AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH KONTEMPORARI 1)Berpaksikan al-Qur'an,al-Sunnah & Ijmak Ulamak 2)Menyusuri Kebenaran melalui Ulamak yang Haq 3)Berprinsip Wasathiyyah 4)Membanteras fahaman Pelampau Agama 5)Memperkasakan kerohanian
Sunday, December 27, 2009
BILA TIADA HUJJAH...
Saranan Dr. Al-Qaradhawi Agar Aqidah Al-Asy'ari Terus Dijaga Di Malaysia
الدوحة- دعا العلامة الشيخ يوسف القرضاوي ماليزيا إلى المحافظة على شخصيتها الإسلامية المتمثلة في مذهبها الشافعي وعقيدتها الأشعرية للوقوف أمام أي تسلل فكري من الخارج.
Maksudnya:
Dhoha- Al-Allamah As-Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi menyeru kepada negara Malaysia agar menjaga syakhsiyyah (peribadi, jati diri atau ciri-ciri) keislamannya yang terzahir daripada mazhabnya As-Syafi’e dan aqidahnya (masyarakat Islam Malaysia) yang Al-Asy’ari untuk berdiri menghadapi dan mendepani serangan pemikiran dari luar.
وخلال لقائه أمس مع رئيس الوزراء الماليزي نجيب تون رزاق، دعا الشيخ القرضاوي رئيس الوزراء والعلماء للتكاتف من أجل المحافظة على الشخصية الإسلامية الماليزية "أشعرية العقيدة شافعية المذهب" لمواجهة أي تسلل فكري ومذهبي وافد من الخارج يشتت وحدتهم ويفسد عقيدتهم.
Maksudnya:
Pada pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia semalam iaitu (Dato’ Seri) Najib Tun Razak, Sheikh Al-Qaradhawi mengajak Perdana Menteri dan para ulama’ agar bersatu padu untuk menjaga jati diri keislaman (Syahksiyyah Islamiyyah) Malaysia yang bersifat “Asy’ari dari sudut aqidah dan Syafi’e dari sudut mazhab” untuk menghadapi segala ancaman pemikiran dan mazhab dari luar yang memecah belahkan kesatuan mereka dan merosakkan aqidah mereka.
Kemudian disebutkan:
وعقب رئيس الوزراء الماليزي على كلام الشيخ القرضاوي، مؤكدا حرص حكومته على أن تبقى الشخصية الإسلامية الماليزية بعيداً عن الخلافات المذهبية التي تشتت ولا تجمع.
Maksudnya:
Perdana Menteri memberi ulasan terhadap perkataan Sheikh Al-Qaradhawi dengan menegaskan bahawasanya kerajaan akan terus mengekalkan jati diri (syakhsiyyah) keislaman negara Malaysia agar jauh daripada perselisihan mazhab yang memecah-belahkan umat dan tidak menyatukan mereka.
Rujukan:
http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?c=ArticleA_C&cid=1260258249444&pagename=Zone-Arabic-News/NWALayout
Thursday, December 24, 2009
Golongan Ahlu Sunnah Wal Jama'ah Menurut Imam Al Baghdadi
Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim
Saya membaca tulisan mengenai makna atau definisi Ahlu al-sunnah wal Jamaah (ASWJ) oleh Dr MAZA pada pertengahan November 2009 lepas dalam Utusan Malaysia. Penulis mengutip definisi Ahlussunnah yang ditulis oleh Imam al-Baghdadi (wafat429H) dalam kitabnya al-Farq Baina al-Firaq. Namun malangnya perkataan 'al-turuq al-sifatiah' atau 'jalan-jalan sifat' dalam definisi tersebut diabaikan. Walhal itulah antara perkara yang penting bagi menentukan samada tauhid yang mensyarahkan sifat-sifat adalah sesuatu yang baru atau sememangnya sudah lama. Pada saya, ada sedikit masalah 'amanah ilmu' bila dia tidak menerangkan secukupnya maksud al-Baghdadi bila mensyarahkan pengertian ASWJ (atau mungkin dia tidak sengaja). Penulis juga tidak memperjelaskan penerangan Imam al-Baghdadi (selepas memetik definisi Imam itu) berkaitan dengan definisi tersebut.
Demikian juga, ada sebuah lagi penulisan yang menceritakan aliran pemikiran tauhid di Nusantara yang merujuk bahawa aliran yang mensyarahkan Sifat 20 hanyalah muncul selepas tahun seribu Hijrah melalui Imam Sanusi dengan kitabnya Umm al-Barahin. Penulis tidak merujuk kemunculan metode tersebut kepada penyusunnya yang sebenar iaitu Abu Hassan al-Asy'ari (wafat324H) yang muncul pada akhir kurun ke 3 Hijrah (atau mungkin dia juga tidak sengaja).
Dalam kesempatan ini, saya hanya mahu menjelaskan siapakan Ahlussunnah menurut penulisan Imam al-Baghdadi yang telah menjadi rujukan definisi ASWJ supaya pembaca dapat memahaminya secara jelas. Bagi pembaca-pembaca yang berupaya membaca bahasa Arab, boleh merujuk terus kepada kitab Imam ini. Imam al-Baghdadi Rahimahullah menyatakan (hal.19):
"Maka golongan yang ke 73 ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu golongan ahl al-ra'y (Abu Hanifah dan murid-muridnya) dan ahlu al-hadis; bukan mereka yang mempermain-mainkan hadis; dan ulama fekah mereka, penghafal al-Quran mereka, perawi hadis dari mereka, dan ulama hadis di kalangan mereka, semuanya sepakat atas keesaan pencipta, keesaan sifat-sifatNya, keadilanNya, hikmahNya, dan nama-namaNya dan pada bab kenabian dan kepimpinan, hukum hudud, dan pada perkara usuluddin."
Seterusnya, Imam al-Baghdadi Rahimahullah memperincikan LAPAN (8) golongan yang termasuk dalam Ahlusunnah wal Jamaah (lihat bukunya dari halaman 240-243):
• Golongan pertama, mereka yang menguasai ilmu khususnya dalam bab Tauhid (meng-esa-kan Allah) dan kenabian, hukum-hukum wa'ad (khabar gembira) dan wa'id (ancaman siksa), pahala dan balasan, syarat-syarat ijtihad, pemerintahan dan kepimpinan. Mereka yang melalui jalan ini ialah ulama Kalam (Tauhid) yang bebas dari fahaman tasybih (menyerupakan sifat Allah dengan makhluk) dan bebas dari fahaman ta'til (yang menafikan sifat-sifat yang Azali bagi Allah SWT)), dan bebas dari bidaah al-Rafidhah, Khawarij, Jahmiah, Najariah dan seluruh pengikut bidaah dan hawa nafsu.
• Golongan kedua ialah imam-imam fiqh samada kumpulan yang cenderung pada rakyun (dalil aqal) atau hadith. Iaitu mereka yang beriktikad (berkeyakinan) pada perkara usuluddin dengan mazhab-mazhab sifat pada Allah dan pada sifat-sifatnya yang azali (membicarakan sifat-sifat Allah SWT sebagaimana sifat 20), dan mereka bebas dari fahaman Qadariah dan Muktazilah; mereka menetapkan melihat Allah Taala dengan mata (di akhirat kelak) dengan mata tanpa tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk), tanpa ta'til' (menafikan sifat-sifat Allah).
Termasuk dalam golongan ini ialah murid-murid kepada Malik, al-Shafie, al-Auza'i, al-Thauri, Abu hanifah, Ibn Abu Laila (wafat148H), sahabat-sahabat Abu Thaur (wafat240H), sahabat-sahabat Ahmad bin Hanbal (wafat241H), ahli al-Zahir, keseluruhan ulama fiqh yang beriktikad dalam bab-bab akal ini dengan prinsip-prinsip Sifat (tauhid yang membahaskan Sifat-sifat Allah). Dan mereka tidak mencampurkannya dengan apa-apa dari ahli bidaah dan hawa nafsu.
• Golongan ketiga ialah mereka yang menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan periwayatan hadith dan sunnnah yang disampaikan oleh Nabi SAW, mereka berupaya membezakan antara sahih dan cacat antaranya, mengetahui sebab-sebab 'al-jarh wa al-ta'dil' (kredibiliti seorang rawi), dan mereka tidak memasukkan ilmu mereka dengan apa-apa dari ahli bidaah dan nafsu yang menyesatkan.
• Golongan ke empat ialah kaum yang menguasai kebanyakan topik-topik sastera Arab, nahu dan saraf. Mereka berada atas jalan pakar bahasa seperti al-Khalil (wafat175H), Abu 'Amr bin al-'Ala` (wafat 145), Sibawaih (wafat 180H), al-Farra' (wafat 207H), al-Akhfash (wafat 215H), al-Asma'i, al-Mazini (wafat 236H), Abu Ubaid (wafat 224H) dan seluruh imam-imam Nahu samada ulama-ulama Kufah atau Basrah, yang mana mereka tidak mencampurkan ilmu mereka dengan sesuatu dari bidaah al-Qadariah, atau Rafidhah atau Khawarij. Maka sekiranya seseorang itu cenderung ke arah nafsu yang menyesatkan, maka bukanlah ia dari golongan Ahlussunnah walaupun kata-katanya adalah 'hujah' dalam ilmu bahasa dan Nahu.
• Golongan ke lima, antaranya ialah mereka yang menguasai ilmu yang berkaitan dengan jenis-jenis qiraat untuk al-Quran, dan jenis-jenis tafsiran al-Quran, penakwilannya berdasarkan mazhab-mazhab Ahlussunnah, tanpa berpegang dengan takwilan ahli nafsu yang sesat.
• Golongan ke enam ialah, antaranya ialah para ahli zuhud sufi yang mempunyai ilmu maka jauh pandangan, yang telah dinilai maka ia diiktibarkan, mereka redha dengan hidup yang ringkas, mereka mengatahui bahawa penglihatan, pendengaran dan hati dipertanggungjawabkan terhadap kebaikan dan kejahatan; menghisab dengan neraca zarah-zarah, justeru menyediakan diri mereka dengan sebaik-baik perisapan untuk hari Kiamat. Perkataan mereka berjalan di atas dua jalan iaitu secara jelas dan isyarat di atas jalan ahli hadis, tanpa mereka 'membeli' pandangan yang mempermainkan hadis. Mereka tidak melakukan kebaikan kerana riak, tidak pula meninggalkan kebaikan kerana malu kepada orang lain. Agama mereka hanya satu dan menafikan 'pentasybihan' (menyerupakan Allah dengan makhluk), mazhab mereka ialah tafwidh (menyerahkannya) kepada Allah SWT, bertawakkal kepadanya, penyerahan kepada-Nya, tenang dengan apa yang direzekikan-Nya.
• Golongan ke tujuh ialah, antaranya kaum yang terikat dengan barisan hadapan peperangan dengan orang-orang kafir, berjihad melawan musuh-musuh Islam, mereka menjadi benteng melindungi umat Islam, meninggalkan isteri-isteri mereka dan negara mereka, dan menzahirkan pada barisan hadapan mereka Mazhab ASWJ.
• Golongan ke lapan ialah, antaranya kebanyakan negara-negara yang secara kebiasaannya terdapat syiar ASWJ, bukannya negara yang menzahirkan syiar ahli hawa-nafsu yang sesat.
Itulah huraian sebenar al-Imam Abdul Qahir bin Tohir bin Muhammad al-Baghdadi (wafat429H). Rupanya ramai sebenarnya yang diiktiraf sebagai Ahlussunnah. Ia berbeza dengan pandangan yang meminoritikan dan mengekslusifkan ASWJ hanya untuk golongannya sahaja dengan tuduhan sesat dan bidaah pada perkara remeh-temeh seperti qunut, talqin, zikir selepas solat, berdoa beramai-ramai dan sebagainya. Lihat kata Imam al-Baghdadi tentang perkara-perkara cabang (hal. 19):
"Mereka (ASWJ) hanya khilaf mengenai halal dan haram pada cabang hukum, bukanlah khilaf tersebut mengundang kepada sesat dan fasik; mereka adalah puak yang terselamat, kerana mereka bersatu pada keesaan pencipta dan qidamNya, qidam segala sifatnya sejak azali, dan harus melihatNya tanpa sebarang perumpamaan dan gangguan, serta yakin terhadap isi kandungan kitabNya dan rasulNya, dan mengikut segala syariat islam, dan menghalalkan segala yang dihalalkan oleh Al-Quran, dan mengharamkan segala yang diharam oleh Al-Quran, serta menerima apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan beriman pada hari kebangkitan dan perhitungan, dan soal dua Malaikat dalam kubur, beriman dengan telaga Kauthar dan Timbangan".
Semoga masyarakat Islam tidak terbelenggu dengan perpecahan yang lebih parah lantaran perkara-perkara tersebut. Banyak masa yang perlu digunakan untuk memperbetulkan generasi muda yang menyongsang arus dengan pelbagai gejala sosial. Wallahu a'lam.
Sunday, December 20, 2009
Tokoh Tajdid Dihukum Sesat Oleh Wahhabi
Bahkan, untuk menguatkan hujjahnya demi meraih sokongan juga dikeluarkan juga mengenai pengakuan Tokoh Ma'al Hijrah ini yang dituduh sebagai wahhabi.
Sekiranya mereka yang rajin mengkaji pemikiran dan fikrah Dr Yusof al Qardhawi tentunya akan sedar bahawa Dr Yusof al Qardhawi pernah mengkritik sendiri golongan yang kononnya melarang taqlid, tetapi mereka inilah sendiri yang taqlid pada ulamak mereka sendiri di dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat.
Bahkan juga menyelar golongan yang memerangi golongan yang bermazhab. Lihat sendiri kata-kata beliau :
Ada golongan yang memerangi konsep bermazhab, memerangi mazhab fiqh dengan melarang (bermazhab) walaupun daripada golongan awam untuk bertaqlid. Pada masa yang sama mereka bertaqlid dengan pandangan guru mereka maka jadilah ia mazhab yang kelima!
(Kitab: al-Sahwah al-Islamiyyah Min Murahaqah Ila al-Rusyd).
Sedarkah mereka yang hanya taqlid buta kepada Dr Asri, Pro Bahtera Perubahan, Tajdid (sebenarnya tajdid lapuk) tanpa mengkaji bahawa Dr Yusof Al Qardhawi sendiri ada membukukan kitabnya yang bertajuk : Al Fatwa Bayna Al Indibat al Tasayyub
Di dalam kitab ini, Dr Yusof Al Qardhawi mengajar dan mendidik agar mereka yang ingin berfatwa agar menguasai disiplin ilmu sebelum berani mengeluarkan apa-apa hukum dari al Quran dan Hadith. Ia telah dijelaskan di dalam blog ini di dalam tajuk : Jangan Segan Untuk Berkata Aku Tidak Tahu..
Bahkan mereka yang hanya belajar suka tebuk-tebuk, dan kemudian mengeluarkan hukum seolah-olah sudah menjadi mujtahid diselar dengan kata beliau :
Sesungguhnya ramai di kalangan golongan muda pada zaman sekarang yang hanya membaca beberapa kitab terutamanya di dalam ilmu hadis. Lantas merasakan mereka sudah pakar di dalam ilmu padahal mereka belum pun mengecapi permulaannya. Mendakwa mereka mampu berijtihad di dalam urusan agama, di dalam masa yang sama ilmu Bahasa Arab serta komponen-komponennya serta nahu dan saraf tunggang langgang. Seandainya anda menyoal mereka supaya irab sebaris ayat, mereka tidak mampu menjawabnya dengan baik. Mereka juga tidak mempelajari usul fiqh! Hanya meneka-neka sebarang dugaan kononnya mengetahui akan sebarang permasalahan. Hal ini menyebabkan mereka tidak mahir dengan ilmu fiqh apatah lagi untuk menyelami lautan perbahasan yang luas yang akan menjadikan mereka lebih mahir dan berkemampuan untuk memahami dengan baik. Sesungguhnya mereka ini sepertimana kata Imam Zahabi: Teringin untuk terbang tetapi tiada bulu.
(Kitab: al-Sahwah al-Islamiyyah Min al-Murahaqah Ila al-Rusyd).
Sekiranya diselusuri artikel, ceramah samada di dalam akhbar sebelum, semasa dan selepas menjadi mufti (bagi mereka yang benar-benar mengkaji dan rajin menyelidik) tentu ramai yang sedar apakah isu yang selalu dibawa oleh Dr Asri. Apakah yang dilekehkan oleh beliau secara halus dan terang. Apa pula kata Dr Yusof al Qardhawi mengenai hal ini ?
Menjadi satu bentuk pengkianatan terhadap umat pada hari ni dengan membawakan mereka tenggelam di dalam kancah perdebatan masalah-masalah furuk fiqh atau pinggiran akidah.
(Kitab: al-Sahwah al-Islamiyyah Baina al-Ikhtilaf al-Masyruk Wa al-Tafarruq al-Mazmum).
Jangan pelik, jika tokoh tajdid ini (pada pandangan Dr Asri) dijadikan hujjah pula untuk dijadikan sandaran kepada fikrah yang dibawanya.Tokoh Tajdid Yang Dihukum Sesat Oleh Wahhabi
Jangan lupa, Dr Yusof al Qardhawi sendiri dihukum sesat oleh wahhabi sendiri. Sebenarnya telah dijelaskan sebelum ini. Tetapi memandangkan di dalam komen-komen yang ditulis oleh mereka yang taksub dan taqlid buta pada golongan dan individu tertentu ada yang malas hendak membaca dan mengkaji dengan fikiran yang rasional tidak melihat akan kebenaran yang telah dibuktikan.
Antara contoh penyesatan yang dibuat oleh tokoh Wahhabi :
Dalam Mukhtashar Muslim lil Hafiz al Munziri ketika berkomentar hadith no 2060 tentang turunnya al Masih alaihis salam di akhir zaman. Sheikh Albani berkata :
"Ini jelas menunjukkan bahawa Isa 'alaihissalam akan berhukum dengan syari'at kita dan memberi keputusan dengan al Quran dan Sunnah, bukan dengan selain keduanya iaitu Injil atau Fiqh Hanafi atau yang seumpamanya".
Pernyataan Albani ini telah dibidas oleh Dekan Fakulti Usuluddin Universiti al Imam Muhammad bin Su'ud al Islamiyah Riyadh iaitu Dr Ibrahim al Manshuri di Akhbar Harian 'Ukkaz dalam tiga makalah yang ditampilkan bersiri. Beliau berkata :
"Bagaimana anda menyamakan mazhab-mazhab dengan Injil yang sudah tidak asli dalam hal kebatilan? Dan bagaimana pula anda menggolongkan para pengikut mazhab yang empat berada dalam kesesatan seperti Yahudi dan Nasrani dan bahawa semua itu adalah pengikut kebatilan sebagaimana sangkaan anda?*Sheikh Albani menyamakan Fiqh Hanafi yang dalil dan hujjahnya adalah dari Al Quran dan Sunnah dengan Injil yang terang jelas sudah terpesong.
Pernyataan Albani di atas juga pernah dikritik keras oleh Dr Said Ramadhan Al Buthi dalam kitabnya : Allaa Mazhabiyyatu Akhtaru Bid'atin Tuhaddidu Asy Syariiata Al Islamiyyah. Persoalan yang perlu difikirkan : Bukankah tokoh di atas ini (diwarnakan merah) selalu juga digunakan oleh Dr Asri ?
Di dalam sebuah blog dimiliki oleh pengikut Rasul Dahri (Wahhabi tegar di Malaysia) terdapat satu fatwa dari Bin Baz seperti berikut :
Jawapan Syeikh Ibn Bazz rahimahullah: “Jamaah Tabligh dan Ikhwanul Muslimin termasuk tujuh puluh dua firqah yang sesat kerana barangsiapa berselisih dengan akidah Ahli Sunnah, ia akan masuk ke dalam tujuh puluh dua yang disebut oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sebagai “umatku”. Maka yang dimaksudkan “umatku” adalah golongan yang masih menjadi umat baginda iaitu umat Islam”.
Beliau (Ibn Bazz) ditanya lagi: Apakah keduanya (Jamaah Tabligh dan Ikhwanul Muslimin) termasuk ke dalam tujuh puluh dua golongan tersebut?
Jawapan Ibn Bazz:
“Ya, (Ikhwanul Muslimin) termasuk dalam keumuman tujuh puluh dua golongan tersebut! Termasuk juga Murjiah dan Khawarij”.(Lihat: Majalah as-Salafiyah. Hlm. 47. No. 7 tahun 1422)
Sila rujuk laman blog ini : http://bahaya-syirik.blogspot.com.
Dr Yusof al Qardhawi sendiri amat menghadami jalan Imam Hasan al Banna dan mengikuti pergerakan Ikhwanul Muslimin. Sebagai ulangkaji dari pendedahan bahayanya Wahhabi di Malaysia khususnya, kita sama-sama soroti hukuman sesat yang telah dibuat oleh golongan yang melampau ini :
1. Menghukum sesat kepada Prof Dr Yusof al Qardhawi, Imam Hassan al Banna, dan Jemaah Ikhwan Muslimin :
http://salafy.or.id/salafy.php?menu=detil&id_artikel=630
2. Menghukum sesat kepada Imam Hasan al Banna :
http://www.salafy.or.id/salafy.php?menu=detil&id_artikel=375
3. Menghukum sesat kepada golongan Asya'iroh :
http://www.salafy.or.id/salafy.php?menu=detil&id_artikel=715
Dalam risalah berjudul Minal Itsnain Wasab'iina Firqotan tulisan dari SHEIKH BEN BAZ, NASHIRUDDIN AL BANI, SYEIKH SOLEH FAUZAN dan SYEIKH BAKAR ABU ZAID cetakan 2001 halaman 14 : DI ANTARA FIRQAH-FIRQAH SESAT YANG MUNCUL PADA KEBELAKANGAN INI :
1. Firqah Hassan al banna (Al Ikhwaniyyah)
2. Firqah hasan al Turabi ( at Turabiyyah)
3. Firqah Sayid Qutub ((al Qutubiyyah)
4. Firqah Muhammad surur (as Sururiyyah)
5. Firqah Abdurrahman Abdul Khaliq (at Turatsiyyah)
6. Firqah Muhammad Ilyas (at Tablighiyyah)
7. Firqah Mahmud al Haddad (al haddadiyyah)
8. Firqah al Habsyi (al-Habasyiyyah)
9. Firqah Ahmad Yasin (al Hamasiyyah)
Adakah sama 'tajdid' yang dibawa oleh Dr Asri dengan tajdid yang dibawa oleh Dr Yusof Al Qardhawi ? Dr Yusof al Qardhawi banyak dalam kitab yang ditulisnya mengandungi pengajaran mengenai kepentingan adab, mengajak kepada kesatuan umat Islam dan tidak pula melekehkan ulamak muktabar dan sesama umat Islam.
Pesanan : Belajarlah menyelidik dan mengkaji, lihat tokoh mana yang selalu digunakan oleh pihak berkenaan. Sebelum memberi komen bacalah dan nilailah terlebih dahulu secara keseluruhan. Bukan hanya membaca sedikit dan terus buat kesimpulan. Bagi yang sebenarnya taqlid buta dan taksub pada Dr Asri, perlu difikirkan semula bahtera yang sedang dinaiki. Adakah ia dapat menguntungkan ataupun sedang membawa kepada perpecahan ?
Tuesday, December 15, 2009
Dalil Sanggah Beza Tauhid Uluhiah Dan Rububiah
MENYAMBUNG persoalan minggu lepas tentang tauhid uluhiah dan rububiah yang dibezakan oleh pereka tauhid ini, adakah terdapat perbezaan di antara kedua-duanya? Maka minggu ini kami memaparkan pula dalil aqal dan naqal yang menafikan sama sekali perbezaan ini.
Kami tegaskan sekali lagi, bahawa dengan membezakan di antara kedua-dua tauhid ini, mereka menganggap orang musyrik sebagai ahli tauhid dengan tauhid rububiah.
Dalam erti kata lain, melalui konsep tauhid rekaan Ibnu Taimiyyah ini, orang musyrik atau orang yang tidak mengucapkan kalimah syahadah dianggap sebagai ahli tauhid atau orang yang mengesakan Allah.
Ini kerana, kononnya mereka percaya dan mengakui bahawa Allah yang mencipta segala sesuatu dan mentadbir segala urusan alam ini, tetapi mereka tidak bertauhid dengan tauhid uluhiah kerana menyekutukan Allah dalam sembahannya.
Maknanya juga, dalam satu masa seseorang itu boleh dikira sebagai ahli tauhid dan musyrik. Inilah salah satu kepincangan tauhid ini yang mendapat sanggahan yang hebat daripada ulama Ahli Sunnah.
Sebagai menjelaskan lagi kepincangan dan kebatilan tauhid ini, marilah sama-sama kita merujuk kepada dalil-dalil ulama dari sudut akal dan naqal.
Dari sudut aqal
Sekiranya orang-orang musyrik termasuk di dalam golongan ahli tauhid rububiah (sebagaimana yang mereka percayai), bermakna mereka ini beriktikad dengan iktikad yang jazam (teguh dan tidak berbelah bahagi).
Dengan iktikad ini, sudah pasti mereka tidak akan meragui bahawa Allah itu Esa pada ciptaan, kekuasaan, pentadbiran, takdir dan perbuatan-Nya serta dalam mendatangkan suatu kesan sama ada manfaat atau pun mudarat, yang kesemuanya ini adalah komponen bagi tauhid rububiah.
Jika inilah keadaannya, bolehkah diterima akal, dengan iktikad sedemikian mereka boleh pula mengambil tuhan selain Allah untuk disembah, sedangkan tuhan yang lain itu tidak berkuasa mendatangkan sebarang manfaat atau mudarat kepada mereka?
Orang-orang musyrik pada setiap zaman dan tempat menyembah pelbagai sembahan selain Allah. Mereka mempercayai bahawa sembahan-sembahan mereka itu boleh melakukan sesuatu perbuatan, mendatangkan kesan, manfaat dan mudarat.
Boleh mendekatkan mereka kepada Allah, boleh mendatangkan sesuatu kebaikan bagi setiap orang yang datang meminta pertolongan kepada tuhan-tuhan mereka dan boleh mendatangkan mudarat kepada setiap orang yang berpaling daripadanya.
Semua kepercayaan ini menafikan tauhid rububiah.
Dari sudut naqal
Nas-nas syariat telah menetapkan secara jelas, terang dan qatie (pasti) bahawa orang-orang musyrik pada setiap masa dan tempat tidak akan mampu bertauhid dengan tauhid rububiah semata-mata dan menafikan uluhiah, tetapi mereka semua adalah orang-orang musyrik pada uluhiah dan rububiah sekali gus kerana kedua-duanya adalah perkara yang satu.
Sebagai contoh, kami sebutkan di sini dalil-dalilnya:
1. Firman Allah SWT dalam menceritakan tentang orang-orang musyrik ketika ditanya tentang rahsia sebenar mereka menyembah berhala selain Allah:
Tidaklah kami (orang musyrik) menyembah atau memuja mereka (sembahan-sembahan mereka), melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah dengan sedamping-dampingnya.(al-Zumar: 3)
Ayat ini jelas menunjukkan, orang-orang kafir beriktikad bahawa patung-patung mereka mempunyai kekuasaan untuk memberikan hidayah kepada mereka dan mendekatkan diri mereka kepada Allah. Maksudnya sembahan mereka itu mampu memberi kesan dengan sendirinya.
Maka di manakah letaknya tauhid mereka bagi tauhid rububiah?!.
2. Nabi Hud a.s ketika berdialog dengan orang musyrikin tentang patung-patung sembahan mereka dan ketika diterangkan kepada mereka bahawa sembahan mereka itu tidak berkuasa untuk mendatangkan sesuatu kepada mereka melainkan Allah, mereka berkata:
Kami hanya boleh berkata bahawa setengah daripada tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu).(Hud: 54)
Kepercayaan bahawa sembahan-sembahan mereka boleh mendatangkan kesan yang buruk, jelas menunjukkan bahawa orang musyrik mempercayai pada sembahan-sembahan mereka ada kekuasaan yang boleh melakukan sesuatu perbuatan dan mendatangkan kesan mudarat atau manfaat.
Ini menunjukkan bahawa orang musyrikin tidakpun mengesakan Allah pada rububiah tetapi menyekutukan Allah dengan tuhan-tuhan yang lain pada tauhid uluhiah. Iktikad mereka ini ternyata berbeza dengan apa yang dipercayai oleh pendokong bidaah pembahagian tauhid.
3. Allah SWT berfirman:
Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai tuhannya (Rabb) kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: Tuhanku (Rabbi) ialah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Ia (Namrud) menjawab: Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan.
(al-Baqarah: 258)
Berdasarkan ayat di atas jelas dapat dilihat, Namrud telah mendakwa dirinya dengan perkara yang berkaitan tentang rububiah seperti mempunyai kerajaan, kekuasaan dan pemerintahan.
Dia juga mempercayai mempunyai keistimewaan rububiah yang boleh menghidupkan dan mematikan. Kemudian selepas itu, dia berdebat dengan Nabi Ibrahim a.s tentang Rabbnya (tuhan yang menjadikan) dan bukan tentang Ilahnya (tuhan yang disembah) sebagaimana penggunaan istilah dalam ayat tersebut.
Adakah selepas penjelasan ini, masih ada yang mendakwa: Sesungguhnya Namrud adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah dan Nabi Ibrahim a.s telah datang kepadanya untuk mengajak kepada tauhid uluhiah sahaja?
4. Allah SWT telah berfirman dalam menceritakan tentang Nabi Yusuf a.s yang mengajak sahabat-sahabat sepenjaranya kepada akidah tauhid yang suci:
Wahai sahabat sepenjaraku berdua! Memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan (Arbaab - jama' kepada Rabb) yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa?(Yusuf: 39)
Marilah bersama saya memerhatikan perkataan Nabi Yusof a.s ketika mempersoalkan tentang Tuhan yang lebih baik disembah:
"Adakah Tuhan-tuhan (Arbab) yang bercerai-berai. Beliau tidak berkata: "Tuhan-tuhan (Aalihah - jamak kepada Ilah)."
Adalah jelas bahawa penghuni penjara menyembah lebih daripada satu Rabb dan lebih daripada satu Ilah.
Adakah masih boleh diterima oleh akal yang sejahtera, jika dikatakan: Orang-orang musyrikin bertauhid dengan tauhid rububiah dan Nabi Yusuf datang kepada mereka dengan membawa tauhid uluhiah sahaja? Maha Suci Allah, ini adalah suatu pembohongan yang besar!.
5. Allah SWT berfirman menceritakan tentang Firaun yang berkata ketika menakut-nakutkan kaumnya agar mereka mentaatinya. Firaun berkata:
Akulah tuhan kamu (Rabbukum) yang tertinggi.(al-Naazi'aat: 24)
Demikianlah dakwaan rububiah Firaun bagi dirinya dan dia cuba mengagamakan kaumnya dengan rububiah ini. Maka dari sini, tidakkah ada langsung sebesar zarah perasaan salah bagi mereka yang mendakwa bahawa Firaun dan kaumnya bertauhid dengan tauhid rububiah dan telah datang kepada mereka Musa Kalimullah a.s dengan tauhid uluhiah sahaja?
Di ketika yang lain, Firaun juga mendakwa uluhiah bagi dirinya ketika dia berkata:
Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui adanya bagi kamu sebarang tuhan (ilah) selain daripadaku.
(al-Qasas: 38)
Ini menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan di antara rububiah dan uluhiah. Oleh kerana itu, sesiapa yang mendakwa dirinya dengan rububiah, maka dia telah menjadikan dirinya Ilah (sebagai tuhan yang patut disembah).
Sesiapa yang mendakwa dirinya dengan uluhiah pula, maka dia telah menjadikan dirinya sebagai Rabb (tuhan yang menciptakan, mentadbir dan sebagainya) bagi orang lain.
6. Mayat-mayat yang berada di dalam kubur, masing-masing tidak ditanya tentang uluhiah dan tauhidnya, tetapi malaikat akan bertanya kepadanya: Man Rabbuka? (Siapakah rab (tuhan) kamu?"
Sekiranya tauhid itu seperti yang dipercayai oleh Ibnu Taimiyyah, yang mana semua manusia di sisinya beriktikad dengan tauhid rububiah, kenapakah soalan malaikat ini masih diperlukan dan bermanfaat?
Ini menunjukkan bahawa dakwaan Ibnu Taimiyyah adalah tidak benar dan palsu semata-mata.
Kesimpulannya, orang yang syirik pada uluhiahnya dikira sebagai syirik pada rububiahnya juga. Sesiapa yang syirik pada rububiah maka dia juga adalah syirik pada uluhiah.
Minggu hadapan kami akan mengemukakan dalil-dalil mereka dan jawapan ulama tentang kesamaran dakwaan mereka. Benarlah perumpamaan Quraniy bahawa,
sesungguhnya rumah yang paling rapuh ialah rumah labah-labah.
(al-Ankabut: 41). Wallahu a'lam.
Wednesday, December 9, 2009
Tauhid Uluhiah Dan Tauhid Rububiyyah
|
|
Menyorot ruangan Relung Cahaya minggu lepas, kita telah pun mempersoalkan dan membincangkan secara ringkas tentang sumber tauhid tiga serangkai ini.
Setelah kita mengetahui dengan jelas bahawa pembahagian tauhid kepada tiga ini tidak mempunyai sumber yang sahih di sisi syarak, maka pada minggu ini kami ingin mengajak pembaca menghalusi lagi penelitian tentang permasalahan ini agar kebenaran akan terserlah dan kebatilan akan terpadam.
Memandangkan pereka tauhid bidaah ini mengklasifikasikan tauhid kepada tiga, maka kami ingin mengemukakan persoalan, apakah terdapat perbezaan di antara tauhid uluhiah dan rububiah?
Sebelum persoalan ini dijawab, kami ingin berkongsi dengan pembaca tentang jawapan ringkas melalui e-mel yang kami terima daripada seorang pembaca yang pro-tauhid tiga serangkai ini.
Namun, jawapan yang mewakili penghantar tidak menjawab persoalan yang diutarakan pada minggu lepas.
Beliau hanya mengemukakan hujah hasil dari pemikiran Ibnu Taimiyyah seperti yang dapat dilihat di dalam kitab-kitabnya, sedangkan hujah Ibnu Taimiyyah ini telah lama disangkal oleh ulama ahli sunnah.
Perlu kita fahami, tidak semua ilmu yang diformulasikan atau semua hasil istiqra' (telaah) atau pemikiran seseorang itu boleh diterima jika tidak sejajar dengan al-Quran dan sunnah.
Apatah lagi, ilmu yang berkaitan dengan akidah yang mesti dirujuk dengan rapi dan betul kepada sumber yang sahih lagi mutawatir. Jika wujud kepincangan, maka ia tertolak sama sekali.
Kepincangan itu telah pun dibincangkan oleh ulama dan telah pun kami paparkan dan akan kami sebutkan, insya-Allah.
Menurut penghantar e-mel itu lagi, mengingkari tauhid tiga ini bererti tidak bertafaqquh terhadap kitab Allah, tidak mengetahui kedudukan Allah, mengetahui sebahagian dan tidak mengetahui sebahagian yang lainnya.
Dengan spontan benak hati kami bertanya, inikah jawapan yang sepatutnya kami peroleh daripada seseorang yang merasa telah bertafaqquh dengan kitab Allah?
Kami juga agak terkejut dengan kenyataan ini. Jika mereka yang mengingkari tauhid tiga ini dianggap tidak bertafaqquh dengan kitab Allah, bagaimanakah kedudukan ulama dan para sarjana yang telah saya sebutkan pada siri pertama yang mengingkari pembahagian tauhid ini?
Apakah al-Azhar, sebuah universiti yang diiktiraf oleh dunia Islam, mempunyai ulama dan tokoh-tokoh yang lemah kefahamannya tentang kitab Allah? Bagaimana pula dengan Mufti Mesir yang telah menafikan dengan lantang perkara ini di dalam fatwanya?
Apa pun jawapan yang dikemukakan oleh pro tauhid tiga serangkai ini, ia telah kami rujuk di dalam kitab asalnya yang sememangnya tersimpan kemas di perpustakaan kami.
Ramai ulama yang telah menjawabnya, cuma pada keluaran kali ini kami tidak berkesempatan untuk menyertakannya.
Sebaiknya kita tinggalkan dahulu tajuk ini dan kembali kepada persoalan hari ini.
Kenapa soalan ini dikemukakan dan sebelum persoalan ini dijawab, kami ingin nyatakan di sini bahawa melalui tauhid tiga serangkai ini didapati perekanya, Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya telah menyatakan bahawa:
1. Orang musyrik atau orang yang menyekutukan Allah adalah ahli tauhid (orang yang mengesakan Allah) dengan tauhid rububiah.
2. Tauhid orang musyrik ini samalah dengan tauhid sebahagian orang Islam yang bertawassul, beristighathah dan bertabarruk dengan para nabi dan orang-orang soleh.
Ini bermaksud orang Islam yang bertawassul (memohon kepada Allah melalui perantaraan), beristighathah (menyeru minta tolong) dan bertabarruk (ambil berkat) samalah dengan orang musyrik kerana tidak memiliki tauhid uluhiah kerana dianggap menyembah apa yang ditawassulkan.
Kenyataannya berbunyi:
"Tauhid rububiah sahaja tidak menafikan kekufuran seseorang dan tidak mencukupi bagi keimanan/keislaman seseorang".(Risalah Ahli al Suffah H: 34.)
"Sesungguhnya orang-orang musyrik adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah. Mereka tidak termasuk dari kalangan ahli tauhid uluhiah kerana telah mengambil sembahan-sembahan yang lain untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT".
Mereka juga menyatakan:
"Sesungguhnya orang-orang Islam yang bertawassul dan beristighathah dengan para Nabi dan orang-orang soleh serta bertabarruk dengan mereka (para nabi dan orang-orang soleh), adalah kufur. Bahkan, kekufuran mereka lebih dahsyat daripada kekufuran Abu Lahab, Firaun, Haman dan lain-lain".(Fatawa Ibni Taimiyyah 14/380).
Ini adalah antara kenyataan yang tidak ditulis dan tidak ditemui di dalam kebanyakan kitab-kitab berkaitan pembahagian tauhid ini di Malaysia.
Di negara kita, tauhid ini masih berada dalam peringkat pengenalan. Tetapi jika kita merujuk kepada kitab Ibnu Taimiyyah, Muhammad ibn Abdul Wahhab dan pemuka-pemukanya, kenyataan ini banyak ditulis di dalam kitab-kitab mereka. Inilah natijah sebenar yang akan kita dapati dari pembahagian tauhid ini.
Oleh kerana itu, kita dapati di kebanyakan negara timur tengah yang telah lama memakai tauhid ini berlaku pergolakan, perpecahan dan pembunuhan akibat gejala sembarangan mengkafirkan dan menghalalkan darah umat Islam yang dianggap menyanggahi tauhid ini.
Malah, dengan tauhid inilah menyebabkan berlakunya keruntuhan kepada Empayar Uthmaniyyah yang merupakan empayar terbesar Islam suatu ketika dahulu. Insya-Allah, perinciannya akan kami susuli pada keluaran akan datang.
Apa yang pasti, kenyataan Ibnu Taimiyyah ini jelas bertentangan dengan dalil-dalil syarak dan telah diketahui secara dharuri di sisi ulama.
Bagi menjelaskan tentang kesalahan dan kebatilan pendapat mereka ini, maka soalan ini dijawab:
Sesungguhnya tidak ada perbezaan di antara tauhid uluhiah dan tauhid rububiah.
Kedua-duanya adalah perkara yang sama dan tidak boleh dipisahkan serta tidak menerima sebarang pembahagian. Allah tidak menerima daripada hamba-hamba-Nya, melainkan akidah tauhid yang tulus dan suci kepada-Nya, Tuhan sekelian alam, yang dilafazkan dengan lidah, diiktikad dengan hati, diamalkan dengan anggota jasad dan dimanifestasikan dengan kalimah (Laa Ilaaha Illallah).
Dengan perkara inilah, semua Nabi dan Rasul diutuskan.
Adakah orang kafir ahli tauhid?
Jawabnya:
Hakikatnya, pendapat ini merupakan suatu perkara yang telah menutup pintu kebenaran dan hakikat, menyalahi akal dan syarak dan mendustai penjelasan daripada nas-nas al-Quran dan sunnah.
Perkara ini juga merupakan perkara bidaah yang sesat dan tidak terdapat pada umat salaf yang terawal. Tauhid seperti ini meruntuhkan akidah dan bersifat saling bercanggah.
Dalam satu masa, mereka telah menjadikan sekelompok orang Islam sebagai ahli tauhid dan bukan ahli tauhid. Ini suatu perkara yang pelik.
Sedangkan, realitinya ialah seseorang itu mesti berada di salah satu kedudukan, iaitu sama ada berada dalam kedudukan ahli tauhid atau pun musyrik. Tidak boleh seseorang itu berada di antara dua keadaan (tauhid dan kufur).
Kepercayaan mereka juga tentang ketauhidan orang musyrik dengan tauhid rububiah tidaklah benar. Bahkan dakwaan ini adalah suatu penipuan yang ditolak sama sekali oleh akal dan naqal.
Insya-Allah, kami akan mengemukakan dalil-dalil dari akal dan naqal pada minggu hadapan.
Sesungguhnya perkara yang paling pelik ialah menganggap orang kafir sebagai ahli tauhid dan menganggap orang Islam yang telah mengucapkan kalimah tauhid sebagai bukan ahli tauhid.
Renungilah! Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat 70 tahun. Ibadah Abu Darda' r.a yang paling utama selepas melaksanakan kefarduan ialah bertafakur kerana dengannya dia sampai kepada hakikat suatu perkara dan membezakan di antara yang hak dan batil.
Bahkan, dengannya juga dia dapat menilik kerosakan dan helah nafsu yang halus, tipu daya dunia, dan mengenali helah-helah untuk lebih berwaspada dengannya.
Sumber : Yayasan Sofa
Tauhid Tiga Serangkai Di Syariat Dalam Islam ?
MINGGU ini kita menyambung kembali persoalan tauhid tiga serangkai yang telah pun diberikan lontaran awal pada dua minggu lepas. Sebelum soalan pertama dilontarkan mengenai tauhid tiga serangkai atau tauhid tiga bahagian yang diformulasikan atau direka oleh Ibnu Taimiyyah ini,
sebaiknya kita melihat dahulu secara ringkas definisi yang diberikan kepada ketiga-tiga tauhid ini.
Tauhid rububiah didefinisikan dengan makna mengesakan Allah pada ciptaan, pemerintahan, takdir, pentadbiran dan perbuatan-Nya serta dalam memberikan suatu kesan.
Manakala tauhid uluhiah didefinisikan dengan makna mengesakan Allah dalam hal peribadatan tanpa mengambil seorang manusia pun bersama Allah sebagai sembahan.
Tauhid Asma' dan Sifat pula didefinisikan dengan makna mengesakan Allah pada apa yang dinamakan dan disifatkan dengan diri-Nya, sebagaimana yang terdapat di dalam kitab-Nya atau yang didapati daripada lidah nabi-Nya yang telah menetapkan dengan apa yang telah ditetapkan bagi diri-Nya.
Dalam membincangkan pembahagian ini, maka perkara utama yang perlu dipersoalkan dan bincangkan ialah adakah pembahagian ini telah dinaskan oleh syarak dan terdapat dalil-dalil yang menunjukkan ke atasnya? Adakah pembahagian ini merupakan perkara yang disyariatkan ataupun perkara baru yang dicipta (bidaah)?
Persoalan ini, mengandungi beberapa jawapan:
Jawapan Pertama
Ibnu Taimiyyah yang merupakan pereka pembahagian tauhid ini mendakwa dirinya bermazhab Hanbali.
Namun Imam Ahmad ibnu Hanbal r.a. sendiri, yang dikatakan menjadi tempat sandaran bagi orang-orang yang melakukan pembahagian tauhid bidaah ini, tidak pernah menyatakan bahawa tauhid itu mempunyai beberapa bahagian; tauhid rububiah, tauhid uluhiah dan tauhid asma' dan sifat.
Beliau juga tidak pernah menyatakan bahawa sesiapa yang tidak mengetahui tauhid uluhiah, tidak dikira makrifatnya tentang tauhid rububiah kerana tauhid rububiah ini telah diketahui oleh orang musyrikin.
Sesungguhnya akidah Imam Ahmad ibn Hanbal r.a telah disusun di dalam kitab-kitab karangan pengikutnya. Misalnya, di dalam kitab biografinya yang ditulis oleh Ibnu Jauzi dan lain-lainnya, tidak terdapat langsung pembahagian tauhid rekaan ini. Maka dari manakah Ibnu Taimiyyah mengambil tauhid ini?
Jawapan Kedua
Tidak berkata walau seorang daripada Sahabat-sahabat Nabi r.a:
"Sesungguhnya tauhid itu ialah tauhid rububiah dan tauhid uluhiah, dan sekiranya seseorang tidak mengetahui tentang tauhid uluhiah, maka tidak dikira makrifahnya tentang tauhid rububiyyah kerana tauhid rububiah ini telah diketahui oleh orang musyrikin".
Justeru, saya mencabar kepada setiap orang yang mempunyai ilmu yang mendalam, supaya menaqalkan kepada kami pembahagian yang diada-adakan ini daripada sahabat-sahabat Nabi r.a, sekalipun dengan mengemukakan satu riwayat yang lemah.
Jawapan Ketiga
Tidak terdapat dalam sunnah Nabi SAW yang luas dan menjadi penjelas kepada kitab Allah, sama ada dalam kitab-kitab hadis sahih, sunan-sunan, musnad-musnad dan mu'jam-mu'jam yang menyebut bahawa Nabi SAW pernah bersabda dan mengajar sahabat-sahabatnya, bahawa tauhid itu terbahagi kepada tauhid uluhiah dan juga rububiah yang telah diketahui oleh orang musyrik.
Sekiranya berkumpul jin dan manusia bersama-sama mereka untuk menetapkan bahawa pembahagian ini adalah datang daripada Nabi SAW dengan isnadnya, sekalipun dengan isnad yang lemah, nescaya mereka tidak akan mampu untuk mendatangkannya walaupun dengan satu jalan.
Jawapan Keempat
Telah tercatat dalam sunnah yang banyak, bahawa dalam dakwah Rasulullah SAW mengajak manusia kepada Allah, Baginda SAW menyeru mereka ke arah penyaksian kalimah syahadah:
Tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Baginda SAW juga mengajak mereka meninggalkan penyembahan berhala.
Di antara hadis yang paling masyhur menyebut tentang perkara ini ialah hadis Muaz ibnu Jabal r.a. Ketika beliau diutuskan oleh Nabi SAW ke Yaman, Baginda SAW bersabda kepadanya: Serulah mereka kepada penyaksian
"Bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah". Sekiranya mereka mentaatinya, maka hendaklah kamu khabarkan kepada mereka bahawa diwajibkan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam.(riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya)
Diriwayatkan oleh pengarang kitab Sunan dan Ibnu Hibban,
bahawa seorang Arab Badawi memberitahu Rasulullah SAW bahawa dia telah melihat anak bulan. Lantas Rasulullah SAW memerintahkan supaya berpuasa dan Baginda SAW tidak menyoalnya melainkan tentang pengakuannya terhadap kalimah syahadah.(diriwayatkan oleh Abu Daud, al Nasaei, al Tirmizi dan lain-lain)
Sekiranya tauhid itu terbahagi kepada tiga bahagian sebagaimana yang mereka perkatakan, maka sudah tentulah Nabi SAW menyeru sekelian manusia kepada tauhid uluhiah yang tidak mereka ketahui dan bukannya tauhid rububiah kerana mereka telah mengetahuinya.
Demikian juga, perlulah Baginda SAW bersabda kepada Muaz r.a, "Serulah mereka kepada tauhid uluhiah," dan Baginda SAW bertanya terlebih dahulu kepada orang Arab Badawi yang melihat anak bulan Ramadan, "Adakah kamu mengetahui tentang tauhid uluhiah dan perbezaan di antara tauhid ini dengan tauhid rububiah, dan adakah kamu mengetahui tauhid asma' dan sifat?"
Jawapan Kelima
Di dalam kitab Allah yang ternyata tidak dicemari dengan kebatilan, tidak membezakan di antara tauhid uluhiah dan tauhid rububiah.
Begitu juga tidak dikatakan kepada mereka: Sesiapa yang tidak mengetahui tauhid uluhiah tidak dikira imannya, bahkan dia adalah lebih kafir daripada Firaun dan Haman. Tetapi Allah SWT memerintahkan dengan kalimah tauhid secara mutlak sebagaimana firman Allah SWT kepada Nabi-Nya dalam surah Muhammad ayat 19:
Ketahuilah, bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah.Begitu jugalah dengan keseluruhan ayat tauhid yang disebut di dalam al-Quran.
Sekiranya kamu kehendaki, maka bacalah surah al-Ikhlas yang menyamai sepertiga al-Quran. Adakah kamu mendapati di dalamnya ayat yang membezakan di antara uluhiah dan rububiah sebagaimana yang mereka sangkakan?
Jawapan Keenam
Melalui pembahagian yang direka ini, memberi kefahaman kepada kita, seolah-olah Allah masih belum lagi menyempurnakan agama-Nya. Kemudian, datang seseorang yang kononnya untuk menyempurnakan agama Allah yang masih lagi mempunyai kekurangan dan menjelaskan tentang tauhid dan pembahagiannya kepada manusia pada kurun ke-7 Hijrah.
Pada kurun ini, lahirnya pembahagian tauhid uluhiah, rububiah, asma' dan sifat yang dicetuskan oleh Ibnu Taimiyyah (661- 724 H). Seolah-olah semua umat tidak mengetahui tentang apa yang diperkenalkan oleh pemuka-pemuka pembahagian tauhid rekaan ini.
Selepas kita mengetahui jawapan daripada soalan pertama ini, yakinlah kita dengan sempurna bahawa tauhid ini tidak mempunyai sumber yang sah daripada al-Quran dan hadis.
Ia menunjukkan bahawa pembahagian ini hanyalah rekaan semata-mata. Persoalan kedua akan dikemukakan pada minggu hadapan, insya-Allah.
Sumber : Yayasan Sofa
Mengapa Tauhid Tiga Serangkai ?
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
SEJAK kemasukan Islam ke Tanah Melayu, umat Islam di negara ini kuat berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang disusun atau diformulasikan oleh dua tokoh terbesar dalam bidang ilmu tauhid iaitu Imam Abu al Hasan al Asy’ari r.a dan Imam Abu Mansur al Maturidi r.a.
Perkara ini telah ditegaskan oleh ulama ulung Tanah Melayu, al Allamah Sheikh Abdullah Fahim. Beliau juga menyatakan bahawa ia telah menjadi ijmak ulama di Tanah Melayu.
Antara kenyataannya berbunyi:
“Tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu seMelaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas; awam-awam, kadi-kadi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga Raja-raja sekalian mereka itu bermazhab dengan mazhab al Imam al Syafi’e r.a ijma’an (ijmak), tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafi’e. Usuluddin atas perjalanan Abi al Hasan al Asy’ari r.a. Diambilkan dari Syuruh dan Hawasyi Ummu al Barahin dan Jauharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu”.
Di dalam kitab ini, pendekatan Sifat 20 digunakan bagi memahami permasalahan ketuhanan. Pendekatan ini juga diguna pakai di kebanyakan negara-negara Islam yang berpegang dengan akidah ASWJ seperti di Mesir, Syria dan Morocco. Ia juga menjadi silibus di kebanyakan universiti di dunia Islam termasuklah universiti Islam terulung di dunia, Universiti al Azhar al Syarif.
Sejak doktrin ini diguna pakai di negara kita, kita berupaya mengecapi nikmat keamanan beragama dan ketamadunan negara. Tidak seperti negara-negara Islam lain yang memakai acuan yang bercanggah dengannya seperti aliran fahaman Syiah, Muktazilah, Musyabbihah dan sebagainya.
Tidak timbul di dalam doktrin Sifat 20 ini soal-soal kepincangan dan percanggahannya dengan akidah ASWJ yang tulen.
Namun, setelah ratusan tahun pendekatan ini digunakan tanpa sebarang masalah dalam menjaga kemurnian tauhid dan akidah umat Islam, timbul desas-desus yang mengatakan bahawa ia diambil dari Falsafah Greek.
Malah, tidak lagi sesuai dijadikan sebagai pendekatan dalam pembelajaran ilmu Tauhid. Sementelahan itu juga, pendekatan tauhid tiga serangkai yang dirumuskan oleh Ibnu Taimiyyah menjadi pengganti Doktrin Sifat 20.
Usaha-usaha untuk menukar pendekatan tauhid tiga serangkai ini dalam kurikulum pendidikan negara juga nampaknya begitu pantas dilakukan.
Persoalannya, kenapakah tiba-tiba pendekatan ini pula yang perlu dipilih sebagai pengajaran ilmu tauhid di negara kita? Adakah pendekatan Sifat 20 mengandungi unsur-unsur yang mengelirukan atau terseleweng dari iktikad ASWJ?
Adakah pembahagian tauhid tiga serangkai ini telah dinaskan oleh syarak dan terdapat dalil-dalil yang menunjukkan ke atasnya? Apakah kita pasrah sahaja dengan pendapat yang mengatakan doktrin Sifat 20 yang kita pegang dan pakai selama ini bukan tauhid yang benar tetapi diambil dari fahaman falsafah Greek.
Jika begitu, semua orang yang berpegang dengan Tauhid 20 mengikut ajaran yang salah dan sesat. Apakah boleh kita terima penyesatan ini yang melibatkan nenek moyang kita, para ulama kita dan majoriti umat Islam di seluruh dunia?
Dibawa Rasullulah SAW
Kita telah sedia maklum, bahawa akidah ASWJ yang diketahui secara umum ialah akidah yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan diikuti oleh sahabat-sahabat baginda.
Tidak kedapatan langsung, perkataan yang terkeluar daripada Rasulullah SAW dan sahabat baginda yang menyebut tentang tauhid yang digembar-gemburkan oleh pengikut Ibnu Taimiyyah dan Wahhabi ini.
Begitu juga dalam metodologi ASWJ yang telah disusun oleh pelopornya, Imam Abu al Hasan al Asy’ari r.a dan Imam Abu Mansur al Maturidi r.a, tidak pernah menggariskan tauhid ini dalam ruang lingkup akidah ASWJ.
Apa yang kita dapati tauhid ini telah ditimbulkan dan direka oleh Ibnu Taimiyyah dan dikembang biakkan pula oleh anak-anak muridnya sehingga ke generasi Muhammad ibn Abdul Wahhab. Dalam erti kata lain, tauhid inilah yang menjadi pegangan golongan Wahhabi secara khusus.
Sejak dahulu lagi hinggalah ke hari ini, telah terdapat banyak penentangan dan penolakan yang diutarakan oleh ulama terhadap Tauhid 3 Serangkai ini.
Oleh yang demikian, kita melihat di dalam kitab-kitab penulisan ulama ASWJ, terdapat banyak butiran lanjut mengenai penolakan mereka terhadap tauhid yang direka cipta ini.
Jika kita menyoroti dari perspektif ulama tersebut, kita mendapati ulama al Azhar telah bersetuju mengeluarkan kenyataan tentang kesalahan tauhid ini yang sebenarnya telah direka dan dicipta oleh orang-orang yang terkeliru dengan maksud sebenar ayat al-Quran dan hadis.
Justeru, kenapa pula kita perlu memakai pendekatan Tauhid 3 Serangkai yang mengandungi kepincangan dan telah ditolak oleh ulama kecuali Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya?
Untuk lebih jelas lagi, di bawah ini disenaraikan beberapa cendekiawan dan sarjana Islam dan kitab penulisan mereka yang mengandungi penolakan terhadap ajaran tauhid rekaan ini:
*Al ‘Allamah al Mufassir al Muhaddith Sheikh Yusof al Dijwi RA, Ahli Lembaga Majlis Ulama Besar al Azhar.
Beliau mengeluarkan fatwa penolakan al Azhar terhadap tauhid rububiah dan uluhiah. Kenyataannya ini dipaparkan dalam Majalah Nur al Islam edisi tahun 1933 yang merupakan lidah rasmi al Azhar pada masa itu.
Fatwa yang dikeluarkannya ini, turut dipersetujui oleh ulama al Azhar yang lain tanpa adanya sebarang bangkangan. Sehingga hari ini, fatwa tersebut masih lagi segar. Ini dapat dilihat dalam beberapa majalah yang diiktiraf oleh al Azhar. Antaranya, di dalam majalah al Muslim. Al Muhaddith al ‘Allamah Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim r.a telah mengeluarkan kembali fatwa ini dalam majalah tersebut.
*Al Muhaddith al ‘Allamah Sheikh Salamah al Qudha’i al ‘Azzami al Syafi’i r.a dalam kitabnya al Barahin al Sati’ah fi Raddi b’ad al bida’ al Syai’ah.
Kitab ini telah mendapat pengiktirafan dan pujian daripada muhaddith pada zaman tersebut iaitu al ‘Allamah Sheikh Muhammad Zahid al Kauthari r.a.
*Al Allamah al Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki al Hasani, ulama besar di Mekah al Mukarramah dan bekas tenaga pengajar Masjid al Haram yang diakui ilmunya oleh ulama pada zaman ini.
Beliau telah menulis penolakannya terhadap tauhid ini dalam kitabnya Huwallah. Bahkan beliau menyarankan kerajaan Arab Saudi supaya mengkaji semula pengajaran tauhid ini di institusi pengajian rendah, menengah dan Tinggi di dalam Muktamar Hiwar al Watoni di Mekah yang diadakan pada 5/11/1424 hingga 9/11/1424. Ia disebut di dalam kertas kerja beliau yang bertajuk al Ghuluw.
*Mufti Besar Mesir, Prof. Dr. Ali Jumu’ah.
Beliau turut menyentuh masalah ini di dalam laman web beliau ketika menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya. Iaitu, tentang seorang pemuda yang mengkafirkan seluruh penduduk kampung kerana bertawassul dengan mendakwa orang yang bertawassul tergolong dalam golongan musyrikin yang beriman dengan tauhid rububiah tetapi tidak beriman dengan tauhid uluhiah.
Beliau menolak sekeras-kerasnya pembahagian tauhid ini dengan mengatakan bahawa pembahagian tauhid ini adalah perkara rekaan yang tidak pernah datang dari Salafussoleh tetapi orang pertama yang menciptanya ialah Sheikh Ibnu Taimiyyah.
Beliau juga menyatakan bahawa pendapat yang menyatakan bahawa tauhid rububiah sahaja tidak mencukupi bagi keimanan seseorang adalah pendapat yang diadakan-diadakan dan bercanggah dengan ijmak kaum Muslimin sebelum Ibnu Taimiyyah.
*Prof. Dr. Muhammad Sa’id al Ramadhan Bouti, Ulama Kontemporari Dunia Islam dari Syria.
Beliau menyatakan dengan tegas bahawa pembahagian tauhid ini adalah bidaah dalam Seminar Pengurusan Fatwa Negara-negara Asean anjuran Universiti Sains Islam Malaysia pada pada 16 hingga 17 April 2005 di Hotel Nikko Kuala Lumpur.
*Prof. Dr. Isa ibn Abdullah Mani’ al Himyari - Mantan Pengarah Jabatan Waqaf dan Hal Ehwal Islam Dubai.
Beliau telah menulis mengenai kepincangan pembahagian tauhid ini di dalam kitabnya yang bertajuk ‘al Fath al Mubin fi Bara’at al Muwahhidin min ‘Aqaid al Musyabbihin.
*Al ‘Allamah Abu Abdullah ‘Alawi al Yamani dalam kitabnya Intabih Dinuka fi Khatorin.
Kitab ini telah mendapat pujian dari lima ulama besar Yaman.
*Al ‘Allamah Abu al Hasanain Abdullah ibn Abdur Rahman al Makki al Syafi’i, ulama besar Mekah.
Beliau juga telah membahaskan masalah ini di dalam kitabnya al Qaul al Wajih fi Tanzih Allah Taala ‘an al Tasybih.
*Dr. Sheikh Yusof al Bakhur al Hasani salah seorang ahli fatwa di Kanada juga telah menulis risalah mengenainya.
*Sheikh Sirajuddin Abbas seorang ulama unggul Indonesia, juga menghuraikan masalah ini yang ditulis dalam versi Melayu dalam kitabnya Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.
Beliau dengan tegas menyatakan bahawa tauhid ini merupakan iktikad rekaan puak Wahhabi dan bukannya iktikad ASWJ.
Dalam satu petikan, beliau menyatakan: Kaum Wahhabi mencipta pengajian baru ini bertujuan untuk menggolongkan orang-orang yang datang menziarahi Makam Nabi SAW di Madinah, orang-orang yang berdoa dengan bertawassul dan orang yang meminta syafaat Nabi SAW serupa dengan orang kafir yang dikatakan bertauhid rububiah itu.
*Al ‘Allamah Muhammad al ‘Arabi ibn al Tabbani al Hasani, Tenaga Pengajar di Masjid al Haram.
Beliau juga turut menulis kepincangan tauhid ini di dalam kitabnya Bara’ah al Asy’ariyyin min ‘Aqaid al Mukhalifin.
*Dr. Umar Abdullah Kamil, sarjana dan pakar ekonomi Arab Saudi serta ahli eksekutif Universiti al Azhar.
Beliau pernah membentangkan kebatilan konsep Tauhid 3 Serangkai ini di dalam Seminar Perpaduan Ummah dan Pemurniaan Akidah anjuran Kerajaan Negeri Pahang pada 25-26 Ogos 2006 dan di Multaqa 3 Ulama Mekah al Mukarramah yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Johor pada 20 Februari 2008.
Kertas kerja tersebut telah diterbitkan oleh Sekretariat Penjelasan Hukum Berkenaan Isu-isu Aqidah dan Syariah Majlis Agama Islam Johor.
Beliau turut membahaskan kepincangan pembahagian tauhid ini di dalam kitabnya yang bertajuk Kalimah Hadi’ah fi Bayan Khata’ al Taqsim al Thulasi li al Tauhid (Perkataan yang tenang dalam menjelaskan kesalahan pembahagian yang tiga bagi ilmu Tauhid).
*Al Allamah Abdur Rahman Hasan Habannakah al Maidani.
Beliau juga telah menulis masalah ini secara khusus di dalam kitabnya yang bertajuk Tauhid al Rububiah wa Tauhid al Ilahiyyah wa Mazahib al nas bi al Nisbah Ilaihima.
Ulama-ulama ini telah lama melakukan pengkajian dan penelitian rapi terhadap tauhid tiga serangkai ini.
Kepada pembaca yang prihatin dan bijaksana sebaik-baiknya mendapatkan keterangan lanjut dari kitab-kitab ini terlebih dahulu sebelum berani membuat kesimpulan dan melontarkan pendapat di khalayak ramai.
Asas sahih
Perkara agama apatah lagi berkaitan dengan akidah tidak boleh dibuat kesimpulan sebarangan tetapi perlu merujuk kepada asas yang sahih.
Untuk mempertahankan agama tidak cukup bermodalkan semangat juang dan sijil menjela-jela semata-mata sehingga kita terpekik dan terlolong tidak kena pada tempatnya tetapi memerlukan kemantapan ilmu, kecemburuan terhadap penodaan yang dilakukan ke atas agama dan umatnya, keikhlasan kepada Allah dan hati yang disinari cahaya oleh Allah.
Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya didapati telah menjadikan konsep pembahagian tauhid ini sebagai batu loncatan untuk mengkafirkan umat Islam.
Mereka telah mengkafirkan orang-orang yang bertawassul dengan Rasulullah SAW dan wali-wali, orang-orang yang menziarahi kubur dan sebagainya dengan dakwaan orang yang melakukan pekerjaan tersebut bertauhid dengan tauhid rububiah sahaja tetapi tidak tidak bertauhid dengan tauhid uluhiah.
Mereka menyamakan tauhid yang dimiliki oleh orang-orang yang melakukan pekerjaan ini sama dengan orang musyrikin yang menjadikan berhala sebagai sampingan mereka dengan Allah.
Apakah pernah ketika Rasulullah SAW berdakwah, Baginda SAW mengatakan kepada orang yang memeluk Islam kamu telah mempunyai tauhid rububiah tetapi masih belum memiliki tauhid uluhiah?
Apakah boleh kita katakan orang bukan Islam juga mempunyai tauhid seperti orang Islam atau ahli tauhid?
Objektif tauhid Asma’ dan Sifat digembar-gemburkan untuk menyandarkan kepada Allah SAW makna perkataan tangan, mata, bersemayam, ketawa, turun dan sifat penyerupaan yang lain kepada makna yang hakiki yang dikenali di sisi makhluk.
Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan kerana yang demikian itu menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya.
Sehubungan dengan ini, umat Islam diseru agar sama-sama berfikir dan meneliti dengan hati yang lapang dan dada yang terbuka rasional perkara ini.
Kita seharusnya berbangga dengan ramainya bilangan umat Islam dan berusaha menambah bilangan umat Islam tetapi sebaliknya kita sendiri yang mengecilkan lagi kuantiti umat Islam yang semakin hilang kualitinya hanya kerana permasalahan uluhiah dan rububiah yang sengaja ditimbulkan.
Tidak ada suatu perkara yang lebih buruk daripada mengkafirkan orang Islam yang menyebut kalimah tauhid Laa ilaaha illallah dan mentasdiqkannya di dalam hati.
Banyak kemusnahan yang berlaku di negara-negara Islam disebabkan oleh perkara ini. Kita sendiri telah menyaksikan dengan mata kepala kita bagaimana persengketaan umat Islam telah mencetuskan kelemahan dan kemusnahan terhadap negara-negara Islam seperti di Afghanistan, Yaman, Lebanon, Syria, Mesir dan sebagainya.
Semoga persengketaan dan kehancuran ini tidak terjadi di negara kita Malaysia yang tercinta ini. Justeru, sewajarnya pembahagian ini dibentangkan di atas meja perbincangan secara ilmiah dan profesional serta berlandaskan kepada usul kitab dan sunnah.
Ini hanyalah lontaran awal dari hasil penelitian kami yang dirujuk kepada sumber-sumber yang sahih dan tokoh-tokoh ulama yang berkeahlian. Insya-Allah, penerangan lanjut mengenai tauhid ini akan dikeluarkan pada keluaran akan datang.
Bahan-bahan yang bakal dipersembahkan banyak merujuk kepada kitab penulisan Imam al Haramain al ‘Allamah Ibnu al ‘Arabi al Tabbani bertajuk Bara’ah al Asy’ariyyin. Ia telah diringkaskan oleh al Allamah Prof. Dr. Isa ibn Abdullah Mani’ al Himyari, Mantan Pengarah Jabatan Waqaf dan Hal Ehwal Islam Dubai di dalam kitabnya yang bertajuk ‘al Fath al Mubin fi Bara’at al Muwahhidin min ‘Aqaid al Musyabbihin.
Sumber : Yayasan Sofa
Friday, December 4, 2009
WAHHABIY MENGGANAS?
Bila dikaitkan fahaman Wahhabiy dengan fahaman pengganas tentu beberapa pihak berkecil hati. Lantas, hati mereka meronta-ronta menunjukkan simpati kepada fahaman ini. Tetapi apabila kita merujuk sejarah, kita dihidangkan dengan peristiwa yang amat menyayat hati. Iaitu peristiwa pembunuhan kejam Wahhabiy ke atas tentera turki Uthmaniyyah, pembunuhan beramai-ramai umat Islam dan penyembelihan ulamak. Walaupun butiran fakta dari Turki dan Arab Saudi sukar didapati, namun para alim ulamak yang menyelami peristiwa berdarah ini merekodkan sejarah hitam berkenaan dalam biografi peribadi mereka. Sebagai tatapan, renungan dan pengajaran buat semua : betapa bahayanya Ekstremis Agama.
Terdapat beberapa fakta sejarah tentang keganasan yang dilakukan oleh tentera Wahhabiy yang dipimpin oleh Muhammad Abdul Wahhab dan kroninya Muhammad Bin Suud. Setelah kedua tokoh ini kembali kerahmatullah. Legasi pelampau Wahhabiy diteruskan pula oleh anak-cucu-cicit mereka dengan pendekatan yang sama. Bahkan lebih dahsyat dari mereka berdua. Semasa gerakan Wahhabiy menyerang Kota Thaif, Makkah dan Madinah, golongan ini melakukan jenayah perang dengan membunuh dan menyembelih para alim ulamak dan umat Islam yang menentang mereka. Antara ulamak yang dibunuh gerakan Wahhabiy adalah seperti berikut :
Bayangkanlah, jika mereka sanggup menyerang dua kota suci semata-mata mabukkan kuasa politik dengan membunuh ulamak dan umat Islam..maka siapakah kita dihati mereka?
Jika dilihat kepada kronologi Jamaah Islamiyyah (JI), Abu Bakar Basyir, Abdullah Sungkar, Azhari Husin, Nordin Mohd Top dan lain-lain juga menggunakan metod yang hampir sama untuk merealisasi fahaman mereka. Dan tidak mustahil jika golongan ini menguasai tampuk pemerintahan negara, mereka akan menggunakan prinsip 'divide and rule' yang sama sebagaimana Syeikh Muhammad Wahhab. Iatu berjihad hanya menggunakan senjata walaupun melibatkan pertumpahan darah umat Islam. Nau'zubillah min dzalik.
Sejarah hitam ini juga menyebabkan 'pendakwah Wahhabiy' takut untuk digelar Wahhabiy. Lalu mereka mencari pelbagai jenama untuk logo perjuangan mereka. Maka lahirlah : Salafi (SalahPi) Salafiyyah, Ittiba' al-Sunnah, Ansar al-Sunnah, Golongan Sunnah, protaz, kaum muda, Muslim Progresif dan macam-macam ada. Nasihat saya, anda tak perlu keliru dengan jenama. Sebaliknya anda perlu fokus kepada intisari fahaman dan pemikiran mereka.
Setelah anda dihidangkan dengan fakta ilmiah tentang kekejaman Wahhabiy..apakah anda masih simpati kepada golongan ini. Soal rasa..lidah tak boleh bohong. Soal fakta..anda perlu terima dengan terbuka. Anda tidak perlu fanatik dan bertaqlid buta. Sebaliknya..anda perlu sedar bahawa Islam sesekali tidak mengambil kebenaran dengan kekerasan. Jika pada pendapat anda sesuatu hukum itu adalah bid'ah sesat, syirik @ khurafat..mungkin masih ada pendapat ulamak lain yang menghukum bertentangan dengan anda. Jika ketentuan hukum dibuat berdasarkan ijmak..kita sepakat mengiyakannya. Fikir-fikirkanlah apa yang terbaik untuk Islam dan umatnya. Wassalam.
Saturday, November 28, 2009
Jangan Segan Untuk Berkata : Aku Tidak Tahu
Dari AbduLLah ibn Amr radiyaLLahu ‘anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :
ALLah subhanahu wa ta’ala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka, dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)Hadith di atas memberi pengertian yang besar kepada mereka yang berani membuat fatwa atau menjatuhkan hukum tanpa ilmu. Entah berapa ramai sekarang ini yang apabila ditanya tentang sesuatu soal agama walaupun tanpa ilmu terus mudah dari lidah dan jarinya mengeluarkan 'fatwanya' sendiri. Malahan ada yang hanya belajar melalui buku sahaja tanpa pernah ada asas-asas kaedah untuk mengeluarkan hukum, terus mengatakan itu halal, ini haram. Engkau masuk ke syurga, dan dia masuk neraka.
Bayangkan seorang yang jahil dalam ilmu kedoktoran kemudian apabila ada pesakit yang selsema dan ia mengatakan pesakit ini harus dibedah perutnya. Inilah kerosakan yang telah dibuat.
Fahamlah, rupanya proses untuk mengeluarkan fatwa itu sendiri bukanlah senang. Kerana ulamak takut untuk mengeluarkan hukum tanpa hak.
Salah seorang ulama yang sezaman dengan Imam Ahmad pernah ditanya orang :
"Jika seseorang sudah dapat menghafal seratus ribu hadith, dapatkah ia dikatakan sebagai faqih...? "Tidak...!", jawabnya. "Dua ratus ribu hadith..?" "Tidak..!.. katanya. "Tiga ratus ribu hadith..?" "Tidak..! Jawabnya. "Empat ratus ribu hadith..? "Juga tidak..!, tetapi begini (iaitu lima ratus ribu) katanya sambil mengisyaratkan dengan sebelah telapak tangannya.
Dengan menghafaz hadith semata-mata belumlah dikatakan seorang faqih yang dapat mengeluarkan fatwa selagi ia tidak mempunyai kemampuan untuk memenuhi syarat-syarat lain untuk berfatwa. Selagi dia tidak mempunyai kemampuan ilmiah untuk membezakan antara riwayat yang maqbul (diterima) dan riwayat yang mardud (ditolak); antara yang sahih (baik) dan ma'lul (cacat). Demikian juga kemampuannya untuk mengambil hukum (istinbat) dan melakukan tarjih (menentukan riwayat mana yang lebih kuat); atau melakukan ta'luq (penggabungan) antara beberapa riwayat yang nampak berbeza, atau penggabungan antara nas-nas yang mengandungi beberapa pengertian dengan maqasid syar'iyyah dan kaedah-kaedah kulliyyah (umum).
Al Hafiz Al Khatib al Baghdadi meriwayatkan dalam kitabnya Al Faqih wa al Mutafaqqih Juz 2 Hlm 157 dari al Imam Syafi'i radiyaLlahu 'anhu berkata :
"Tidak dihalalkan bagi seseorang berfatwa mengenai agama Allah, kecuali seorang yang arif Kitab ALlah (al Quran), Nasikh Mansukh, Muhkam dan Mutasyabih, Ta'wil dan Tanzil, Nasikh dan Makkiyah dan Madaniyahnya; Apa yang dimaksudkan dengan satu-satu ayat; dalam masalah apa ia diturunkan. Selain itu, dia juga mesti menguasai hadith RasuluLlah s.a.w; Nasikh dan Mansukhnya; Pengetahuannya mengenai hadith Nabi s.a.w mesti setaraf pengetahuannya mengenai al Quran. Dia mesti juga menguasai Bahasa Arab; arif akan seluk beluk syair, dan disiplin ilmu yang lain yang diperlukan untuk memahami al Quran. Disamping itu, dia juga mesti menahan diri daripada (seronok) bercakap. Dia dituntut juga untuk memahami perbezaan pendapat di kalangan para ulama, selain harus memiliki kemampuan atau kepakaran dalam mengambil ketentuan hukum (istinbat). Jika semua syarat-syarat ini telah dimilikinya, maka barulah boleh baginya bercakap dan berfatwa tentang halal dan haram.
Namun jika belum sampai pada darjat ini, dia hanya boleh membincangkan tentang ilmu pengetahuan, tetapi tidak dibenarkan untuk berfatwa."
Sukarkah Mengatakan "Aku Tidak Tahu" ?
Ulamak salaf (ulamak yang hidup di kurun ke 3 dan sebelumnya- kurun yang terbaik) melarang keras orang yang berani mengeluarkan fatwa tanpa mempunyai ilmu dan persediaan yang cukup.
Alangkah, para ulamak muktabar yang benar-benar takutkan ALlah seperti Imam Malik pernah berkata :
Jika seseorang diminta untuk berfatwa, sebelum memberikan jawapan ia wajib meletakkan dirinya antara Syurga dan Neraka, serta memikirkan nasibnya di Akhirat nanti, kemudian baru boleh ia memberikan jawapan (mengeluarkan fatwanya)".
Ibn al Qasim berkata :
"Aku pernah mendengar Imam Malik berkata : "Saya sedang memikirkan (jawapan) bagi suatu kemusykilan sejak beberapa puluh tahun dulu, tetapi hingga saat ini belum juga sampai kepada pendapat yang pasti".
Ibn Abi Layla pernah berkata :
"Saya menemui seramai seratus dua puluh orang Ansar dari sahabat Rasul sallaLLahu 'alaihi wasallam, jika seorang di antara mereka diajukan pertanyaan (diminta berfatwa), ia akan mengalihkannya kepada yang kedua, dan orang yang kedua akan mengalihkannya kepada orang ketiga dan seterusnya. Sehingga pertanyaan tadi kembali kepada orang yang pertama. Jika salah seorang daripada mereka diminta untuk berfatwa atau ditanya tentang sesuatu masalah, ia akan memohon sahabat yang lain menjawabnya.
Fahamlah di sini, mengapa kita perlu menghormati ulamak muktabar yang terdahulu. Yang telah mengasaskan mazhab dan menulis kitab-kitab, mengajar anak muridnya untuk menyampaikan ilmu yang diajarnya kepada umat Islam yang lain.
Antara Maksum dan Orang Yang Berilmu
Ada pula laungan-laungan dari orang awam atau mereka yang bukan dari kalangan ulamak malahan yang baru menghafaz beberapa hadith mendabik dada mengatakan dirinya adalah tempat dijadikan rujukan. (Sedangkan rujukan dirinya hanya melalui internet semata-mata). Ingatlah bahawa ilmu dan akhlaq akan berjalan seiring. Orang awam seperti kita ini mengatakan pula 'ulamak tidak maksum' terutamanya tuduhan ini ditujukan kepada ulamak yang mengasaskan mazhab, ulamak seperti Imam asy Syafie, Imam Malik, Imam Hanafi dan Imam Hambali. Bahkan melekehkan pula orang yang mengikut mazhab yang disampaikan oleh ulamak-ulamak, ustaz ustazah dan guru-guru.
Ya, benar, ulamak tidak maksum (ada membuat dosa dan kesilapan). Tetapi berbanding dengan orang yang bercakap atau ustaz yang selalu memperlekehkan ulamak muktabar. Siapa pula yang lebih berilmu, lebih berkelayakan untuk mengeluarkan hukum? Ulamak yang lebih muktabar jauh lebih tinggi ilmunya, menguasai disiplin ilmu untuk membolehkan mereka mengeluarkan pendapat. Bahkan ulamak muktabar yang mampu berijtihad ia memperolehi 2 pahala jika benar ijtihadnya, dan 1 pahala jika ijtihadnya tersilap. Di sinilah adanya perbezaan yang besar di antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu, kurang ilmu, faham dan tidak faham, sempurna akal dan yang tidak, dan yang jahil. Sebagaimana firman ALlah :
(Surah az Zumar : Ayat 9)
قُلۡ هَلۡ يَسۡتَوِى ٱلَّذِينَ يَعۡلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ (٩)
Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.
Imam Ahmad Ibn Hanbal r.a katanya : Seseorang tidak boleh menawarkan dirinya untuk berfatwa sebelum ada pada dirinya lima perkara :
Pertama : Mempunyai niat ikhlas. Sebab jika tidak ada niat (ikhlas) dia tidak akan mendapat cahaya (petunjuk) dalam melakukan fatwanya.
Kedua : Hendaklah dia mempunyai sifat kasih, rendah hati (tawadhuk) dan ketenangan jiwa.
Ketiga : Mempunyai keyakinan yang teguh dengan tugasnya dan memahami betul soalan yang sedang dihadapinya.
Keempat : Hidupnya dalam kecukupan, kerana jika tidak, dia akan dipengaruhi oleh orang yang berkepentingan.
Kelima : Mempunyai maklumat yang cukup tentang adat istiadat dan seluk beluk kehidpuan manusia. (Ibn Battutah, disalin oleh Ibn Qayyim dalam , I'lamul Muwaqqi'in' Juz 4 hlm. 199.
Terkadang terfikir juga penuntut ilmu yang cetek akhlaknya, atau mereka yang berfikiran suka melekehkan ulamak muktabar hanya memandang ulamak dari atas kertas sahaja. Mentang-mentang nama-nama ulamak itu sudah acapkali dilihat dan ditulis di dalam akhbar, majalah dan buku-buku, kitab-kitab yang banyak berlegar di pasaran. Mentang-mentang sudah belajar beberapa hadith sahih dan beberapa ilmu yang baru.
Semaklah sejarah semula, jangan dilipat sahaja adab-adab dan akhlaq ulamak muktabar, lihat bagaimana cara mereka berfikir sebelum mengeluarkan pendapat, jenguklah disiplin ilmu yang telah mereka kuasai sebelum berani mengeluarkan fatwa. Luaskan pandangan bagaimana ulamak mendidik jiwa mereka, melihat kepada keadaan, cara hidup dan budaya. Imam Syafie juga menghormati mazhab hanafi apabila datang ke tempat mereka yang mengikut mazhab tersebut.
Untuk akhirnya para fuqaha' selalu berkata "Sesiapa yang tidak pernah mengetahui dan mengerti perbezaan pandangan dan pendapat di kalangan fuqaha', bermakna dia belum sempat menghidu haruman fiqh..!
Sumber rujukan :
1. Prof Dr Yusuf al Qardhawi, Al Fatwa Bayna Al Indibat al Tasayyub, Fatwa Antara Ketelitian & Kecerobohan, 1996, Thinker's Library, Selangor.
2. http://quranexplorer.com
Monday, November 23, 2009
Perbahasan Berkenaan "إذا صح الحديث فهو مذهبي "
Beberapa hari saya tidak menulis, mungkin agak sibuk dengan persediaan peperiksaan yang semakin hampir. Teringin juga jari-jari ini memetik butang key board menulis semula . Tambahan pula semenjak akhir-akhir ini, golongan “mujtahid jadi-jadian” semakin ramai menceburi bidang penulisan ini. Semakin mereka menulis, semakin saya risau melihat masyarakat yang tertipu dengan gaya bahasa yang mereka gunakan seolah-olah menampakkan bahawa mereka benar-benar orang yang berkelayakkan di dalam memperkatakan tentang permasalahan hukum-hakam. Pelbagai pendapat digunakan oleh mereka demi mempertahankan pendapat-pendapat yang boleh kita klasifikasikan sebagai “menegakkan benang yang basah”.
Kalam para ulama Mujtahid yang sering kita dengar seperti :
- إذا صح الحديث فهو مذهبي
- لا ينبغي لمن لم يعرف دليلي أن يُفتي بكلامي
- لا تقلدني و لا تقلد مالكا و لا الأوزاعي و لا غيرهم و خذ الأحكام من حيث أخذوا
Pendapat-pendapat para Imam Mujtahid ini sering disalah gunakan oleh golongan yang gemar mendakwa-dakwi sebegini.Kalam pertama yang bermaksud (( Jika sahih sesebuah hadis maka itulah mazhabku)) digunakan oleh golongan ini dengan mengatakan bahawa, jika kita berjumpa sebuah hadis yang sahih dan mendapati hadis tersebut bertentangan dengan pendapat Imam Mujtahid ( Abu Hanifah, Malik, Syafie dan Ahmad bin Hambal radhiyallahu anhum), maka dahulukan hadis yang sahih kerana ini juga merupakan pendapat sebahagian para Imam tersebut.
Al-Imam Nawawi rahimahullah menyebutkan di dalam muqaddimah Majmu’ Syarah Muhazzab:
“ Memang benar al-Imam Syafie menyebutkan :
إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله صلى الله عليه و سلم فقولوا بسنة رسول الله صلى الله عليه و سلم و دعوا قولي
Maksudnya:
Jika kamu semua (para ulama) mendapati di dalam kitab yang aku tulis menyalahi Sunnah baginda sallallahu alaihi wasallam maka keluarkan pendapat kamu semua dengan Sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam dan tinggalkan pendapatku.”
Al-Imam Nawawi rahimahullah menyebutkan lagi bahawa:
Kata-kata Imam Syafie tersebut bukanlah bermaksud sesiapa sahaja yang menjumpai hadis sahih maka terus mengatakan bahawa ianya merupakan mazhab Imam Syafie itu sendiri.Malah beramal dengan zahir kalam itu semata-mata. Bahkan sebenarnya kalam al-Imam Syafie tersebut ditujukan kepada para ulama yang telah sampai kepada peringkat ijtihad di dalam mazhab seperti yang telah kita sebutkan sebelum ini(rujuk Muqaddimah Majmu’ ). Syarat untuk para yang beramal dengan kalam Imam ini ialah mesti tidak meletakkan sangkaan bahawa al-Imam Syafie radhiyallahuanhu tidak berjumpa dengan hadis ini atau tidak mengetahui bahawa hadis ini tidak Sahih. Syarat ini tidak akan dapat disempurnakan melainkan setelah mengkaji dan mentelaah keseluruhan kitab-kitab karangan al-Imam Syafie , kitab-kitab para ulama Syafieyah yang lain dan yang seumpama dengannya. Inilah merupakan syarat yang agak sukar untuk dipenuhi. Hanya sedikit yang dapat menyempurnakan syarat ini.
Maksud kalam al-Imam Nawawi sangat jelas. Agak menghairankan kita, golongan yang mendakwa kalam al-Imam Syafie kadang-kadang bertentangan dengan hadis ini merupakan dakwaan yang ternyata menyimpang. Bahkan kitab-kitab al-Imam Syafie mereka tidak memahaminya dengan baik (maksudnya memerlukan penguasaan bahasa Arab yang tinggi kerana al-Imam Syafie radhiyallahu anhu merupakan seorang ahli Bahasa Arab yang hebat), apatah lagi membacanya. Ini sepatutnya yang disedari oleh mereka. Tetapi ego dan bodoh sombong yang menyebabkan mereka tidak mahu memahami pendapat ulama sebegini.
Oleh kerana itulah kita katakan, perlu membaca kitab para ulama dengan para alim-ulama yang benar ilmunya, bukan dengan pembacaan secara persendirian tanpa guru yang membimbing. Akan sesat jadinya. Ini asas pertama yang perlu diperbetulkan oleh mereka. Akhir-akhir ini kita melihat mereka juga belajar dengan guru, tetapi guru yang mengajar pula hakikatnya belajar dengan guru yang tidak belajar dengan ulama yang benar ilmunya,bersih pengambilannya serta jauh daripada pendapat-pendapat yang menyalahi jumhur para ulama.
Kata Imam Nawawi lagi menukilkan kata-kata Imam Abu Amru Ibn Salah rahimahumallah:
“Kalam al-Imam Syafie tersebut bukanlah boleh diamalkan dengan zahir luarannya semata-mata,Bukanlah semua ulama yang Faqih (hebat dalam ilmu fiqhnya) beramal secara terus daripada hadis yang dirasakan hujah baginya.”
Kata Imam Abu Amru Ibn Salah lagi:
“ Jika seorang ulama bermazhab Syafie tersebut menjumpai sebuah hadis yang menurutnya bertentangan dengan mazhab yang dipegangnya, Maka perlu dilihat semula kepada keahlian orang tersebut. Jika ulama tersebut telah mencapai peringkat Ijtihad (seperti yang kita sebutkan di dalam keluaran yang lepas) maka tiadalah masalah baginya untuk beramal dengan hadis tersebut. Tetapi jika dia masih tidak mencapai tahap Ijtihad dan menyukarkan baginya menemukan sebab-sebab pertentangan hadis tersebut dengan kalam Imam Mazhab @ Mazhab itu sendiri maka bolehlah baginya beramal dengan hadis tersebut jika terdapat seorang lagi Imam Mujtahid Mutlak selain Imam Syafie(seperti Imam Abu Hanifah , Malik, Ahmad dan lain-lain).”
Kata al-Syeikh Wahbi Sulaiman Ghawuji al-Albani hafizahullah(bukan Syeikh Nasiruddin al-Albani) di dalam risalah kecilnya berkenaan kalam tersebut:
Maksud kalam tersebut ialah:
Kata para imam , kalam tersebut ditujukan kepada para ulama yang benar-benar berkelayakkan di dalam mengeluarkan hukum.Mereka(yang dibenarkan) adalah merupakan para ulama yang hebat di dalam ilmu hadis. Ini bermakna, jika sahih sesebuah hadis sahih tersebut yang bertepatan dengan syarat-syarat pengambilan sesebuah hadis dan kaedahnya berdasarkan mazhab yang mereka gunakan , maka gunakan hadis tersebut. Bukannya kalam tersebut menyuruh setiap kali membaca hadis yang sahih maka tinggalkan beramal dengan pendapat imam mazhab.
Sebaliknya golongan yang sering mendakwa-dakwi ini, menggunakan pendapat ini dengan luarannya sahaja, bukan maksud sebenar kalam tersebut.
Al-Imam Malik Radhiyallahuanhu menyebutkan kepada para muridnya(yang merupakan para mujtahid) ketika beliau mengeluarkan pendapat di dalam sesebuah hukum,
“ Kamu perlu mengkajinya semula, ini kerana ianya merupakan pegangan agama kita.Tiada seorang pun boleh diterima pendapatnya bulat-bulat tanpa perlu dikritik, melainkan pendapat yang dikeluarkan oleh pemilik Maqam yang mulia ini( mengisyaratkan kepada Saidina Muhammad sallallahu alaihi wasallam).”
Saya ingin bertanya, adakah Imam Malik radhiyallahu anhu bercakap seorang diri ketika tersebut? Atau adakah beliau mengucapkan pendapat tersebut dihadapan orang awam yang tidak mengerti hukum-hakam? Jawapannya tentu tidak sama sekali. Golongan yang dibicarakan oleh al-Imam ialah merupakan kelompok mujtahid. Seolah-olah al-Imam ingin memberitahu kepada murid-muridnya bahawa mereka juga telah sampai kepada peringkat Ijtihad yang tinggi. Syarat-syarat untuk menjadi seorang mujtahid telah saya terangkan di dalam keluaran yang lalu. Jika syarat sebegini masih tidak jelas, maka bagaimana seseorang tersebut boleh mengaku bahawa dia juga boleh mengeluarkan hukum terus daripada al-Quran dan Sunnah?
Pendapat kedua yang sering digunakan oleh mereka ialah pendapat yang dikeluarkan oleh al-Imam Abu Hanifah radhiyallahuanhu iaitu :
Maksudnya:
Tidak sepatutnya bagi seseorang yang tidak mengetahui dalil yang aku keluarkan untuk berfatwa dengan pendapatku.
Pendapat ini jelas menunjukkan bahawa ianya disebutkan kepada golongan ulama yang benar-benar alim di dalam bidang tersebut. Ini kerana perkataan “ berfatwa” tersebut tidak lain dan tidak bukan semata-mata ditujukan kepada para ulama ahli fatwa,bukannya mujtahid jadi-jadian . Ini perlu difahami dengan baik dan jelas. Perlu juga bagi seseorang tersebut melihat semula kepada syarat-syarat untuk berfatwa yang disusun oleh para ulama . Antara ulama yang menyusun tentang adab-adab fatwa ini ialah al-Imam Abu Qasim al-Soimuri rahimahullah(guru kepada al-Imam Mawardi rahimahullah), al-Imam al-Khatib al-Baghdadi rahimahullah, dan al-Imam Abu Amru Ibn Salah rahimahullah. Ketiga-tiga kitab ini telah diringkaskan perbahasannya oleh al-Imam Nawawi rahimahullah dan beliau meletakkan perbahasan tersebut di dalam kitabnya Majmu’ Syarah Muhazzab.
Jika kamu membaca semula syarat-syarat berfatwa dan Mufti, tentulah kamu akan menyedari betapa jauhnya jurang sebenar antara kamu (yang suka mendakwa-dakwi sebegini) dengan para ulama yang benar-benar sampai kepada peringkat mengeluarkan fatwa.Malah al-Imam Nawawi sendiri menyebutkan bahawa bidang fatwa adalah merupakan bidang yang sangat merbahaya diceburi tetapi sangat tinggi kelebihannya(bagi yang layak sahaja).
Al-Imam Malik radhiyallahu anhu menyebutkan:
Maksudnya:
Aku tidak akan berfatwa melainkan selepas disaksikan oleh tujuh puluh orang ulama bahawa aku benar-benar layak di dalam bidang fatwa ini.
Kalam-kalam sebegini tidak pula dilihat oleh golongan sebegini. Mereka hanya mengambil pendapat-pendapat yang luarannya merupakan suatu kelebihan kepada diri mereka untuk meninggalkan berpegang dengan mazhab itu sendiri. Sedangkan langsung tidak memahami maksud kalam itu sendiri.
Jika kita memahami maksud kalam-kalam yang disebutkan dengan baik maka pendapat Imam Ahmad bin Hambal radhiyallahu anhu juga akan mudah bagi kita memahaminya. Maksudnya Imam Ahmad menyebutkan pendapat tersebut bukanlah untuk orang awam melainkan untuk para ulama yang telah mencapai peringkat Ijtihad.
Al-Allamah Syeikh Muhammad Awwamah hafizahullah menukilkan kalam al-Imam Kairanawi radhiyallahu anhu:
“Maksud sebenar kalam al-Imam Syafie (Jika sahih sesebuah hadis maka itulah Mazhabku) dan kalam ulama yang lain yang menyebutkan sedemikian ialah tidak lain selain ingin menunjukkan kepada kita hakikat bahawa kalam yang menjadi hujjah adalah kalam Baginda sallallahu alaihi wasallam bukannya kalam kami(para Imam Mujtahid).Seolah-olah Imam Syafie ingin mengatakan: Jangan kamu menyangka kalam aku adalah hujjah berbanding kalam Baginda Sallallahu alaihi wasallam dan aku juga berserah kepada Allah jika pendapat yang aku sebutkan bertentangan dengan Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam.”
Hakikatnya, kalam al-Imam Syafie radhiyallahu anhu adalah merupakan sifat tawaddhuk yang ada pada beliau. Mustahil seseorang Imam tersebut akan mengeluarkan sesuatu hukum dengan hawa nafsunya melainkan setelah dikaji secara terperinci dengan ilmu pengetahuan yang dipelajarinya dan iman yang mendalam.
Oleh sebab itulah al-Imam Ibn Uyainah Radhiyallahuanhu menyebutkan:
Maksudnya:
Hadis adalah sesuatu yang mampu menyesatkan seseorang (yang tidak memahaminya) melainkan kepada para fuqaha(ulama).
Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami radhiyallahu anhu menerangkan maksud sebenar kalam al-Imam Ibn Uyainah radhiyallahu anhu di dalam kitabnya Fatawa Hadisiah mukasurat 521:
“Maksud kalam tersebut ialah Hadis adalah seumpama al-Quran yang mana ianya terkadang merupakan lafaz umum tetapi maknanya khusus, ianyanya juga terdapat Nasakh dan Mansukh, terdapat juga hadis yang tidak diamalkan, dan sebahagiannya jika dipegang dengan zahir maka akan menjadi masalah seperti hadis ينزل ربنا (Allah turun ke Langit pertama disepertiga malam). Jadi maksud sebenar sesebuah hadis tidak akan difahami melainkan diterangkan oleh para ulama.Ini berbeza dengan orang yang tidak mengetahui maksud sebenar hadis tersebut melainkan zahirnya semata-mata, maka akan tersesat jadinya seperti yang berlaku kepada sebahagian ulama terdahulu dan terkemudian seperti Ibn Taimiyah dan pengikutnya”
Bagi menentukan sesebuah hadis sahih tersebut bertentangan dengan pendapat Imam Mazhab maka perlu bagi mereka-mereka yang berkata sedemikian mempunyai dua perkara:
1. Kuat sangkaannya bahawa Sang Imam tidak menemukan hadis yang dia temui.
2. Orang yang mengatakan sedemikian mestilah seorang yang benar-benar pakar di dalam ilmu rijal Hadis, Matan Hadis, cara-cara berhujah dengan hadis, dan cara mengeluarkan hukum daripada hadis tersebut berdasarkan kaedah yang diletakkan oleh mazhab.
Terdapat 4 marhalah (peringkat ) bagi menentukan adakah benar seseorang tersebut benar-benar pakar di dalam Ilmu hadis.(Marhalah ini saya petik secara ringkas daripada risalah al-Syeikh Wahbi Sulaiman Ghawuji al-Albani hafizahullah ):
Peringkat pertama
Di dalam peringkat ini seseorang tersebut perlulah mengetahui kedudukan perawi hadis tersebut samaada ianya Thiqah, Saduq dan sebagainya. Serta perlu juga memerhatikan hafalan dan kekuatan ingatan perawi tersebut.Perlu mengetahui tentang martabat thiqah, tempat mana yang perlu didahulukan jarah dan ta’dil(nama ilmu di dalam Mustalah Hadis bagi menentukan darjat seorang perawi).Mengetahui tentang bilakah tarikh perawi tersebut meninggal duni dan dari manakah asalnya dan sebagainya. Pendek kata kesemua ilmu yang diterangkan di dalam kitab Mustalah Hadis perlu diketahui secara lumat dan mendalam oleh seseorang tersebut.
Peringkat kedua
Peringkat ini lebih sukar daripada sebelumnya.Setelah seseorang tersebut mengetahui secara mendalam tentang mustalah hadis tersebut maka perlu pula baginya untuk mengkaji secara teliti dan mendalam hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab Sihah, Sunan, Musnad, Jawami’, Mu’jam, al-Ajza’dan lain-lain kitab hadis bagi mencari sesebuah hadis tersebut adakah benar-benar bertentangan dengan pendapat sang Imam. Perlu juga baginya untuk mengetahui adakah hadis tersebut Mutawatir, Masyhur dan sebagainya. Perlu juga baginya mengetahui adakah hadis tersebut Syaz atau mungkar . Perlu juga baginya mengetahui adakah hadis tersebut marfu’, mauquf atau maqtu’.
Oleh sebab itulah al-Imam Abu Hatim al-Razi rahimahullah menyebutkan: “ Tidaklah seseorang tersebut dikatakan benar-benar pakar di dalam bidang hadis melainkan setelah kami (para ulama hadis )menulis hadis tersebut dengan 60 keadaan dan dia mampu menerangkan satu persatu hadis-hadis tersebut tentang hukumnya sama ada Syaz, Mungkar, Ma’ruf, Mutawatir, Marfu’, Mauquf, Fard dan Masyhur.”
Peringkat ketiga
Peringkat ini lebih sukar daripada kedua-dua peringkat di atas. Setelah benar-benar melalui kedua-dua peringkat tersebut, maka seseorang tersebut perlulah melihat sama ada hadis yang dikajinya terdapat illah(kecacatan) atau tidak. Illah yang tersembunyi menurut para ulama hadis adalah yang paling sukar ditemukan melainkan oleh ulama-ulama yang benar-benar pakar di dalam ilmu hadis. Ini diketahui dengan jelas oleh sesiapa yang mempelajari ilmu hadis dengan baik.
Peringkat keempat
Peringkat ini adalah yang paling sukar ditemukan melainkan para Mujtahid yang sampai ke peringkat mutlak. Ramai ulama hadis yang sukar mencapai peringkat ini walaupun mereka sudah mencapai ketiga-tiga peringkat sebelum ini. Walaupun mereka menghafal hadis tersebut dan mengetahui segalanya tentang ilmu hadis , tetapi di dalam permasalahan hukum hakam tetap mereka serahkan kepada para fuqaha.
Kerana itulah al-Imam al-A’mash radhiyallahu anhu menyebutkan kepada al-Imam Abu Hanifah radhiyallahu anhu:
Maksudnya:
Wahai para fuqaha, kamu adalah doktor yang mengetahui tentang ubat sesuatu penyakit, manakala kami para muhaddith (ulama hadis) merupakan pemilik ubat tersebut.Manakala kamu wahai lelaki( Imam Abu Hanifah ) , kedua-duanya kamu miliki (sebagai seorang doktor dan sebagai seorang pemilik farmasi).
Maksud kalam al-Imam al-A’mash tersebut ialah para fuqaha mengetahui di manakah sumber pengambilan hukum bagi menyelesaikan sesuatu permasalahan, manakala para muhaddis akan membekalkan hadis-hadis sebagai sumber pengambilan hukum tersebut. Manakala al-Imam Abu Hanifah radhiyallahu anhu mempunyai kepakaran di dalam kedua-dua bidang tersebut(iaitu hadis dan fiqh).
Kesimpulan
Setelah kita perhatikan dan baca dengan teliti perbahasan yang saya tulis ini,jelas lagi bersuluh bahawa menghukumkan sesuatu dengan zahir hadis yang kamu(golongan wahabi) rasakan bahawa ianya bertentangan dengan kalam Imam merupakan suatu tohmahan yang tidak berasas dan tidak mengikut jalur pengajian dan pengkajian yang baik. Perbahasan yang saya buat ini mungkin agak berat bagi sesiapa yang tidak mengetahui istilah-istilah yang digunakan. Jika ada masa, saya akan menerangkannya selepas ini. Tetapi jika “ para mujtahid jadi-jadian” tidak memahaminya maka jelaslah, kamu semua tidak mencapai lagi serendah-rendah martabat tersebut. Maka perlu beristghfar dan memohon keampunan di atas keterlanjuran dan keegoan yang terdapat di dalam diri kamu.
Rujukan:
1. Majmu’ Syarah Muhazzab oleh al-Imam Nawawi rahimahullah tahqiq Syeikh al-Allamah Najib Muti’ie .Cetakan Darul A’lam Kutub
2. Risalah إذا صح الحديث فهو مذهبي oleh Syeikh al-Allamah Wahbi Sulaiman Ghawuji al-Albani al-Hanafi hafizahullah.Cetakan Darul Iqra’.Cetakan Pertama 2005.
3. Fatawa Hadisiah oleh al-Imam Ibn Hajar al-Haitami rahimahullah .Cetakan Darul Taqwa.
MOHD NAZRUL ABD NASIR,
RUMAH KEDAH,
KAHERAH,MESIR