangor dan Malaysia terhadap aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang selama ini menjadi pegangan,” katanya.


Ulasan :

1) Berdasarkan keterangan di atas jelaslah kepada kita bahawa isu yang dicetuskan Dr Asri bukan hanya bersifat individual antara beliau dgn Zamihan atau dgn tokoh yg lain. Tetapi polemik yg dicetuskannya turut dibantah oleh NGO Islam, para Mufti, ulamak dan ahli politik. Sememangnya, perbezaan ideologi dan metodologi merupakan teras perjuangan Wahhabiy, Kaum Muda, Muhammadiyah, Tajdid Sempit (Gerakan Pembaharuan), Muslim Progresif dan pelbagai jenama lagi. Pendek kata, dimana sahaja mereka berada, mereka akan mencetuskan 'kepelikan' fahaman dan amalan berbanding umat Islam arus perdana Ahli Sunnah Wal Jamaah.


2) Selain itu, Dr Asri juga gagal menyalurkan komentar mengikut saluran yang benar. Sebaliknya lebih gemar meneruskan tabiat mengkritik secara destruktif. Metod begini sebenarnya telah lama dipraktikkan oleh Muhammad ben abdul Wahhab @ Wahhabiy. Observasi penulis mendapati metod antara kedua individu ini dilihat mempunyai persamaan. Dan akhirnya untuk memenangi metodnya..dia terpaksa berbaik dgn orang politik dan melibatkan diri dgn politik kepartian.


3)Kegagalan Dr Asri membuktikan kegiatan 'telan air liur Ustaz' membuktikan kepada kita bahawa beliau bukan seorang perawi yang tsiqah. Tidak juga berstatus dhaif. Bahkan hampir dikategorikan sebagai 'Matrukul hadith' yakni ditinggalkan ceritanya. Ini kerana beliau mewawarkan dakwaan dalam akhbar upacara brkenaan. Tetapi bila dituntut utk mengemukakan bukti..beliau gagal berbuat demikian. Bahkan sanggup menyembunyikan perawi yg meriwayatkan cerita berkenaan. Dalam ilmu hadis, tindakan sebegini dikira sebagai tadlis (menyembunyikan perawi). Padahal fakta penceritaan, status perawi dan silsilah sanad amat penting untuk kita mempercayai sesuatu perkhabaran. Bagi saya,kegagalan Dr asri menampilkan bukti boleh dikategorikan sebagai 'hadis mauduk'. Yakni cerita yang sengaja direkacipta bagi memburukkan imej orang lain. Katakan tidak kepada riwayat yang dhaif, matruk dan rekacipta.

Tuesday, April 20, 2010

ATASI KEKELIRUAN ISTILAH ANTARA AGAMA-KAUM

Oleh ROHANA MAN
rohana.man@utusan.com.my
PENUBUHAN Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama terus mengundang kontroversi. Pelbagai pihak mengeluarkan pendapat berhubung perkara tersebut. Selain Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), mufti-mufti dari seluruh negara yang mengadakan pertemuan di Putrajaya baru-baru ini sepakat mencadangkan agar perkataan agama ditukar kepada perkataan kaum.

Para mufti mencadangkan agar nama Jawatankuasa Khas Antara Agama ditukar kepada Jawatankuasa Khas Antara Kaum bagi mengelak timbulnya kekeliruan di kalangan rakyat.
Perkara itu dicapai hasil pertemuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dengan mufti-mufti negeri berhubung penubuhan jawatankuasa khas itu yang menimbulkan kontroversi. Dalam meneliti perkara ini, isu yang timbul berpunca daripada penggunaan perkataan agama bagi menamakan jawatankuasa tersebut. Jika perkataan lain yang dipilih, tentu ia tidak akan menimbulkan kontroversi. Ada asasnya kenapa penolakan itu berlaku kerana apa sahaja yang dikaitkan dengan agama boleh disalah tafsir, diputar belit dan dikelirukan oleh pihak yang masing-masing mempunyai kepentingan sendiri.

Jika kaum Cina, sudah tentu keutamaannya adalah kepada agama Buddha, begitu juga jika kaum India, perkara utama yang paling dipentingkan adalah agama Hindu yang menjadi pegangan hidup mereka. Dan sudah tentu, kaum Melayu yang merupakan penganut agama Islam di negara ini akan sanggup berbuat apa sahaja untuk memastikan ketinggian darjat agama suci itu tidak tergugat. Masalahnya, jika semua kaum mahu mempertahankan agama masing-masing dan membuat tuntutan yang bukan-bukan, maka apa akan jadi dengan matlamat penubuhan jawatankuasa itu.

Itulah yang ditakuti berlaku oleh pihak-pihak yang menolak penubuhan jawatankuasa yang menggunakan perkataan agama di dalam menamakan jawatankuasa itu. Selain itu, perlu difahami bahawa dua perkataan itu membawa maksud dan pemahaman yang berbeza. Perkataan kaum merujuk kepada etnik sama ada Cina, India, Kadazan atau Dayak. Agama pula adalah anutan atau kepercayaan seseorang terhadap Tuhan mengikut ajaran masing-masing seperti Islam, Hindu, Buddha atau Kristian.

Tetapi perlu kita fahami bahawa dalam hal ini, ada orang Cina menganut agama Islam, begitu juga kaum India dan Kadazan yang memilih Islam sebagai penyuluh hidup. Di antara etnik dan agama, tentulah agama diletakkan di tempat yang paling atas. Ini kerana etnik yang berbeza itu boleh menganut agama pilihan masing-masing dan dalam perkara ini, tentulah agama Islam berada di tempat paling atas dalam apa sahaja jawatankuasa agama yang ditubuhkan di negara ini.

Ini kerana agama rasmi negara Malaysia adalah Islam dan itulah yang telah ditetapkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Jadi, apa sahaja jawatankuasa yang dibentuk secara automatik akan mengangkat agama Islam di kedudukan paling atas. Pensyarah di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Khadijah Hambali menjelaskan perkara tersebut.

Menurutnya, kekeliruan timbul apabila orang ramai termasuk pihak tertentu tidak faham mengenai apakah yang dimaksudkan dengan hubungan etnik, dialog antara agama, dialog tamadun Islam dan lain-lain yang seumpamanya. Katanya, istilah yang berbeza itu digunakan sebagai satu pendekatan terhadap peserta atau orang ramai yang perlu didekati untuk memahamkan mereka terhadap sesuatu isu berkaitan agama. "Kalau etnik, ia merujuk kepada kaum dan sesiapa pun boleh duduk di tempat paling atas dalam jawatankuasa yang ditubuhkan itu. "Ini bermaksud jika etnik Cina atau etnik India yang duduk di tempat itu, maka tentulah mereka akan 'mewarnakan' perjalanan jawatankuasa tersebut mengikut kepentingan etnik masing-masing. Itu berlaku jika kita pilih nama Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum.

"Tetapi kalau kita guna perkataan agama (Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama), agama yang dimaksudkan itu jelas merujuk kepada Islam kerana mengikut Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama rasmi negara dan status itu membuatkannya berada di kedudukan paling atas dalam satu-satu jawatankuasa agama yang dibentuk," katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada 6 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon mengesahkan bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Ilani Isahak dilantik sebagai Pegawai Penyelaras Khas bagi Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama yang akan membincangkan pelbagai isu berhubung antara agama dalam negara.

Mengulas lanjut, Dr. Khadijah berkata, kontroversi yang timbul ini menunjukkan seolah-olah orang Islam sendiri tidak faham Perlembagaan Persekutuan.

"Jika Perlembagaan ini dihayati dengan teliti, sudah tentu tidak timbul sebarang kontroversi dan jika ada pun kekurangan terhadap pembentukan jawatankuasa tersebut, ia boleh diperbaiki menerusi perbincangan," katanya. Justeru, katanya, golongan mufti sepatutnya turut berada di dalam jawatankuasa tersebut kerana tanggungjawab mereka adalah untuk memastikan agama Islam terus terpelihara. "Mereka (mufti) very powerful. Peranan mereka penting dalam meletakkan syarat-syarat atau peratusan atau mekanisme yang wajar dalam menggerakkan jawatankuasa tersebut. "Begitu juga, kalau nak pilih ahli jawatankuasa, maka hanya mereka yang memiliki kepakaran dalam bidang agama sahaja diletakkan di dalam jawatankuasa tersebut," ujar Dr. Khadijah.
Ulasan :
1) Saya juga tidak bersetuju dengan penubuhan IFC. Penubuhannya bukan sekadar mencabar keistimewaan Islam sbg agama persekutuan, tetapi mencabar bidang kuasa Sultan sebagai Ketua Agama dan Adat Istiadat sesebuah negeri mahupun kuasa eksekutif YDPA.
2) Apakah selama ini agensi agama yang ada seperti Majlis Raja2, Majlis Kebangsaan Islam (MKI), Majlis Fatwa Kebangsaan, JAKIM, JAIN, Majlis Agama Islam, Jabatan Mufti gagal memainkan peranannya dalam dialog agama dan peradaban? Atau adakah mereka gagal memberi keadilan kepada golongan bukan Islam di negara kita? Sebaliknya kita melihat apa juga kemelut sebelum dapat diselesaikan secara hikmah dan bijaksana.
3) Keanggotaan IFC juga diragui. Mengapa Majlis Raja2, Majlis Fatwa @ para Mufti tidak dimaklumkan tentang penubuhan ini dan keanggotaannya. Sebaliknya ia hanya diputuskan kabinet sahaja. Tentu ada udang disebalik mee!
4) Apakah kewujudan IFC akan menjadi penimbang tara kepada dasar2 agama Islam yang diputuskan oleh jawatankuasa tertinggi Islam di negara ini. kalau setakat nak dialog, kita tak memerlukan kepada Suruhanjaya kelulusan kabinet. Sebaliknya hanya cukup dengan perwakilan tertentu yang sedia ada sahaja.
Nampaknya, perjuangan golongan Islam Liberal untuk meliberalisasikan dasar pengurusan agama di negara kita semakin kukuh. maka saya mengingatkan semua pihak agar sentiasa berwaspada dan kita semua perlu lebih proaktif dalam usaha membentuk pemikiran sesat ini. Jazakallah khayran jazak.

Monday, April 19, 2010

WARAN TANGKAP UTK MINDA TAJDID

Waran tangkap jika Mohd. Asri tidak hadir

SHAH ALAM 15 April - Waran tangkap akan dikeluarkan terhadap bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin jika beliau gagal hadir dalam tempoh seminggu untuk menjelaskan tentang 'upacara telan air liur' yang didakwanya dilakukan seorang tokoh agama di negeri ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata, tempoh seminggu yang bermula hari ini hingga 21 April diberi kerana pihaknya belum mendapat kerjasama Mohd. Asri untuk menjelaskan dakwaannya itu.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengepos dan menghantar melalui faksimili surat arahan supaya Mohd. Asri hadir membuat penjelasan. Menurut beliau, surat arahan itu dikeluarkan mengikut Seksyen 7 (1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor (Nombor 9) 1995.

"Kita memerlukan maklumat mengenai 'upacara telan air liur' daripada beliau. Sebelum ini kita memang tidak mempunyai maklumat mengenai 'upacara' itu atau menerima aduan mengenainya daripada mana-mana pihak sehinggalah Mohd. Asri mendedahkannya di portal berita Internet. "Jika Mohd. Asri gagal hadir seperti diarahkan, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 58 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003 iaitu mengeluarkan waran tangkap," kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini petang ini.

Mohammed Khusrin menegaskan, JAIS tidak mempunyai masalah dengan Mohd. Asri tetapi jika beliau enggan bekerjasama tindakan mengikut undang-undang akan diambil.
Sementara itu Dr. Mohd. Asri mendakwa JAIS mengetahui mengenai kewujudan 'upacara telan air liur' yang melibatkan seorang tokoh agama di negeri ini.
Menurutnya, beliau dimaklumkan bahawa aduan mengenai upacara itu telah dikemukakan kepada JAIS pada Isnin lalu, iaitu hari yang sama beliau membuat pendedahan mengenainya di sebuah portal berita propembangkang. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan pihak yang dikatakan membuat aduan mengenai kegiatan tokoh agama itu.

Justeru menurut Mohd. Asri, beliau tidak perlu menjelaskan isu itu kepada JAIS kerana pihak berkuasa agama itu sudah maklum mengenai perkara tersebut. "Saya rasa Pengarah (JAIS) sendiri sudah mengetahui perkara tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ulasan :
1) Saya kira jika Dr MAZA gagal mengemukakan bukti beliau wajar ditangkap oleh JAIS. Ini kerana dakwaannya itu merupakan satu tohmahan kepada tokoh agama berpengaruh di Selangor. Bahkan maruah JAIS selaku badan induk autoriti agama turut terjejas dengan dakwaan beliau. Seolah JAIS hanya bertindak dalam soal 'ceramah tanpa tauliah' tetapi tidak bertindak terhadap bentuk penyelewengan lain.
2) Jika Dr MAZA ikhlas mengkritik secara membina. Beliau tidak perlu malu untuk hadir mengemukakan bukti. Bukankah kaedah feqhiyyah menyebutkan : al-Bayyinah Mudda'ie wal yamin ala man ankara." al-Qur'an juga menuntut kita utk tampil mengemukakan bukti jika kita dari kalangan yang benar. So, mana prinsip dr MAZA?
3) Pada hemat saya, isu yang dikemukakan oleh Dr MAZA bukan bersifat pengemudi bahtera minda tajdid. Tetapi lebih menjurus kepada meributkan umat Islam dengan isu-isu yang remeh temeh. Manakala kesalahannya hendak ditudingkan kepada Jabatan Agama. Lebih2 lagi beliau mempunyai kes mahkamah dengan JAIS. Maka dia kelihatan berusaha dengan apa jua cara untuk membersihkan namanya sebaik mungkin. Dalam masa yang sama cuba menyalahkan agensi yang kontra dengan pemikirannya. Jika benar tajdid, alhamdulillah. Tetapi jika tersasar tajdid..nauzubillah.

Visit Bil.

 

blogger templates 3 columns | Techzilo