Monday, January 28, 2008

AURA SISTEM PENGAJIAN ISLAM MASA KINI


SOROTAN SISTEM PENGAJIAN ISLAM MASA KINI


Setakat melayari laman web atau blog..berapa sen ilmu yang anda dapat. Justeru, secara peribadi saya mengesyorkan para pembaca meluangkan masa untuk hadir dalam program tafaqquh fiddin (belajar agama) secara bertalaqqi dianjurkan oleh pihak-pihak yang berautoriti agama. Seperti kelas-kelas pengajian kitab-kitab lama di masjid, surau dan rumah tertentu melalui guru-guru yang diakui dan diiktiraf ilmu mereka. Perhatikanlah sanad pengajian, tauliah dan peribadi mereka. Insya Allah, sikap cermat ini dapat membantu kita dari ‘tersalah’ berguru. Sekaligus mengelakkan diri dari terlibat dengan ajaran sesat. Bersikap fanatik atau keras kepala dengan sesuatu fahaman.


PENGAJIAN TRADISI SEMAKIN TERHAKIS

Di samping kita mengimarahkan rumah Allah, kita juga berkemampuan mengembalikan sistem pendidikan secara tradisonal. Di mana sistem ini semakin dilupakan oleh generasi sekarang. Arus pemodenan sistem pendidikan yang melanda seluruh dunia Islam telah menyebabkan pengajian secara tradisi semakin terhakis dan tidak ramai ahli-ahli sarjana Islam kontemporari yang mengambil langkah serius untuk mempertahankannya.


GELOMBANG PENGAJIAN SONGSANG

Pengajian fiqh telah dilanda dengan arus 'tajdid' tanpa manhaj yang konsisten. Pendapat ulamak diambil secara borong semacam membeli barangan Pasaraya BORONG. Manakala pendapat yang paling ringan atau mudah dipilih. Sekaligus menjadikan hukum secocok dengan hawa nafsu. Akhirnya, hukum taklif terlerai. Ikut aku..aku. Mafhumnya, manusia bukan lagi suka ikut Allah Yang Satu.

Pengajian Usul Fiqh pula telah melahirkan pelajar yang hanya mengenali ilmu maqasid dari ilmu Usul Fiqh. Banyak kaedah usul tidak dikenali dan tidak pula dikuasai. Kadang-kala kaedah yang jelas diperdalilkan secara salah. Dan sesetengahnya pula salah memahami kaedah.

Pengajian hadis pula hanya memakai sistem 'tebuk' bahagian tertentu dan pelajarnya tidak mengenali kitab secara menyeluruh. Tidak mengambil kira silsilah. Sistem menebuk hadis melalui CD : al-Fiah al-Hadis, Maktabah al-Syamilah dan lain-lain ‘benar-benar’ menjadikan seseorang itu ‘pakar’ hadis zaman kini. Lalu, munculnya ‘pakar hard disk’ yang jahil tentang hadis dan memusuhi hadis. Status sanad diambil berat tetapi syarh kepada matan dilupakan. Kemudahan yang disalahguna ini sedikit sebanyak menjadikan sistem talaqqi hadis diabaikan.

Pengajian nahu saraf lebih menekankan komunikasi dan dimodenkan, natijahnya pelajar tidak menguasai nahu saraf secara mendalam. Sedangkan ia merupakan ilmu yg paling penting untuk memahami teks-teks pengajian Islam dalam semua bidang.

Pengajian tasawwuf dititikberatkan kepada pengantar bukannya kepada inti tasawwuf secara praktikal. Jauh sekali pelajaran tasawuf moden disulami dengan bimbingan mursyid yang muktabar. Munculnya semangat tasawuf yang meluap. Terus mengambil jalan short-cut. Kononnya untuk mencapai makrifat. Tapi akhirnya, terperangkap dengan ajaran sesat.


PENYELIDIKAN

Dalam dunia penyelidikan pula, kajian-kajian bersifat classical yang boleh memperkasakan sistem tradisi sudah kurang diminati. Sebaliknya kajian lapangan semakin diminati yang kadang-kadang tidak ada apa-apa signifikan dalam sumbangan kepada ilmu. Bahkan tiada nilai tambah ke dalam diri pengkaji selain segulung dua ijazah untuk ditakburkan. Lahirnya, budak-budak yang bangga dengan M.a dan Phd. Mereka tanpa silu berkokok : “ Akulah sarjana Islam.”!

METODOLOGI PENYELIDIKAN

Di samping manhaj pengajian, sistem pendidikan moden juga menghadapi masalah environment yang tidak kondusif untuk melahirkan ulama yang solihin. Hatta dlm kawasan pusat pengajian Islam sendiri suasana tidak Islamik masih boleh kelihatan. Sebahagian Guru-guru atau pensyarah masih tidak mengendahkan kefardhuan solat. Solat jamak qasar berterusan. Kononnya ada pendapat yang membenarkan. Amalan sunat ditinggalkan. Maklumlah sibuk memanjang. Sesetengah mereka juga lebih rela berkepala botak, tanpa kopiah atau bersongkok. Kononnya itu maqam pensyarah. Bahkan jika ada segelintir pensyarah atau pegawai yang dilihat bersifat tawadhuk diperli dan dicop dengan pelbagai fahaman. Dia ni PAS, pembangkang, Ahli Sunnah ekstrem, Syiah Rafdidhah, kafir dan bermacam-macam. Sesungguhnya, hanya Allah yang menjadi saksi di atas pembohongan dan kejahatan hati manusia.

Sesetengah ilmuan hawa, bertudung singkat, berjanggok lebih (loghat kelate), berbody shop dan mengalahkan Mak Datin. Lama-lama mengajar dapat gelaran ‘pakar’ dan ‘Dato’ dan selesa walau ‘bergelumang’ dengan daki dunia. Berlumba-lumba mengejar kekayaan dan kemewahan, pangkat dan kedudukan, gaya hidup ala barat, dan lain-lain penyakit hati yang kritikal. Bayangkan apa yang berlaku jika ilmuan di zaman kita sendiri menghidapi pelbagai penyakit kronik. Masakan mereka berkemampuan untuk merawat penyakit pelajarnya.

HUBUNGAN PELAJAR

Hubungan pelajar dan guru bukan lagi berasaskan hubungan antara murabbi dan murid tetapi sebagai 'customer'. Being a 'customer' pelajar tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan guru selepas keluar dari 'kedai'. Hubungan ruhiyyah tidak wujud dan hasilnya apa yg kita lihat murid menjadi biadap dgn guru.

Lumrahnya, pelajar lebih selesa bersama pelajar. Hubungan ‘kenalan’ bertukar menjadi ‘cinta’ dalam sekelip mata. Cinta monyet, beruk-kera, cinta dinaosor, cinta ultraman, cinta paksa.. semua ada. Waaahh..ada kelas gitu. Cinta di IPTA katakan!.


Betapa ramai adik-adik kita mabuk bercinta. Natijahnya, ada yang berkahwin secara rahsia dari pengetahuan ibu-bapa dan Pak Duta. Khususnya pelajar kita diluar negara. Nikah Berwali hakim pun bukan. Tetapi sengaja memilih wali Tahkim kononnya melebihi dua marhalah dan ada pendapat ulamak. Balik negeri nikah semula. Kena kompaun untuk daftarkan nikah. Bila selesai rasa selesa. Tapi ada yang bernasib malang, sampai sekarang mak-bapak tak mengaku anak. Tapi diri sendiri mengaku Ustaz.

Demikian senario kita. Rasa bangga bila belajar agama. Tapi ilmu tidak seinci pun mencecah dada. Bila nak periksa membaca. Bila hilang nota gabra. Bila gagal..bagaikan nak gila. Bila takharruj harapkan kerja. Bila bekerja…gila dunia. Ilmu belakang kira. Ummah tidak dipedulikannya. Bila Sharlinie hilang kecoh satu dunia. Bila ‘iman’ hilang tiada siapapun ingin mendapatkannya. Allahu Allah.

Ini adalah antara sekian banyak masalah yg dihadapi oleh sistem pendidikan Islam moden. Dalam keadaan ini sudah tentu kita memerlukan satu kesedaran mendalam dari diri sendiri. Dari situ, lahir satu golongan yang mempertahankan sistem tradisi yang nampaknya sekarang masih utuh dipertahankan di pusat-pusat pengajian tradisional atau separa tradisional.


HARAPAN


Mudah-mudahan, sistem yang disemai ulamak dahulu masih tetap mampu bertahan dan terus berkeupayaan dalam melahirkan modal insan cemerlang. Sedarlah sistem pendidikan yang baik akan melahirkan qualiti yang baik. Hijrahlah ke arah yang lebih baik. Demi mencapai yang terbaik.

2 comments:

mfrstudio said...

assalamualaikum ustaz.

saya berminat untuk bertemu dan berbincang dengan ustaz jika ustaz ada kelapangan waktu dan sudi meluangkan masa.

saya bercuti bulan mac ini sebelum pulang semula ke jepun untuk sambung pengajian.

harap ustaz dapat berikan no tel atau alamat pejabat untuk saya hubungi. emel: mfakhrulrazi[@] yahoo[dot] com

Zamihan Mat Zin AL-GHARI said...

Syukran Ya Akhie, moga Allah pertemukan kita dalam kebaikan. Tuan boleh datang ke pejabat ana : Institut Latihan Islam Msia, Jln Sg Merab, Sek 12,Bandar Baru Bangi,Selangor. Tel : 03 -89218413 atau emailkan :
alsalafi76@yahoo.com..

Jazakallah khayran jaza'

Visit Bil.