Menteri & Mufti sanggah fatwa sembrono Anak Pak Wahhab
March 20, 2011
KANGAR, 20 Mac — Menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah adalah menyimpang dari amalan Rasulullah, kata seorang anggota Majlis Fatwa Perlis, Datuk Ahmad Jusoh. Beliau berkata Rasulullah pernah mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan akad nikah dalam masjid kerana ia meniru penganut Kristian yang menikah dalam gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka. Ahmad yang juga ahli Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkata, walaupun pernah berlaku peristiwa akad nikah dalam masjid pada zaman Rasulullah namun ia berpunca dari kehadiran seorang wanita ke dalam masjid yang mahu dirinya dikahwini.
Kesanggupan seorang lelaki yang turut berada dalam masjid untuk mengahwini wanita itu menyebabkan Rasulullah melakukan akad nikah dalam masjid. Ini adalah satu-satunya kes akad nikah dalam masjid yang dilakukan baginda, kata pendakwah itu hari ini ketika diminta mengulas keghairahan umat Islam ketika ini menjadikan masjid sebagai tempat akad nikah kerana menganggap ia lebih berkat. Ahmad berkata adalah lebih baik akad nikah dilakukan di rumah pengantin. — Bernama
JAWAPAN MENTERI AGAMA : Sah akad nikad di mana saja
Menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah adalah tidak salah kerana perkara itu sah dilakukan di mana-mana sahaja, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Beliau berkata tindakan itu sebaliknya memudahkan tugas imam yang terpaksa menjalankan upacara akad nikah lebih daripada sekali pada hari yang sama. "Kalau imam terpaksa menikahkan banyak pasangan pada hari yang sama, lebih mudah ia diadakan setempat seperti di masjid. "Kita lihat secara keseluruhan, ia dapat menjimatkan masa selain menjadi salah satu pendekatan dakwah sebab bila ke masjid kena tutup aurat," katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.
Beliau mengulas kenyataan anggota Majlis Fatwa Perlis, Datuk Ahmad Jusoh semalam yang mengatakan menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah adalah menyimpang dari amalan Rasulullah. Ahmad dilaporkan berkata Rasulullah pernah mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan akad nikah dalam masjid kerana ia meniru penganut Kristian yang menikah dalam gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka.
'Islam haruskan akad di masjid'
Sementara itu, Mufti Kerajaan Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata Islam mengharuskan akad nikah dilakukan di masjid. Beliau berkata tiada halangan mana-mana pasangan Islam untuk melangsungkan perkahwinan di masjid, malah lebih digalakkan lagi kerana ia boleh memberi manfaat dalam bidang pengurusan. "Dari satu segi yang mudah, akad nikah di masjid dapat menghimpunkan banyak pasangan untuk melangsungkan perkahwinan dalam satu masa berbanding di rumah masing-masing dan bacaan khutbah dapat disampaikan imam atau jurunikah serentak.
"Lagipun rumah ibadah Islam itu boleh diadakan pelbagai kegiatan agama dan kemasyarakatan sejak di zaman Rasulullah lagi," katanyadi Kota Bharu, Kelantan hari ini. Sehubungan itu, beliau berharap umat Islam melihat perkara itu dari sudut positif bagi mengelakkan ia mengelirukan mereka sendiri. - Bernama.
1 comment:
assalamu'alaikum,
Saya melihat perkara ini dari sudut positifnya bukan melihat siapa yg mengataknnya.Sy setuju ianya harus kerana ada maslahat umum spt memudahkan imam. Namun dr sudut realiti, sy melihat banyak pasangan pengantin tidak tutup aurat terutama pengantin wanita.Kebanyakkan memakai pakaian ketat, jarang dan berwangi2an.
Begitu juga pasangan pengantin tidak menghormati masjid dgn solat tahiyatul masjid dan tidak diingatkan oleh Imam akan hal ini.Ini tak beradap namanya.
Tiga org anak saudara sy bernikah di masjid. Dua darinya nikah dilakukan di dlm bilik mesyuarat ttp yg bungsu dilakukan diruang utama masjid krn ada dua pasangan bernikah pada masa yg sama.
Salah seorang anak saudara yg sedang haid terlupa lalu masuk juga ke ruang masjid. Bila diingatkan barulah beliau keluar. Saya lihat ramai tetamu dari kedua pihak yg tak tutup aurat, jika mrk haid sekalipun kita tak pasti.
Aktiviti jurukamera dan tetamu2 mungkin juga menyebabkan mrk yg beriktikaf terganggu. Bg saya kalau nk nikah di masjid jagalah adap dan lebih baik buat dalam dewan mesyuarat dan hadkan bilangan yg masuk dalam dewan. Yg penting ialah wali dr pihak wanita/saksi wajib hadir.
Sy harap perkara ini dinilai dari sudut ilmu bukan dilihat dari sudut siap yg mengatakannya lalu dituduh wahabbi (anak pak wahab) dsb.Yg benar tetap benar, berkata benarlah walaupun pahit.
Allahuaklam.
Post a Comment