Tuesday, July 27, 2010

DIKECAM WAHHABIY SINGAPURA

Senarai pembentang kertas kerja Seminar Ahli Sunnah Wal Jamaah Singapura pada 6-7 Febuari lalu.
Zamihan: Benar ustaz Singapura ‘kecam’ saya, tapi tak saman Oleh G. Manimaran June 25, 2010

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Zamihan Mat Zin mengakui kertas kerjanya mengenai fahaman wahabi dan ekstremisme di Singapura awal tahun ini mencetuskan rasa tidak senang pada diri seorang ustaz republik itu, yang bukunya telah diharamkan kerajaan Malaysia. Bagaimanapun Zamihan, pegawai kanan Institut Latihan Islam Malaysia itu berkata, beliau tidak disaman oleh ustaz berkenaan yang juga Pengarah Fiqh Consultancy & Services, Abdul Rahman Mohamed sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak.
"Tak ada, tak ada... ceritanya begini. Saya dijemput oleh Persatuan Pembangunan Insan dan Akhlak dari Singapura untuk membentangkan kertas kerja mengenai ancaman pemikiran ektremis di rantau nusantara.


"Saya membentang dan mengatakan bahawa penyumbang kepada kegiatan ektremis di rantau Singapura dan rantau Asia Tenggara ini (salah satu darinya) ialah (amalan) wahabi, lihat Al-Qaeda wahabi, JI wahabi, KMM wahabi... (mereka mendakwa) orang lain tak betul, orang lain tak Islamik, orang lain tak sunnah, mereka sahaja yang sunah, mereka hendak menekankan p(pemikiran agama) ikut acuan mereka sendiri," kata Zamihan pada satu pertemuan dengan The Malaysian Insider di pejabatnya di Bandar Baru Bangi semalam.


Zamihan menjelaskan, beliau menerima beberapa mesej dari emel berkumpulan yang mempertikaikan pembentangannya di Singapura dengan pelbagai kritikan. Kata beliau, antara yang mengkritiknya ialah Abdul Rahman sendiri, yang merupakan penulis buku berjudul "Pelik Tapi Benar" yang telah diharamkan oleh Malaysia. "Bila saya berada di Singapura saya mempampangkan buku itu... (saya memberitahu bahawa) ini buku yang mencetuskan elemen ekstremis dalam ibadat. Sebab itu ia diharamkan oleh kerajaan Malaysia. "Bila saya tunjukkan buku ini, saya dituduh, dia (Abdul Rahman) marah saya, menuduh saya mengkafirkan orang dan saya ektremis, saya mengganggu gugat keselamatan Singapura. "Dia hantar emel saya tak balas dan selepas lima enam emel, saya balas dengan saya menjawab saya membentangkan soal-soal yang berkaitan dengan ekstremis.


"(Saya kata) buku kamu diharamkan kerana mengandungi elemen ekstremis. Kamu tak setuju bahagian mana, maklum dan kita boleh bincang bila-bila masa, di Malaysia atau di Singapura," kata beliau dengan menambah Abdul Rahman tidak menjawab emel berkenaan. "Saya emel tetapi tak jawab. Dia tak balas, itu sahaja. "Kemudian dia kata dia tak berpuas hati dan mahu saman penganjur yang menjemput saya menyampaikan ceramah.


"Penganjur itu pun dia dakwa saya ceramah dengan mengkafirkan dia, mengkafirkan pihak wahabi dan mengancam keselamatan Singapura," kata Zamihan dengan mendakwa, beliau hanya bercakap dalam konteks kenegaraan. Zamihan berkata, Abdul Rahman tidak boleh menyamannya dan jika mahu beliau boleh mengemukakan saman terhadap kerajaan Malaysia.
"Saya cakap atas proses undang-undnag. Kalau buku anda diharamkan (Kerajaan Malaysia) bermakna buku anda ada masalah. "Kalau dia hendak saman, saman kerajaan atau penganjur, dan kalau mahu saman saya, hanya sebagai defendan yang ketiga," katanya lagi.
Berita Harian Singapura edisi 11 Jun lalu melaporkan bahawa Abdul Rahman telah mengemukakan saman fitnah jenayah ke atas 10 individu yang memimpin Persatuan Pembangunan Insan dan Akhlak.


Abdul Rahman, 52, dipetik berkata beliau memfailkan saman itu pada 14 April lalu.
Beliau mengemukakan saman itu antaranya ke atas Presiden persatuan itu Tengku Mohamad Fouzy Mahit Jumat; Naib presidennya Aspar Anwar; Setiausaha Noormah Abdul Wahab dan Bendahari Mustafa Ismail. Pertikaian Abdul Rahman dengan kepimpinan persatuan itu berpunca daripada kenyataan yang menurut beliau berunsur fitnah oleh Zamihan semasa badan itu mengadakan seminar bertemakan Mengukuh Pegangan Jalan Yang Selamat di Masjid Sultan 6 dan 7 Feb lalu. Abdul Rahman mendakwa Zamihan telah mencemar nama baiknya dengan menyatakan beliau "mencetuskan pemikiran ekstrem" menerusi bukunya, Pelik Tapi Benar yang diterbitkan Julai 2005.


"Memandangkan fitnah terhadap saya ini telah dibuat menggunakan suatu platform yang mengaitkan tidak secara langsung nama beberapa institusi berwibawa, maka ia mempunyai kesan serius terhadap nama baik saya."Saya rasa sangat perlu mengambil tindakan sedemikian, setelah segala saluran penyelesaian yang lain tidak membuahkan hasil. "Tujuan saya agar masalah ini dapat dijadikan pelajaran pada masa akan datang, bahawa (adalah penting) menjaga hubungan baik dengan saling menghormati dan tidak mengambil pendekatan mencemuh dan mengeji kefahaman orang lain (apatah lagi) antara sesama Muslim," katanya.

Ulasan :


1) Dengan nama Allah, al-Akh Us Abd Rahman Mohamed pernah menulis dalam beberapa email yang ditujukan kepada asatizah Singapura bahawa beliau tidak berpuashati dengan Seminar Ahli Sunnah di atas. Terutamanya terhadap Us Zamihan yang memaparkan pengharamannya bukunya "Pelik Tapi Benar Dlm solat" oleh Kerajaan Malaysia. Email beliau masih ada dengan saya. Jika perlu boleh dipaparkan. Insya Allah.


2) Dalam syarahan saya, saya tidak menuduhnya kafir, musyrik, ahli bid'ah, sesat @ pengganas.Tetapi lontaran pemikiran menerusi bukunya itu didapati mengandungi elemen ekstremis. Jika tidak, mengapa buku berkenaan diharamkan Kerajaan Malaysia? Rakaman syarahan berkenaan ada ditangan saya. Semua pihak boleh menganalisa. Termasuk SB Singapura yang turut mendengar syarahan saya. Saya tidak mengaitkan beliau isu takfir, tasyrik atau tabdi' sama sekali. Sebaliknya, saya mempunyai bukti dari beliau yang mendakwa saya syiah, seminar takfir, sufi yang sesat dan memecahbelah umat Islam Singapura. Naah, sekarang..siapa sebenarnya yang mencemuh siapa? Saya ingin tegaskan kepada semua.. Jika anda bukan dari rumpun Wahhabiy mengapa harus kepanasan bila saya mengkritik 'fahaman Wahhabiy'?Maaflah tuan-puan, saya bukan Ustaz yang hanya kerja cari makan. Sebaliknya, saya akan terus berjuang untuk menentang mana-mana fahaman yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah arus perdana samada Wahhabiy, Syiah, Islam Liberal, HizbutTahrir, Arqam atau mana2 ajaran sesat sekalipun terpaksa berkorban nyawa.


3) Semenjak selesai Seminar dulu hingga sekarang, Us ARM tidak pernah menunjukkan minat untuk menyelesaikan kes berkenaan. Sebaliknya seorang dua individu yang mungkin pengikutnya ada menelefon saya memaki dan mencerca tanpa memberitahu tujuannya menelefon saya. Malah saya sendiri pernah menghantar email dalam asatizah group singapura supaya diadakan debat terbuka antara saya dengan beliau dan diadili oleh SS Mufti Singapura. Tetapi sampai sekarang masih tiada jawapan. Oleh itu, jika ada mana-mana pihak yang ingin mengatur diskusi @ muzakarah terbuka di Singapura, saya bersedia dalam masa 24 jam. Hubungi saya : Zamihan bin Mat Zin : 012 246 5518 atau emailkan : zamihan@islam.gov.my utk urusan rasmi.


4) Buat pengetahuan semua, al-Akh Us Abd Rahman Mohamed pernah memfailkan saman sebanyak dua kali ke mahkamah Singapura untuk memproses samannya kepada beberapa sahabat saya di atas. Tetapi sampai sekarang tiada jawapan dari mahkamah. Ini menunjukkan kes yang difailnya tidak cukup kuat untuk dibawa ke pengadilan. Saya menyepi sebelum ini bukan beerti takut. Tetapi ingin melihat setakat mana tindakan yang boleh dilakukan oleh golongan ini. Kebanyakkan speaker menyampaikan mesej syarahan yang sama, tetapi mengapa hanya saya menjadi sasaranya. Pun begitu, tiada kesedihan dan dukacita bagi saya. Saya yakin dengan perjuangan Akidatu Tanzih.

Wednesday, July 21, 2010

WAHHABIY TAKFIR

Bukti Eksklusif Wahhabiy mengkafirkan Ulamak & Umat Islam


Ada sesetengah kita yang masih mendakwa isu fahaman Wahhabiy ni furuk je. Apa nak bising-bising. Mereka masih ragu-ragu dengan elemen takfir yang terdapat pemikiran Wahhabiy. Kini kami bawakan secara live kepada anda bahawa kami menentang fahaman Wahhabiy disebabkan golongan ini memiliki hobi untuk mengkafirkan ulamak dan umat Islam yang tidak sependapat dengan mereka. Seterusnya menghalalkan darah umat Islam dan melakukan pembunuhan kejam. Berikut merupakan bukti Takfir eksklusif dari Kitab Muhammad Abdul Wahhab sendiri sebagai pengasas Gerakan Wahhabiy. Kasihanilah umat ini, katakan tidak pada Wahhabiy.

Sunday, July 18, 2010

PATUHI FATWA KEBANGSAAN

Fatwa muktamad tentang ESQ


Isu ESQ bukanlah isu terbesar @ paling besar. Sebaliknya ia merujuk kepada kandungan pemikiran dan pelaksanaan modul latihan pembangunan insan untuk meningkatkan karekteristik seseorang. Jika di ILIM, ia mirip kepada Kursus Bina Insan @ Kursus Bina Taqwa untuk pegawai Kerajaan, Institusi mahupun sekolah. Pelaksanaan kursus berteraskan latihan Islam amat diperlukan memandangkan sebelum ini kita banyak menikmati modul latihan berasaskan hindu, kristian, sekular, liberal @ orientalis samada bercorakkan hiburan, semangat kendiri, berpasukan mahupun politik kenegaraan.
Usaha ESQ 165 untuk mewujudkan suasana latihan berteraskan Islam memang layak dipuji. Malangnya, atas sedikit kesilapan, kekurangan dan berbeza tafsiran ia dilihat sesetengah pihak sebagai boleh membawa penyelewengan akidah. Walhal keputusan dikalangan Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada masa tu belum muktamad. Di samping itu, ulasan sesetengah agamawan lebih banyak mengundang keraguan berbanding pencerahan.Bahkan lebih merancukan keadaan.
Bagi saya, terdapat beberapa elemen yang memerlukan dasar penelitian mendalam terhadap ESQ :
1) Kajian terhadap ESQ perlulah berdasarkan kepada kajian keperpustakaan (tekstual), kajian lapangan, temubual dan soalselidik. Semua ini penting bagi menjustifikasikan dapat kajian yang berwibawa dan komprehensif.
2) Istilah yang digunakan seperti : Suara Hati (inner self), God Spot (akal mencari Tuhan), kemerdekaan berfikir dan lain-lain memerlukan huraian dari penutur dan kefahaman alumninya. Aspek ini penting supaya ada kesinambungan antara lafaz, penggunaan istilah dan tingkat kefahaman alumni. jika istilah ini dinilai secara tekstual sahaja nescaya ia mengundang pelbagai tafsiran sekaligus membuahkan natijah yang berbeza.
3) Jika benar ada perubahan terhadap modul latihan ESQ ia menunjukkan pihak ESQ bersikap optimis dengan semua teguran. Bahkan berusaha untuk menambahbaik nilai persembahan dari semasa ke semasa agar selari dgn tuntutan syarak. Jarang2 didapati syarikat berorientasikan pembangunan latihan menerima pakai khidmat Panel Penasihat Syarikat dlm soal ini. Hatta jika orang bukan Islam, sesat @ murtad sekalipun...jika mereka datang kepada anda untuk menerima teguran dan nasihat maka adalah anda tetap melabel seseorang itu sebagai kafir, sesat @ murtad. Fikirkanlah.
4) Kita memerlukan penyeragaman fatwa dan seorang Mufti Besar Malaysia bagi memantapkan pengurusan Hal Ehwal Islam di negara kita. Selain berperanan menasihati Kabinet, Mufti Negara juga bertanggungjawab sepenuhnya dalam hal ehwal teras pengurusan Islam termasuk memperkasakan pengurusan fatwa. Ia bukan sekadar mensistematik pengurusan tetapi turut melonjakkan malaysia sebagai sebuah negara umat Islam yang lebih mampan. Tanpa Jabatan Mufti Negara, kita akan melihat satu demi satu percanggahan fatwa terus berlaku tanpa penyelesaian dan membinggungkan awam.
5) Saya sendiri cenderung kepada keputusan Majlis Fatwa sebagai keputusan yang lebih cermat dan berhati-hati dari kalangan majoriti ulamak di negara ini. Malahan pandangan juga turut mengambil kira pandangan sejagat seperti Majlis Ulamak Islam Indonesia (MUI), Nahdatul Ulamak (NU) dan Muhammadiyyah. Jika ada suara minoriti yang menghukumnya sesat, maka ia hanya pandangan yang syadz yang tidak boleh diterima pakai sama sekali. Ingatlah bahawa umat Nabi SAW tidak berhimpun di atas kesesatan.
6) Majlis JawatanKuasa Fatwa Kebangsaan telah bersidang sebanyak 7X berkaitan pelaksanaan Latihan Kepimpinan ESQ 165. Saya kira persidangan ini sudah matang dan sempurna. Dan tidak lagi berhajat kepada sebarang hujjah untuk mengkontradiksi keputusan yang dikeluarkan. Oleh itu, saya menyeru semua pihak agar bertenang dan mencari penyelesaian terbaik untuk mengatasi isu ini. Wa syukran.

LAPORAN POLIS

LAPORAN POLIS
BERKAITAN KEBOCORAN MAKLUMAT SULIT KESELAMATAN DAN FITNAH

Saya Zamihan bin Mat Zin dengan ini melaporkan bahawa saya telah dijemput oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan rekomendasi dari pihak PDRM Bukit Aman untuk menyampaikan satu taklimat sulit Keselamatan yang bertajuk LATARBELAKANG FAHAMAN EKSTREMIS WAHHABIY DAN PENYEBARANNYA DI IPT pada hari Isnin 21 Jun 2010, jam 9:30 mlm bertempat di Hotel Pan Pacific, KLIA.

Taklimat keselamatan ini dipengerusikan oleh Menteri Pengajian Tinggi dan turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Pengarah Bahagian Counter Terrorisme PDRM dan Naib Canselor IPTA seluruh Negara, beberapa Ahli Majlis Profesor Negara, pegawai Kanan Polis serta Pegawai Kementerian Pengajian Tinggi. Kira-kira 130 yang hadir pada taklimat berkenaan.

Taklimat Isu keselamatan pertama disampaikan oleh SAC II, Tuan Ayob Khan Pitchay Mydin dari Bukit Aman. Manakala saya dijemput menyampaikan taklimat kedua. Kedua-duanya mengandungi rahsia keselamatan Negara berhubung dengan aktiviti Jamaah Islamiah dan pengrekrutan di IPT. Keesokan harinya didapati berlaku kebocoran maklumat sulit berkenaan kepada beberapa media seperti MalaysiaKini (LINGKARAN DR ASRI, WAHHABIY, JI oleh Abdul Rahim Sabri, Jimadie Shah Othman dan Regina) dan Artikel : DR ASRI, MUFTI : MENGAPA KERAJAAN BN BOHONG oleh Jimadie Shah Othman pada 23 Jun 2006 dan lain-lain.Utusan Malaysia, Jumaat 25hb Jun (KERAJAAN NAFI 4 TOKOH TERLIBAT JI- ditulis Nizam Yatim), Berita Harian 24 dan 25 Jun, Sinar Harian 24hb Jun (Muka Depan). Akhirnya isu ini dibicarakan secara terbuka hingga ke saat ini.

Selain itu, beberapa kenyataan yang dipaparkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato Saifuddin Abdullah di dalam akhbar mengandungi beberapa fitnah ke atas saya dengan dakwaan kononya saya mengaitkan beberapa tokoh politik dan agama, Jamaah Islah Malaysia (JIM) dengan aktiviti keganasan JI. Sedangkan saya tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian ketika menyampaikan taklimat sulit di atas.

Saya merasakan kenyataan Saifuddin Abdullah dan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab berunsur fitnah dan tidak benar serta berniat menjatuhkan kreadibiliti saya. Ini adalah satu bentuk penganiayaan bagi saya. Justeru, saya membuat laporan ini untuk melindungi keselamatan diri saya dan menyelamatkan dari fitnah yang disebarkan.

Sekian, Wassalam


Thursday, July 1, 2010

Sultan Johor Tolak Pelampau 'Wahabi' Pecah Belah Perpaduan Umat




Perkukuh akidah Ahli Sunah Wal Jamaah - Sultan Johor (klik UTUSAN)

NUSAJAYA 1 Julai - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyeru umat Islam memperkukuhkan akidah dan amalan hidup berdasarkan pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah.

Sultan Ibrahim menegaskan, ini kerana pegangan berkenaan sumber kekuatan bagi umat Islam berhadapan apa juga suasana dan cabaran.

"Kita perlu peka terhadap ancaman yang boleh membawa kepada perpecahan dan perselisihan antara ummah di negeri Johor ini.

"Seperti fahaman tidak mengamalkan doa qunut, talkin, wirid dan berdoa bersama-sama selepas solat berjemaah serta membaca Yasin pada malam Jumaat, ternyata mampu menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat Islam," titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika perasmian pembukaan penggal ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor Ke-12 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Sultan Ibrahim berkata, usaha memperkukuh dan menjelaskan tentang fahaman yang boleh menjejaskan perpaduan ummah dari segi akidah, ibadah dan akhlak perlu dipergiatkan dari semasa ke semasa.

"Saya ingin mengingatkan semua pihak berkuasa terutama polis, Bahagian Keselamatan Negara, pejabat daerah, Imigresen dan agensi penguat kuasa supaya membendung penularan ajaran-ajaran yang bercanggah dengan fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah," tegasnya.

BERITA HARIAN

Visit Bil.

 

blogger templates 3 columns | Techzilo