Monday, October 13, 2008

KASIHAN UMAT ISLAM


KUALA LUMPUR 13 Okt. – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menyerbu empat buah syarikat skim cepat kaya melalui Internet yang mempunyai rangkaian beratus-ratus ribu pelabur dengan nilai pelaburan dipercayai mencecah ratusan juta ringgit. Serbuan tersebut dilakukan di beberapa lokasi di Lembah Klang setelah syarikat-syarikat terbabit disyaki menjalankan kegiatan mengambil deposit tanpa lesen dan membuat pelaburan haram di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. Mengikut maklumat daripada laman web, secara umumnya syarikat-syarikat tersebut menetapkan bayaran minimum RM1,000 sebagai deposit untuk pendeposit menyertai bidang perniagaan seperti pengiklanan, pelancongan dan perkhidmatan.



BNM dalam satu kenyataan di sini memberitahu, syarikat terlibat ialah Buluhmas Enterprise Sdn. Bhd., Jazmeen (M) Sdn. Bhd., Noradz Travel & Services Sdn. Bhd. dan Eastana Farm Industries Sdn. Bhd. Sykt Buluhmas yang beribu pejabat di Tanjung Karang, Selangor dalam laman webnya mendakwa ia memiliki 700,000 ahli sebagai pembayar deposit di seluruh negara. Kaedah perniagaannya menggunakan promoter untuk mengiklankan aktiviti syarikat dengan menampal pelekat yang tertera logo syarikat atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada pendeposit. Sekitar pukul 9.30 malam ini, laman web Buluhmas masih boleh dilayari yang menunjukkan sejak April lalu ia telah menerima hampir 250,000 pengunjung.



Sementara itu, Jazmeen dalam laman webnya mendakwa dengan permulaan modal sebanyak RM1,000, pendeposit mampu mendapat pulangan 120 peratus dalam tempoh 12 bulan pertama dan jumlah itu terus bertambah pada tahun-tahun berikutnya. BNM dalam kenyataannya menambah, tindakan ke atas keempat-empat syarikat itu diambil setelah Unit Penyiasatan Khas BNM menjalankan siasatan terhadap aktiviti syarikat berkenaan. “Kesemua penganjur skim pelaburan itu akan ditahan selepas BNM merekodkan kenyataan mereka kerana disyaki mengambil deposit secara haram dan menjalankan aktiviti penggubahan wang haram,” jelas kenyataan itu.



Seorang jurucakap BNM ketika dihubungi memberitahu, jumlah sebenar ahli terlibat dan nilai deposit yang dikumpulkan oleh keempat-empat syarikat itu hanya akan diketahui apabila kes mereka dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh terdekat. Aktiviti syarikat-syarikat itu disiasat mengikut Seksyen 25 (1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang melarang mana-mana individu yang tidak mempunyai lesen daripada menerima dan mengambil deposit. Katanya, jika sabit kesalahan pegawai dan pemilik syarikat-syarikat terlibat boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau dipenjara untuk tempoh 10 tahun atau kedua-duanya sekali.



Syarikat-syarikat itu juga disiasat di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA 2001) yang melarang mana-mana individu daripada terlibat atau cuba untuk membabitkan diri atau bersubahat melakukan kegiatan penggubahan wang haram. Jika disabitkan kesalahan, mereka yang didakwa boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. Menurut kenyataan BNM, skim pelaburan yang dianjurkan oleh keempat-empat syarikat yang diserbu hari ini menyatakan kononnya ia berasaskan perdagangan mata wang, pasaran hadapan komoditi, pelaburan luar persisiran dan saham-saham lain. Dakwaan itu, kata BNM, hanya rekaan semata-mata. “Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan skim yang ditawarkan melalui Internet, panggilan telefon atau seminar yang dianjurkan oleh individu atau syarikat yang tidak dilesenkan oleh BNM,’’ jelas kenyataan itu. Orang ramai boleh mengetahui senarai syarikat dan institusi berlesen yang menerima deposit dengan melawat laman web BNM di www.bnm.gov.my.

2 comments:

Ibn Salleh. said...

Itulah, sebab nak lekas kaya terpaksalah ambil jalan mudah melabur tapi lebur.Kenapalah tak melabur dalam tabung azan yg. diusahakan oleh satu badan politik baru-baru ini?Kononnya tabung azan tu nak beri bantuan kepada masjid2/surau2 yg. memerlukan pembesar suara utk. azan.Yang Ana tahu banyak masjid dah ada pembesar suara, cuma Azan tak dengar sebab tok bilal/Imam selalu ponteng tugas.Agaknya tabung tu ada lesen BNM tak?Kalau dah banyak duit terkumpul sapalah yang untung ya.....Hai dunia,dunia...bila bab duit masyukkkkk...lajunya umat Islam kejar.Memang kesihan sungguh sebab tamakkan harta dunia.Anta melabur jugak ke?

aryna said...

bukanlah saya tidak kasihan kepada umat Islam yang terpedaya dengan pelaburan2 yg digembur untung melambung2 ini, tapi mereka tidak kasihan langsung kepada diri sendiri yg bersusah payah mengumpulkan dana bertahun-tahun utk dihabiskan sekelip mata!!!

manusia selalu saja gelap mata, hilang pertimbangan bila tamak menguasai akal fikiran..

kalau ikut logik akal, adakah skim yg menawarkan keuntungan berlipat ganda utk pelabur yang sekaligus mengurangkan keuntungan pengusaha?!

kalau ikut hukum agama, bolehkah kita berniaga (melabur juga satu perniagaan, bukan?) yang mana perniagaan itu jual beli memberi pulangan lebih 100% dari modal/kos dan tanpa usaha?!

“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu makan (gunakan) harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu”.
(Surah an-Nisa’ : 29)

"Maka jika kamu tidak meninggalkan riba, maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat maka bagimu hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak pula dianiaya."

wallahu'alam bissawwab..

Visit Bil.