Sunday, March 13, 2011

HARAM MENGEKSPLOITASI RUKHSHAH

Ketahuilah (semoga anda semua dirahmati Allah) bahawasanya diharamkan ke atas semua individu Muslim untuk mengeksploitasi fatwa ulamak yang senang dan paling mudah. Mereka sengaja mencari keputusan yang paling senang dan paling secocok dengan hawa nafsu mereka. Perkara ini tentunya dibuat tidak berdasarkan dalil-dalil dan hujah-hujah syarak.

Mereka mentarjih dan menentukan satu-satu masalah berdasarkan hawa nafsu mereka dengan berselindung di sebalik slogan : "Dalam masalah ini terdapat khilafiyah. Yakni terdapat dua atau lebih pendapat ulamak yang berselisih faham tentangnya."

Mereka yang mengikut cara sebegini zahirnya selalu berpindah dari satu mazhab ke mazhab yang lain. Mereka juga selalu berpindah dari satu pendapat kepada pendapat yang lain demi mengikut hawa nafsu mereka. Di hadapan manusia mereka berselindung dengan dakwaan mereka mengikut hukum Allah subahanahu wa ta'ala, mengikut sunnah dan pendapat ulamak. Namun hakikatnya, di sisi Allah mereka hanya menunggang hawa nafsu semata-mata.

Firman Allah subahanahu wa ta'ala di dalam al Quran :

أَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَـٰهَهُ ۥ هَوَٮٰهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيۡهِ وَڪِيلاً (٤٣) أَمۡ تَحۡسَبُ أَنَّ أَڪۡثَرَهُمۡ يَسۡمَعُونَ أَوۡ يَعۡقِلُونَ‌ۚ إِنۡ هُمۡ إِلَّا كَٱلۡأَنۡعَـٰمِ‌ۖ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّ سَبِيلاً (٤٤)

Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? (43) Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.(Surah al Furqan : 43-44)



FirmanNya lagi :
أَفَكُلَّمَا جَآءَكُمۡ رَسُولُۢ بِمَا لَا تَہۡوَىٰٓ أَنفُسُكُمُ ٱسۡتَكۡبَرۡتُمۡ فَفَرِيقً۬ا كَذَّبۡتُمۡ وَفَرِيقً۬ا تَقۡتُلُونَ (٨٧)

Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?(Surah al Baqarah : 87)

FirmanNya lagi :
وَأَرۡسَلۡنَآ إِلَيۡہِمۡ رُسُلاً۬‌ۖ ڪُلَّمَا جَآءَهُمۡ رَسُولُۢ بِمَا لَا تَهۡوَىٰٓ أَنفُسُہُمۡ فَرِيقً۬ا ڪَذَّبُواْ وَفَرِيقً۬ا يَقۡتُلُونَ (٧٠)
(Tetapi) tiap-tiap kali datang seorang Rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak disukai oleh hawa nafsu mereka, mereka dustakan sebahagian dari Rasul-rasul itu, dan mereka bunuh yang sebahagian lagi.(Surah al Maidah : 70)

FirmanNya lagi :
فَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلۡهَوَىٰٓ أَن تَعۡدِلُواْ‌ۚ وَإِن تَلۡوُ ۥۤاْ أَوۡ تُعۡرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرً۬ا (١٣٥)

Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (Surah an Nisa' :135)

FirmanNya lagi :

يَـٰدَاوُ ۥدُ إِنَّا جَعَلۡنَـٰكَ خَلِيفَةً۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ فَٱحۡكُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلۡهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ‌ۚ

Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu) dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. (Surah Sad : 26)

FirmanNya lagi :

وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَـٰهُ بِہَا وَلَـٰكِنَّهُ ۥۤ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ‌ۚ

Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; (Surah Al A'raf : 176)

FirmanNya lagi :
وَلَا تُطِعۡ مَنۡ أَغۡفَلۡنَا قَلۡبَهُ ۥ عَن ذِكۡرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ وَكَانَ أَمۡرُهُ ۥ فُرُطً۬ا (٢٨)

Dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.(Surah al Kahfi :28)

FirmanNya lagi :

فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يَتَّبِعُونَ أَهۡوَآءَهُمۡ‌ۚ وَمَنۡ أَضَلُّ مِمَّنِ ٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ بِغَيۡرِ هُدً۬ى مِّنَ ٱللَّهِ‌ۚ

Ertinya : maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayat petunjuk dari Allah.(Surah al Qasas : 50)

FirmanNya lagi :
ثُمَّ جَعَلۡنَـٰكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ۬ مِّنَ ٱلۡأَمۡرِ فَٱتَّبِعۡهَا وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَ ٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ (١٨)

Errtinya : "Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah Syariat itu dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar)."(Surah al Jatsiah :18)

FirmanNya lagi :
وَلَا تَتَّبِعُوٓاْ أَهۡوَآءَ قَوۡمٍ۬ قَدۡ ضَلُّواْ مِن قَبۡلُ وَأَضَلُّواْ ڪَثِيرً۬ا وَضَلُّواْ عَن سَوَآءِ ٱلسَّبِيلِ (٧٧)



"Dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul."(Surah al Maidah : 77)

Daripada getusan ayat-ayat ini, kita dapat mengetahui bahawa ilmu usuluddin melarang seseorang itu daripada mengikut hawa nafsunya. Dan mencari pendapat yang paling mudah pula satu dari perbuatan mengikut hawa nafsu. Ia sesuatu yang terlarang lagi haram sebagaimana yang telah dijelaskan oleh ulamak.

عن سيدنا أنس رضي الله عنه قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : حفة الجنة بالمكاره, وحفة النار بالشهوات (رواه مسلم )



Ertinya : "Daripada saidina Anas RadiyaLlahu 'anhu, RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda : "Syurga itu dikelilingi oleh sesuatu yang tidak mengujakan nafsu (di dunia). Manakala neraka pula dikelilingi oleh perkara yang menyenangkan nafsu (di dunia)". Riwayat Muslim dalam Sahihnya .

Jelas kepada kita bahawa mencari pendapat ulamak yang paling mudah dan mengikut pendapat manusia ramai yang jahil adalah satu perbuatan mengikut hawa nafsu.

Sesungguhnya telah berlaku ijmak di kalangan ulamak muktabar bahawa haram hukumnya bertindak sembrono dalam mengeluarkan fatwa dan menyimpang dari pendapat yang sahih lagi rajih. Maka wajib ke atas ulamak mujtahid mencari dalil yang tepat dalam mengeluarkan sesuatu hukum. Dan wajib ke atas setiap ulamak mujtahid mencari dalil yang tepat dalam mengeluarkan sesuatu hukum. dan wajib pula atas setiap muqallid (pengikut) mengikuti dalil yang sahih lagi rajih (paling kuat) dalam lingkungan mazhab imamnya. Marilah kita ikuti beberapa pandangan ulamak mengenai hal ini :

1. Al Imam al Hafiz Ibn Abd al Barr di dalam kitabnya Jami' Bayan al Ilmi wa Fadhluh m/s 112 juz 2 mengatakan : "Jika anda mengambil setiap pendapat yang paling mudah dari orang alim maka terkumpullah segala kejahatan." Katanya lagi : "Ini adalah ijmak ulamak (kesepakatan semua ulamak)".

2. Imam An Nawawi di dalam kitabnya al Majmu' Syarh al Muhadzhab m/s 55 juz 1 mengatakan : "Sekiranya seseorang itu dibolehkan mengikuti apa yang dikehendakinya, nescaya perbuatan itu ini akan membawa kepada keinginan untuk mencari keringanan di dalam mazhab. Perbuatan ini sebenarnya hanya menurut hawa nafsu/ Seseorang itu akan mudah memilih antara yang halal, haram, wajib dan harus. Perbuatan ini boleh membawa kepada terungkainya tuntutan taklif."

Kata-kata yang senada juga turut diluahkan oleh Imam al Hafiz Ibn al Solah di dalam kitabnya Adab al Mufti wa al Mustafi' m/s 46 juz 1.

3. Imam an Nawawi sekali lagi di dalam al Majmu' Syarh al Muhadzab m/s 46 juz 1 menegaskan : "Haram hukumnya bertindak sembrono dalam memberikan fatwa. Dan haram pula bagi mereka yang meminta fatwa daripada orang yang bersikap sembrono itu."

4. Allamah as Syatibi di dalam al Muafaqat m/s 134 juz 4 mengatakan : "Sesungguhnya mengikut perkara yang paling mudah di dalam mazhab itu akan membawa kepada pegangan yang tidak berdasarkan kepada dalil syarak. Sesungguhnya Ibn Hazm telah menyatakan telah berlaku kesepakatan secara ijmak bahawa perbuatan sedemikian adalah fasiq (kejahatan) dan tidak halal ".

Bagi saya, perkataan Imam al Syatibi "pegangan yang tidak berdasarkan dalil syarak" bermaksud dalil yang tidak muktabar (tidak dikira benar). Contohnya, bagi mereka yang tidak solat, mereka pergunakan satu ayat yang berbunyi :
فَوَيۡلٌ۬ لِّلۡمُصَلِّينَ (٤)
Ertinya : "Maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang menunaikan solat :" (Surah al Ma'un : 4)

Ini adalah satu contoh pengambilan dalil yang salah. Ini kerana ayat ini ditafsirkan dengan ayat selepasnya : iaitu orang yang lalai dari solatnya : iaitu orang yang sengaja riyak (menunjuk2) kepada manusia amalan solatnya dan iaitu orang yang menegah kebaikan yang dilakukan orang lain. Justeru berpegang kepada dalil ini untuk meninggalkan solat adalah satu kaedah menggunakan dalil yang sahih ditempat yang salah.

5. Imam al Hafiz al Zahabi di dalam kitabnya Siyar A'lam al Nubala' m/s 90 juz 8 mengatakan : "Barangsiapa yang mencari kemudahan dalam mazhab dengan kekeliruan ulamak mujtahid.. maka tipislah agamanya. Hal ini sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Auza'ie dan lain-lain yang berbunyi : "Sesiapa yang mengambil pendapat ulamak Makkah tentang kebenaran nikah mut'ah (sinonim denga amalan pengikut Syi'ah), pendapat para ulamak Kufah tentang arak dan pendapat para ulamak Madinah tentang nyanyian serta pendapat ulamak Syam(Jordan, Palestin dan Syiria) tentang maksumnya khalifah yang empat, maka sesungguhnya dia telah mengumpul kejahatan. Dan demikian juga bari mereka yang menghalalkan jual beli riba, nikah, talak dan sebagainya. Kesemua ini membawa kepada kehancuran. Marilah kita memohon taufiq dan hidayah dari Allah subhanahu wa ta'ala".

6. Imam al Hafiz Taqiyuddin al Subki di dalam fatwanya m/s 147 juz 1 mengatakan : "Bagi mereka yang mengambil pendapat yang mudah di dalam mazhab: mereka akan menikmatinya dengan sedap kerana sebenarnya mereka mengikut hawa nafsu dan bukan mengikut agamanya."

Bagi saya, pendapat ini merangkumi sikap sesetengah kita yang memilih pendapat ulamak yang paling lemah dan ringan dalam satu mazhab yang dikira sesuai dengan ciratasa nafsu mereka.

-Kenyataan ini dipetik dari Kitab Sifat Solat Nabi Yang Sahih, terjemahan Ustaz Zamihan al-Ghari, Edisi ke3, 2011

No comments:

Visit Bil.