Saturday, September 19, 2009

EIDULFITRI SEBAGAI IBADAT


1 Syawal bakal bertamu menggantikan Ramadan yang melabuhkan tirainya sehari dua lagi, sekali gus mengisytiharkan hari kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan berpantang daripada makan minum dan kehendak nafsu.Hari kebesaran itu disyariatkan Allah kepada umat Islam untuk merayakannya dengan penuh kesyukuran.Bagi masyarakat kita, hari raya itu digelar Aidilfitri atau Hari Raya Puasa.


Dalam istilah Arab 'Idulfitri' iaitu rangkai kata 'id dan al-fitr. Kata 'id' (hari raya) berasal daripada perkataan 'aud' ertinya yang berulang-ulang, iaitu peristiwa berulang pada setiap tahun membawa rahmat dan menggembirakan umat Islam, manakala 'fitr' bermakna fitrah atau semula jadi.Semuanya termasuk bukan Islam bergembira kerana dapat menyambut hari raya, malah sebelum ketibaannya sudah ada yang bersiap sedia dalam segala aspek, tidak sabar menanti fajar heningnya menyinsing. Dalam Islam cara untuk menyambut 1 Syawal juga diterangkan dengan menyeluruh sebagai panduan kepada umatnya, seperti menghiasinya dengan takbir (ucapan membesarkan Allah) dan tahmid (memuji Allah) sebagai menandakan kesyukuran.

Satu hadis, daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad s.a.w, bersabda, maksudnya: "Hiasilah hariraya kamu dengan takbir." (Riwayat Tabrani)Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya Ulumiddin, berkata takbir itu dimulai pada malam hari raya puasa sampai waktu mengerjakan solat. Malam raya adalah antara malam yang diberkati. Daripada Abu Umamah r.a, daripada Nabi Muhammad s.a.w sabdanya: "Sesiapa mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati (orang yang kufur ingkar) pada hari itu. (Riwayat Ibn Majah)


Doa pada malam raya diperkenankan Allah, sebagaimana jelas Imam Syafie dalam kitab Al-Umm: "Dinyatakan kepada kami, doa sangat mustajab pada lima malam iaitu malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, awal malam Rejab dan malam Nisfu Syaban."Pada hari yang mulia itu Nabi s.a.w dan sahabat bertakbir, malah bersolat hari raya secara berjemaah.


Menurut sebuah hadis (riwayat Nafi' dari Abdullah), Rasulullah s.a.w biasanya keluar pada pagi kedua-dua hari raya bersama-sama sahabat baginda sambil bertakbir beramai-ramai sepanjang perjalanan sehingga sampai ke tempat solat.Di antara sahabat baginda yang turut serta ialah Saidina Ali, Abdullah bin Abbas, Zaid bin Harithah dan kedua-dua cucu baginda, Saidina Hasan dan Hussain r.a.Begitulah caranya yang boleh dijadikan panduan bagi mereka yang menyambut hari raya sebagai ibadat. Tetapi yang mengikut adat, warna sambutannya sungguh berlainan sekali kerana yag penting ialah asalkan 'beraya sakan'.


Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zin, berkata beliau mengakui trend beraya sekarang ini lebih mirip kepada trend jahiliyah tanpa panduan ilmu.Menurutnya, apabila ramai orang jahil, mereka memperlakukan sesuatu itu mengikut selera bahkan tiba saja Syawal diri merasakan sudah bebas daripada disiplin sebulan Ramadan. "Bagi orang seperti ini dia berasakan puasa adalah sebulan, jadi raya juga sebulan dan kerana itu mereka beraya sakan," katanya.

Jika mengikut ibadat, pada hari raya, umat Islam dianjurkan saling mengucapkan selamat dan tahniah kerana dapat menyempurnakan ibadat puasa pada Ramadan, berbaik sangka dan tidak keberatan memaafkan segala salah dan silap. Seorang tabi'in, Jubair bin Nufair berkata: "Apabila sahabat Rasulullah bertemu pada hari raya, mereka mengucapkan tahniah di antara satu sama lain. Ucapan mereka bermaksud, mudah-mudahan Allah menerima daripada kami dan menerimanya daripada anda."Umat Islam digalakkan ziarah kerana dengan cara itu dapat mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan persaudaraan manakala bagi tuan rumah perlu bersikap rendah diri menerima tamu, menghormati dan melayan mereka sebaik mungkin.

Rasulullah bersabda, bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya."Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia menghubungkan silaturahim. Sesiapa beriman kepada Allah serta hari akhirat hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik, jika tidak hendaklah dia diam."

Zamihan berkata, tidaklah salah untuk bergembira, berhias dan berbelanja pada hari raya, sesuai dengan hari kebesaran dan kemenangan, cuma bairlah ia secara sederhana."Sesiapa boleh berbelanja untuk menyambut raya, tetapi ukurlah kemampuan diri dan jangan sampai berhutang sehingga hari raya yang dinanti menjadikan suatu beban pula. "Berbelanja jangan sekali-kali mengikut nafsu, kerana buruk akibatnya manakala peniaga mulalah ambil kesempatan dengan pelbagai bentuk jualan murah," katanya, menasihati masyarakat Islam.

Katanya, trend apabila hari raya semuanya mesti baru, bermula daripada aksesori pakaian sehinggalah kain langsir dan perabot yang baru juga sewajarnya dihentikan kerana merugikan sahaja. "Baju baru itu sunat sahaja. Yang penting bersih dan kebersihanlah yang dianjurkan Nabi s.a.w."Demikian juga warna putih dan hijau adalah sunat dan jika tiada tidak mengapa, boleh beraya dengan gembira, tidak perlu bersedih dan rendah diri kerana yang penting bersih."Tetapi bagi orang yang beraya mengikut adat, tiada baju baru dan perabot baru seperti tiada makna raya baginya, malah berasa malu pula kerana pengaruh material dan tiada ilmu."Sedangkan pada zaman Nabi s.a.w dan sahabat, mereka tidak memandang material iaitu harta benda, namun mereka kaya dengan hati dan spritual."Contohnya Saidina Ali, pada pagi raya menangis kerana insaf dan bersyukur, tetapi kita bermegah-megah dengan harta benda baru pula, manakala spritual kita begitu sempit dan miskin."


Menyambut raya sebagai ibadat bukanlah bermaksud bersolat dan berzikir sepanjang hari, seolah-olah Islam menutup rapat pintu untuk berhibur. Sesiapapun boleh bergembira dan berhibur pada hari raya asalkan tidak terkeluar dari batas syariat. Ini kerana Nabi s.a.w juga bergembira sebagaimana yang diperlihatkan kepada umatnya mengenai perilaku dirinya pada hari raya.

Seperti sebuah hadis diriwayatkan Aisyah, bermaksud: "Rasulullah masuk kepadaku dan di sisiku ada dua anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu'ats (lagu Arab). Lalu baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya."Kemudian Abu Bakar as-Siddiq masuk, lalu beliau mengherdikku dan berkata, seruling syaitan di sisi Nabi Muhammad. "Rasulullah s.a.w menghadap Sayyidina Abu Bakar, kemudian berkata, `biarkan mereka berdua." Mengikut hadis riwayat Hisham, baginda menambah: "Wahai Abu Bakar, setiap kaum ada hari rayanya dan hari ini adalah hari raya kita."-Disiarkan wartawan Metro,Idris Musa, jumaat 18 Sept 2009 dan boleh dilayari :
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/AdDin/20090918103615/Article/index_html

2 comments:

zarch said...

Selamat Hari Raya saya ucapkan, taqabbal minna wa minkum wa jamian muslimin, semoga diterima segala amalan kita....maaf zahir dan batin.

Syeikh YB said...

tak habis2 promote penolong pengarah dia tu...nyampah..macam hebat sangat

Visit Bil.