Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Yang Maha Suci daripada sekalian kelemahan. Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Nabi Muhammad Rasul yang diutuskan kepada sekalian alam, seluruh ahli keluarga Baginda dan sekalian para Sahabat Baginda.
PEMBELA, sebagai sebuah gabungan pertubuhan-pertubuhan Islam bukan kerajaan antaranya termasuk MUAFAKAT, ABIM, PKPIM, ISMA, RICOI, PUMPP, MACMA dan pertubuhan-pertubuhan lain yang mewakili suara majoriti umat Islam di tanahair, ingin mengingatkan pemimpin politik, agama dan masyarakat awam umumnya dalam pelbagai aliran dan anutan supaya menghormati kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Walaubagaimanapun, peruntukan khas buat Agama Islam selama ini tidak pernah menjejaskan para penganut agama bukan Islam untuk mengamalkan mahupun menghayati amalan agama-agama mereka sesuai dengan semangat yang terkandung di dalam Perlembagaan. Penghakisan kefahaman dan semangat ini akan turut menghakis kestabilan dan keutuhan negara yang berbilang kaum dan agama yang mampu menikmati pembangunan dan keamanan sejak Kemerdekaan hingga ke hari ini.
Sehubungan dengan itu, PEMBELA ingin menegaskan dan menasihatkan para pemimpin politik dan agama supaya tidak memperalatkan isu-isu keagamaan bagi memenuhi agenda politik dan agama masing-masing. Pelbagai usaha, khususnya menjelang pilihanraya kecil dan pilihanraya Sarawak yang jelas akan menerbitkan provokasi agama dengan tujuan politik sebenarnya hanya akan mengundang padah kepada kestabilan dan keutuhan negara. Provokasi di dalam hal-hal berkaitan sensitiviti keagamaan dan tindakan-tindakan tersebut memungkinkan reaksi yang keterlaluan dan emosional dari pihak penganut Islam mahupun yang bukan Islam.
Dalam konteks isu berkaitan dengan perlepasan Bible Berbahasa Melayu seperti juga isu-isu yang bersamaan dengannya iaitu isu penggunaan kalimah Allah haruslah diselesaikan di luar dari percaturan yang membawa kepada sentimen agama, sensasi media massa mahupun kepentingan politik. Isu agama sama sekali tidak harus menjadi bidaan di dalam waktu pilihanraya khususnya di dalam konteks Islam yang mempercayai kepercayaan agama adalah milik Allah dan bukan atas dasar toleransi politik mahupun suara ramai. Kami berpandangan bahawa, persoalan yang lebih mendasar dalam soal pelepasan Bible Berbahasa Melayu ini ialah penggunaan istilah-istilah khusus dalam aqidah Islam kepada makna-makna dalam agama Kristian yang boleh mengubah makna istilah-istilah itu serta mengelirukan masyarakat.
Bagi mengelakkan provokasi yang berterusan dan kekeliruan terhadap mana-mana agama maka PEMBELA menggesa pemimpin politik dan agama supaya bersikap lebih matang dan berwibawa di dalam menyampaikan tuntutan masing-masing. Misalnya kami berasa sangat kesal membaca kenyataan-kenyataan bernada angkuh dan kasar pimpinan CFM dan MCA terhadap tawaran bersyarat daripada pihak kerajaan yang kami kira sudahpun merupakan suatu langkah kompromi. Sikap sebegini adalah tidak patriotik dan sangat tidak sihat bagi keharmonian hidup bermasyarakat di negara kita. PEMBELA berpandangan bahawa pihak berkuasa perlu bertegas terhadap mana-mana pihak yang terlalu provokatif dalam isu-isu seumpama ini dan perlu memastikan keharmonian di antara kaum yang dikecapi selama ini tidak terjejas hanya kerana tuntutan sempit dan tindakan liar pihak-pihak tertentu.
Semoga Allah SWT memberi keberanian dan kekuatan untuk memilih sikap yang terbaik dan sentiasa mengurniakan kemakmuran dan kesentosaan kepada negara yang kita cintai ini.
Sumber : http://membelaislam.wordpress.com/
No comments:
Post a Comment