Saturday, September 19, 2009

EID MUBARAK


Manusia dituntut tunai aku janji pada Allah
Oleh : Hasliza Hassan


FITRAH seperti diisyaratkan hadis sahih bermaksud suci bersih manakala al-Quran pula menetapkan fitrah sebagai satu agama lurus. Kedua-dua pengertian ini saling melengkapi antara satu sama lain iaitu kehidupan manusia akan kekal suci selagi berpedomankan Islam yang lurus. Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zain, berkata kembali kepada fitrah yang dikaitkan dengan Aidilfitri bermaksud pulang ke pangkuan Allah. Katanya, keistimewaan Ramadan yang menjengah setahun sekali diharapkan mampu menjadi medan menyucikan dosa serta noda seterusnya mengembalikan mereka yang melaksanakan ibadat itu dengan sempurna kepada keadaan lebih baik.

“Hakikatnya, ada hati yang syahdu pada hari raya kerana Aidilfitri bukan sekadar gembira dengan pakaian baru, makanan enak atau berkumpul dengan saudara baru. Aidilfitri adalah hari manusia pulang ke pangkuan Allah. “Seperti persiapan kita untuk balik kampung berhari raya, begitu jugalah sepatutnya bekalan kembali ke pangkuan Allah. Maknanya bekalan kita perlu lengkap, puasa yang sempurna dan amalan sunat yang banyak sepanjang Ramadan ini,” katanya. Beliau yang menyampaikan ceramah kepada jemaah surau The News Straits Press Sdn Bhd (NSTP) di Balai Berita di ibu negara berkata, ciri kembali kepada fitrah bermaksud kembali kepada akidah yang benar menurut prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ciri lain ialah kembali mengabdikan diri kepada Allah dalam segenap aktiviti hidup seperti terkandung dalam doa , “Sesungguhnya solatku, pengorbananku, hidupku dan matiku adalah bagi Allah Tuhan Yang Mentadbir sekalian Alam.

Zamihan berkata: “Sepatutnya aku janji ini terus segar dan mekar dalam jambangan hati kita sentiasa. Walau saat berganti minit, berganti jam berganti hari, bulan dan tahun, kita kerja dengan Allah dan terikat pada syariat. Allah akan membayar segala gaji, bonus dan dividen kita walau sebesar zarah,” katanya. Katanya, fitrah kejadian manusia juga menuntut mereka terus menjaga suruhan serta menjauhi larangan Allah dengan mengekalkan prestasi takwa pada bulan lain.

Zamihan berkata, manusia yang bersih dan terpuji mampu mencapai kejayaan sebenar selagi mereka mengikut fitrah. Sebaliknya, jika bertentangan dengan fitrah, hidup manusia membawa kehancuran. Oleh itu katanya, umat Islam perlu memperbanyakkan bersyukur kepada Allah pada malam menanti kedatangan satu Syawal, meneruskan rukuk dan sujud sebagai tanda pengabdian berterusan untuk mengembalikan diri kepada Allah. Berdoa juga amalan digalakkan pada malam menjelang Aidilfitri kerana menurut Imam al-Syafi’ie, doa di malam raya dimakbulkan Allah SWT jika dilakukan dengan hati ikhlas dengan mengakui kebesaran-Nya selain jangan dilupa zakat fitrah sebagai tol hidup setahun sekali kepada Allah.

“Pada waktu itu kita digalakkan memperbanyakkan takbir, tahmid dan tahlil sebagai bukti kita merindukan Allah. Selalunya malam raya kita sibuk kemas rumah, masak lemang, masak rendang hingga lupa untuk memuji Allah. “Esok harinya marilah beramai menunaikan solat sunat Aidilfitri dan digalakkan juga bersedekah di jalan Allah. Aidilfitri juga membuka ruang untuk kita saling bermaafan kerana itu yang disukai Allah selain menghidupkan amalan ziarah menziarahi,” katanya.

Beliau berkata, adalah menjadi harapan Syawal kali ini mengembalikan umat Islam ke pangkuan Allah dengan bekalan yang dikumpul sepanjang Ramadan sebagai persiapan untuk meneruskan perjalanan pulang ke akhirat nanti.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Agama/20090918024358/Article/

No comments:

Visit Bil.