Tuesday, April 20, 2010

ATASI KEKELIRUAN ISTILAH ANTARA AGAMA-KAUM

Oleh ROHANA MAN
rohana.man@utusan.com.my
PENUBUHAN Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama terus mengundang kontroversi. Pelbagai pihak mengeluarkan pendapat berhubung perkara tersebut. Selain Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), mufti-mufti dari seluruh negara yang mengadakan pertemuan di Putrajaya baru-baru ini sepakat mencadangkan agar perkataan agama ditukar kepada perkataan kaum.

Para mufti mencadangkan agar nama Jawatankuasa Khas Antara Agama ditukar kepada Jawatankuasa Khas Antara Kaum bagi mengelak timbulnya kekeliruan di kalangan rakyat.
Perkara itu dicapai hasil pertemuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dengan mufti-mufti negeri berhubung penubuhan jawatankuasa khas itu yang menimbulkan kontroversi. Dalam meneliti perkara ini, isu yang timbul berpunca daripada penggunaan perkataan agama bagi menamakan jawatankuasa tersebut. Jika perkataan lain yang dipilih, tentu ia tidak akan menimbulkan kontroversi. Ada asasnya kenapa penolakan itu berlaku kerana apa sahaja yang dikaitkan dengan agama boleh disalah tafsir, diputar belit dan dikelirukan oleh pihak yang masing-masing mempunyai kepentingan sendiri.

Jika kaum Cina, sudah tentu keutamaannya adalah kepada agama Buddha, begitu juga jika kaum India, perkara utama yang paling dipentingkan adalah agama Hindu yang menjadi pegangan hidup mereka. Dan sudah tentu, kaum Melayu yang merupakan penganut agama Islam di negara ini akan sanggup berbuat apa sahaja untuk memastikan ketinggian darjat agama suci itu tidak tergugat. Masalahnya, jika semua kaum mahu mempertahankan agama masing-masing dan membuat tuntutan yang bukan-bukan, maka apa akan jadi dengan matlamat penubuhan jawatankuasa itu.

Itulah yang ditakuti berlaku oleh pihak-pihak yang menolak penubuhan jawatankuasa yang menggunakan perkataan agama di dalam menamakan jawatankuasa itu. Selain itu, perlu difahami bahawa dua perkataan itu membawa maksud dan pemahaman yang berbeza. Perkataan kaum merujuk kepada etnik sama ada Cina, India, Kadazan atau Dayak. Agama pula adalah anutan atau kepercayaan seseorang terhadap Tuhan mengikut ajaran masing-masing seperti Islam, Hindu, Buddha atau Kristian.

Tetapi perlu kita fahami bahawa dalam hal ini, ada orang Cina menganut agama Islam, begitu juga kaum India dan Kadazan yang memilih Islam sebagai penyuluh hidup. Di antara etnik dan agama, tentulah agama diletakkan di tempat yang paling atas. Ini kerana etnik yang berbeza itu boleh menganut agama pilihan masing-masing dan dalam perkara ini, tentulah agama Islam berada di tempat paling atas dalam apa sahaja jawatankuasa agama yang ditubuhkan di negara ini.

Ini kerana agama rasmi negara Malaysia adalah Islam dan itulah yang telah ditetapkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Jadi, apa sahaja jawatankuasa yang dibentuk secara automatik akan mengangkat agama Islam di kedudukan paling atas. Pensyarah di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Khadijah Hambali menjelaskan perkara tersebut.

Menurutnya, kekeliruan timbul apabila orang ramai termasuk pihak tertentu tidak faham mengenai apakah yang dimaksudkan dengan hubungan etnik, dialog antara agama, dialog tamadun Islam dan lain-lain yang seumpamanya. Katanya, istilah yang berbeza itu digunakan sebagai satu pendekatan terhadap peserta atau orang ramai yang perlu didekati untuk memahamkan mereka terhadap sesuatu isu berkaitan agama. "Kalau etnik, ia merujuk kepada kaum dan sesiapa pun boleh duduk di tempat paling atas dalam jawatankuasa yang ditubuhkan itu. "Ini bermaksud jika etnik Cina atau etnik India yang duduk di tempat itu, maka tentulah mereka akan 'mewarnakan' perjalanan jawatankuasa tersebut mengikut kepentingan etnik masing-masing. Itu berlaku jika kita pilih nama Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum.

"Tetapi kalau kita guna perkataan agama (Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama), agama yang dimaksudkan itu jelas merujuk kepada Islam kerana mengikut Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama rasmi negara dan status itu membuatkannya berada di kedudukan paling atas dalam satu-satu jawatankuasa agama yang dibentuk," katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada 6 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon mengesahkan bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Ilani Isahak dilantik sebagai Pegawai Penyelaras Khas bagi Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama yang akan membincangkan pelbagai isu berhubung antara agama dalam negara.

Mengulas lanjut, Dr. Khadijah berkata, kontroversi yang timbul ini menunjukkan seolah-olah orang Islam sendiri tidak faham Perlembagaan Persekutuan.

"Jika Perlembagaan ini dihayati dengan teliti, sudah tentu tidak timbul sebarang kontroversi dan jika ada pun kekurangan terhadap pembentukan jawatankuasa tersebut, ia boleh diperbaiki menerusi perbincangan," katanya. Justeru, katanya, golongan mufti sepatutnya turut berada di dalam jawatankuasa tersebut kerana tanggungjawab mereka adalah untuk memastikan agama Islam terus terpelihara. "Mereka (mufti) very powerful. Peranan mereka penting dalam meletakkan syarat-syarat atau peratusan atau mekanisme yang wajar dalam menggerakkan jawatankuasa tersebut. "Begitu juga, kalau nak pilih ahli jawatankuasa, maka hanya mereka yang memiliki kepakaran dalam bidang agama sahaja diletakkan di dalam jawatankuasa tersebut," ujar Dr. Khadijah.
Ulasan :
1) Saya juga tidak bersetuju dengan penubuhan IFC. Penubuhannya bukan sekadar mencabar keistimewaan Islam sbg agama persekutuan, tetapi mencabar bidang kuasa Sultan sebagai Ketua Agama dan Adat Istiadat sesebuah negeri mahupun kuasa eksekutif YDPA.
2) Apakah selama ini agensi agama yang ada seperti Majlis Raja2, Majlis Kebangsaan Islam (MKI), Majlis Fatwa Kebangsaan, JAKIM, JAIN, Majlis Agama Islam, Jabatan Mufti gagal memainkan peranannya dalam dialog agama dan peradaban? Atau adakah mereka gagal memberi keadilan kepada golongan bukan Islam di negara kita? Sebaliknya kita melihat apa juga kemelut sebelum dapat diselesaikan secara hikmah dan bijaksana.
3) Keanggotaan IFC juga diragui. Mengapa Majlis Raja2, Majlis Fatwa @ para Mufti tidak dimaklumkan tentang penubuhan ini dan keanggotaannya. Sebaliknya ia hanya diputuskan kabinet sahaja. Tentu ada udang disebalik mee!
4) Apakah kewujudan IFC akan menjadi penimbang tara kepada dasar2 agama Islam yang diputuskan oleh jawatankuasa tertinggi Islam di negara ini. kalau setakat nak dialog, kita tak memerlukan kepada Suruhanjaya kelulusan kabinet. Sebaliknya hanya cukup dengan perwakilan tertentu yang sedia ada sahaja.
Nampaknya, perjuangan golongan Islam Liberal untuk meliberalisasikan dasar pengurusan agama di negara kita semakin kukuh. maka saya mengingatkan semua pihak agar sentiasa berwaspada dan kita semua perlu lebih proaktif dalam usaha membentuk pemikiran sesat ini. Jazakallah khayran jazak.

No comments:

Visit Bil.