Tuesday, May 5, 2009

SESAT DALAM NYATA



Antara website Qadyaniyyah

Walaupun telah difatwakan sebagai ‘SESAT’, ajaran Ahmadiyyah @ lebih dikenali dengan ajaran Qadyaniyyah yang diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad Qadyani masih bermaharajalela di negara ini. Lihat sahaja kewujudan medium dakwah sesat mereka seperti website, blog dan pamplet yang ditaburkan di merata tempat. Termasuklah di stesen2 LRT, stesen bas dan tempat-tempat awam lain. Terutamanya di Kawasan Keramat dan Lembah Kelang. Maknanya, fatwa sebelum ini seolah-olah tidak memberi kesan kepada golongan ini. Malahan mereka tampil dengan lebih berani dan agresif dalam menyesatkan umat ini secara sistematik.



Seketika dulu, Mirza Ghulam Ahmad pernah mengaku menjadi Nabi. Setelah dakwaannya dihujani bedilan hujjah dari ulamak Islam, beliau mula gementar dengan dakwaan palsunya. Namun, beliau tidak pernah menarik balik buhtannya itu. Maka berlakulah pertembungan antara beliau dengan para alim ulamak dan seterusnya membawa kepada peristiwa sumpah laknat. Beliau bersumpah bahawa beliau adalah utusan Allah dan memohon laknat dikenakan ke atas ulamak yang ingkar dengan dakwaannya. Manakala, sebahagian ulamak India pula bersumpah bahawa beliau bukannya utusan Allah. Dan memohon allah menurunkan laknat ke atas pendustaannya. Akibat dari sumpah laknat berkenaan, makhluk Allah yang dipopularkan oleh British ini tidak henti-henti beraknya. Akhirnya, beliau mati dalam keadaan hina dengan berlumuran najis di badannya (al-Ghumari, Itqan al-Sun’ah fi Tahqiq Makna al-Bid’ah hlm 37). Bagi saya, inilah kesan segera dari melakukan pendustaan terhadap Allah dan RasulNya.



Kini jawatan Utusan Allah @Khalifatul Masih diteruskan pula oleh anak cucu cicitnya dengan pelbagai gelaran dan siri tertentu. Sekali pandang seakan tiada unsur kesesatannya. Namun, jika dianalisa secara halus, ternyata seruan mereka bagaikan api di dalam sekam. Gerakan ini secara terang menggunakan jenama Islam dan cuba memperkotak katikkan umat Islam dengan propaganda sesat mereka. Inilah sebahagian dari contoh bid’ah (rekacipta) yang sesat dalam bidang akidah yang perlu dibanteras secara serius oleh Menteri Agama yang baru dan semua agensi pelaksana dibawah seliaannya.




Sehubungan itu, saya dengan rendah diri meminta, para sahabat di R&D JAKIM, Penguatkuasa JAWI, JAIS dengan kerjasama PDRM dan pelbagai pihak segera bertindak sebelum kesesatan Qadyaniyyah semakin berleluasa. Sayangi akidah anda dan akidah umat ini dari dinodai oleh ahli al-Bid’ah Wa aD-Dholal. Jangan sampai gerakan, pertubuhan, website, blog dan artikel yang tak sesat disiasat. Manakala dakyah yang sesat dilepaskan begitu sahaja. Semoga Allah terus memperteguhkan langkah kita dalam memperjuangkan kebenarannya. Aamiin.



Wednesday, March 25, 2009

AKIDAH FIR'AUN

Nasib Fir'aun : Si Kufur yang Mati Kering

Apabila anda mengkaji al-Qur'an, jelas didapati bahawa di antara makhluk Allah yang berpegang dengan akidah yang bathil ialah Fir'aun Laknatullah. Antara teras kepercayaan Fir'aun ialah Allah berada di atas langit. Hal ini sebagaimana yang diterangkan oleh Allah SWT sendiri melalui ayat 36-37 Surah al-Mukmin :


36. Dan Firaun pula berkata: "Hai Haman! binalah untukku sebuah bangunan Yang tinggi, semoga Aku sampai ke jalan-jalan (yang Aku hendak menujunya)"


37. "(Iaitu) ke pintu-pintu langit, supaya Aku dapat melihat Tuhan Musa; dan Sesungguhnya Aku percaya Musa itu seorang pendusta!" Demikianlah diperhiaskan (oleh Syaitan) kepada Firaun akan perbuatannya Yang buruk itu untuk dipandang baik, serta ia dihalangi dari jalan Yang benar; dan tipu daya Firaun itu tidak membawanya melainkan ke Dalam kerugian dan kebinasaan."


Pencerahan :

1) Imam al-Thabari mengatakan : "Telah berlaku perselisihan pendapat dikalangan ahli takwil (tafsir) tentang maksud 'al-Asbab' kpd beberapa pendapat. Al-Sudiy dan Abi Soleh mengatakan : Jalan-jalan ke langit. Sebahagian lain mengatakan : pintu-pintu langit. Sebahagian lain pula berpendapat : tempat kediaman dilangit. Yang lebih utama kepada benar ialah pendapat yg pertama. Iaitu maksudnya : Supaya aku dapat ada sesuatu jalan/sebab-sebab yg boleh menyampaikan aku untuk melihat Tuhan Musa a.s. Samada ia bermaksud jalan, pintu, tempat kediaman atau lain-lain."- al-Thabariy, Jamek Al-Bayan Fi Takwil al-Qur'an, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Cet ke-3, 1999, jld 11, hlm 61


2) Imam al-Qurtubiy (ketika menghurai maksud ; 'Supaya aku boleh melihat Tuhan Musa..')mengatakan : "Fir'aun mengesyaki secara waham bahawa Tuhan Musa (Allah) adalah terdiri dari jenis jisim yang menduduki tempat/ruang tertentu. Dan adalah Fir'aun itu mendakwa dirinya Tuhan. Dan Dia melihat sifat ketuhanan pada dirinya itu secara pasti dengan menduduki tempat yang tinggi/mulia."-al-Qurtubiy, al-Jamek Lil Ahkamil Qur'an, Cet 1, 2000, Jld 8, hlm 205



3)Imam Ibn Katsier mengatakan: "Allah SWT berfirman tentang sikap kesombongan dan bangkangan Fir'aun yang mengada-ngadakan pendustaan terhadap Nabi Musa A.S, bahawa dia memerintahkan menterinya Hamaan utk membina sebuah istana yang tinggi, indah lagi pencakar langit. Bangunan ini diperbuat dari batu yang mana bahan bakunya terdiri dari tanah liat yang cantik. Sebagaimana firman Allah SWT menerusi surah al-Qasshah ayat 38..."

Ketika menafsirkan ayat : "Supaya aku dapat melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku memandangnya seorang pendusta..." Imam Ibn Katsier mengatakan : "Ini merupakan ungkapan kekufuran dan penentangan Fir'aun dimana dia menganggap Musa A.S berdusta bahawa dia (Musa) telah diutus oleh Allah SWT."


Ketika menafsirkan ayat seterusnya, Imam Ibn Katsier mengatakan : "Dengan perbuatan ini ia eolah memberi maksud kepada rakyatnya bahawa dia (fir'aun) telah melakukan sesuatu yang sampai kepada pendustaan Musa A.S. Untuk itu, Allah berfirman : "Dan tipu daya Fir'aun itu tidak lain hanyalah membawa kerugian. Ibn Abbas dan Mujahid berkata :"Kecuali hanya membawa kerugian."- Ibn Katsier,Tafsir al-Qur'an al-Azhim, Pustaka Imam al-Syafi'ie, Cet 1, 2004, jld 7, hlm 166


Berdasarkan kepada sorotan pandangan mufassirin di atas kita boleh membuat beberapa Kesimpulan:

1) Fir'aun bukan sekadar tidak beriman dengan Nabi Musa A.S. Malah ditentangnya habis-habisan dakwah Nabi Musa A.S dgn melabelkan Nabi Musa A.S sebagai pendusta. Sedetikpun Fir'aun tidak pernah beriman. Oleh itu, mana bisa mungkin Fir'aun hendak dikatakan bertauhid Rububiyyah diakhir hayatnya. Bahkan dia sebenarnya kafir yang ori dan lambang kekafiran sejati.


2)Fir'aun berakidah dgn akidah kufur dengan mempercayai bahawa Allah itu terdiri dari jisim. Sedangkan jisim, jirim adalah suatu yang bersifat baharu. Mustahil Allah SWT bersifat sbgmana makhluk yg baharu berdasarkan firmannya pada surah al-Syuura ayat 11 dan al-Ikhlas ayat 4.


3) Fir'aun juga percaya bahawa Allah SWT menetap diatas langit. Lantaran itu, dia memerintahkan Hamaan utk membina istana tinggi menjulang kononnya untuk melihat Allah SWT. Walhal, ini semua merupakan akidah khayalan beliau sahaja. Dan sebarang khayalan berkaitan dgn Dzat Allah adalah Tajsim. Untuk itu, adalah wajar jika dikatakan bahawa akidah tajsim adalah akidah kufur Fir'aun Laknatullah. Bersama kita jauhi akidah tajsim lagi kufur sbgmana Fir'aun. Jangan jadikan akidah anda sebagai Fir'aun zaman modern.


4) Pihak berkuasa agama perlu memantau dan bertindak ke atas penyebaran akidah tajsim. Ini kerana akidah yg sesat lagi kufur menghalang ibadah seseorang dari diterima oleh Allah SWT. Sekaligus menyebabkan seseorang itu keluar dari Islam dalam keadaan dia tidak menyedarinya. Selamat memeriksa akidah anda. Semoga Allah menunjukkan kita akidah yang benar. Aamiin.

Wednesday, March 4, 2009

METOD HADIS SONGSANG

Kitab : al-Takrif Bi Auhami Man Qassama al-Sunan Ila Sahih Wa Dhaif Karangan Allamah Syeikh Mahmud Said Mamduh, Pegawai Penyelidik, Institut Penyelidikan, UAE






Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albaani yang dipuja oleh golongan Salafiyyah al-Wahhabiyyah

Dalam posting terdahulu, saya telah menulis tentang Siapa Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albaani?. Saya melihat artikel ini banyak dimuatkan beberapa website yang lain. Ia disusuli dengan komentar yang kebanyakkannya tidak ilmiyyah. Bahkan banyak pula yang berlandaskan perasaan berbanding hujjah. Sekarang, mari kita ikuti kenyataan Murid Kanan al-Allamah al-Imam al-Muhaddith Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari iaitu Allamah Syeikh Mahmud Said Mamduh tentang kesilapan metodologi hadis yang diperjuangkan al-Albaani dan para muridnya. Beliau telah mengarang banyak kitab untuk mendedahkan beberapa kesilapan metodologi Syeikh Muhammad Nasiruddin dalam ilmu hadith.


Antara karangan beliau yang terbaru ialah : al-Ta’rif bi Awham Man Qassama al-Sunnan Ila al-Sahih Wa al-Dhaif (Satu pengenalan bagi mereka yang mendatangkan kesamaran dgn membahagikan al-hadith kepada Sahih dan Dhaif). Kitab ini berjumlah enam jilid bermula bab Taharah (bersuci) sehingga bab kelebihan Makkah. Di dalam kitab ini Allamah Syeikh Mahmud Said Mamduh berjaya menjelaskan metodologi songsang al-Albaani satu persatu. Beliau telah mengesan hampir 1000 hadis yang telah ditashih dan ditad’ifkan mengikut selera hawa nafsu Syeikh al-Albaani. Penjelasan ini membuktikan Syeikh al-Albaani tidak memiliki konsistensi kukuh dalam pentashihan hadis.


Walaupun menceburi bidang hadith, Syeikh al-Albaani sebenarnya tidak mempunyai silsilah perguruan dalam bidang hadis secara bersanad. Jika dikaji secara teliti dalam terjemahan biografi Syeikh al-Albaani, tidak diketahui siapakah gurunya yang meriwayatkan hadis kepadanya. Ajaib sekali jika seseorang yang menceburi bidang hadis tidak memiliki guru hadis yang memiliki silsilah yang sampai kepada Rasulullah SAW.

Disamping itu, Syeikh al-Albaani juga bertanggungjawab merungkai metodologi ilmu hadis yang telah sekian lama disusun rapi oleh para ulamak hadith. Contohnya : Para ulamak hadis telah sepakat membahagikan hadith kepada empat bahagian utama : Iaitu Hadith Sahih, Hadis Hasan/Maqbul (yg tidak menepati spesifikasi sahih dan tidak pula dhaif), Hadith Dhaif dan Hadith Mauduk (Rekaan). Tetapi bila hadirnya Syeikh al-Albaani, beliau merombak metodologi berkenaan. Lalu membahagikan hadis kepada dua bahagian sahaja. Iaitu Hadis Sahih dan Hadith Dhaif/Mauduk (rekaan).


Bukan sekadar itu, Al-Albaani juga turut menjelaskan bahawa tidak boleh beramal dengan hadis dhaif berkenaan. Sedangkan para ulamak menaskan : ”Para Ulamak Hadis, Feqah dan selainnya menjelaskan : Diharuskan dan disunatkan beramal dengan hadis dhaif di dalam kelebihan-kelebihan perkara ibadah, galakan terhadap janji-janji baik Allah dan larangan terhadap janji-janji buruk Allah selagi mana hadis tersebut tidak mencapai tahap hadis rekaan,”-Imam al-Suyuthi di dalam Kitabnya Tufah al-Abrar dan Imam al-Nawawi di dalam al-Azkaar, hlm 14, Cet Dar al-Makrifah, 1996


Oleh itu, tidak pelik jika ada pihak yang membicarakan ilmu hadis, secara sombong menolak keberhujahan hadis-hadis hasan atau hadith dhaif dalam bidang dan kelasnya sebagaimana yang dibenarkan para ulamak hadis, feqah dan selainnya. Dakwa mereka, hadis berkenaan tidak sahih. Atau hadis berkenaan adalah hadis dhaif. Ternyata sikap begini tidak mencerminkan metodologi Ahl Hadis yang sebenar. Sebaliknya, mencerminkan sikap penolakan terhadap hadis secara halus. Inilah salah satu hasil dari pegangan Ijtihad al-alBaani yang perlu ditolak secara jujur.


Selain itu, alAlbaani juga begitu gigih ingin menilai semula hadis-hadis Nabi SAW yang telah dinilai sahih oleh para ulamak muktabar sebelumnya. Dalam kes ini, perlu dipertanyakan Siapa al-Albaani dan siapa gurunya? Dimana sanadnya @ silsilah periwatannya? Dimana Standard beliau dalam disiplin ilmu hadis? Apakah beliau al-Hafidz, al-Hakim, al-Hujjah, Pakar Ilal al-Hadis? Pendek kata, Syeikh al-Albaani juga perlu dinilai secara Jarh dan Ta'dil oleh para ulamak yang layak menilai penghadisannya. jadi, mengapa harus ada pihak yang menuduh kita ekstrem bila kita ingin mengadili beliau berdasarkan metodologi Ahli Hadis yang silam? Sepatutnya, ia bukan isu yang perlu dipertikaikan.


Jika kita membuka lembaran fatwa yang melibatkan al-Albaani, khususnya bab feqah, disana terdapat beberapa fatwa syadz al-Albaani yang bertentangan Ijmak ulamak. Contohnya masalah wajibnya dipindahkan maqam Nabi SAW dari masjid Nabawi al-Syarif kerna maqam tersebut dianggap sebagai berhala. Nauzubillah. Ummuhatul Mukninin didakwa beliau harus utk berzina dengan lelaki lain selepas kewafatan Nabi SAW. Umat Islam Palestin wajib keluar dari Palestin kerana tidak berkuasa melawan Yahudi dan macam lagi fatwa pelik tapi benar2 berlaku. Dan direkodkan dalam kitabnya. Apakah kita harus berdiam diri sahaja dan terus menyanjunginya. Tanpa menjelaskan kekeliruan yang ditimbulkan beliau. Masya Allah.


Kini sudah 10 tahun Syeikh al-Albaani bersemadi di Tanah Perkuburan Jabal Nasir, di Amman, Jordan . Namun fikrah dan metodologi hadis modern yang dirintisnya mendapat tempat dalam masyarakat disebabkan beliau pernah menjawat Mahaguru Hadis di Universiti Islam Madinah. Memandangkan metodologi hadisnya bertepatan dengan aliran Salafiah Wahhabiyyah, maka namanya dijulang dan beliau diberi penghargaan serta dimasyhur ke tahap Amir Mukminin Fi al-Hadis. Muncul pula murid-murid yang mengagung-agungkan al-Baani ke serata dunia, dengan sokongan wang ringgit yang banyak menyebabkan fikrah al-Albaani mudah tersebar dengan cepat. Berbanding karya ulamak yang hebat dalam pelbagai bidang tetapi kurang diberi perhatian sesetengah pemerintah. Akhirnya, karya berkenaan terkubur begitu sahaja.


Apapun kesalahan al-baani dalam bidang hadis perlu diperjelaskan. Bukan bermaksud bila kita membicarakan kesalahan seseorang ulamak beerti kita mencela keperibadiannya. Tidak sebegitu, namun tujuannya ialah ingin diperbetulkan kesilapannya. Dan memberi ingatan kepada umat ini agar tidak tersalah faham dengan pendapat yang sememangnya salah. Apatah lagi untuk mengambil manfaat dari metodologi songsang yang diperjuangkannya.


Justeru, diperingatkan kepada para pendakwah, penceramah @ sesiapa sahaja yang melibatkan diri dalam bidang hadis supaya berpegang kepada metodologi yang telah disepakti ulamak hadis. Dan usah mengambil jalan pintas untuk menghukum hadis jika anda tidak mengetahui disiplinnya. Dikhuatiri, jika anda menukil tashih dan tashih al-Albaani, anda akan dikenali se kapal dgn metodologi songsang ini. Dan tidak hairanlah jika anda dituduh Wahhabiy. Atau di gam oleh negeri-negeri tertentu.


Bagi mereka yang tidak tahu apa-apa akan hal ini...dia pasti berkata : al-Albaani pun ulamak jugak... zamihan tu siapa? Masalahnya bukan siapa saya, kita dan mereka...Tetapi permasalahannya ialah metodologi songsang, tiada disiplin ilmu dan kesalahan seseorang perlu diperjelaskan supaya tidak berlaku kerancuan dan salah faham sesama Islam. Lebih-lebih lagi dalam sesuatu bidang yang melibatkan sumber perundangan Islam iaitu al-Hadith. Wallahu'alam.

Monday, February 16, 2009

ELAK FANATIK AGAMA


Islam agama yang syumul dan terbuka. Ia tidak mengekang pemikiran dan kebebasan individu. Malah Islam ada sempadan dan kebebasannya tersendiri. Sebenarnya, apa yang diterajui Islam bersesuaian dengan fitrah kemanusiaan kerana selari dengan keperluan, masa tempat dan keadaan. Sayangnya, sesetengah muslim yang gagal memahami Islam secara syumul kerana tersalah jalan @pintu memahami agama akhirnya gagal menterjemahkan wajah Islam yang sebenar. Ini semua terhasil dari kegagalan menguasai disiplin ilmu, bertaqlid buta, tidak menerima pandangan orang lain dan mengkultuskan individu. Maka, terbentuklah apa yang dinamakan sikap fanatisme agama.


Sebagai contoh, Jika dianalisa dari kebanyakkan tulisan Dr Mohd Asri, dia begitu gigih melaungkan tajdid berorientasikan Salaf. Namun, perjuangan salafnya tidak difokus kepada keseluruhan ulamak Salaf al-Soleh seperti para Sahabat dan Tabien @ Imam Mazahib. Sebaliknya hanya tertumpu kepada 2 orang tokoh sahaja. Iaitu Syeikh Ibn Taimiyyah al-Harrani dan Syeikh Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Manakala pandangan tokoh2 kontemporari seperti al-Albani, Syeikh Ben Baaz, Syeikh Soleh al-Uthaimin, Ulamak Ali Syeikh (Muhammad Abdul Wahhab, Syeikh Safar Hawali, Sadiq Khan DLL yang dinukilnya hanya berstatus penyokong kepada metodologi Salafi rintisan Syeikh Ibn Taimiyyah al-Harrani. Oleh itu, tidak hairanlah jika didapati skop perjuangan Salafinya (Dr Asri) hanya berskala kecil sahaja dan tidak menyeluruh kepada semua aspek.


Tidak hairan juga, jika beliau biasa menuduh orang yang berpegang kepada mazhab sebagai fanatik, konservatif, jumud, bukan mengikut mazhab Syafie ttp didakwanya mengikut mazhab Pi'ie, memerangi taklid DLL. Jika dianalisa dakwaannya ini, ternyata ada pro dan kontra. Tetapi keadaan semasa menjelaskan kpd kita bahawa peratusan yang didakwa (fanatik, taklid buta, jumud) tadi lebih kecil jika dinisbahkan dengan realiti sebenar umat ini. Tuntasnya, dakwaan Dr Asri hanyalah kenampakkan beliau dengan tajdid Salafinya sahaja. Nampaknya, dalam keghairahan tajdid : melabel umat ini, beliau lupa bahawa beliau sendiri begitu fanatik dengan Syeikh Ibn Taimiyyah al-Harrani. Balada beliau ini membuktikan kepada kita bahawa beliau benar2 fanatik kepada Ibn Taimiyyah al-Harrani. Saksikanlah :





Benar, Ibn Taimiyyah juga seorang ulamak yg turut berjasa dalam Islam. Tetapi, jika pandangan Ibn Taimiyyah hendak dijadikan pengkalan untuk menyerang pandangan ulamak muktabar yang lain...saya rasakan tindakan begini bukanlah satu langkah yang bijak. Bahkan boleh menghuru-harakan keadaan dan membawa perpecahan. Inilah sebahagian dari situasi beliau sewaktu menjawat jawatan Mufti Perlis dan selepas ditamatkan perkhidmatan. Dan jika beliau tetap dgn metod sebegini..itulah kriteria dirinya yang sebenar yang terbelenggu dengan sikap fanatisme agama. Anda menuduh agensi agama jumud, ulamak konservatif, pondotisme ketinggalan dan orang lain fanatik. Tp terbukti, tuduhan itu terpercik kepada muka anda sendiri. Mungkin, inilah sebahagian dari sunnatullah utk kita mengakauntabiliti diri sendiri.


Cubalah kita perhatikan, walaupun Malaysia menjadikan pandangan mazhab al-Syafie sebagai asas pengurusan Feqah, Namun kita turut meraikan pandangan mazhab muktabar yang lain. Kalaupun kita menggunapakai metodologi al-Asya'irah dalam memahami Akidah, kita sebenarnya mengakses metod ini daripada salaf al-Soleh. Dalam masa yang sama turut menerima pandangan aliran Maturidiyyah. Sememangnya terbukti, skop akidah Ahli Sunnah yang dipelopori Asya'irah dan Maturidiyyah yang merangkumi : 1) Teori Hukum (Akal, Adat, Syarak) 2) Uluhiyyah (Ketuhanan) 3) Nubuwwat (Kenabian) 4) Sam'iyyat (Keghaiban) 5) al-Firaq (aliran2 pemikiran )...bersifat jamik dan manik. Ertinya mampu dijadikan sebagai set pelajaran lengkap bagi umat Islam merentasi sempadan bangsa dan warna kulit. Kurikulum ini lebih lengkap dan menyeluruh berbanding Tauhid 3T yang dipromosikan Syeikh Ibn Taimiyyah dan dimodifikasi aliran Wahhabiyyah. Selepas itu, wujud pula pelampau Wahhabiyyah. Bayangkanlah!


Selain itu, walaupun kita turut mengaplikasi ilmu tasawwuf dan tarekat bagi membentuk adab. Namun tidak beerti kita melupakan bahagian dari dunia ini (al-Qasas 77). Kita juga tidak segan atau kekok dalam memerangi gejala murtad dan ajaran sesat yang cuba meragut akidah umat. Nampaknya, kesemua prinsip ini diperkenalkan ulamak dan dijadikan teras oleh pemerintah. Akhirnya, hamba rakyat juga mendapat faedah. Justeru, jika ada mana-mana pihak ingin merubah ia sebenarnya cuba menentang arus perdana Ahli Sunnah Wal Jamaah.


Kesimpulannya :

1) Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah menyanjung peranan ulamaknya. Tetapi tidak ke tahap mengkultuskan individu. ASWJ melarang umat Islam bersikap fanatik kepada ulamak tertentu. Apatah lagi, jika pandangan ulamak berkenaan agak keras, kontroversi dan berbeza dengan pandangan jumhur ulamak. Sesekali juga harus diingat bahawa nada sesuatu pandangan ulamak (bersifat ijtihadiyyah) tidak boleh dijadikan paltform kita untuk mencela, mentabdi' atau menyesatkan umat Islam. Saya bimbang, jika pandangan2 keras ini pula dikutip juhala' haraki dan dijadikan anjakan untuk membaham dan menganyang umat Islam yang tidak berdosa atas nama jihad Fi sabilillah. Bukankah ekstremisme lahir dari situasi ini. Fikirkanlah!


2) Melancarkan kecaman keras terhadap agensi agama, ulamak dan umat Islam hanya berteraskan isu khilafiyyah @ teknikal bukanlah satu langkah yang bijak. Malah sikap sebegini boleh memberi kesan negatif kpd Islam dan umatnya. dikhuatiri pula musuh2 Islam tampil dengan menangguk di air yang keruh.


3) Pihak berkuasa agama sepatutnya mengambil inisiatif terhadap mana-mana individu, NGO atau mana-mana pihak yang cuba menghuru-harakan fahaman, pegangan dan amalan harmoni umat Islam di negara ini. Hal ini penting supaya agenda pemerkasaan umat dan pembinaan tamadun tidak terbantut dengan isu yang diutarakan golongan fanatik agama. Semoga Allah jauhkan kita semua dari bersikap melampau dalam memahami agama.

Sunday, February 15, 2009

SEMINAR PEMBINAAN UMMAH


SEKITAR PROGRAM SEMINAR PEMBINAAN UMMAH DAN MEMBASMI MURTAD, ANJURAN : JAWI, IIUM, DENGAN KERJASAMA : NGO MUAFAKAT, PUM DAN YAYASAN SOFA.
Seminar ini berlangsung pada hari SABTU, 7 Februari 2009 bersamaan 12 صفر H 1430, bertempat di Dewan Utama Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah berlangsung

Seminar yang telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Che Mat Bin Che Deraman, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Dakwah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mendapat sambutan yang amat menggalakkkan daripada pelbagai peringkat masyarakat terutamanya golongan mahasiswa/wi IPTA dan IPTS dari seluruh pelusuk tanahair. Majlis turut diserikan dan dihangatkan lagi dengan kehadiran para penceramah jemputan yang ternyata begitu komited serta bersemangat dalam penyebaran Ilmu-ilmu Islam khususnya Aqidah. Selain dari itu para penceramah turut menerangkan serta memberi pengawasan terhadap beberapa ajaran songsang yang sebahagiannya semakin membarah dalam masyarakat seperti golongan Al-Wahhabiyah, Syiah, Liberal, ajaran sesat dan golongan yg menyeleweng dari prinsip tasawwuf.

Program bermula seawal jam 8:30 pagi dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Majlis diikuti ucapan penghargaan oleh Yang Berbahagia Dato' Syed Omar bin Abdul Qadir Al-Aidrus, Penaung Yayasan Sofa Negeri Sembilan, seterusnyai ucapan alu-aluan daripada Assoc. Prof. Dato' Dr. Syed Zahir Idid Syed Osman Idid, Dekan Pusat Asasi UIAM.

Sesi pembentangan kertas kerja pertama bermula kira-kira jam 10:00 pagi oleh penceramah sensasi Ustaz Hj. Zamihan Hj. Mat Zin Al-Ghari. Berikut adalah sinopsis ringkas kertas kerja beliau :

Penceramah : Ustaz Hj. Zamihan Hj. Mat Zin Al-Ghari. Tajuk : Peranan Mahasiswa Dalam Memahami Serta Membanteras Penyelewengan Agama No Telefon : 012 2465518 Blog : www.al-ghari.blogspot.com Kata-kata beliau yang mencuit hati antaranya : " Bunga Bukan Sekuntum...Beruk Bukan Seekor !!! ... " Lu Fikirlah Sendiri !!! "
Antara Isi Penting Kertas Kerja 1 :

Mahasiswa Muslim adalah kelompok Intelektual yang mampu bertindak sebagai mekanisma kawalan : antara tuntutan agama, dasar pemerintah dan keperluan ummat. Selaku agen perubahan ummat, mahasiswa seharusnya memainkan peranan proaktif dlm semua lapangan. Terutamanya akidah, syariah & akhlak bagi memperkasakan tamadun. Namun, dimana qualitinya?

PERANAN MAHASISWA :
BERILMU PENGETAHUAN MATANG
MENDOKONG VISI AGAMA
BERJAMAAH – وحدة الفكر ووحدة العمل
DAKWAH MENUJU ALLAH SWT
INTEGRITI

SUMBANGAN :

LANGKAH PEMANTAPAN :
Proaktif dengan perubahan
Programkan minda
Utamakan yang utama
Berfikir menang-menang
Faham-memahami
Sinergi-bantu membantu
Pandangan yang jauh

KESIMPULAN :
QUALITI MAHASISWA TERLETAK PADA ILMU, AMALAN STARTEGINYA. MAHASISWA BERKUALITI MAMPU BERTINDAK SEBAGAI PEMANGKIN KECEMERLANGAN UMMAH. SEKALIGUS MENGANGKAT MARTABAT ISLAM SEBAGAI SATU CARA HIDUP BERMUTU.
Sesi pembentangan kertas kerja kedua pula bermula kira-kira jam 11:30. Berikut adalah sinopsis ringkas kertas kerja kedua :

Penceramah : Ustaz Hj. Mahfuz Hj. Muhammad Tajuk : Kesamaran Yang Perlu Dijelaskan Dalam Memahami Agama No Telefon : 019 2206622 Blog : http://www.al-subki.blogspot.com/
Kata-kata beliau yang mencuit hati antaranya : "Aku Punya Pasal Lah !!! "
Di Antara Isi Penting Kertas Kerja 2 :
PENYELEWENGAN GOLONGAN WAHHABI DALAM AQIDAH
Beliau Secara Jelas Mengkafirkan Golongan yang SUKA MENGKAFIRKAN UMAT ISLAM :Al-Mujassimah dan Al-Musyabbihah Serta Tidak Sah solat Di Belakang Mereka
PENYELEWENGAN GOLONGAN TABDI` DALAM FIQH
PENJELASAN TERPERINCI ISU BID'AH

Kertas kerja ke 3 pula dibentangkan pada jam 2:15 petang oleh Al-Fadhil Ustaz Ahmad Faidzurrahim Bin Hj. Mohd. Alwi. Sinopsis kertas kerja beliau adalah seperti berikut :

Penceramah : Ustaz Ahmad Faidzurrahim Bin Hj. Mohd. Alwi Tajuk : Pegangan Jitu Seorang Muslim No Telefon : 019 9181278 Email : fa_him@hotmail.com Kata-kata beliau yang mencuit hati antaranya : " Konon-Kononya !!! "
Di antara Isi Penting Kertas Kerja 3 :
1-KEPENTINGAN ILMU AGAMA 2- PENJELASAN AKIDAH DAN MEMAHAMI RUKUN IMAN 3- MANHAJ AHLI SUNNAH WAL JAMAAH 4- PEGANGAN ‘ALLAH ADA TANPA TEMPAT’ (AYAT DAN HADIS MUHKAMAT DAN MUTASYABIHAT) 5- GOLONGAN YANG MURTAD DAN BERCANGGAH DENGAN AHLI SUNNAH 6- MEMAHAMI TAWASSUL, TABARRUK, BIDA’AH, ZIARAH KUBUR MUSLIM 7- PENGKAFIRAN TERHADAP AL MUSYABBIHAH AL MUJASSIMAH 1. KEPENTINGAN ILMU AGAMA :
KEDUDUKAN MAJLIS ILMU AGAMA ADALAH TINGGI DI SISI ISLAM
KEMULIAN PENUNTUT ILMU AGAMA DAN PENYEBARNYA
CARA PENGAMBILAN ILMU AGAMA ADALAH DENGAN BERTALAQI
BAHAYANYA SESEORANG YANG HIDUP DALAM KEJAHILAN
2. AKIDAH :
AKIDAH ADALAH PEGANGAN DALAM HATI
AKIDAH ADALAH SYARAT PERTAMA SUPAYA IBADAH SEORANG MUSLIM DITERIMA OLEH ALLAH DALAM AKIDAH TIADA PERSELISIHAN PEGANGAN
TIDAK ADA BERTOLAK ANSUR DALAM PERKARA AKIDAH
MENJAUHI PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN AKIDAH
3. MANHAJ AHLI SUNNAH WAL JAMAAH :
Ahli Sunnah Wal Jama’ah (ASWJ) adalah :
Mereka yang mengikut sunnah iaitu akidah Nabi Muhammad.
Mereka yang seakidah jamaah para sahabat dan umat Islam.
Sumber dalil Ahli Sunnah Wal Jama’ah (ASWJ) adalah:
Al-Quran.
Al-Hadith.
Al-Ijmak.
Keperluan mengikut Ahli Sunnah Wal Jama’ah (ASWJ) kerana :
Perintah agama dari sabda Nabi Muhammad.
Menyelamat dari segala ajaran yang bercanggah dengan ISLAM
Imam al Asy ary dan Imam al Maturidi adalah pemimpin besar dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah. Bermazhab dalam amalan ibadah seperti mazhab Syafie, Hanbali, Maliki Dan Hanafi Siapa yang menyimpang dari manhaj Ahli Sunnah maka dia adalah sesat. Fakta Dari Ulama' Mu'tabar & Dar Al-Ifta', MESIR :
4. PEGANGAN ‘ALLAH ADA TANPA TEMPAT
DALIL DARI AL QURAN, HADIS DAN PARA ALIM ULAMAK
MAHA SUCI ALLAH DARI MENYERUPAI SEKALIAN MAKHLUK
DALIL AKAL YANG MENAFIKAN KEWUJUDAN ALLAH DENGAN BERTEMPAT
ALLAH TIDAK BERADA DI MANA-MANA
Fakta Dari Ulama' Mu'tabar , Ulama' Nusantara, BAHEIS & Dar Al-Ifta', MESIR : 5- GOLONGAN YANG MURTAD DAN BERCANGGAH DENGAN AHLI SUNNAH


6- MEMAHAMI TAWASSUL, TABARRUK, BIDA’AH, ZIARAH KUBUR MUSLIM
DEFINASI TAWASSUL , TABARRUK DAN ZIARAH KUBUR
DALIL DARI AL QURAN, HADIS DAN ALIM ULAMAK YANG MENGHARUSKANNYA GOLONGAN WAHHABI YANG MENGINGKARI KEHARUSANNYA


7- PENGKAFIRAN TERHADAP AL MUSYABBIHAH AL MUJASSIMAH PENDIRIAN PARA ULAMAK AHLI SUNNAH TERHADAP PEGANGAN AL MUSYABBIHAH AL MUJASSIMAH :

Sebelah petang pula sejurus selepas solat asar bermulalah sesi suai kenal dan tausiyyah bersama Al-Mukarram Syeikh 'Afeefuddin Al-Jailani dan Al-Habib 'Ali Zainal 'Abidin Al-Hamid.

Sesi malam pula dikhabarkan begitu meriah dan mendapat sambutan di mana ianya telah diisi dengan ceramah daripada Ustaz Muhammad Fuad Bin Kamaluddin Al-Maliki. Rata-rata audien yang hadir berpuas hati dengan Seminar ini kerana banyak manfaat yang terhasil daripadanya. Terima Kasih kepada semua. Mudah-mudahan Allah memberi keteguhan kepada kita dalam memperjuangkan Akidah yang benar. Barakallhu fikum.

Syeikh Fuad Kamaluddin al-Maliki

AJK Fatwa Negeri Sembilan, Penasihat Yayasan Sofa

Wednesday, February 11, 2009

ELAK SAMBUT VALENTINE’S DAY


Perayaan Hari Kekasih atau Valentine’s Day mula membudayai kalangan masyarakat kita khususnya di kalangan muda-mudi, sekitar akhir tahun 1980-an beriringan dengan munculnya siaran-siaran televisyen yang banyak mengupas dan menayangkan iklan ataupun filem-filem yang bertemakan perayaan tersebut. Perayaan Hari Kekasih semakin dikenali oleh generasi muda kesan dari budaya asing yang masuk melalui berbagai saluran media sama ada media cetak mahupun elektronik. Perayaan ini dikenali oleh mereka sebagai perayaan hari berkasih sayang, yang menurut mereka adalah saat yang paling tepat untuk mengungkapkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada mereka yang dicintai atau dikasihi.



Perayaan ini biasanya diraikan di kafe-kafe, hotel-hotel atau tempat-tempat yang romantik, yang mana setiap pasangan memberikan hadiah berupa bungkusan coklat atau bunga yang bertuliskan perkataan ‘I wish you will be my valentine’ kepada orang yang dikasihi. Setelah itu diadakan pesta-pesta yang diisi dengan hiburan seumpama nyanyian, tarian dan sebagainya. Ini tidak menghairankan kerana budaya ini sememangnya diimport dari budaya barat yang bersifat serba boleh dan hedonisme (menurut hawa nafsu).


Kebelakangan ini, pesta perayaan Hari Kekasih dirayakan dengan pelbagai sambutan yang tidak bermoral seperti yang dilaporkan oleh media massa, mereka banyak menghabiskan malam perayaan tersebut dengan berpasangpasangan serta bergaul bebas dan sebahagiannya diakhiri dengan pesta seks. Perkara ini pernah dikomen oleh Ku Seman Ku Hussain dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14 November 2000 bertajuk ‘Apa dihairankan dengan parti buih.’ Beliau mengulas bahawa serbuan yang dibuat oleh pihak berkuasa ke atas ‘parti buih’ di Bangsar yang diraikan dengan tarian bogel dan pakaian mandi itu tidak menjadi hairan kerana beberapa tahun sebelumnya pernah ada penganjur yang ingin mengadakan parti yang serupa bersempena Hari Kekasih tetapi mendapat tentangan pihak jawatankuasa Masjid Abu Bakar al-Siddiq, Bangsar.



Antara contoh-contoh sambutan yang diadakan adalah melalui program TV yang ditayangkan atas nama ‘Valentine’s Special.’ Di samping itu, didapati mereka sibuk memilih kad-kad ucapan Hari Kekasih, menempah cenderahati, jambangan bunga dan tempahan untuk makan malam bagi merayakan hari tersebut bersama pasangan masing-masing. Pihak hotel pula menawarkan pakej-pakej istimewa seumpama ‘Makan Malam Hari Kekasih atau Hidangan Makan Malam Romantik’ dan sebagainya yang mempunyai tujuan untuk menyambut Hari Kekasih.


Bagi merungkaikan isu ini, kita perlu mendalami dan memahami apakah maksud di sebalik Valentine itu sendiri serta asal-usul ia menjadi sebuah perayaan? Dari sudut bahasa, Valentine dalam bahasa Inggeris atau Valentino dalam bahasa Itali adalah berasal daripada nama sebuah keluarga berbangsa Rom, iaitu Valentinus yang juga berasal daripada bahasa Latin iaitu valens yang bermaksud; kuat, aktif, sihat dan seumpamanya (laman web Behind The Name: The Etemology and History of First Name).


Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang telah berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 Masihi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri. Justeru itu, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan tersebut dengan dinamakan hari Valentine.


Terdapat tiga pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine. Pertama, Hari Valentine bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi orang Juno, ratu kepada dewa-dewa dan dewi-dewi Rom. Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.

Pendapat kedua pula menyatakan pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270M). Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat di dalam peperangan. Menyedari hakikat itu, St. Valentine dan St. Marius telah mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan tersebut, St. Valentine telah ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari dalam tahun 270 Masihi. Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. Valentine sebagai upacara keagamaan.


Manakala pendapat ketiga mengatakan Hari Valentine diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope. Apabila St. Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St. Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Tindakan St. Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai hari Kekasih untuk St. Valentine sendiri.


Sejarah di atas jelas menunjukkan bahawa Hari Valentine merupakan perayaan keagamaan yang disambut oleh umat Kristian. Malah sekiranya kita merujuk kepada kenyataan-kenyataan pihak Kristian pada hari ini, mereka masih menganggap Hari Valentine sebagai satu ritual di dalam agama Kristian. Di dalam laman web Spiritrestoration.org: The Premier, Ecumenical Christian
Website. A Resource For Mature Christians and Scholars di bawah topik Definition of religious Holy Days (Pengertian Hari-hari Suci keagamaan), di bawah indeks Saint Valentine’s Day menyebut bahawa: “Christian celebration of the love of God presented in Jesus and in the lives of Christian believers. St Valentine was a 3rd century martyr. This day is widely observed in the USA as a secular celebration of love.” Bermaksud : Perayaan Kristian terhadap kecintaan kepada Tuhan, dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan penganut Kristian, St. Valentine merupakan syahid abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas sekali dirayakan di USA sebagai perayaan cinta di zaman sekular.


Termaktub di dalam laman web Catholic Encyclopedia pengiktirafan bahawa walau dalam apa jua versi berkenaan dengan St. Valentine, kesemua mereka adalah dianggap sebagai syahid. Petikan menyebut : At least three different Saint Valentines, all of them martyrs, are mentioned in the early martyrologies under date of 14 February. Bermaksud : Sekurang-kurangnya terdapat tiga orang St. Valentine yang berbeza, kesemua mereka merupakan syahid, ianya disebut sebagai golongan syahid yang terawal pada tarikh 14 Februari. Manakala Britain Broadcasting Company (BBC) News Online Network melaporkan pada hari Ahad, 14 Februari 1999 bahawa terdapat dakwaan daripada biarawan di Gereja St. John Duns Scotus di Glasgow, Scotland bahawa wujudnya tulang Valentine yang syahid, ianya merupakan servis istimewa hari Valentine pada hujung minggu serta diletakkan di ruang pameran sebagai pameran umum dengan termaktub di atas kerandanya tulisan ‘Corpus St. Valentine Martyris’.



Dikatakan bahawa mayatnya telah diletakkan di ruang sayap Gereja St. Francis semenjak berabad lamanya, dan enam tahun lepas mereka baru sahaja meletakkannya di dalam keranda kayu di dalam kotak kadbod di atas almari berhampiran rumah gereja. Dalam pada itu, nama St. Valentine juga sering digunakan oleh gereja-gereja Roman Katolik bersempena mengingati jasa-jasa tokoh agama tersebut, seumpama St. Valentine Church di Philadelphia, Pennsylvania, St. Valentine’s Catholic Church di Peru, Illinois, St. Valentine Church di Bethel Park, Pennsylvania, St. Valentine Church di Thonstetten, Moosburg, Munich dan St.Valentine Church di Buffalo, New York.


Berdasarkan fakta-fakta di atas, jelas bahawa Hari Valentine merupakan salah sebuah perayaan yang menjadi amalan ritual di dalam agama Kristian. Ini sekaligus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih dalam soal yang melibatkan aqidah Islam.

Islam sangat prihatin dan sangat menginginkan supaya umatnya mempunyai identiti yang tersendiri dan berbeza dengan identiti umat yang lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi-tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dan serupa dengan umat lain. Dalam erti kata lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T.; “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (al-Kafirun ayat 1-6)


Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya yang dikhuatiri bercanggah dengan identiti dan syariah Islam. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w. ;“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”-Riwayat al-Bukhari dan Muslim


Dalam hal ini Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memutuskan bahawa “Amalan menyambut Hari Valentine’s Day adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam”. Manakala Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.-sumber :
http://www.islam.gov.my/

Tuesday, February 3, 2009

MANGSA KES LIWAT

Tinggal kenangan.. yang tersurat dalam qada' qadar Allah Yang Rahman


Bekas imam Masjid Wilayah Persekutuan - mendakwa diarah menjadi saksi sumpah laknat seorang pemuda yang menuduh diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim - dipecat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Ramlang Porigi, yang ditukar serta-merta ke jabatan tersebut September lalu selepas berucap dalam satu kempen ketika pilihanraya kecil Permatang Pauh, mendapat surat pemecatan itu minggu lalu


Dalam surat tersebut yang bertarikh 20 Januari, ketua pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menyatakan bekas imam muda itu dipecat kerana "mencemarkan nama perkhidmatan awam" selepas terlibat dalam kempen Anwar pada 24 Ogos lalu. Peguam bekas imam itu Ahmad Nizam Hamid memberitahu Malaysiakini hari ini, tanpa memberikan sebarang alasan konkrit, surat itu menyatakan "keterangan- keterangan sedia ada sudah mencukupi" untuk memecat Ramlang.


Pada 15 Ogos lalu, Ramlang adalah antara empat imam Masjid Wilayah Persekutuan yang diarahkan menghadiri majlis sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan (foto) di masjid tersebut yang mendakwa diliwat oleh penasihat PKR itu Jun lepas.Ramlang kemudiannya muncul di tiga majlis anjuran Pakatan Rakyat - kira-kira 48 jam sebelum hari pengundian di Permatang Pauh - menjelaskan beliau telah diarahkan hadir di majlis sumpah itu tetapi tidak menyatakan lebih lanjut pihak yang mengarahkannya berbuat demikian.



Menurut Wan Mohamad lagi, yang juga bertindak sebagai pengerusi Lembaga Tatatertib Kumpulan Sokongan Nombor Satu Jakim, tindakan terhadap Ramlang dibuat mengikut Peraturan 38(g) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.Jakim juga menolak permohonan Ramlang untuk menghadapi satu siasatan dalaman (domestic inquiry) berhubung tindakan disiplin terhadapnya dalam jawapannya kepada surat tunjuk sebab Jakim pada November lepas. Ahmad Nizam menjelaskan, Ramlang yang kini sedang berehat akan mengemukakan rayuan bertulis selewat-lewatnya minggu depan seperti Peraturan 14 dan 15(1) peraturan yang sama.



Ulasan :


1) Alasan pemecatan Ramlang kerana mencemarkan perkhidmatan awam sukar diterima. Apatah lagi kerana beliau turun ke gelanggang utk membersihkan namanya dalam kes liwath antara Mohd Saiful Azlan dgn DS Anwar Ibrahim. YBhgia Dato KP sepatutnya faham antara perbuatan 'turun berkempen' dengan 'turun membersih nama'. Kalau nak kira.. pegawai kita pun ramai yang dipaksa berkempen sempena pilihanraya. Terutama bagi menjaga kepentingan Menteri, Timbalan Menteri @ SU Parlimen sebelum ini. Kemudian 'turun' ke gelanggang politik menggunakan duit Kerajaan. Sedangkan itu adalah duit rakyat. Kenapa mereka2 ini tidak diistilahkan "mencemar' perkhidmatan awam? Walaupun ramai orang awam yang tidak tahu. Tapi Allah Maha Mengetahui. Maha Sempurnanya Sifat2 Allah! Aku lebih takutkan Allah!



2) Sumpahan laknat Mohd Saiful yang dilakukan di Masjid Wilayah sebenarnya tidak mengikut prosedur mahkamah syariah. Bahkan sumpah jenis ini adalah sumpah politik murahan yang dicadangkan oleh bekas Mufti Perlis yang jahil tentang hukum syariah. Sayangnya, masjid dan para Imam (yang dipaksa menjadi saksi) terpaksa menganggung akibatnya. Kekejaman politik dan kejahilan Mufti memangsakan Masjid dan Imam. Allahu Allah!


3) Sebenarnya, Sumpah yang dilakukan Mohd Saiful adalah haram hukumnya. Ini kerana dia bersumpah dengan nama Allah dalam perkara maksiat. Demikian menurut hujjah Imam al-Nawawi dalam Matan Minhaj al-Thalibin yang diulas Imam Khatib Syirbini di dalam kitabnya Mughni Muhtaj, Bab al-Aiman, juz 6, hlm 195. Sebaliknya, dalam merealisasikan tuduhan itu, MSA (muddaie) perlu mengemukakan 4 orang saksi. Jika tiada, MSA perlu bersumpah di mahkamah. Jika ini berlaku, pihak mahkamah akan memanggil DSAI mendengar dakwaan sekaligus membela diri juga dgn 4 orang saksi. Jika tiadi DSAI juga perlu bersumpah di mahkamah. Bukannya diluar mahkamah. Jadi, kenapa sumpah ini dilakukan diluar mahkamah? Mungkin kerana sumpah politik murahan tadi. Walaupun begitu, MSA tetap berdosa kerana bersumpah dengan nama Allah bila melakukan maksiat dan dimasjid pulak tu. Dia akan menanggung harganya yang tidak terkira kerana memohon laknat dari Allah SWT.


4) Malangnya, akhie Ramlang pula yang menjadi mangsa. Walhal beliau bukannya imam Besar. Beliau hanyalah pembantu Imam sahaja. Dimana pula kenyataan 3 imam kanan dalam kes ini. Kenapa mereka mendiamkan diri. Pihak JAKIM sebenarnya agak keberatan untuk memecat beliau. Tgetapi atas desakan dan tekanan pelbagai pihak..beliau akhirnya dipecat secara rasmi. Allahu akbar.


5) Sebenarnya, Ramlan agak rapat dgn Tuan Blog. Kita perlu fikirkan beberapa alternatif untuk akhie Ramlang meneruskan khidmatnya sebagai Imam dan pendakwah contoh, Kerajaan Selangor boleh mengambilnya sebagai Imam atas kuasa Kerajaan Negeri. Atau sekurang-kurangnya menjadi Imam Rakyat di masjid2 persendirian @ tajaan korporat tertentu. Saya sendiri bersedia menawarkan beliau beberapa projek uasahama untuk beliau berdikari. Bukankah usaha sendiri lebih baik dan lebih berkat dari makan gaji. Bersabar ya akhie, kemungkinan Allah gantikan rezeki dan keadaan yang lebih baik daripada apa yang luput dari tangan kita. Sungguh di mata zahir.. anda menjadi mangsa. Tetapi di mata yang batin anda lebih mulia kerana dizalimi manusia. Allah yusahhil umurak ya akhie.

Visit Bil.

 

blogger templates 3 columns | Techzilo