Thursday, December 6, 2007

BACAAN AL-QURAN DI TANAH PERKUBURAN


BACAAN AL-QURAN DITANAH PERKUBURAN[1]
Oleh : Hj Zamihan Hj Mat Zin al-Ghari

Izinkan saya merujuk artikel HADIS PALSU MENYESATKAN MASYARAKAT oleh Dr Azwira Abd Aziz dari UKM yang disiarkan Utusan Malaysia , ruangan Agama-Mega, 5 November 2007 . Saya pasti pandangan tersebut adalah pandangan peribadi. Ia bukannya satu pandangan rasmi Fakulti Pengajian Islam, UKM mahupun JAKIM. Sayangnya, pandangan beliau tidak cukup fakta, amat keras dan melampau.

REALITI PERMASALAHAN

Perlu disedari bahawa amalan membaca al-Qur’an di atas kubur merupakan permasalahan ranting agama. Ia bukannya permasalahan tunjang mendasari Iman dan Islam. Amalan ranting biasanya bersifat elektif bukannya subjek teras untuk seseorang mukmin. Oleh itu, mengamalkannya dikira satu kebaikan. Manakala meninggalkannya bukanlah satu kecelaan. Demikian betapa fleksibelnya hukum syarak dalam permasalahan ini.

KEPENGGUNAAN DALIL

Tinjauan permasalahan ini menemukan kita dengan beberapa dalil. Samada dari kitab Suci al-Qur’an mahupun al-Sunnah. Kekadang dalil berkaitan dapat difahami dan di hayati dengan baik. Kekadang ia gagal ditemui dan difahami. Lalu memanifestasi pelbagai tafsiran sonsang. Oleh itu, kita perlu memahami dalil secara jelas dengan sebaik-baiknya.

Dr Azwira jelas didapati gagal memahami hirarki dalil perundangan Islam. Sikit-sikit hadis, hadis, hadis…Macam dia tu perawi hadis, ulamak hadis, mahaguru hadis. Kenapa anda tidak merujuk al-Qur’an sebagai sumber utama.

Apabila kita meneliti lembaran suci al-Qur’an didapati banyak ayat yang boleh dijadikan panduan bagi menjustifikasikan permasalahan ini. Antaranya :
1) Surah al-Thur ayat 21
2) Surah al-Najm ayat 38 dan 39
3) Surah al-Baqarah ayat 261
4) Surah al-Kahf ayat 82
5) Surah al-A’raf ayat 204
6) Surah al-Hasyr ayat 10 DLL.

Cantuman ayat-ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa wujudnya pertalian amalan diantara orang-orang yang beriman. Pertalian amalan tersebut merangkumi manfaat amalan si hidup terhadap si mati berdasarkan ‘rahmat’ daripada Allah SWT. Kita hanya berusaha untuk melakukan kebaikan sekadar terdaya. Namun, Allah jua yang menyampaikan pahala dan kebaikannya. Kalau kita yakin dengan kabel dan satelite, kenapa kita tidak berasa yakin dengan ‘satelite rahmat’ daripada Allah.

STATUS DALIL

Dalam menjustifikasi sesuatu tentunya kita berhajat kepada dalil. Dalil syarak adakala bersifat qath’ie. Dan ada kalanya bersifat dzanni. Dalil Qath’ie adalah dalil yang jelas ketetapannya. Manakala dalil yang bersifat dzanni membuka ruang kepada ulamak untuk berijtihad. Justeru, perbezaan pendapat dikalangan ulamak adalah perkara biasa. Lebih-lebih lagi dalam permasalahan ranting agama. Namun, kita perlu mengambil pendekatan bijak dan bersikap sederhana ketika berinteraksi dengan situasi ini. Hal ini penting supaya aktiviti kehidupan kita menepati tuntutan syarak. Bahkan lebih akrab kepada taqwa. Sekaligus mengelakkan diri dari bersikap keras kepala terhadap amalan yang telah ‘diestablish’ para ulamak dan diperakui pihak berautoriti agama.

ANALISA FAKTA

Perlu diketahui secara insaf bahawa amalan membaca al-Qur’an di atas kubur berteraskan kepada dalil yang pelbagai. Adakalanya berstatus sahih, hasan, dhaif dan amat dhaif. Selain itu, kita juga yakin untuk menolak dari menggunakan hadis-hadis palsu. Antaranya ialah :

1. Imam Muslim meriwayatkan : “Setiap anggota tubuh kamu berpagi-pagian dengan sedekah ke atasnya. Setiap tasbih adalah sedekah. Setiap tahmid adalah sedekah. Setiap tahlil adalah sedekah. Setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh yang makruf adalah sedekah. Melarang yang mungkar adalah sedekah. Semua itu dapat diperolehi melalui dua rakaat solat di waktu dhuha.” (Muslim bin Hajjaj al-Neisaburi, Sahih Muslim, ed : Muhammad Fu’ad Abd al-Baqi, t.th, Dar Ihya’ Thurath al-Arabi : Beirut , hlm 498 juz 1)
Imam al-Qurtubi mengatakan : “Berdasarkan dalil inilah para ulamak menggalakkan menziarahi kubur kerana bacaan al-Qur’an itu bagaikan buah tangan untuk si mati yang dibawa oleh penziarah kubur.”(al-Qurtubi, al-Tazkirah, Maktabah al-Iman : Mansurah, Mesir, hlm 74)

Imam Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari mengatakan : “Hadis ini memberi kita satu kefahaman bahawa bacaan al-Qur’an juga termasuk dalam erti kata sedekah menurut syarak.” (Abdullah bin al-Siddiq, Itqan al-Sun’ah fi Tahkik Makna al-Bid’ah, 1997, Maktabah al-Qaherah : Mesir, hlm 8)

2. Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis tatkala Baginda SAW ditanyakan tentang solat qasar dalam suasana aman. Baginda SAW bersabda : “ Ia adalah sedekah yang disedekahkan oleh Allah kepada kamu. Maka terimalah sedekahnya.” (Muslim bin Hajjaj, Sahih Muslim, hlm 478 juz 1)

Al-Qurtubi mengatakan : “Asal kepada bab ini ialah sedekah yang tidak ada pertikaian pendapat dikalangan ulamak. Sebagaimana pahala sedekah sampai kepada si mati maka begitu jugalah pahala membaca al-Qur’an sampai kepada si mati. Ini kerana semua itu termasuk dalam erti kata sedekah. Sedekah bukan terbatas kepada harta benda sahaja. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW ketika Baginda ditanyakan tentang solat qasar dalam keadaan aman.”

3. Imam al-Thabrani meriwayatkan : “Menceritakan kepada kami al-Hussain bin Ishak al-Tustari, menceritakan kepada kami Ali bin Hajr, menceritakan kepada kami Mubasyir bin Ismail, menceritakan kepada kami Abd Rahman bin al-A’la bin Lajlaj daripada bapanya, katanya : berkata Abu al-Lajlaj Abu Khalid : “Wahai anakku, apabila aku meninggal dunia kebumikanlah aku. Apabila kamu meletakkan jasadku di liang lahad, bacalah : “Dengan nama Allah dan atas agama Rasulullah SAW, Kemudian curahkanlah tanah dengan cermat ke atasku. Kemudian bacalah disisi kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penutupnya, kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda sedemikian.” (al-Thabrani, Mu’jam al-Kabir, 1982, Maktabah al-Ulum Wal Hikam, hlm 220 juz 19)

Imam al-Haitsami di dalam Majma’ al-Zawa’id hlm 44 juz 3 mengatakan bahawa rangkaian perawi ini terdiri dari kalangan perawi yang ditsiqahi (dipercayai) . Manakala Imam al-Hakim membawa kesaksian hadis ini di dalam kitabnya al-Mustadrak hlm 512 juz 3 (al-Hakim, al-Mustadrak ‘ Ala Sahihain, 1990, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah) .

Imam Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Talkhis al-Habir turut memperakui hadis ini. (al-Asqalani, Talkhis al-Habir, 1964, ed : Abdullah Hasyim al-Yamani, al-Madinah al-Munawwarah, hlm 130 juz 2). Juga tiada sebarang komentar dari Imam al-Zaila’ie di dalam Nusb al-Rayah hlm 302 juz 2.

Senario kesaksian ini juga turut dipersetujui oleh Sayyid Muhammad Alawi al-Makki di dalam kitabnya Hadaya al-Ahya’ Lil Amwaat (Hadiah Si Hidup Kepada Si Mati) hlm 57.
Pemerincian sanad hadis ini dibuat berdasarkan kepada beberapa pandangan para pengkritik hadis. Jika para pengkritik hadis bertauliah menerimanya. .kenapa tidak dengan kita?

Hadis di atas secara jelas menaskan kepada kita bahawa Abu al-Lajlaj Abu Khalid (Seorang sahabat) mendengar Nabi SAW menggalakkan para sahabat membaca ayat suci al-Qur’an di bahagian kepala dan kaki si mati di atas kubur. Lalu mewasiatkan amalan tersebut kepada anaknya supaya berbuat demikian.

Ternyata amalan membaca ayat suci al-Qur’an di atas kubur bukanlah sesuatu bid’ah yang sesat. Bahkan ia diwarisi daripada Nabi SAW sendiri. Justeru, amalan ini merupakan satu sunnah yang terpuji.

4. Imam al-Baihaqi, al-Thabrani dan al-Hakim meriwayatkan dari Ibn Umar r.a berkata : “Aku mendengar Rasulullah SAW : “Apabila salah seorang kamu meninggal dunia, jangan kamu menahan jenazahnya dan segeralah membawanya ke kubur. Bacalah disisi kepalanya Fatihatul Kitab (surah al-Fatihah)- lafaz al-Baihaqi bunyi : “..permulaan surah al-Baqarah dan di sisi kakinya penutup surah al-Baqarah di kuburnya.” (al-Thabrani, Mu’jam al-Kabir m/s 44 juz 12, al-Baihaqi, Syuab al-Iman m/s 16 juz 7)

Imam al-Haitsami di dalam Majma’ al-Zawaid m/s 44 juz 3 mengatakan : “Hadis ini diriwayatkan oleh al-Thabrani di dalam Mu’jam al-Kabir. Padanya terdapat Yahya bin Abdullah al-Bablati. Dia merupakan seorang perawi yang lemah.” Seterusnya al-Haitsami mengintegrasikan sanad yang lemah ini dengan riwayat al-Baihaqi. Riwayat itu bersumberkan Abd Rahman bin al’-‘ Ala bin al-Lajlaj yang diperakui kesahihannya.

Kedua-dua hadis ini secara jelas membuktikan kepada kita bahawa Ibn Umar dan Abu Khalid al-Lajlaj mendengar galakkan dari Nabi SAW agar dibacakan ayat-ayat suci al-Qur’an di tanah perkuburan.

Walaupun riwayat dari Thabrani ini bertaraf dhaif, namun ia dibantu dengan beberapa riwayat yang sahih dari Imam Muslim dan al-Baihaqi sebagaimana di atas.

Tambahan pula, Imam Ibn Hajr al-Asqalani mendakwa bahawa ia berstatus hasan (baik). (al-Asqalani, Fath al-Bari, 1379H, Dar al-Makrifah : Beirut , hlm 184 juz 3)
Manakala Imam al-Ajlouni ketika membentangkan hadis ini menyatakan bahawa hadis yang diriwayat al-Thabrani ini adalah marfuk. (al-Ajlouni, Kasyf al-Khafa’, 1405H, Muassasah al-Risalah : Beirut , cet 4, hlm 192 juz 1)

Al-Zurqani mengatakan : “Bahawa hadis : “Apabila seseorang kamu telah meninggal dunia jangan kamu menahannya.. adalah diriwayatkan al-Thabrani dengan sanad-sanadnya yang hasan.” ( al-Zurqani, Syarh al-Zurqani, 1411H, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Beirut , hlm 127 juz 2). Kehasanan hadis ini juga turut diperakui oleh al-Syaukani di dalam Subul al-Salam. (al-Syaukani, Subul al-Salam, 1379H, Dar Ihya’ Thurats al-Arabi : Beirut , Cet 4, hlm 106 juz 2)

Justeru, kedhaifan sanad pada riwayat al-Thabrani secara automatik ditampung dengan riwayat yang sahih dan dhaif yang lain. Himpunan jaluran sanad yang dhaif menjadikan ia bertaraf hasan sebagaimana diperakui ulamak. Justeru, situasi ini sedikitpun tidak mencacatkan penghujahan terhadap amalan membaca al-Qur’an di tanah perkuburan. Bahkan hujahnya kekal dalam kelasnya yang tersendiri.

5. Imam Ahmad, Abu Daud, al-Nasai’ie, al-Tirmidzi dan Ibn Majah meriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar bahawa Nabi SAW bersabda: “Hati al-Qur’an adalah Yaasin. Tidaklah dibaca surah itu oleh seseorang yang mengkehendaki Allah dan hari akhirat melainkan diampunkan dosanya. Bacalah Yaasin kepada orang mati kamu.”

Hadis ini dipandang sahih oleh Ibn Hibban dan al-Hakim. Ibn Hibban menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan orang mati di dalam hadis ini ialah orang yang hampir mati.. pendapat ini ditarjih oleh Ibn Qayyim dengan beberapa alasan yang diberikannya. Akan tetapi Ibn Rif’ah berpegang kepada zahir hadis di atas. Lantaran itu, beliau mengesahkan bahawa surah Yaasin boleh dibacakan kepada orang yang telah mati.

Al-Syaukani pula berpendapat bahawa lafaz al-Mauta pada hakikatnya bermaksud orang yang telah mati. Dan maksud hakikat tidak boleh dipesongkan melainkan ada qarenahnya.

Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari berpendapat bahawa tidak menjadi halangan dibacakan al-Qur’an kepada orang yang hampir mati supaya dia dapat mentadabbur bacaan itu. Manakala tidak menjadi halangan dibacakan al-Qur’an kepada orang yang telah mati supaya seseorang itu mendapat manfaat pahalanya.” (al-Ghumari, Itqan al-Sun’ah, hlm 87 )
6. Imam al-Baihaqi meriwayatkan : “Menceritakan kepada kami Abu Abdullah al-Hafiz dari Abu al-Abbas bin Ya’qub dari al-Abbas bin Muhammad katanya : “Aku bertanya Yahya bin Ma’in tetang membaca al-Qur’an di atas kubur? Lalu beliau menjawab berdasarkan kepada riwayat Abd Rahman bin al-‘ Ala bin al-Lajlaj daripada ayahnya dari Ibn Umar yang menggalakkan amalan sedemikian.”

Imam Ibn Hajr al-Asqalani di dalam Amali al-Azkar mengesahkan bahawa hadis ini bertaraf mauquf dan hasan.

Berdasarkan kepada keterangan di atas, jelaslah kepada kita bahawa Imam Yahya bin Ma’in (sarjana hadis yang mashyur) sendiri turut membenarkan amalan membaca al-Qur’an di atas kubur.

7. Imam Muslim meriwayatkan : “Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kawasan perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari daripada rumah yang dibacakan di dalamnya surah Al-Baqarah(Muslim, Sahih Muslim, no: 870, hlm 539 juz 1).

Imam al-Tirmidzi mengatakan : “Perkara yang dimaksudkan ‘Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti tanah perkuburan’ bermaksud jangan jadikan ia (rumah) sunyi dari berzikir dan melakukan ketaatan (kebaikan) sepertimana tanah perkuburan dan orang mati..” (al-Tirmidzi, Tuhfah al-Ahwazi, t.th, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Beirut , hlm 146 juz 8)

Perintah hadis ini bersifat umum. Iaitu menggalakkan kita untuk membaca al-Qur’an di rumah atau di mana-mana sahaja kita berada. Asalkan bertunjangkan kepada niat, cara, tempat yang baik dan munasabah.

Kandungan hadis ini sama sekali tidak menjustifikasikan larangan membaca Al-Quran ditanah perkuburan. Ini kerana kebenaran membaca al-Qur’an di tanah perkuburan tsabit dengan pemerincian hadis-hadis di atas.

Oleh yang demikian, hadis yang bersifat umum tidak boleh digunakan hujjah untuk membatalkan galakkan yang bersifat khusus. Hal ini penting bagi mengelak percanggahan hadis.

Tambahan pula, galakkan Rasulullah SAW supaya kita membaca al-Qur’an khususnya surah al-Baqarah ternyata ada kelebihan tersendiri. Bacaan surah ini dapat menghalau syaitan dari bermastautin kerana penghuninya telah menghidupkan suasana rumah dengan ibadat.

Mafhum sebaliknya, jika kita tidak membaca al-Qur’an di tempat kediaman, maka jadilah tempat kediaman itu sunyi sepi bagaikan tanah perkuburan. Walaupun kediaman dihuni makhluk hidup tetapi suasana kediaman itu bagaikan dihuni orang mati apabila tidak diserikan dengan ibadat. Itulah yang dimaksudkan dengan ‘Jangan jadikan rumah kamu seperti tanah perkuburan.’
Berdasarkan keterangan ini bolehlah diandaikan bahawa hujjah Dr Azwira yang mendakwa ‘kekerapan mereka membaca al-Qur’an di kubur daripada rumah menyebabkan segala syaitan yang ada di kawasan itu berpindah ke kawasan perumahan umat Islam” amat kelakar. Dan layak diketawakan sahaja kerana ucapan seperti ini tidak sepatutnya dijadikan kiasan oleh seorang yang bergelar Doktor Falsafah dari Jabatan al-Qur’an dan al-Sunnah. Ini adalah contoh seni analogi yang fasid dan menyimpang dari kebenaran serta tidak diluahkan oleh orang-orang yang berakal.

Pembongkaran ilmiah ini juga menemukan hakikat bahawa Dr Azwira sendiri sebenarnya yang cuba memandai-mandai melarang umat Islam dari membaca al-Qur’an di tanah perkuburan. Secara tak langsung, Beliau memanifestasikan rekaan hadisnya: “Jangan membaca al-Qur’an di atas kubur, nanti Syaitan yang ada disitu akan datang ke kawasan perumahan kamu.” Renunglah wahai mereka yang mempunyai akal fikiran!

Sebenarnya, hadis-hadis yang bertali arus dengan amalan membaca al-Qur’an di atas kubur masih banyak, tetapi sengaja didatangkan beberapa hadis untuk disesuaikan dengan fokus perbincangan. Jika seseorang itu benar-benar celik hatinya dia pasti akan menerima hujjah dan kebenaran ini. Jika hatinya buta dan keras..hanya Allah sahaja yang mampu memberi hidayah.

PENDAPAT PARA ULAMAK

Sebenarnya isu klasik ini telah diselesaikan para ulamak dengan jayanya. Antaranya :
Muhammad bin Ahmad al-Muruzi berkata : Aku mendengar Ahmad bin Hanbal berkata : “Apabila kamu masuk ke kubur, bacalah fatihah al-Kitab dan ayat Muawwizatain dan surah al-Ikhlas. Jadikanlah pahalanya untuk penghuni kubur itu kerana pahalanya itu sampai kepada mereka.”
Di dalam kitab al-Azkar di bawah tajuk : “Apa yang perlu dibaca selepas pengebumian? . Imam al-Nawawi menyebutkan : “Al-Syafi’ie dan para sahabat (ulamak Syafi’iyyah) mengatakan : “Disunatkan membaca disisi kubur sesuatu daripada ayat al-Qur’an. Mereka mengatakan : Jika mereka mengkhatamkan al-Qur’an kesemuanya maka itu adalah (sesuatu yang) baik.” (al-Nawawi, al-Azkar, Dar al-Makrifah : Beirut , 1996, hlm 142 )
Imam al-Zahabi di dalam Takzikah al-Huffaz ketika membicarakan biodata al-Khatib al-Baghdadi menyebutkan : “Tatkala beliau meninggal dunia orang membacakan al-Qur’an di atas kuburnya dengan beberapa kali dikhatamkan.”
Imam al-Hassan bin al-Sobbah al-Za’farani berkata : “Aku bertanya kepada al-Syafi’ie tentang bacaan al-Qur’an di kubur. Lalu beliau menjawab : “Tidak mengapa. Al-Khallal meriwayatkan daripada Al-Sya’bie katanya : “Orang Ansar apabila berlakunya kematian dikalangan mereka, maka mereka selalu mengunjungi kuburnya untuk membaca al-Qur’an di sisinya.”
Al-Khara’iti di dalam kitab al-Kubur menyebutkan : “Menjadi Sunnah kebiasaan orang-orang Ansar apabila mengusung mayat mereka membaca surah al-Baqarah.”
Al-Qurtubi mengatakan : “Sebahagian ulamak kami mengemukakan dalil sampainya bacaan al-Qur’an ke pada si mati dengan hadis berkenaan pelepah tamar yang dibelah dua oleh Nabi SAW. Kemudian Baginda memacaknya satu di atas kubur orang ini dan satu lagi di atas kubur yang lain. Kemudian Baginda bersabda : “Mudah-mudahan ia dapat meringankan mereka berdua selagi kedua-duanya tidak kering.” Riwayat al-Syeikhain : Bukhari Kitab Wudhu 218 dan Muslim al-Thaharah 111/292)


Bagi saya, jika pacakan pelepah tamar yang basah dikubur boleh memberi manfaat kepada si mati, bagaimana pula halnya dengan bacaan ayat-ayat suci al-Qur’an yang dihadiahkan kepada si mati.? Tentunya bacaan ayat suci itu lebih istimewa dari pelepah tamar berkenaan.” Cumanya perbuatan Baginda memacak pelepah tamar tersebut adalah salah satu dari kepelbagaian yang boleh membantu mereka yang telah meninggal dunia. Wallahu’alam.
Ibn Qayyim (ketika membicarakan panjang lebar tentang sampainya pahala amalan-amalan yang dihadiahkan kepad si mati beserta dalilnya) mengatakan : “Adapun membaca al-Qur’an dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati secar sukarela tanpa mengambil upah maka ia sampai kepada si mati sebagaimana pahala puasa dan haji…” (Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, al-Ruh, hlm 152-159)
Imam Ibn al-Solah ketika menjawab penghujahan ayat 39 surah al-Najm mengatakan : “ Apa yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah seseorang itu tidak mempunyai hak atau menadapat balasan melainkan apa yang diusahakannya.

Ini tidak termasuk amalan yang dilakukan untuknya secara sukarela oleh orang lain seperti membaca al-Qur’an dan berdoa…”


Syeikh Ibn Taimiyyah mengatakan : “Barangsiapa yang berkeyakinan bahawa manusia tidak dapat mengambil manfaat kecuali dengan amalannya sahaja beerti dia telah melanggar ijmak. Pendapat itu terbatal dengan beberapa sudut...” Ibn Taimiyah pernah ditanya tentang bacaan Al-Quran untuk mayat dan juga tentang tasbih, tahmid, tahlil dan takbir jika dihadiahkan kepada mayat. Sampaikah pahalanya atau tidak? Maka beliau menjawab sebagaimana tersebut dalam kitab beliau;”Sampai kepada mayat pahala bacaan Al-Quran dari keluarganya, Dan tasbih, takbir serta seluruh zikir mereka kepada Allah apabila mereka menghadiahkan pahalanya kepada mayat akan sampai pula kepadanya” (Ibn Taimiyyah al-Harrani, Majmu’Fataawa, jilid 24 hlm 324)
Imam Ibn Muflih al-Hanbali di dalam al-Furu’ mengatakan : “Tidak dilarang untuk membaca al-Qur’an di atas kubur atau tanah perkuburan. Telah dinaskan ke atasnya oleh Abu Bakar, al-Qadhi dan sebahagian ulamak dan ia merupakan pandangan mazhab…” (Ibn Muflih al-Hanbali, al-Furu’, hlm 304 juz 2)
KESIMPULAN

1. Amalan membaca ayat-ayat suci al-Qur’an di atas kubur merupakan salah satu dari permasalahan ranting agama. Galakkan ini bersumberkan dalil-dalil yang sahih, hasan dan dhaif.

2. AL-Qur’an al-Karim sepatutnya dijadikan dalil utama. Manakala sumber hadis dijadikan dalil sekunder dalam apa jua permasalahan umat Islam.

3. Himpunan dalil yang ada menjustifikasikan amalan ini sebagai amalan sunat. Ia dilihat sebagai amalan aksesori sahaja.

4. Kita perlu memahami permasalahan usul dan furu’ secara menyeluruh beserta dalil-dalil dan kaedah syariah yang jelas. Hal ini penting supaya sesuatu isu yang dirumus benar-benar menepati tuntutan syarak. Di samping boleh mengelakkan diri dari bersikap fanatik dan melampau.

5. Dr Azwira gagal membuktikan bahawa amalan membaca al-Qur’an di tanah perkuburan sebagi bidah yang sesat. Pendapat seperti ini sebenarnya tidak diperkatakan oleh ahli ilmu. Justeru, pandangan kontroversi ala Wahhabi ini perlu di tolak.


SYOR DAN CADANGAN

1. Fakulti Pengajian Islam, sepatutnya tidak membenarkan pensyarahnya mempergunakan jenama UKM untuk melariskan idea individu tertentu. Terutama dalam mengemukakan pendapat yang bertentangan dengan arus perdana.

2. JAKIM perlu membuat penyelarasan dengan pihak media agar isu-isu kontroversi agama tidak dibincangkan secara meluas dan emosional. Situasi ini dikhuatiri menyemarakkan perpecahan dikalangan umat Islam di Malaysia.

3. Perlu diingat bahawa amalan yang tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW dan generasi Salaf tidak boleh dijadikan alasan untuk mengharamkan sesuatu amalan selagi tidak ada tegahan putus daripada nas syarak.

4. Para cendikiawan, profesional, pendakwah, pelajar Universiti sewajarnya sedar tentang aliran-aliran pemikiran yang tumbuh dalam persekitaran mereka. Jika anda mempunyai kekuatan, buatlah analisa secara sedar. Jika tidak, awasi dan jauhi diri anda dari pelbagai makhluk perosak zaman kini. Wallahu’lam.

[1] Artikel ini telah di edit dan diterbitkan oleh Berita Harian berjudul Galakkan Baca al-Qur’an di Kubur pada 17 November 2007 , hlm 15

Wednesday, December 5, 2007

MEMBONGKAR PENYELEWENGAN RASUL PALSU


MEMBONGKAR PENYELEWENGAN RASUL PALSU
Oleh :
Hj Zamihan Hj Mat Zin al-Ghari
Pen Pengarah ILIM,
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia


Fenomena mengaku menjadi Nabi atau Rasul bukanlah sesuatu yang baru. Sejarah telah membuktikan bahawa Musailamah al-Kazzab, Sajah, al-Aswad bin Yazid al-‘Ansiy dan lain-lain pernah mengaku menjadi Nabi.

Dalam kes Musailamah al-Kazzab, dakwaan beliau mendapat perhatian serius Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq. Lalu beliau mengarahkan supaya Musailamah dan para pengikutnya pulang ke pangkal jalan dengan bertaubat. Namun permintaaan Khalifah tidak diendahkan. Lalu Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq memerintahkan satu pasukan tentera untuk memburu dan menangkap mereka. Dan akhirnya berlaku peperangan yang menyebabkan terhapusnya Nabi Palsu dan pengikut-pengikutnya yang murtad itu. Rentetan dari itu, lahir pula Nabi-nabi palsu hingga ke alam melayu.

Termasuklah Nabi Palsu yang terbaru di bawah pimpinan Meriam bt Ahmad Shaharudin. Ajarannya bermula era 80-an lagi. Walaupun beliau pernah ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Perak dan dikenakan tindakan namun beliau tidak pernah insaf. Kemungkinan enakmen Kanun jenayah syariah yang sedia ada tidak mampu memberi pengajaran kepada beliau. Lalu ajarannya diaktifkan kembali hingga ke saat ini. Dan operasinya dikatakan berpusat di kawasan Wangsa Maju, Kuala Lumpur .

Kajian penulis mendapati bahawa para pengikut ajaran ini terdiri dari golongan awam, pensyarah maktab, golongan professional dan orang berada. Mereka begitu fanatic dalam meyakini kerasulan Meriam sebagai utusan Tuhan. Sehinggakan ada pengikutnya sanggup bertegang leher dan hampir mencetuskan pergaduhan dengan kami ditempat yang terbuka. Dan kami beralah seketika kerana tidak mahu dituduh mengganggu ketenteraman awam dan menghormati undang-undang. Namun, kami sesekali tidak meredhai kepercayaan, amalan dan pegangan mereka yang sesat lagi menyesatkan itu.

Buktinya, dalam emel yang ditujukan kepada orang-orang kenamaan dan pengikut-pengikutnya, Meriam menggunakan alamat 127C, Blok A, Cherry Apartment, Cherry Park, 30100 Ipoh, Perak. Terbukti, alamat ini hanyalah helah politik semata-mata. Ini kerana (mengikut maklumat terbaru) Nabi Palsu ini dikesan sedang melakukan solat jumaat di salah sebuah surau di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor.

Kejadian ini berlaku beberapa minggu lepas. Sewaktu para jamaah berpusu-pusu keluar dari menunaikan solat jumaat, Meriam dan pengikut-pengikutnya mula menempatkan diri untuk menunaikan solat jumaat di surau berkenaan.


Beliau mengimami solat berkenaan diikuti para pengikutnya sebagai makmum dengan kapasiti tidak sampai satu saf. Beliau kelihatan berpakaian serba hitam melitupi keseluruhan badan termasuk muka. Orang ramai hanya memerhatikan gelagat mereka dengan penuh kebingungan.

Saya difahamkan bahawa pengikut ajaran ini tidak menunaikan solat lima waktu.
Akan tetapi, kebiasaanya mereka akan keluar untuk menunaikan solat jumaat di mana-mana masjid atau surau. Kononnya untuk menambahkan ‘power’ mereka.


Oleh yang demikian, semua pihak perlu prihatin dengan keadaan persekitaran agar tidak terpengaruh dengan amalan Meriam dan para pengikutnya yang terang-terang menyalahi syariat Islam.

MENDAKWA MENJADI RASUL
Dalam email yang ditujukan kepada para pengikutnya, Meriam mendakwa dirinya sebagai seorang Rasul utusan Allah. Beliau mendakwa : “Untuk makluman anda semua, hari ini saya akan berikan lagi bukti kerasulan saya. Saya akan terus menyatakan bukti kerasulan saya sampai semua orang tahu hakikat kebenaran yang sebenar bukanlah calang orang yang mengaku dirinya sebagai rasul itu dan rasul ini, akhirnya hilang dan kecundang begitu sahaja sebelum mereka ini dapat menyatakan kerasulan mereka. Saya tahu bila semua bukti kerasulan saya sudah saya dedahkan orang ramai yang membaca emel saya ini tentunya akan percayakan saya.”

Katanya lagi : “Tugas saya sebagai rasul bukan sahaja untuk negara ini tetapi untuk seluruh dunia.”

Dalam kenyataan yang lain Meriam berungguh-sungguh mendakwa bahawa beliau benar-benar Rasul yang original bukannya cetak rompak. Buktinya beliau mengatakan : “Saya bukan rasul palsu seperti mereka yang mengaku diri mereka rasul itu dan rasul ini…Saya diutuskan oleh Allah dan saya melakukan semua dengan kehendak dan kawalan Allah.”

Berdasarkan keterangan di atas, terbukti kepada kita bahawa Meriam bukan setakat mengaku menjadi Nabi tetapi mengaku menjadi Rasul utusan Allah. Hal ini secara jelas bertentangan dengan prinsip Islam yang menggariskan bahawa tidak ada lagi Nabi atau Rasul selepas daripada Nabi kita Muhammad SAW. Buktinya, Firman Allah SWT bermaksud : “Muhammad itu sekali-kali bukanlah ayah dari seorang laki-laki dikalangan kamu, tetapi dia (Muhammad) adalah Rasulullah dan penutup Nabi-nabi…”- surah al-Ahzab 40.

Selain di atas, banyak lagi dalil-dalil yang membuktikan tidak ada lagi selepas kenabian dan Kerasulan Baginda SAW. Namun sengaja diringkaskan penulis supaya bersesuaian dengan focus perbincangan.

MENGGANGGU KOSENTRASI PM
Dalam email yang ditujukan kepada PM, Meriam mengatakan : “Dato’ Seri…Kita seharusnya berasa bangga Allah memilih seorang Rasul perempuan dikalangan orang melayu di negara Malaysia ini.

Katanya lagi : “Saya mahu PM jelaskan kepada anda semua setiap kebenaran yang saya nyatakan ini, barulah boleh saya meneruskan apa yang perlu saya nyatakan kepada pihak anda semua. Kepada PM Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi jawablah setiap pertanyaan wartawan dari media cetak atau elektronik berkenaan dengan apa yang saya nyatakan ini. Dato’ Seri tidak perlu takut…”

Berasaskan kepada kenyataan di atas, terbukti kepada kita bahawa Meriam sudah berani bertindak secara melampaui batas. Beliau cuba untuk mempengaruhi PM dengan kerasulan dongengnya. Sebenarnya, beliau cuba ‘mengenakan’ Perdana Menteri atau sesiapa sahaja dengan kuasa sihir jahatnya. Awas! Jangan sampai kita terpukau dan terperangkap dengan kebolehannya. Semua ini dilakukan Meriam dengan harapan untuk mendapat kuasa dan simpati PM.

AJARAN YANG MENDUSTAKAN AL-QUR’AN AL-KARIM
Dalam emel yang diutuskan kepada pengikutnya, Meriam secara jelas mendustakan al-Qur’an. Buktinya beliau mengatakan : “Dan Allah utuskan saya sebagai rasul perempuan seperti yang sudah siap tentang rasul perempuan Allah nyatakan di dalam al-Qur’an.”

Sebagai seorang muslim, kita tentu arif tentang kandungan kitab suci al-Qur’an sebanyak 30 juzuk, 114 surah dan lebih 6600 ayat. Jika kita meneliti nas-nas al-Qur’an secara mendalam kita tidak dapati satu kalimat, satu ayat ataupun satu surah yang menyebut tentang kewujudan Rasul Melayu Perempuan. Bahkan sebaliknya al-Qur’an menafikan kewujudan Nabi atau Rasul yang lain selain dari Nabi Muhammad SAW. Buktinya, Allah SWT berfirman : “Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras terhadap orang kafir (yang mengancam) tetapi berkasih saying sesame mereka…surah al-Fath ayat 29.

Hairan, bagaimana Meriam boleh mengaku didampingi Allah dan mendapat wahyu dariNya sedangkan dia sendiri melakukan pendustaan terhadap Allah. Ternyata, jiwanya sakit, fikirannya kontradik.

Setelah kita menelusuri bukti-bukti di atas, jelaslah kepada kita bahawa ajaran Meriam mendustakan al-Qur’an. Dan al-Qur’an sendiri terpelihara dari pendustaan Meriam. Wahai Meriam, tunggulah akibatnya bagi mereka yang mendustakan ayat-ayat Allah.

KESIMPULAN
1- Ajaran Meriam secara jelas bertentangan dengan Islam.
2- Beliau didapati telah murtad kerana mengaku menjadi rasul melayu perempuan.
3- Pengikut-pengikutnya turut sama murtad kerana memperakui kerasulannya.
4- Ajaran Meriam mendustakan al-Qur’an al-Karim
5- Meriam secara jelas menghina para Mufti dan ulamak dengan menyifatkan mereka sebagai dajjal.
6- Meriam cuba mengganggu kosentrasi PM dan Barisan kepimpinan negara yang lain dengan ilmu sihir dan propagandanya.
7- Ajarannya bergerak secara aktif dan mengancam akidah umat Islam.

Selain ajaran Meriam, ada lagi kes Nabi Antarabangsa yang beroperasi di Jln Pulai Utama 8/84, Pulai Utama, Johor Bahru yang dipimpin oleh Ibrahim b Saad. Ajaran ini menafikan kewujudan neraka, tiada golongan kafir, syaitan dan Iblis dianggap baik belaka dan lain-lain lagi.

SARANAN
Adalah diharapkan agar pihak berkuasa prihatin dan memandang serius tentang permasalahan ini.



Fenomena ini bukan sekadar mengeluarkan pemimpinnya dari Islam. Tetapi dalam masa yang sama, turut memurtadkan saudara se-islam kita dengan dakwaan kerasulan pemimpinya. Tanpa disedari, dakwaan ini jika tidak dibanteras pasti akan berkembang dari semasa ke semasa disebabkan persepsi masyarakat kita sukakan perkara yang aneh dan dianggap ajaib.

Dan senario ini dikhuatiri mencetuskan sesuatu kejadian yang tidak diingini berlaku. Kita juga bimbang jika ada pihak yang mengambil tindakan drastic sekaligus membelakangi perundangan negara atas alasan untuk menjaga agama.

Tiba masanya bagi kita untuk meminda enakmen atau akta yang sedia ada bagi membolehkan kita mengenakan tindakan yang berat terhadap penyeleweng agama yang jelas membawa kepada kufur.

Di samping itu, semua institusi agama disarankan membuat penyelarasan dan penyeragaman fatwa bagi menutup ruang kepada ajaran-ajaran yang menjejaskan kesucian Islam ini.
Keadaan ini membolehkan ajaran-ajaran seperti di atas dapat dibanteras secara bersepadu dan menyeluruh. Hal ini penting supaya akidah umat Islam dapat dipelihara dengan sebaik-baiknya.
Wassalam.

MUFTI PERLU INTEGRITI


MUFTI PERLU INTEGRITI
Oleh : Hj Zamihan Mat Zin al-Ghari
AJK Persatuan Ulamak Malaysia (PUM)
Cawangan Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur


Izinkan saya merujuk kepada tulisan Mufti Perlis di ruangan Rencana pada ahad 8 April lalu berkenaan Masjid kaku dan tidak mesra pelanggan. Tajuk artikel ini sebenarnya memanifestasikan satu provokasi terhadap masjid secara umum walaupun ia bersifat kritikan secara khusus.

Andai kata tulisannya bersifat mengkritik, biarlah secara membina. Bukannya mengkritik masjid secara umum bersifat menghina. Selamilah kritikannya : “Malangnya kebanyakkan masjid-masjid kita gagal berfungsi sedemikian rupa. Banyak masjid tidak mesra remaja dan kanak-kanak. Golongan ini sentiasa rasa kurang selesa atau bimbang dengan layanan orang masjid…(Mingguan Msia 8 April 07, Rencana ms 6)”

Dakwaan umum ini secara tidak langsung menjatuhkan maruah masjid sebagai syiar Allah yang dimuliakan (surah al-Hajj 22). Tambahan pula, ia memberi persepsi yang amat negative kepada bukan Islam tentang pengurusan masjid itu sendiri. Seolah-olah ingin menampilkan kelemahan pengurusan umat Islam berbanding gereja dan rumah-rumah ibadat yang lain.

Sepatutnya, isu ini dibicarakan pada tempat dan mengikut salurannya yang wajar. Tetapi nafsu kerakusan bicara Mufti meragut prosedur yang sedia ada. Bahkan pendekatan mengkritiknya hanya ibarat meludah kelangit. Dikhuatiri ada pihak yang cuba menangguk di air yang keruh nanti. Justeru, apa untungnya jika isu ini dilontarkan secara terbuka?

Saya yakin, Mufti Perlis tidak melakukan kajian terperinci tentang keberkesanan peranan dan fungsi masjid di Malaysia . Lantaran itu, beliau gagal mengemukakan fakta secara tepat tentang pengurusan masjid. Justeru, kenyataan beliau hanyalah tanggapan yang bertakung dalam minda yang sempit semata-mata. Sebagai seorang Mufti Negeri, beliau perlu menjauhi metodologi seperti ini kerana dikhuatiri menjatuhkan integriti Mufti yang dihormati.

Cuba kita renungkan berapakah bilangan masjid dan surau-surau berbanding rumah ibadat lain di negara kita. Berapa banyak masjid yang diberi peruntukan, bergerak active, pasif dan terbengkalai. Bagaimana halnya dengan kampung atau mukim yang masih tidak mempunyai masjid? Bagaimana pula dengan fasilitis yang ada pada sesebuah masjid?

Ternyata wujud perbezaan yang ketara antara masjid kampung dan bandar? Siapa yang harus dipersalahkan? JAKIM, Jabatan Agama, Pejabat Mufti, Majlis Agama, orang ramai…? Dan jangan lupa bahawa Tuan Mufti adalah salah seorang dari mereka yang bertanggungjawab dengan Allah dalam kes ini.

Mengkritik memang mudah. Tapi merancang, melaksana dan mempertahankan sesuatu kebaikan sememangnya menuntut pengorbanan. Justeru, berapa banyak pengorbanan yang dicurahkan oleh tuan Mufti berbanding pihak-pihak yang bertanggungjawab mengurus masjid di negara kita? Cubalah diambil kira sensitivitymereka.
Amat menyedihkan apabila Mufti Perlis secara terang-terangan mengecam pihak pengurusan masjid secara terbuka. Buktinya, beliau mengatakan : “...Lebih teruk, ada masjid menyediakan tempat khas kanak-kanak ketika solat. Mereka dijarak jauhkan dari saf orang dewasa. Kadangkala, diselang beberapa saf. Ditulis pula papan tanda ‘saf kanak-kanak’. Ini semua berpunca dari ‘khurafat’ yang disandar kepada fikah kononnya jika kanak-kanak belum berkhatan bersentuhan dengan orang dewasa maka batallah solat. Sebabnya di bawah ‘kulit’ kanak-kanak itu ada najis kerana belum bersunat.
Cuba tanya mereka yang mengajar sedemikian rupa, apakah dalam perut orang dewasa tidak ada najis? Apakah jika seseorang ada nanah di bawah kulitnya, solatnya tidak sah? Lebih lucu, ada yang menyatakan boleh menyebabkan terbatalnya keseluruhan saf. Fatwa ini tidak dinilai dengan hujah dalil dan kewarasan akal...
Menerusi tulisan di atas, beliau secara jelas mendakwa perbuatan mewujudkan saf kanak-kanak dibelakang adalah perbuatan khurafat yang disandar kepada feqah. Inikah budi bahasa seorang Mufti Negeri yang bertauliah? Mudah sahaja mengganggap perbuatan mewujudkan saf kanak-kanak dibelakang sebagai khurafat. Benarkah khurafat sebagaimana yang didakwa?

Mufti Perlis sepatutnya sedar, akhbar bukan medan ilmiah yang terbaik untuk membicarakannya. Bentanglah pendapat anda di Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Bincanglah bersama para Mufti yang lain dan buat keputusan terbaik mengenainya demi kepentingan umat ini.

Bukannya hanya menjadi juara kontroversi dan merugikan ummat ini dengan isu remeh-temeh yang telah diselesaikan para ulamak sebelum kita. Perlu diingat, bukan anda sahaja yang berkeahlian dlm hal ini. Bahkan, saya juga bersedia untuk membicarakannya secara ilmiah dalil-dalil yang dikemukakan Tuan Mufti Perlis ini bila-bila masa dan di mana jua.

Kesimpulannya, seorang mufti sepatutnya mempunyai integriti yang amat tinggi berbanding awam. Bukannya melontarkan idea kontrovesi secara terbuka dan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu dan melabelkan mereka dengan konservatif, bid’ah, khurafat, kaku dan tidak mesra pelanggan.

Hayatilah firman Allah : “Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki Yang lain, (kerana) harus puak Yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan Yang lain, (kerana) harus puak Yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya Yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu Dengan Yang lain Dengan gelaran Yang buruk. (Larangan-larangan Yang tersebut menyebabkan orang Yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. dan (ingatlah), sesiapa Yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang Yang zalim.”-al-Hujuraat ayat 11.


Ayat di atas menuntut kita supaya menjaga adab-adab komunikasi antara sesama Islam. Dan sewajarnya dihayati oleh kita semua sempena Maulidurrasul ini. Tapi sayang, situasi yang berlaku sebaliknya.

Sebagai seorang Mufti, beliau juga perlu menghormati fatwa-fatwa negeri lain. Bahkan tidak menentang fatwa-fatwa yang sedia ada. Ini kerana menentang fatwa yang sedia ada samalah menentang kuasa al-Sultan yang memerintah negeri berkenaan. Bukankah al-Sultan bertindak sebagai Ketua Agama dan Adat Istiadat sesuatu negeri di Malaysia .

Sedarlah bahawa tudingan yang ditujukan kepada institusi Islam dan para alim ulamak kita sebenarnya hanya merugikan agama, bangsa dan negara. Paling bahaya, urusan agama nampaknya cuba diliberalkan mengikut pandangan audien. Maknanya, sesiapa sahaja boleh menafsirkan agama secara terbuka mengikut tingkat kefahaman dan kesedaran masing-masing. Akhirnya, secara tersirat menjadikan agama unsur manusia.

Maka hentikanlah dari melakukan sesuatu yang tidak mendatangkan manfaat buat semua. Andai kata ada keuntungan peribadi, berapakah nilai kerugian yang terpaksa ditanggung umat ini. Demikian, betapa pentingnya integriti bagi seseorang mufti. Adalah diharapkan semua pihak harus mencari jalan keluar bagi mengatasi kemelut ini.


AL-GHARI.

Tuesday, December 4, 2007

FAHAMAN AL-TABDI’ MENGANCAM AHLI SUNNAH WAL JAMAAH



FAHAMAN AL-TABDI’ MENGANCAM AHLI SUNNAH WAL JAMAAH


Oleh :
Hj Zamihan al-Ghari,
Pen Pengarah ILIM, Bangi.


Sejak akhir-akhir ini, keghairahan pelbagai pihak mendakwa diri mereka sebagai golongan Ahli Sunnah wal Jamaah semakin menjadi-jadi. Mereka mendakwa hanya aliran mereka satu-satunya yang benar dan terselamat. Bahkan tanpa segan silu menuduh golongan yang lain sebagai sesat dan menyeleweng.

Ekoran itu, berlakulah tuduh-menuduh, sesat-menyesat dan kafir-mengkafir sesama muslim.

Situasi ini sekaligus menjadikan masyarakat kita bertambah keliru. Ia sedikit sebanyak memberi ancaman terhadap pegangan murni kita selama ini.


Sebenarnya, fahaman ini telah dikaji, diteliti dan diperhati sudah sekian lama. Keberhasilan kajian antara pro dan kontra sebenarnya sudah diperolehi. Namun kedudukannya secara jelas belum dimuktamadkan pemerintah. Lantaran itu, isu-isu perpecahan ummat yang berasaskan kepada kepelbagaian fahaman seringkali mencuit hati kita.

Asal-usul :
Fahaman ini dikatakan berasal dari fahaman al-Salafiyyin. Iaitu golongan yang bersikap fanatic terhadap fahaman Muhammad Abd Wahab dan pengikut-pengikutnya.

Sebenarnya golongan ini telah lama wujud di Negara kita semenjak 1900 tahun dahulu. Ia dikenali dengan fahaman Kaum Muda dibawah pimpinan Syeikh Tahir Jalaluddin al-Falaki.

Golongan ini tidak bertaklid kepada mana-mana mazhab yang muktabar.

(sila lihat Muzakarah JawatanKuasa Fatwa Kebangsaan Kali ke-14 bersidang pada 22-23 Okt 2006).


Fahaman ini mula berkembang ke seluruh tanahair khususnya di Kuala Pilah pada tahun 1939 dibawah pimpinan Us Hashim Abd Ghani dengan gelaran fahaman Ittiba’ al-Sunnah. Golongan ini mendakwa hanya berpegang kepada al-Qur’an dan al-Sunnah sahaja.

(sila lihat Muzakarah JawatanKuasa Fatwa Kebangsaan Kali ke-14 bersidang pada 22-23 Okt 2006).
Kini fahaman ini semakin menular dan berkembang biak di pusat-pusat pengajian tinggi. Golongan professional juga tidak ketinggalan mudah terpengaruh dengannya.

Ia mudah diterima kerana cara pengamalannya yang dikatakan senang dan ringkas.

Namun, dalam beberapa kes mereka bertindak agresif terhadap pegangan dan amalan kebiasaan masyarakat seperti wirid, berdoa beramai-ramai, melakukan qunut, menyapu muka selepas solat, bertahlil, membaca Yasin/al-Kahfi malam jumaat, solat hajat dan lain-lain.


Amat menyedihkan bila sesetengah pihak menganggap talqin yang dibacakan Imam Besar Masjid Putra semasa pengebumian Allahyarhamah Datin Seri Indon itu sebagai satu bid’ah yang sesat.

Demikian juga halnya talqin yang dibacakan pada hari pengebumian Allahyarham Tun Ghaffar Baba. Golongan ini mendakwa pembacanya layak dihumban ke dalam neraka kerana telah melakukan sesuatu yang tidak diajar Rasulullah.

Selain itu, mereka juga berpendapat pahala bacaan ayat suci al-Qur’an tidak sampai kepada arwah.

Malah amalan ini disamakan dengan budaya hindu.
Bagi majority umat Islam di Malaysia, kita menerima pakai amalan ini kerana ia mempunyai dalil, diamalkan oleh para alim ulamak kita dan telah diputuskan oleh fatwa negeri-negeri.

Maka usaha untuk mempertahankan pegangan dan fahaman ini dilakukan. Justeru, berlakulah pertentangan antara kedua golongan ini. Lalu masyarakat menjadi mangsa.

Maka, diharapkan semua pihak mampu memberi perhatian terhadap permasalahan ini. Sekaligus mengambil inisiatif terhadap langkah-langkah pencegahan yang berkesan.

Methodologi fahaman al-Tabdi’ :
Hasil kajian terhadap buku-buku, majalah, ceramah, seminar, forum dan CD yang dikeluarkan golongan ini didapati mereka menyebarkan fahaman seperti berikut :
1) Mengetengahkan isu kafir-mengkafir
2) Mempromosi ayat mutasyabihat secara meluas
3) Mendasari salah faham terhadap bid’ah
4) Menyerang golongan tasawuf/tarekat
5) Menyuburkan fahaman memvisualisasikan Tuhan
6) Menentang fatwa Kebangsaan dan negeri-negeri
7) Mempunyai fahaman yang keras dan ekstrem
8) Menolak pegangan imam mazhab


Kedudukan :
Isu fahaman ini sebenarnya telah dibincangkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-14 yang bersidang pada 22-23 Okt 1985.

Namun kuasa menentukan status fahaman ini tertakluk kepada bidang kuasa Kerajaan negeri untuk memfatwakannya. Oleh itu, amatlah wajar fatwa mengenai fahaman ini diputuskan. Usaha ini sedikit sebanyak mampu meleraikan permasalahan yang berlaku.

Semoga usaha pembangunan insan dan tamadun tidak terganggu dengan fahaman rigid golongan ini.


Sunday, December 2, 2007

HAKIKAT SEBENAR FAHAMAN AL-WAHHABIYAH (AL-TABDI’)


HAKIKAT SEBENAR FAHAMAN AL-WAHHABIYAH (AL-TABDI’)


OLEH:
HJ ZAMIHAN HJ MAT ZINPEN. PENGARAH ILIM, BANGI.

1.0 PENDAHULUAN
Sejak akhir-akhir ini lahir pelbagai aliran pemikiran dalam memahami Islam sebagai satu cara hidup .

Lantaran itu, kita begitu ghairah mencari identiti hidup yang beteraskan al-Qur’an dan al-Sunnah .

Adakalanya selari dengan Islam dan adakalanya aliran pemikiran tersebut ‘lari dan bercanggah’ dari penghayatan Islam yang sebenar .

Sehinggakan ada dikalangan saudara kita mendakwa bahawa pegangan , fahaman dan sikap mereka sahaja yang benar.

Manakala pegangan, fahaman dan sikap orang lain dianggap menyeleweng. Bahkan dituduh sebagai sesat, mengamalkan khurafat, melakukan syirik dan golongan ini telah mengkafirkan umat islam salaf dan khalaf hatta ulamak-ulamak ahlussunnah wal jamaah dan sebagainya.


Hasilnya, berlakulah aktiviti tuduh menuduh, fitnah-memfitnah dan kafir mengkafir dalam masyarakat. Senario ini bukan sahaja melibatkan ahli adademik dan professional tetapi turut mendatangkan keracunan kepada masyarakat awam kita. Masyarakat kita bingung, keliru dan buntu.

Akhirnya, umat Islam kita berpecah-belah menurut ideology dan fahaman masing-masing. Walaupun kita satu agama, sayangnya fahaman dan kita berbeza.Justeru, kertas am ini ditulis secara ringkas bagi mengunkapkan sedikit tentang latarbelakang permasalahan, membentuk pemahaman sekaligus mencerna pendirian dalam menghadapi isu ini. Khususnya dalam memahami fahaman al-Wahabiyyah atau dengan kata lain fahaman al-Tabdi’.

Memandangkan isu ini telah dibincang secara terbuka di televisyen, radio, akhbar dan majalah maka kita juga harus berlapang dada dan bersifat terbuka dalam membicarakannya.


2.0 DEFINISI
Al-Wahabiyyah ialah satu fahaman atau aliran pemikiran yang dinisbahkan kepada pengasasnya Muhammad bin Abdul al-Wahab (1115H-1206H). Pemahaman ini muncul hasil tanggungjawab beliau terhadap isu-isu agama yang berlaku pada waktu itu.

Asasnya ialah beliau begitu fanatik terhadap pendapat-pendapat keras al-Hanabilah, pendapat Ibnu Taimiyyah dan ditambah dengan pendapat sendiri. Walaupun sikapnya itu ditentang oleh ayahnya sendiri, namun beliau tetap berkeras dengan pemahaman dan pendekatan yang dirasakan releven itu. Penisbahan ini muncul dari kalangan masyarakat tempatan yang bertentangan pendapatnya dengannya dengan memanggilnya dengan gelaran Ibnu Abdul Wahab , dan akhirnya menjadial-Wahhabi .

Namun apabila beliau memperagakan akidah al-Salaf menurut kacamatanya , maka kita katakan “al-Salafiyyah al-Wahabiyyah.”Kesimpulanya, samada penisbahan ini tepat atau tidak bukan soalmya. Ini kerana penisbahan tersebut tersurat dalam lipatan sejarah. Namun apa yang penting adalah pemahaman dan aliran pemikiran yang dibawanya, Apabila diteliti dan dikaji, jelas pemahaman al-Wahabiyyah menjadikan pendekatan al-Tabdi’ ,iaitu satu fahaman yang menghukum bid’ah golongan yang tidak selari dengan pandangan mereka dan mengkafirkan umat islam secara terang-terangan hatta berani membunuh beribu-ribu umat islam pada zamannya yang kemudiannya jenayah bunuh ini disambung oleh pengikut Muhamad abd wahhab yang fanatik/taksub dengan ajaran sesat Wahhabi.

Sejarah Wahhabi yang hitam ini banyak dirakam di dalam kitab2 ulamak muktabar seperti da dalam kitab Fitnah wahhabiyah karangan Sayyid Zaini Dahlan Mufti Mekah .


3.0 FIRASAT ULAMAK TENTANG MUHAMMAD ABDUL WAHABI
Imam al-Habib Alwi bin Ahmad bin Hasan bin Shohibur Ratib Habib ‘ Abdullah al-Haddad dalam kitabnya “Mishabul Anam” m/s 15 menceritakan seperti berikut:-

“Aku telah diberitahu oleh seorang tua yang bersinar wajahnya kerana kesolehannya dan sudah melebihi 80 tahun umurnya, Beliau salah seorang pemuka kita keluarga Abu ‘Alawi yang lahir dan membesar di Makkah dan kerap berulang alik ke Madinah.

Nama beliau Musa bin Hasan bin Ahmad al-‘Alawi berketurunan Sayyidina ‘Uqait bin Salim, saudara Sayyidina Quthubus-Syahir asy Syaikhul Kabir Abu Bakar bin Salim.

Beliau berkata :

"Aku dahulu berada di Madinah belajar kepada asy-Syaikh Muhammad Hayat (as-Sindi al-Madani). Muhammad bin Abdul Wahab juga berulang-alik ke majlis Syeikh Muhammad Hayat seperti murid-murid lainnya, Aku mendengar daripada orang-orang soleh dan ulama, sebagai kasyaf daripada mereka, firasat mereka mengenai Muhammad bin Abdul Wahab di mana mereka menyatakan bahawa dia akan sesat dan menyesatkan Allah dengannya orang yang dijauhkan dari rahmatNya dan dibinasakanNya.

Dan demikian yang telah berlaku (yakni firasat mereka telah menjadi kenyataan) sehingga Syeikh Abdul Wahab, bapa kepada Muhammad bin Abdul Wahab, juga berfirasat sedemikian terhadap anaknya, dia telah menasihati dan mengkritik anaknya serta memperingati orang lain berhubung sikap anaknya itu.Di antara ulama yang mempunyai firasat sedemikian juga ialah Syeikh Muhammad Hayat as-Sindi dan Syeikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi al-Madani asy-Syafi’i.

Syeikh Sayyid Ahmad Zaini Dahlan menceritakan berhubung firasat Syeikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi dalam kitab-kitabnya.Dan perlu diketahui bahawa Syeikh Sayyid Ahmad Zaini Dahlan mempunyai sanad riwayat daripada Syeikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi seperti berikut:-

Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan daripada Muhaddis Syam Syaikh Abdur Rahman al-Kuzbarly daripada al-Hafiz al-Hujjah Abdullah al-Kurdi al-Madani daripada al-Muhaddis al-Musnid Syaikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi al-Madani.

Dalam isu Muhammad bin Abdul Wahab tidak ada langsung Syeikh Abdur Rahman al-Kuzbari menolak kata-kata Syeikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi dan beliau adalah tokoh utama dalam bidang periwayatan hadis yang terkenal dalam dunia Islam.


Kesimpulannya, perawi-perawi tersebut adalah orang yang dipercayai dan tidak berbohong. Syeikh Sulaiman al-Kurdi bukan sahaja berfirasat mengenai Muhammad bin Abdul Wahab, tetapi setelah zahir fitnah Muhammad bin Abdul Wahhab beliau telah ditanyai mengenainya dan membuat jawapan untuk menolak ajaran Muhammad bin Abdul Wahab.

Kitab yang ditulis oleh Syeikh Sulaiman bin Abdul Wahab al-Hanbali, saudara kandung Muhammad bin Abdul Wahab, yang berjudul “Syawa’ iqul Ilahiyyah”, sudah cukup membuktikan penyelewengan Muhammad bin Abdul Wahab dan sekaligus membuktikan kebenaran firasat para ulama dan solihin di atas.

Bukan sahaja Syeikh Sulaiman sahaja yang menceritakan kesesatan Muhammad bin Abdul Wahab bahkan ramai lagi ulama sehingga Habib Alwi al-Haddad pada mukasurat 3 kitab “Misbahul Anam” membuat kesimpulan bahawa kesesatan Muhammad bin Abdul Wahab telah disampaikan oleh ramai ulama secara tawatur dalam tulisan-tulisan mereka daripada orang-orang yang tsiqah dari kalangan ulama-ul-akhyar (terpilih) dan selain mereka yang telah melihat dengan matanya sendiri dan mendengar dengan telinganya sendiri akan kesesatan Muhammad bin Abdul Wahab dan pengikut-pengikutnya dan juga tulisan-tulisan, perkataan, perbuatan dan perintah Muhammad bin Abdul Wahab dan pengikut-pengkutnya.

Sememangnya firasat bukan hujjah, tetapi tidak boleh diketepikan mentah-mentah.

Apatah lagi, jika ada qarinah lain membuktikan kebenaran firasat tersebut. Ingat Junjungan Nabi Shallallahu alayhi wasalam bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi dan Imam al-Tobrani :

“Takutilah firasat orang mukmin, kerana bahawasanya dia memandang dengan cahaya Allah.”

4.0 PERIOD FAHAMAN AL-WAHABIYYAH
Gerakan dakwah ini secara umumnya mengalami tiga peringkat :

A-Kerajaan Saud yang pertama :1) Period Muhammad bin Abdul Wahab & Muhammad Su’ud (1153H-1206H)

2) Period Abdul Aziz al-Saud & Saud Abdul Aziz (1762M-1814M)3) Period Abdullah Al-Saud – Ditangkap – Dipancung (1814M-1818M)B-Kerajaan Saud yang kedua :

1) Muncul Faysal al-Turki al-Saud (1835M-1838M)- dibawa ke Mesir dan dipenjara-( 1843M)-melarikan diri2) Faysal memulakan pemerintahan al-Saud ke-2 di Najad3) Kolonel Lewis Pelly (Peg Kanan Tentera British ke teluk bertemu pemimpin Wahabi)

4) Faysal meninggal dunia akibat kecederaan serius dalam pertempuran dan diganti oleh saudara Abdullah (1874M)

5) Abdul Rahman bin Faysal al-Saud berjaya menakluki Riyadh (1889M)

6) Riyadh berjaya ditawan kembali oleh Jeneral Muhammad bin Rasyid (1890)

7) Abdul Rahman bin Faysal berjaya lari ke Kuwait.


C-Kerajaan Saud yang ketiga :

1)Munculnya Abdul Aziz al-Saud menawan semula Riyadh (1902)

2) Captain WHI Shakespeare (agen British) di Kuwait menemui Amir Abdul al-Aziz (1910) dan mengatur pertemuan dengan Sir Perry Cox dan melantik Philby sebagai penasihat amir (1915)

3) Berlakunya Uqary Conference antara Brtish dan Saudi. Abdul al-Aziz dianugerahkan 60,000 pound setahun kerana khidmatnya pada British dan kemudiannya dianugerahkan Knight Of Grand Commander of The Most Eminent Order of The Indian Empire.

4) Amir Abdul al-Aziz menghapuskan Ikhwan al-Najdi. British membekalkan 4 pesawat, 200 kenderaan tentera dalam operasi ini. Faisal al-Duuwaish telah ditangkap oleh British di Kuwait dan menyerahkan kepada Abdul Aziz (1930M).

5) Tahun 1931M, Philby membawa masuk jutawan US Charles R. Crane & Kari Twithcell untuk meneroka minyak di teluk.

6) Pada tahun 1933, Syarikat Standard Oil of California mendapat konsesi minyak selama 60 tahun dan dikenali dengan AramCo. Ini merupakan sebahagian dari strategi Philby untuk membawa campurtangan Amerika terhadap Saudi.

7) Kerajaan Saudi Arabia terbentuk secara rasminya pada tahun 1932M dengan identiti Pedang bersilang sampai ke hari ini.

5.0 INTISARI PENTING FAHAMAN AL-WAHABIYYAH
Berikut merupakan sebahagian methodology fahaman al-Wahabiyyah. Antaranya :

1)Meneruskan fahaman pemecahan Tauhid kepada 3 bahagian.

2)Bergerak aktif dengan isu syirik-mensyirik , kafir-mengkafir.

3)Mempromosi ayat mustasyabihat secara meluas.

4)Mendasari salah faham terhadap bid’ah

5)Menyerang golongan tasawuf /tarekat.

6)Menyubuhkan fahaman Tasbyih dan Tajsim

7)Menentang fatwa Kebangsaan dan negeri-negeri

8)Mempunyai kaitan rapat dengan gerakan militant

9)Bersikap fanatik

10)Menolak pendekatan Mazhab dalam Islam

6.0 TOKOH –TOKOH
Toloh-tokoh Wahhabiyyah terdahulu tidaklah ramai jika dibandingkan dengan ulamak-ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Di sini perlu didedahkan tokoh-tokoh yang menyebarkan fahaman wahabiyyah di Timur Tengah.Antaranya ialah:

6.1 Ibn al-Alusi (1202-1317)

6.2 Abdul al-Rahman al-Mua’llimiy (1313-1386)

6.3 Al-Qanuji : Sidq Hassan al-Khan

6.4 Hamad bin Nasr bin Uthman al-Najdi

6.5 Ahmad Ibrahim al-Najdi6.6 Jamaluddin al-Qasimi al-Dimasyqi

6.7 Muhammad Khalil Harras al-Masri

6.8 Abdul Razzaq Afifi Ahmad Syakir al-Masri

6.9 Nasr al-Din al-Banni

6.10 Zuhair Syawisy

6.11 Muhammad Nasib al-Rida’i

6.12 Mahmud Mahdi Istanbuli

6.13 Hamud al-Tuwaijri

6.14 Ibnu Baz(Abdullah bin Baz)

6.15 Hamad al-Ansari

6.16 Abu Bakar al-Jaza’iri

6.17 Soleh Uthaimin

6.18 Soleh Fauzan

6.19 Abdullah bin Sa’di al-Ghamidiy

6.20 Muhammad Jamil Zainu

6.21 Umar Sulaiman Asyqar

6.22 Furaih bin Soleh al-Bahlul

6.23 Salim al-Hilali

6.24 Marwan al-Qaisi

6.25 Abdul Qader al-Arnawuth.


7.0 IMPLIKASI
Penyebaran fahaman ini sedikit sebanyak memberi ancaman kepada umat Islam di Malaysia. Hampir-hampir kita bakal menjadi Indonesia.

Antara implikasinya ialah:

7.1 Memberi fokus perdebatan kepada masalah usuliyyah-akidah dengan sifat-sifat Allah.

7.2 Memberi fokus tentang permasalahan khilafiyyah-bid’ah dan mencambahkan bibit perpecahan dan kekeliruan fahaman dalam masyarakat.

7.3 Munculnya pelbagai aliran, puak dan fanatic kepada ustaz-ustaz atau pensyarah tertentu. Akhir menggunakan fatwa tersendiri dalam menyampaikan hukum kepada masyarakat awam.

7.4 Membelakangi JAKIM, Jabatan-jabatan Agama Islam Negeri, PUM, IKIM, YADIM dan

Majlis Fatwa Kebangsaan dalam penentuan dan penyebaran hukum.


8.0 SENARAI HUJJAH AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH KE ATAS FAHAMAN AL-WAHABIYYAH

9.0 STATUS
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-27 yang bersidang 31 Mac 1994 dan 14 pada 22-23 Oktober 1985 telah memutuskan bahawa fahaman Ittiba’ al-Sunnah atau Fahaman al-Salafiyyin, Kaum Muda atau Al-Wahabiyyah dan yang sealiran dengannya boleh membawa kekeliruan dan perpecahan kepada masyarakat dan perlu disekat.

Adalah menjadi hak untuk Kerajaan Negeri untuk menfatwakannya samada sesat atau menyeleweng.

10.0 KESIMPULAN
Antara usaha yang boleh diambil dalam menangani isu fahaman ini ialah:

10.1 Kita perlu memahami isu ini dengan sebaik-baiknya dan menyedari implikasi yang berlaku hasil penyebaran fahaman ini.

10.2 Menggesa JAKIM, JAIN, PUM, IKIM, YADIM dan NGO Islam yang lain bersatu untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama tentang fahaman ini.

10.3 Menapis atau menyekat buku-buku, majalah, laman web, pendakwah ekstrem yang didapati menyebarkan fahaman ini.

10.4 Memantau sebarang aktiviti yang dianjurkan mereka termasuk seminar, forum, ceramah dan sebagainya.

10.5 Usaha pendidikan dan penerangan perlu dilakukan secara menyeluruh dan bersepadu.

10.6 Kita perlu menggunakan pendekatan yang bijak dalam menangani kes ini. Ibarat menarik rambut di dalam tepung.

Subhanallah..marilah sama-sama kita meyelamatkan diri kita dan berpesan kepada saudara islam kita yang lain daripada mereka ini, yang pada zahirnya menunjukkan persenaliti islam,berkopiah,berjubah,tapi akidah mereke bertereskan Muhammad abdul wahhab, ibn Taimiyyah yang membawa kepada tajsim dan tasybih.

Akidah mereka ini pada hakikatnya di ambil terus dari akidah yahudi dan agama-agama sesat lain bukannya akidah nabi Muhammad dan para sahabat.Nauzubillah……

Ya Allah selamatkan bumi Malaysia daripada Wahhabi..

AL-GHARI

AJARAN SESAT DAN BAHAYANYA TERHADAP AGAMA DAN NEGARA


AJARAN SESAT DAN BAHAYANYA TERHADAP AGAMA & NEGARA

OLEH: HJ ZAMIHAN HJ MAT ZIN
PEN PENGARAH ILIM,BANGI.

http://www.al-ghari.blogspot.com/

INTISARI :
1- PENDAHULUAN
2- DEFINISI
3- CIRI-CIRI AJARAN SESAT
4- SEBAB-SEBAB KEMUNCULAN
5- CONTOH AJARAN SESAT
6- BAHAYA TERHADAP AGAMA
7- ANCAMAN TERHADAP NEGARA
8- LANGKAH MEMBANTERAS
9- PENUTUP.

1- PENDAHULUAN
Umat islam terdedah kepada pelbagai ancaman yang boleh merosakkan pegangan, fahaman dan sikap keperibadian muslim.
Ancaman tersebut terbahagi dua :
Ancaman Dalaman
Ancaman Luaran.Ajaran sesat muncul dari kombinasi kedua-dua ancaman di atas.

2. DEFINISI
Ajaran sesat ialah ajaran atau fahaman yang menyimpang dari landasan sumber perundangan Islam.
Sumber perundangan Islam :
Al-Qur’an
Al-Sunnah
Ijmak
Qiyas
Masalih Mursalah
Istihsan
dan Uruf.
Penyelewengan tersebut merangkumi Aqidah, syariah dan akhlak.

3. CIRI-CIRI AJARAN SESAT
Menolak penghujahan Al-Qur’an dan al-Hadis.
Tidak menggunakan tafsiran Al-Qur’an dan al-Hadis secara benar.
Bersepakat di atas dasar kepalsuan dan kepentingan.
Menyelitkan unsur-unsur tarekat.

CIRI AJARAN SESAT...
Berhubungan dengan kuasa jin, syaitan dan Iblis.
Ta’asub kepada ketua atau pemimpin.
Sembrono dlm pengambilan hukum dan fatwa.
Bersifat tertutup dan bergerak secara rahsia
Mengambil shortcut terhadap perintah Allah dan RasulNya.
Wujudnya Hidden agenda.

4- SEBAB KEMUNCULAN :
1- Kejahilan ilmu agama.
2- Kelemahan Ulamak.
3- Kegagalan pemerintah.
4- Ketandusan spiritual.
5- Mudah terpengaruh.
6- Mengambil jalan mudah.
7- Persembahan menarik.
8- Ingin Mencuba.
9- Jaringan yang kuat.
10- Tidak prihatin.

5.CONTOH KUMPULAN AJARAN SESAT :
1
-FAHAMAN BLACK METAL :
a- Menghina kewujudan Tuhan semua agama.
b- Pemujaan syaitan dalam muzik dan lagu.
c- Menggunakan simbol-simbol syaitan.
d- Aktiviti dijalankan secara rahsia.
e- Mengoyak dan membakar Al-Qur’an.
f- Fanatik kepada ketua.
g- Menjalankan upacara seks bebas.

2- JANGAN IKUT TUHAN (JIT) :
a- Tiada pegangan agama.
b- Mengamalkan Pemujaan Syaitan.
c- Mempunyai upacara ritual tersendiri.
d- Mengoyak dan membakar Al-Qur’an.
e- Bersifat Fanatik.
f- Tidak suka bergaul dengan masyarakat.
g- Bergerak secara rahsia.

3 - AJARAN AYAH PIN@HASAN ANAK RIMAU
a-Tiada guru dan kitab agama muktabar.
b-Fanatik terhadap guru dan ajaran.
c-Mengaku sebagai Tuhan.
d-Mendakwa sbg utusan Para Nabi dan Dewa2.
e-Mendakwa tidak perlu bersolat.
f- Mendakwa Al-Qur’an sebagai merepek.
g-Hari Kiamat tidak wujud.
h-Mendakwa menguasai Kerajaan Langit.
i- Mendakwa bersetubuh dgn guru menghapus dosa.

4 - AJARAN ANTI HADIS :
a- Hanya menggunakan Al-Qur’an sahaja.
b- Menolak penghujahan Al-Hadis.
c- Tafsiran berdasarkan logik akal.
d- Ta’asub kepada sesuatu pandangan.
e- Tidak menerima pandangan orang lain.

5 - GOLONGAN AL-WAHABIYYAH :
a-Fanatik terhadap pandangan Ibn Taimiyyah dan Muhammad Abd Wahhab (FAHAMAN TAKSUB BEGITU DALAM SEOLAH-OLAH IBN TAIMIYYAH DAN MUHAMMAD ABD WAHHAB ITU NABI)
b-Cenderung kpd fahaman Tajsim & Tasybih.
c-Gagal memahami konsep bid’ah.
d-Fahaman bersifat ekstrem dan radikal.
e-Mudah mengeluarkan hukum dan fatwa (FATWA SESAT BERCANGGAH DENGAN IJMAK).
f- Tidak menghormati perselisihan pendapat.
g-menolak simbolik di dalam al-quran. ( Majaz).
h-mengkafirkan umat islam(sehingga ramai yang taksub dengan aliran wahhabi menghalalkan darah orang muslimin)

6 - GOLONGAN MUKTAZILAH :
a-Menafikan setengah dari sifat Allah.
b-Menganggap Al-Qur’an itu makhluk.
c-Mendahului dalil Aqal daripada dalil Naqal.
d-Melakukan dosa besar masuk neraka.

7 - AJARAN AL-ARQAM :
a-Mendakwa bertemu Nabi SAW secara jaga.
b-Mengamalkan Aurad al-Muhammadiyyah.
c-Mengaku sbg pemuda Bani Tamim.
d-Menyemai fahaman radikal.
e-Bersifat fanatik.
f-Hanya dalam kelompok mereka.
g-Sukar menerima pandangan orang lain.

8 - GOLONGAN SYIAH :
a-Fanatik kpd Sayyidina Ali KWH dan keturunannya.
b-Menganggap Al-Qur’an kini tidak sempurna.
c-Melakukan ibadah secara tahkiyyah (pura-pura)
d-Mengamalkan Nikah Mut’ah (kontrak).
e-Solat dengan menggunakan tanah dari Karbala’
f-Menanti kemunculan Imam Mahdi.
g-Terbahagi kepada beberapa puak.

9- AJARAN-AJARAN YANG LAIN :
a-AJARAN BAHTERA NABI NOH.
b-AJARAN TAREKAT IBRAHIM BONJOL.
c-AJARAN AHMAD NAKHODA.
d-AJARAN AHMAD LAKSAMANA.
e-AJARAN HJ KAHAR .
f-AJARAN BAHAI.
g-AJARAN QADYANI DLL.

6 – BAHAYA TERHADAP AGAMA :
1- Gejala murtad berleluasa.
2- Mengancam nyawa, aqal, maruah
dan harta benda.
3- Agama difitnah sebagai ‘ganas’.
4- Timbul salah faham terhadap agama.
5- Menghakis ketulinan agama.
6- Menodai kesucian agama.

7- BAHAYA TERHADAP NEGARA :
1- Mengancam keselamatan Negara.
2- Menggugat perpaduan masyarakat.
3- Mengganggu kestabilan politik.
4- Menimbulkan kekacauan.
5- Mengorbankan nyawa.
6- Merosakkan harta benda.
7- Merencat proses pembangunan.

8. LANGKAH2 MEMBANTERAS :
Menyemarak budaya ilmu agama.
Ulamak memainkan peranan serius.
Merancakkan dakwah secara sepadu.
Menguatkuasakan undang-undang.
Pendedahan secara berterusan.
Menyemai kekuatan spiritual.

9-PENUTUP :
1- Berpegang teguh dengan ajaran agama.
2- Hindarkan diri dari ajaran sesat.
3- Tingkatkan kefahaman dan kesedaran
tentang bahaya ajaran sesat.
4- Merujuk kepada alim-ulamak muktabar.
5- Memperkasakan kerohanian.

DARI PENANG KE PERLIS SEKIAN TERIMA KASIH
AL-GHARI http://www.al-ghari.blogspot.com/

Visit Bil.

 

blogger templates 3 columns | Techzilo