ILIM SEMARAKKAN ILMU FALAK DI SABAH
Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) melalui Pusat Pengajian Ilmu Teras (PPIT) telah mengadakan Kursus Falak Qiblat Siri 1 peringkat negeri Sabah baru-baru ini. Kursus ini diadakan di Beverly Hotel, Kota Kinabalu bermula 26– 29hb November lalu. Dan dirasmikan oleh Sahibus Samahah Dato’ Hj Ahmad Alawi Hj Adnan, Mufti Negeri Sabah.
Kursus ini melibatkan 42 orang pegawai agama dari seluruh negeri Sabah . Ia merupakan hasil kerjasama ILIM, JAKIM dan Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam Negeri Sabah (JAHEINS).
Kursus julung-julung kali di adakan ini bertujuan :
1. Melanjutkan pemahaman aspek teori dan teknikal berkaitan penentuan arah kiblat.
2. Meningkatkan kemahiran amali dalam penentuan arah kiblat
3. Membina sikap positif dan peka terhadap penyelesaian masalah semasa kerja-kerja sebenar penentuan arah kiblat.
Sepanjang kursus ini, para peserta didedahkan dengan kedudukan glob bumi, penentuan arah utara, bacaan peta dan hitungan azimuth qiblat, pencerapan matahari untuk azimuth rujukan, kaedah ijtihad dan tradisional, manual praktikal penentuan arah qiblat, semakan premis sebenar dan isu semasa berkaitan qiblat.
Di samping itu, ILIM juga tidak ketinggalan memberi pendedahan kepada peserta menggunakan peralatan canggih seperti teodolite dan kompas prismatik. Kedua-dua peralatan ini dilihat satu keperluan terkini dalam tujuan penyemakan dan pentuan arah qiblat yang tepat.
Di akhir kursus, para peserta didedahkan dengan ’peperiksaan dalaman’ bagi menguji penguasaan dan kecekapan para peserta.
Kehadiran dua penceramah pakar Falak, En Baharrudin Zainal dan En Ahmad Taufan Abd Rashid menjadikan kursus ini bertambah lancar dan meriah. Teori kursus ini bermula di Beverly Hotel. Manakala praktikum semakan dan penentuan arah qiblat dijalankan di Balai Cerap al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Kota Kinabalu.
Memandangkan isu penentuan dan semakan arah qiblat begitu serius di Sabah maka Pusat Pengajian Ilmu-ilmu Teras (PPIT) ILIM mengambil inisiatif segera untuk menanganinya. Tambahan pula, pelaksanakan kursus ini membuktikan ILIM begitu komited dalam usaha memberi latihan dan kemahiran kepada para pegawai agama seluruh negara.
Al-Hamdulillah, dengan kerjasama yang baik lagi erat, akhirnya kursus ini diseliakan dengan jayanya oleh Tuan Hj Zamihan Hj Mat Zin al-Ghari dan barisan urusetia yang terdiri dari para pegawai dan kakitangan ILIM, JAKIM. Rata-rata peserta berpuashati dengan input dan kualiti pengurusan pihak penganjur. Semoga kursus seperti ini terus di adakan bagi menyemarakkan ilmu falak seluruh negara.
www.al-ghari.blogspot.com
No comments:
Post a Comment