Monday, July 6, 2009

WAHHABIY BUKAN MISTERI

Mengklasifikasi Istilah Wahhabiy sbg Misteri adalah sesuatu yang batil. Apatah lagi utk menyamaratakan Misteri Wahhabiy dgn Misteri Nusantara. Jenama Wahhabiy umumnya sudah diketahui lebih 200 tahun lalu. Manakala Misteri adalah sesuatu yang kabur, keliru, tiada sebarang penjelasan @ kesudahan.


PENDAHULUAN

Saya tidak terkejut apabila diberitahu seorang sahabat bahawa Dr Mohd Asri bin Abdul Talib @ Zainul Abidin ada menulis MISTERI ISTILAH WAHHABI di ruangan rencana di Mingguan Malaysia pada 05/07/2009. Beliau memang terkenal dengan minda lacut dalam mengkritik dan tidak jujur dalam menganalisa fakta. Bahkan sering dilihat sentiasa mempertahankan sesuatu dengan sentimen perasaan walaupun tidak berasaskan kepada hujjah yang kukuh.


MERUJUK SUMBER ORIENTALIS

Adalah tidak bijak bagi seseorang bekas mufti memulakan tulisan dengan merujuk kpd penulis barat dalam membuat penilaian tentang aliran pemikiran Islam. Nampaknya beliau lebih mempercayai sarjana barat dari ulamak Islam itu sendiri. Al-maklumlah, baru bari dari UK katakan. Disebalik teoritikal ini, beliau sebenarnya menjelaskan pekungnya yang tidak mengindahkan firman Allah SWT pada surah al-Hujuraat ayat 6. Beliau juga tidak berpegang dengan tradisi ilmu hadis yang menekankan kepentingan Isnad. Sebagaimana kata Ibn Mubarak : Isnad itu sebahagian dari agama. Jika tanpa isnad nescaya seseorang boleh berkata (mendakwa) apa sahaja yang dikehendakinya.” Nampaknya, beliau (yang pernah mendabik dada dengan ilmu hadis) sendiri menodai ilmu hadis yang dipelajarinya.


Nasihat saya, janganlah kita bersikap takabbur dengan kajian orientalis yang tidak beriman berbanding ulamak Islam yang lebih memahami ayat-ayat Allah. Apatah lagi ingin menggunakan kajian orientalis untuk membicarakan tentang aliran pemikiran dalam Islam. Hayhata – hayhata.


JAHIL TENTANG ‘MISTERI’

Saya tersenyum sendirian mengenangkan tajuk artikel bekas Mufti Perlis MISTERI ISTILAH WAHHABI. Pada pemerhatian saya beliau sendiri tidak memahami apakah yang dimaksudkan dengan lafaz misteri itu sendiri. Menurut Kamus Dewan : Misteri bermaksud peristiwa, fenomena, dll yg tidak dapat diterangkan. Misteri juga merujuk kepada cerita, filem, dll yg menimbulkan rasa ingin tahu dan saspens oleh sebab fakta-faktanya tersembunyi. Misteri juga bermaksud orang atau benda yg menimbulkan rasa ingin tahu atau saspens oleh sebab tidak diketahui, kabur, atau membingungkan. Contoh ayat berbunyi : Banyaklah ~ yg tidak pernah dapat dicari jawapannya (Kamus Dewan, 2007, Edisi ke 4, hlm 1037)

Kesimpulannnya, perkataan ‘misteri’ hanya layak digunakan untuk sesuatu unsur yang tidak dapat diterangkan, tidak diketahui, mempunyai saspens lantaran kedapatan fakta-fakta kabur, membingungkan @ tersembunyi.

Sedangkan istilah Wahhabi sudah sekian lama terpahat dalam sejarah Islam. Ia bermula dengan kemunculan fahaman Muhammad bin Abdul Wahhab hingga kini. Ditambah pula dengan penjelasan demi penjelasan alim ulamak itu sendiri. Ikuti penjelasan kami tentang istilah Wahhabiy dalam posting yang akan datang.

Thursday, June 18, 2009

BENDUNG FAHAMAN KELIRUKAN ARUS PERDANA

Syeikhuna Dr Muhammad Uthman El-Muhammady merupakan salah seorg tokoh ulamak Sunni kontemporari yg zuhuh lg warak. Beliau amat disegani dgn kajian kualiti akademik, profesional dan amat berhikmah dlm berdakwah. Pakar dalam pemikiran Islam. Beliau mengkaji pemikiran Wahhabiy dan Syiah lebih dari 30 tahun. Disebabkan itulah beliau amat dibenci oleh kedua golongan ini. Allah yusaddid Khuthakum ya sayyidi!


Gerakan Islam liberal, Syiah, Wahhabiah, pemikiran sekular, budaya konsumerisme antara ancaman ummah ISLAM arus perdana. Ummah ini sedang berhadapan tentangan dan cabaran daripada gerakan aliran pemikiran baru yang mengancam akidah, akhlak serta moral yang menjadikan agama kurang atau tidak berkesan dalam hidup bermasyarakat. Ia menjadikan masyarakat terlalu bersifat kebendaan berlebihan hingga melihat semua perkara sebagai barangan selain berpecah belah akibat fahaman pelbagai jenis yang bercanggah dengan pemikiran arus perdana. Hingga ada yang melihat agama sebagai pemusnah kerana kegagalan menjayakan matlamat agama sebagai penasihat yang dihuraikan dalam pemikiran arus perdana Islam ditambah pula gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar yang bertindak mempengaruhi NGO negara secara negatif.



Itulah antara perkara yang dibincangkan pada sesi terakhir Konvensyen Pendakwah Negara 2009 oleh tokoh akademik Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr Muhammad Uthman El-Muhammady. Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk 'Gerakan Aliran Pemikiran Baru dan Cabarannya Kepada Umat Islam' menjelaskan cabaran gerakan membabitkan fahaman serta cara berfikir seperti Islam liberal, gerakan Syiah, Wahhabiah, pemikiran sekular, budaya konsumerisme dan mengagungkan selebriti.


Menyentuh Islam liberal, ancaman terhadap peradaban Islam aliran arus perdana datang daripada buku yang mengetengahkan beberapa tokoh liberal dalam Islam yang menentang Islam dari dalam Islam itu sendiri. Ini termasuk pendekatan yang dikehendaki kelompok itu dalam menafsirkan Islam secara teguh, mengikut konteks dan sesuai dengan peradaban manusia yang sedang serta terus berubah dengan mempertikaikan apa yang sudah ditetapkan syariah. Antaranya, umat Islam tidak boleh melihat dirinya sebagai masyarakat atau umat yang terpisah daripada golongan lain kerana manusia adalah keluarga sejagat yang disatukan oleh kemanusiaan. Kesan daripadanya, hukum Islam yang membezakan kedudukan umat Islam dengan bukan Islam diubah berdasarkan sifat manusia yang sejagat.


Begitu juga pendekatan mengaitkan Nabi SAW dengan mitos yang dikagumi melalui pendirian Ulil Abshar dalam buku suntingannya Islam Liberal and Fundamental bahawa Nabi Muhammad SAw adalah tokoh sejarah yang harus dikaji dengan kritis kerana Baginda manusia biasa yang ada kelemahan. Sedangkan, ia bercanggah dengan al-Quran, sunnah dan ijmak ulama iaitu Nabi bersifat maksum.


Dalam hubungan dengan gerakan Syiah, walaupun fatwa melarang pergerakan itu, Dr Uthman berkata, akidah yang pada pokoknya berlawanan dengan arus perdana akidah Islam itu berkembang secara senyap (dlm pelbagai ruang). Katanya, (kemelampauan) akidah syiah sehingga mengkafirkan sahabat Rasulullah SAW dan implikasinya boleh meruntuhkan Islam kerana sahabat adalah pemimpin umat yang menyampaikan al-Quran, sunnah serta sejarah awal Islam. Banyak lagi unsur dalam pergerakan itu yang menyalahi akidah seperti (dakwaan wujudnya) al-Quran Sayyidah Fatimah (Mushaf Fatimah) yang menjadi pegangan Syiah Imamiah yang ada sekarang. Mereka mengamalkan kahwin mutaah hingga ke tahap ia boleh dilakukan dengan isteri orang. Tetapi hukumnya hanya makruh menurut mereka. (Sedangkan Jumhur ulamak mengharamkan nikah mutaah ini. "Akidah ini sedang berkembang secara senyap dan kita mesti berwaspada supaya Muslimin Ahlissunnah tidak terikut dengan ajaran mereka kerana ia (boleh) memusnahkan agama serta menjadi ancaman kepada keselamatan negara," katanya.


Beliau berkata, gerakan Wahhabiah juga mencabar Ahlissunnah dan keselamatan negara ini dengan sikap mereka yang terkenal mudah mengkafirkan atau mensyirikkan serta membidaahkan orang lain yang tidak sealiran dengan mereka. Katanya, fesyen berfikir dan memahami agama seperti itu tidak boleh dibiarkan berkembang kerana akan menimbulkan banyak masalah termasuk menyebabkan kekeliruan seolah mereka adalah Ahlissunnah yang sebenar, sementara yang lainnya tidak.


Dr Uthman berkata, umat Islam juga perlu berhati-hati dengan ancaman lain seperti pemikiran sekular, budaya kebendaan yang secara diam turut menggugat pemikiran akibat pengaruh daripada luar tamadun Islam sendiri. Katanya, langkah menyeluruh perlu diambil termasuk mempelajari Islam arus perdana Ahlissunnah supaya ajaran yang dijamin benar dan kekal hingga hari kiamat difahami, menjadi neraca intelektual, akhlak dan rohani. Gerakan dakwah menyeluruh perlu dilakukan semua golongan dan memasukkan fahaman Ahlissunnah dalam sistem pendidikan akidah, epistemologi dan kerangka peradaban supaya selari pendekatan Islam Hadhari. Pendedahan mengenai aliran yang mencabar Islam arus perdana juga perlu dilakukan kepada semua lapisan masyarakat Islam terutama golongan terpelajar dan NGO melalui seminar, bengkel serta bahan penerbitan. -Dipetik dari tulisan Hasliza Hassan, Berita Harian.


Ulasan :

1) Saya amat bersetuju dengan pendedahan yang dijelaskan oleh Syeikhuna Dr Muhammad Uthman al-Muhammadiy ini. Ia sebahagian dari cabaran pemikiran kontemporari dan bersifat realiti yang perlu diketahui oleh semua pejuang akidah yang benar.


2) Pihak-pihak berwajib perlu mengambil inisiatif segera bagi membendung fahaman ini dari menular dan membarah dalam masyarakat. Dan akhirnya memusnahkan keharmonian dan perpaduan umat Islam sendiri. Ingat, Kita bukan Iraq, Pattani @ pakistan. Sebaliknya, negara kita tanggungjawab kita.


3) Perhatikan idealisasi & tindakan NGO2 @ individu tertentu secara teliti. Nescaya anda boleh membaca ideologi yang diperjuangkan mereka dgn tepat. Anda akan tahu Siapa mereka dan siapa pula dibelakangnya? Apa yang lebih penting ialah : apa tanggungjawab anda dalam akidah. Mampukah anda berhujjah dgn Allah nanti?


4) Ketahui bahawa Akidah yang benar pasti membawa penyatuan & keharmonian. Manakala akidah yang batil pasti membawa pelbagai kemusnahan. Kemana langkah anda sebenarnya?Selamatkanlah akidah anda dari virus yang merbahaya ini. Selamatkanlah akidah ummat ini Ya Allah! Ya Dzal Jalali Wal Ikram.

Wednesday, June 17, 2009

WIRID SHEIKH ABDUS SOMAD FALIMBANI

Seorg Ulamak yg menguasai disiplin ilmu, bersilsilah, mengaji, mengkaji dan bekerja sendiri. Beliau beberapa kali dijemput bersama2 tuan blog membentangkan ceramah & k. kerja samada diperingkat daerah dan negeri. Namun, beliau juga pernah di tohmah sbg syiah oleh para juhala'. Semoga Allah menyucikan sirnya. Aamin
Sambungan Artikel : Peranan ulamak dalam Jihad
Untuk memantapkan keyakinan diri menghadapi jihad, Syeikh Abdus Somad Falimbani (SASF) dalam karyanya berjudul Mulhik fi Bayanil Fawa'id an-Nafi'ah fil Jihadi fi Sabilillah atau judul terjemahan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sendiri iaitu "Suatu Perhubungan Pada Menyatakan Akan Beberapa Faedah Di Dalam Perang Sabilillah", beliau membahagi dalam risalah tersebut kepada empat bahagian, iaitu:

1) Faedah Yang Pertama Pada Menyatakan Ayat Quran Yang Jadi 'Azimat Yang Bermanfaat Di Dalam Perang Sabilillah, Dan Peliharaan Yang Menegahkan Daripada Kejahatan Orang Kafir.

2)Faedah Yang Kedua Pada Menyatakan Doa Yang Manfaat Di Dalam Perang Sabilillah Dan Lainnya.


3)Faedah Yang Ketiga Pada Menyatakan Doa Yang Membinasakan Bagi Segala Seteru, Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Seteru.


4)Faedah Yang Keempat Pada Menyatakan Doa Membinasakan Seteru, Dan Segala Kafir, Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Mereka Itu.

Salah satu amalan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pernah diterima oleh pahlawan Mat Kilau. Kisah ini termaktub dalam Kitab Mat Kilau, cetakan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, 1970, hlm. 23, iaitu " Berikut merupakan sebahagian doa yang diambil daripada Sheikh Abdus Somad Falimbani, siapa yang mengamalkan doa ini nescaya (kaut keyakinan pada dirinya bahawa) tidak mengenai padanya pedang, atau panah, atau segala rupa kejahatan dari seteru.." Perkara yang disebut dalam Kitab Mat Kilau itu memang termaktub dalam karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tersebut yang beliau tempatkan pada Faedah Yang Kedua.


Sheikh Abdus Somad al-Falimbani telah menterjemahkan wirid untuk perang itu daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu (utk memudahkan penghayatan awam). Dalam empat buah karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga membicarakan wirid yang sama, di antaranya dalam kitab Mun-yat al-Mushalli. Selengkapnya lihat Mun-yat al-Mushalli yang telah penulis transliterasi (lihat terbitan Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1424 H/2003 M hlm. 96-98).

Walau bagaimanapun, tidak terdapat terjemahan wirid itu oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani seperti yang dilakukan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani. Ingin juga penulis (Syeikh Wan Muhd Saghir) sentuh di sini bahawa dalam terjemahan wirid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tersebut ada hubungkait dengan persilatan. Bahawa ilmu silat yang pernah penulis (SWMS) pelajari adalah melalui tiga jalan, iaitu:


*Belajar secara fizik di gelanggang.
*Belajar wirid-wirid yang boleh mendatang gerak dengan sendirinya.
*Mengabungkan pelajaran fizik dan wirid.


Pada Faedah Yang Keempat wirid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani terdapat satu doa yang sama dengan yang diamalkan dalam Silat Al-Mu'azat. Walaupun dalam Silat Al-Mu'azat tidak mempelajari gerak fizik, tetapi apabila mengamalkan wirid, maka gerak fizik akan datang dengan sendirinya.

Silat Al-Mu'azat pernah dikembangkan di Johor oleh Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad dalam tahun 1970-an. Wirid yang diamalkan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, yang sama dengan amalan dalam Silat Al-Mu'azat itu, lebih lengkap ditulis oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam kitab Ward az-Zawahir (lihat hlm. 189).


Kesimpulan:

1) Seni dan budaya persilatan diajarkan dalam dua bentuk, iaitu dalam gerak fizik dan kerohanian.


2) Ilmu persilatan yang menggunakan wirid, hizib, doa, dan yang sejenis dengannya adalah berasal dari ajaran Islam yang benar. Namun, terdapat juga aktiviti silat yang menggunakan mantera, jampi, serapah, dan yang sejenis dengannya. Mengenai ini sukar dijejaki sumber-sumber asal hingga ke atasnya. Oleh itu, ada yang boleh diamal dan digunakan. Sebaliknya ada pula yang mengandungi unsur khurafat yang menjerumuskan ke arah syirik yang bertentangan dengan akidah Islam. (Anda semua dinasihatkan supaya tidak mengambil pendekatan pukal sahaja dengan mengharamkan seni ini secara mutlak).


3) Ulama-ulama Nusantara yang terlibat dalam jihad fi sabilillah mempunyai asas ilmu menggunakan senjata. Mereka memiliki ilmu ketahanan diri yang bersambung dari satu guru ke satu guru hingga sampai kepada pahlawan-pahlawan Islam terdahulu. Bahkan sumber amalan itu ada yang sampai silsilahnya kepada Rasulullah SAW sendiri.

4) Ulama-ulama Nusantara yang melakukan jihad fi sabilillah demi untuk memperjuangkan Islam dan mempertahankan negeri-negeri Melayu dari dijajah oleh bangsa yang bukan Islam adalah wajib diteruskan secara bersambung dari satu generasi ke generasi yang berikutnya.


Sekianlah yang dapat disampaikan pada ruangan kali ini, mudah-mudah kita dapat menghidupkan seni dan budaya yang dibenarkan syarak dan mengetepikan apa saja seni dan budaya yang bertentangan dengan syarak. Mudah-mudahan hanya pemikiran ulama yang betul saja yang menjadi ikutan kita. Manakala pemikiran (ulamak & tokoh) yang tidak betul walau dari siapa pun datangnya perlu dijauhi. Dan sama-sama kita berdoa supaya fahaman dan pemikiran yg jelek itu dihindari oleh-Nya.

Monday, June 15, 2009

PERANAN ULAMAK DLM JIHAD

Koleksi artikel : ALLAHYARHAM TUAN GURU HJ WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

Peranan ulama dalam silat hanya dapat penulis tonjolkan kepada pemikiran Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan keterlibatan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam jihad fi sabilillah. Kedua-dua ulama besar yang sangat terkenal itu dipercayai menggunakan 'senjata' qalam untuk mengajar umat Melayu dan juga senjata pedang untuk perjuangan di medan jihad fi sabilillah demi mempertahankan kesucian Islam dan watan daripada penjajah. Jika kita anggap ilmu silat adalah untuk mempertahankan diri peribadi, jihad pula adalah utk mempertahankan Islam dan tanah air. Jadi kedua-dua ulama kita itu adalah lebih agung, kerana banyak jenis silat yang dikuasainya. Yang dimaksudkan di sini ialah: jihad menggunakan pena, lidah, menggunakan siasah, dan lain-lain termasuklah silat ketangkasan di medan juang yang sebahagiannya dijadikan sebagai satu cadang seni atau budaya.


Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah ulama besar dunia Melayu yang terlibat langsung bersama-sama Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam medan jihad melawan pencerobohan Siam di bumi Patani Darus Salam. Tulisan-tulisan beliau mengenai hukum jihad telah penulis perkenalkan dalam penulisan-penulisan sebelum ini, di mana jelas menggambarkan bahawa Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah seorang ulama pejuang Islam sebenar dan sejati serta bertanggungjawab terhadap ummah dan watan Melayu daripada segala macam bentuk penjajahan kuffar.


Sebagai tambahan, di sini penulis petik pula pandangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tentang jihad yang beliau tulis dalam kitab Bughyat at-Thullab. Transliterasi selengkapnya ialah: "Dan setengah daripadanya, perang sabil bagi kuffar, yakni wajib bagi Imam itu pergi berperang kepada negeri mereka itu, maka iaitu fardu kifayah dengan ijmak. Atau Naib Imam pergi dengan tentera kerana perang bagi mereka itu. "Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka itu, serta diteguhkan dia, dan ditaruhkan senjatanya, dan orang yang menunggu padanya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu. Maka hendaklah diperbuat akan salah suatu daripada keduanya maka gugurlah fardu kifayahnya. Ini jika tiada mereka itu datang kepada negeri kita. "Maka jika datang ia kepada negeri Islam maka jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan dan sahaya orang ... " (Bughyat at-Thullab, jilid 1, hlm. 95).


Ulasan dan pandangan, daripada kalimatnya "Maka jika datang ia kepada negeri Islam ... " dapat kita bandingkan peristiwa penjajahan bangsa Barat- (Portugis) Belanda, Inggeris (juga Jepun) di dunia Melayu pada zaman Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dengan peristiwa Amerika, pengganas terbesar dunia, yang telah menjajah Afghanistan dan Iraq. Sebagaimana telah disebutkan bahawa Belanda dan Inggeris telah menjajah dunia Melayu, perlu pula dinyatakan di sini bahawa Patani juga tidak terlepas daripada dijajah, bukan oleh bangsa Barat tetapi oleh Siam. Semua penjajah yang tersebut adalah bukan agama Islam kerana mereka telah menjajah negeri Islam.


Oleh itu, menurut Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani pada sambungan kalimat di atas bahawa "jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan dan sahaya orang ..." berperang atau jihad terhadap mereka (penjajah). Bangsa-bangsa yang telah menjajah dunia Melayu, adalah bukan beragama Islam. Oleh itu fenomena yang berlaku sekarang, tuduhan umat Islam sebagai pengganas adalah tidak berasas sama sekali, kerana tidak terdapat dalam sejarah bahawa bangsa-bangsa yang beragama Islam datang menjadi penjajah di dunia Melayu. (Kecuali munculnya gerakan Wahhabiy yang bertindak memulau wakil Khalifah di Jaziratul Arab. Dan akhirnya berkomplot dgn British memerangi Daulah Uthmaniyyah. Bahkan sanggup membunuh sesama Islam atas nama jihad. Maka beratus ribu nyawa umat Islam melayang dan darah yang mengalir bagaikan sungai.( Ahmad Zaini Dahlan al-Syafi'ie, al-Umara fi Biladil Haram, hlm 512). Sedarlah bahawa senario inilah salah satu dari manifestasi keganasan yg diimport dari bukan Islam dan dipraktikkan ke atas umat Islam.


Sebenarnya bangsa-bangsa penjajah itulah yang layak dilabelkan sebagai pengganas atau terrorist atau penzalim. Gelaran tersebut terdapat (sinonim dgn) dua golongan yang sedang bermusuhan, yang pertama ialah pengganas yang sedang berkuasa (pemerintah) dan yang kedua ialah pengganas yang tidak berkuasa (rakyat).


Perjuangan jihad yang pernah dilakukan oleh ulama kita seperti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan lain-lain tidak dapat disamakan dengan kedua-dua golongan pengganas yang tersebut di atas, kerana jihad Islam adalah cukup jelas berdasarkan perintah daripada Allah dan para Rasul-Nya (dlm konteks mempertahankan Islam dan watan). Sesiapa saja yang berjihad menurut perintah Allah dan Rasul-Nya adalah benar, tidak terdapat keraguan di dalamnya. (Ia berbeza dgn tindakan ganas sesetengah pihak yang menyerang dan membunuh hanya semata-mata berbeza pendapat dalam perkara furuk.) Pengertian jihad juga berbeza dengan mengebom berani mati. Kecuali dlm konteks palestin sbgmana yg dibenarkan ulamak kontemporari.)



Oleh itu, wajib dipertahankan kebenaran dan kesuciannya daripada pentafsiran-pentafsiran yang tidak betul. (Kerana yg tidak betul itu) disusun demikian rapi oleh pihak-pihak tertentu yang kononnya telah merasa lazat makanan dan minuman segar tetapi (sebenarnya) beracun yang mereka peroleh dari musuh-musuh Islam.


(Syeikh Daud juga ada menyentuh) tentang keperluan membuat persiapan sebagai benteng pertahanan. (Hal ini) dapat kita ketahui dari kalimat beliau, "Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka itu, serta diteguhkan dia ...". Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyentuh pula tentang persiapan persenjataan dengan sambungan kalimatnya "dan ditaruhkan senjatanya" maksudnya bahawa dalam benteng pertahanan perlulah ada tersimpan persenjataan yang cukup dan siap digunakan apabila diperlukan.


Patriotik bangsa adalah sangat diperlukan, yang beliau gambarkan pada sambungan kalimatnya "dan orang yang menunggu padanya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu". Kalimat ini dapat dihubungkaitkan dengan "ilmu silat" kerana orang Melayu yang sanggup melawan musuh pada zaman itu perlu mempunyai ketangkasan. Ketangkasan dalam bentuk fizikal adalah mempelajari ilmu silat. Dan tidak dapat dinafikan diperlukan "kekuatan dalaman" atau "mental" atau "rohani". Baik Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani mahu pun Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga pernah mengijazahkan wirid-wirid pertahanan diri untuk menghadapi musuh dalam peperangan. (Dan ketahuilah bahawa golongan pelampau wahhabiy Msia cukup anti dgn penganugerahan ijazah spt ini. Sesetengah mereka pula menyifatkan sbg 'ijazah rekaan bahan cari makan'. Sebenarnya, ia amalan para ulamak. Dan kelihatan golongan ini mengungkapkan sesuatu yg tidak diketahui mereka. Nauzubillah.)

* Tulisan dlm kurungan adalah suntingan tuan blog.

Tuesday, May 5, 2009

SESAT DALAM NYATA



Antara website Qadyaniyyah

Walaupun telah difatwakan sebagai ‘SESAT’, ajaran Ahmadiyyah @ lebih dikenali dengan ajaran Qadyaniyyah yang diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad Qadyani masih bermaharajalela di negara ini. Lihat sahaja kewujudan medium dakwah sesat mereka seperti website, blog dan pamplet yang ditaburkan di merata tempat. Termasuklah di stesen2 LRT, stesen bas dan tempat-tempat awam lain. Terutamanya di Kawasan Keramat dan Lembah Kelang. Maknanya, fatwa sebelum ini seolah-olah tidak memberi kesan kepada golongan ini. Malahan mereka tampil dengan lebih berani dan agresif dalam menyesatkan umat ini secara sistematik.



Seketika dulu, Mirza Ghulam Ahmad pernah mengaku menjadi Nabi. Setelah dakwaannya dihujani bedilan hujjah dari ulamak Islam, beliau mula gementar dengan dakwaan palsunya. Namun, beliau tidak pernah menarik balik buhtannya itu. Maka berlakulah pertembungan antara beliau dengan para alim ulamak dan seterusnya membawa kepada peristiwa sumpah laknat. Beliau bersumpah bahawa beliau adalah utusan Allah dan memohon laknat dikenakan ke atas ulamak yang ingkar dengan dakwaannya. Manakala, sebahagian ulamak India pula bersumpah bahawa beliau bukannya utusan Allah. Dan memohon allah menurunkan laknat ke atas pendustaannya. Akibat dari sumpah laknat berkenaan, makhluk Allah yang dipopularkan oleh British ini tidak henti-henti beraknya. Akhirnya, beliau mati dalam keadaan hina dengan berlumuran najis di badannya (al-Ghumari, Itqan al-Sun’ah fi Tahqiq Makna al-Bid’ah hlm 37). Bagi saya, inilah kesan segera dari melakukan pendustaan terhadap Allah dan RasulNya.



Kini jawatan Utusan Allah @Khalifatul Masih diteruskan pula oleh anak cucu cicitnya dengan pelbagai gelaran dan siri tertentu. Sekali pandang seakan tiada unsur kesesatannya. Namun, jika dianalisa secara halus, ternyata seruan mereka bagaikan api di dalam sekam. Gerakan ini secara terang menggunakan jenama Islam dan cuba memperkotak katikkan umat Islam dengan propaganda sesat mereka. Inilah sebahagian dari contoh bid’ah (rekacipta) yang sesat dalam bidang akidah yang perlu dibanteras secara serius oleh Menteri Agama yang baru dan semua agensi pelaksana dibawah seliaannya.




Sehubungan itu, saya dengan rendah diri meminta, para sahabat di R&D JAKIM, Penguatkuasa JAWI, JAIS dengan kerjasama PDRM dan pelbagai pihak segera bertindak sebelum kesesatan Qadyaniyyah semakin berleluasa. Sayangi akidah anda dan akidah umat ini dari dinodai oleh ahli al-Bid’ah Wa aD-Dholal. Jangan sampai gerakan, pertubuhan, website, blog dan artikel yang tak sesat disiasat. Manakala dakyah yang sesat dilepaskan begitu sahaja. Semoga Allah terus memperteguhkan langkah kita dalam memperjuangkan kebenarannya. Aamiin.



Wednesday, March 25, 2009

AKIDAH FIR'AUN

Nasib Fir'aun : Si Kufur yang Mati Kering

Apabila anda mengkaji al-Qur'an, jelas didapati bahawa di antara makhluk Allah yang berpegang dengan akidah yang bathil ialah Fir'aun Laknatullah. Antara teras kepercayaan Fir'aun ialah Allah berada di atas langit. Hal ini sebagaimana yang diterangkan oleh Allah SWT sendiri melalui ayat 36-37 Surah al-Mukmin :


36. Dan Firaun pula berkata: "Hai Haman! binalah untukku sebuah bangunan Yang tinggi, semoga Aku sampai ke jalan-jalan (yang Aku hendak menujunya)"


37. "(Iaitu) ke pintu-pintu langit, supaya Aku dapat melihat Tuhan Musa; dan Sesungguhnya Aku percaya Musa itu seorang pendusta!" Demikianlah diperhiaskan (oleh Syaitan) kepada Firaun akan perbuatannya Yang buruk itu untuk dipandang baik, serta ia dihalangi dari jalan Yang benar; dan tipu daya Firaun itu tidak membawanya melainkan ke Dalam kerugian dan kebinasaan."


Pencerahan :

1) Imam al-Thabari mengatakan : "Telah berlaku perselisihan pendapat dikalangan ahli takwil (tafsir) tentang maksud 'al-Asbab' kpd beberapa pendapat. Al-Sudiy dan Abi Soleh mengatakan : Jalan-jalan ke langit. Sebahagian lain mengatakan : pintu-pintu langit. Sebahagian lain pula berpendapat : tempat kediaman dilangit. Yang lebih utama kepada benar ialah pendapat yg pertama. Iaitu maksudnya : Supaya aku dapat ada sesuatu jalan/sebab-sebab yg boleh menyampaikan aku untuk melihat Tuhan Musa a.s. Samada ia bermaksud jalan, pintu, tempat kediaman atau lain-lain."- al-Thabariy, Jamek Al-Bayan Fi Takwil al-Qur'an, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Cet ke-3, 1999, jld 11, hlm 61


2) Imam al-Qurtubiy (ketika menghurai maksud ; 'Supaya aku boleh melihat Tuhan Musa..')mengatakan : "Fir'aun mengesyaki secara waham bahawa Tuhan Musa (Allah) adalah terdiri dari jenis jisim yang menduduki tempat/ruang tertentu. Dan adalah Fir'aun itu mendakwa dirinya Tuhan. Dan Dia melihat sifat ketuhanan pada dirinya itu secara pasti dengan menduduki tempat yang tinggi/mulia."-al-Qurtubiy, al-Jamek Lil Ahkamil Qur'an, Cet 1, 2000, Jld 8, hlm 205



3)Imam Ibn Katsier mengatakan: "Allah SWT berfirman tentang sikap kesombongan dan bangkangan Fir'aun yang mengada-ngadakan pendustaan terhadap Nabi Musa A.S, bahawa dia memerintahkan menterinya Hamaan utk membina sebuah istana yang tinggi, indah lagi pencakar langit. Bangunan ini diperbuat dari batu yang mana bahan bakunya terdiri dari tanah liat yang cantik. Sebagaimana firman Allah SWT menerusi surah al-Qasshah ayat 38..."

Ketika menafsirkan ayat : "Supaya aku dapat melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku memandangnya seorang pendusta..." Imam Ibn Katsier mengatakan : "Ini merupakan ungkapan kekufuran dan penentangan Fir'aun dimana dia menganggap Musa A.S berdusta bahawa dia (Musa) telah diutus oleh Allah SWT."


Ketika menafsirkan ayat seterusnya, Imam Ibn Katsier mengatakan : "Dengan perbuatan ini ia eolah memberi maksud kepada rakyatnya bahawa dia (fir'aun) telah melakukan sesuatu yang sampai kepada pendustaan Musa A.S. Untuk itu, Allah berfirman : "Dan tipu daya Fir'aun itu tidak lain hanyalah membawa kerugian. Ibn Abbas dan Mujahid berkata :"Kecuali hanya membawa kerugian."- Ibn Katsier,Tafsir al-Qur'an al-Azhim, Pustaka Imam al-Syafi'ie, Cet 1, 2004, jld 7, hlm 166


Berdasarkan kepada sorotan pandangan mufassirin di atas kita boleh membuat beberapa Kesimpulan:

1) Fir'aun bukan sekadar tidak beriman dengan Nabi Musa A.S. Malah ditentangnya habis-habisan dakwah Nabi Musa A.S dgn melabelkan Nabi Musa A.S sebagai pendusta. Sedetikpun Fir'aun tidak pernah beriman. Oleh itu, mana bisa mungkin Fir'aun hendak dikatakan bertauhid Rububiyyah diakhir hayatnya. Bahkan dia sebenarnya kafir yang ori dan lambang kekafiran sejati.


2)Fir'aun berakidah dgn akidah kufur dengan mempercayai bahawa Allah itu terdiri dari jisim. Sedangkan jisim, jirim adalah suatu yang bersifat baharu. Mustahil Allah SWT bersifat sbgmana makhluk yg baharu berdasarkan firmannya pada surah al-Syuura ayat 11 dan al-Ikhlas ayat 4.


3) Fir'aun juga percaya bahawa Allah SWT menetap diatas langit. Lantaran itu, dia memerintahkan Hamaan utk membina istana tinggi menjulang kononnya untuk melihat Allah SWT. Walhal, ini semua merupakan akidah khayalan beliau sahaja. Dan sebarang khayalan berkaitan dgn Dzat Allah adalah Tajsim. Untuk itu, adalah wajar jika dikatakan bahawa akidah tajsim adalah akidah kufur Fir'aun Laknatullah. Bersama kita jauhi akidah tajsim lagi kufur sbgmana Fir'aun. Jangan jadikan akidah anda sebagai Fir'aun zaman modern.


4) Pihak berkuasa agama perlu memantau dan bertindak ke atas penyebaran akidah tajsim. Ini kerana akidah yg sesat lagi kufur menghalang ibadah seseorang dari diterima oleh Allah SWT. Sekaligus menyebabkan seseorang itu keluar dari Islam dalam keadaan dia tidak menyedarinya. Selamat memeriksa akidah anda. Semoga Allah menunjukkan kita akidah yang benar. Aamiin.

Wednesday, March 4, 2009

METOD HADIS SONGSANG

Kitab : al-Takrif Bi Auhami Man Qassama al-Sunan Ila Sahih Wa Dhaif Karangan Allamah Syeikh Mahmud Said Mamduh, Pegawai Penyelidik, Institut Penyelidikan, UAE






Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albaani yang dipuja oleh golongan Salafiyyah al-Wahhabiyyah

Dalam posting terdahulu, saya telah menulis tentang Siapa Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albaani?. Saya melihat artikel ini banyak dimuatkan beberapa website yang lain. Ia disusuli dengan komentar yang kebanyakkannya tidak ilmiyyah. Bahkan banyak pula yang berlandaskan perasaan berbanding hujjah. Sekarang, mari kita ikuti kenyataan Murid Kanan al-Allamah al-Imam al-Muhaddith Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari iaitu Allamah Syeikh Mahmud Said Mamduh tentang kesilapan metodologi hadis yang diperjuangkan al-Albaani dan para muridnya. Beliau telah mengarang banyak kitab untuk mendedahkan beberapa kesilapan metodologi Syeikh Muhammad Nasiruddin dalam ilmu hadith.


Antara karangan beliau yang terbaru ialah : al-Ta’rif bi Awham Man Qassama al-Sunnan Ila al-Sahih Wa al-Dhaif (Satu pengenalan bagi mereka yang mendatangkan kesamaran dgn membahagikan al-hadith kepada Sahih dan Dhaif). Kitab ini berjumlah enam jilid bermula bab Taharah (bersuci) sehingga bab kelebihan Makkah. Di dalam kitab ini Allamah Syeikh Mahmud Said Mamduh berjaya menjelaskan metodologi songsang al-Albaani satu persatu. Beliau telah mengesan hampir 1000 hadis yang telah ditashih dan ditad’ifkan mengikut selera hawa nafsu Syeikh al-Albaani. Penjelasan ini membuktikan Syeikh al-Albaani tidak memiliki konsistensi kukuh dalam pentashihan hadis.


Walaupun menceburi bidang hadith, Syeikh al-Albaani sebenarnya tidak mempunyai silsilah perguruan dalam bidang hadis secara bersanad. Jika dikaji secara teliti dalam terjemahan biografi Syeikh al-Albaani, tidak diketahui siapakah gurunya yang meriwayatkan hadis kepadanya. Ajaib sekali jika seseorang yang menceburi bidang hadis tidak memiliki guru hadis yang memiliki silsilah yang sampai kepada Rasulullah SAW.

Disamping itu, Syeikh al-Albaani juga bertanggungjawab merungkai metodologi ilmu hadis yang telah sekian lama disusun rapi oleh para ulamak hadith. Contohnya : Para ulamak hadis telah sepakat membahagikan hadith kepada empat bahagian utama : Iaitu Hadith Sahih, Hadis Hasan/Maqbul (yg tidak menepati spesifikasi sahih dan tidak pula dhaif), Hadith Dhaif dan Hadith Mauduk (Rekaan). Tetapi bila hadirnya Syeikh al-Albaani, beliau merombak metodologi berkenaan. Lalu membahagikan hadis kepada dua bahagian sahaja. Iaitu Hadis Sahih dan Hadith Dhaif/Mauduk (rekaan).


Bukan sekadar itu, Al-Albaani juga turut menjelaskan bahawa tidak boleh beramal dengan hadis dhaif berkenaan. Sedangkan para ulamak menaskan : ”Para Ulamak Hadis, Feqah dan selainnya menjelaskan : Diharuskan dan disunatkan beramal dengan hadis dhaif di dalam kelebihan-kelebihan perkara ibadah, galakan terhadap janji-janji baik Allah dan larangan terhadap janji-janji buruk Allah selagi mana hadis tersebut tidak mencapai tahap hadis rekaan,”-Imam al-Suyuthi di dalam Kitabnya Tufah al-Abrar dan Imam al-Nawawi di dalam al-Azkaar, hlm 14, Cet Dar al-Makrifah, 1996


Oleh itu, tidak pelik jika ada pihak yang membicarakan ilmu hadis, secara sombong menolak keberhujahan hadis-hadis hasan atau hadith dhaif dalam bidang dan kelasnya sebagaimana yang dibenarkan para ulamak hadis, feqah dan selainnya. Dakwa mereka, hadis berkenaan tidak sahih. Atau hadis berkenaan adalah hadis dhaif. Ternyata sikap begini tidak mencerminkan metodologi Ahl Hadis yang sebenar. Sebaliknya, mencerminkan sikap penolakan terhadap hadis secara halus. Inilah salah satu hasil dari pegangan Ijtihad al-alBaani yang perlu ditolak secara jujur.


Selain itu, alAlbaani juga begitu gigih ingin menilai semula hadis-hadis Nabi SAW yang telah dinilai sahih oleh para ulamak muktabar sebelumnya. Dalam kes ini, perlu dipertanyakan Siapa al-Albaani dan siapa gurunya? Dimana sanadnya @ silsilah periwatannya? Dimana Standard beliau dalam disiplin ilmu hadis? Apakah beliau al-Hafidz, al-Hakim, al-Hujjah, Pakar Ilal al-Hadis? Pendek kata, Syeikh al-Albaani juga perlu dinilai secara Jarh dan Ta'dil oleh para ulamak yang layak menilai penghadisannya. jadi, mengapa harus ada pihak yang menuduh kita ekstrem bila kita ingin mengadili beliau berdasarkan metodologi Ahli Hadis yang silam? Sepatutnya, ia bukan isu yang perlu dipertikaikan.


Jika kita membuka lembaran fatwa yang melibatkan al-Albaani, khususnya bab feqah, disana terdapat beberapa fatwa syadz al-Albaani yang bertentangan Ijmak ulamak. Contohnya masalah wajibnya dipindahkan maqam Nabi SAW dari masjid Nabawi al-Syarif kerna maqam tersebut dianggap sebagai berhala. Nauzubillah. Ummuhatul Mukninin didakwa beliau harus utk berzina dengan lelaki lain selepas kewafatan Nabi SAW. Umat Islam Palestin wajib keluar dari Palestin kerana tidak berkuasa melawan Yahudi dan macam lagi fatwa pelik tapi benar2 berlaku. Dan direkodkan dalam kitabnya. Apakah kita harus berdiam diri sahaja dan terus menyanjunginya. Tanpa menjelaskan kekeliruan yang ditimbulkan beliau. Masya Allah.


Kini sudah 10 tahun Syeikh al-Albaani bersemadi di Tanah Perkuburan Jabal Nasir, di Amman, Jordan . Namun fikrah dan metodologi hadis modern yang dirintisnya mendapat tempat dalam masyarakat disebabkan beliau pernah menjawat Mahaguru Hadis di Universiti Islam Madinah. Memandangkan metodologi hadisnya bertepatan dengan aliran Salafiah Wahhabiyyah, maka namanya dijulang dan beliau diberi penghargaan serta dimasyhur ke tahap Amir Mukminin Fi al-Hadis. Muncul pula murid-murid yang mengagung-agungkan al-Baani ke serata dunia, dengan sokongan wang ringgit yang banyak menyebabkan fikrah al-Albaani mudah tersebar dengan cepat. Berbanding karya ulamak yang hebat dalam pelbagai bidang tetapi kurang diberi perhatian sesetengah pemerintah. Akhirnya, karya berkenaan terkubur begitu sahaja.


Apapun kesalahan al-baani dalam bidang hadis perlu diperjelaskan. Bukan bermaksud bila kita membicarakan kesalahan seseorang ulamak beerti kita mencela keperibadiannya. Tidak sebegitu, namun tujuannya ialah ingin diperbetulkan kesilapannya. Dan memberi ingatan kepada umat ini agar tidak tersalah faham dengan pendapat yang sememangnya salah. Apatah lagi untuk mengambil manfaat dari metodologi songsang yang diperjuangkannya.


Justeru, diperingatkan kepada para pendakwah, penceramah @ sesiapa sahaja yang melibatkan diri dalam bidang hadis supaya berpegang kepada metodologi yang telah disepakti ulamak hadis. Dan usah mengambil jalan pintas untuk menghukum hadis jika anda tidak mengetahui disiplinnya. Dikhuatiri, jika anda menukil tashih dan tashih al-Albaani, anda akan dikenali se kapal dgn metodologi songsang ini. Dan tidak hairanlah jika anda dituduh Wahhabiy. Atau di gam oleh negeri-negeri tertentu.


Bagi mereka yang tidak tahu apa-apa akan hal ini...dia pasti berkata : al-Albaani pun ulamak jugak... zamihan tu siapa? Masalahnya bukan siapa saya, kita dan mereka...Tetapi permasalahannya ialah metodologi songsang, tiada disiplin ilmu dan kesalahan seseorang perlu diperjelaskan supaya tidak berlaku kerancuan dan salah faham sesama Islam. Lebih-lebih lagi dalam sesuatu bidang yang melibatkan sumber perundangan Islam iaitu al-Hadith. Wallahu'alam.

Visit Bil.

 

blogger templates 3 columns | Techzilo