Monday, April 19, 2010

WARAN TANGKAP UTK MINDA TAJDID

Waran tangkap jika Mohd. Asri tidak hadir

SHAH ALAM 15 April - Waran tangkap akan dikeluarkan terhadap bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin jika beliau gagal hadir dalam tempoh seminggu untuk menjelaskan tentang 'upacara telan air liur' yang didakwanya dilakukan seorang tokoh agama di negeri ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata, tempoh seminggu yang bermula hari ini hingga 21 April diberi kerana pihaknya belum mendapat kerjasama Mohd. Asri untuk menjelaskan dakwaannya itu.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengepos dan menghantar melalui faksimili surat arahan supaya Mohd. Asri hadir membuat penjelasan. Menurut beliau, surat arahan itu dikeluarkan mengikut Seksyen 7 (1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor (Nombor 9) 1995.

"Kita memerlukan maklumat mengenai 'upacara telan air liur' daripada beliau. Sebelum ini kita memang tidak mempunyai maklumat mengenai 'upacara' itu atau menerima aduan mengenainya daripada mana-mana pihak sehinggalah Mohd. Asri mendedahkannya di portal berita Internet. "Jika Mohd. Asri gagal hadir seperti diarahkan, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 58 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003 iaitu mengeluarkan waran tangkap," kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini petang ini.

Mohammed Khusrin menegaskan, JAIS tidak mempunyai masalah dengan Mohd. Asri tetapi jika beliau enggan bekerjasama tindakan mengikut undang-undang akan diambil.
Sementara itu Dr. Mohd. Asri mendakwa JAIS mengetahui mengenai kewujudan 'upacara telan air liur' yang melibatkan seorang tokoh agama di negeri ini.
Menurutnya, beliau dimaklumkan bahawa aduan mengenai upacara itu telah dikemukakan kepada JAIS pada Isnin lalu, iaitu hari yang sama beliau membuat pendedahan mengenainya di sebuah portal berita propembangkang. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan pihak yang dikatakan membuat aduan mengenai kegiatan tokoh agama itu.

Justeru menurut Mohd. Asri, beliau tidak perlu menjelaskan isu itu kepada JAIS kerana pihak berkuasa agama itu sudah maklum mengenai perkara tersebut. "Saya rasa Pengarah (JAIS) sendiri sudah mengetahui perkara tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ulasan :
1) Saya kira jika Dr MAZA gagal mengemukakan bukti beliau wajar ditangkap oleh JAIS. Ini kerana dakwaannya itu merupakan satu tohmahan kepada tokoh agama berpengaruh di Selangor. Bahkan maruah JAIS selaku badan induk autoriti agama turut terjejas dengan dakwaan beliau. Seolah JAIS hanya bertindak dalam soal 'ceramah tanpa tauliah' tetapi tidak bertindak terhadap bentuk penyelewengan lain.
2) Jika Dr MAZA ikhlas mengkritik secara membina. Beliau tidak perlu malu untuk hadir mengemukakan bukti. Bukankah kaedah feqhiyyah menyebutkan : al-Bayyinah Mudda'ie wal yamin ala man ankara." al-Qur'an juga menuntut kita utk tampil mengemukakan bukti jika kita dari kalangan yang benar. So, mana prinsip dr MAZA?
3) Pada hemat saya, isu yang dikemukakan oleh Dr MAZA bukan bersifat pengemudi bahtera minda tajdid. Tetapi lebih menjurus kepada meributkan umat Islam dengan isu-isu yang remeh temeh. Manakala kesalahannya hendak ditudingkan kepada Jabatan Agama. Lebih2 lagi beliau mempunyai kes mahkamah dengan JAIS. Maka dia kelihatan berusaha dengan apa jua cara untuk membersihkan namanya sebaik mungkin. Dalam masa yang sama cuba menyalahkan agensi yang kontra dengan pemikirannya. Jika benar tajdid, alhamdulillah. Tetapi jika tersasar tajdid..nauzubillah.

No comments:

Visit Bil.