Saturday, May 29, 2010

Akidah 'Allah Bertempat' Akidah Kufur Terkeluar Dari Islam- JAKIM



Soalan:

Slm Ustaz. Saya ingin bertanya. Apakah hukum jika seseorang itu mempercayai Allah itu bertempat mempunyai ruang dan arah? Setahu saya sejak kecil umat Islam tidak pernah kata Allah itu bertempat atau dilingkungi ruang arah samaada tempat atas ataupun bawah. Tetapi sejak akhir-akhir ini ada sebahagian ajaran (seperti Wahhabi) yang mendakwa ALLAH BERTEMPAT. apa hukumnya orang iktikad macam tu Ustaz?

Jawapan:

Wa'alaikumussalam. Barangsiapa yang beriktikad Allah ta'ala itu bertempat maka dia sesat kerana itu bukan akidah Islam dan dia perlu kembali bertaubat memeluk Islam kerana dia telah menyamakan Allah dengan makhluk.

Pada kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia JAKIM yang diterbitkan oleh JAKIM Bahagian Penyelidikan (1426H/2005M) pada Tajuk PENJELASAN TERHADAP 58 CIRI AJARAN SESAT DI MALAYSIA pada Nom (5) M/S 7 dinyatakan oleh JAKIM:

" Ajaran yang bertentangan dengan ajaran Islam dari beberapa sudut. Antaranya meletakkan Allah bertempat, Allah mengambil ruang dan berpindah-pindah dan Tuhan boleh bersatu
dengan makhluk".


JAKIM menyatakan lagi dalam ruang yang sama pada M/S 8:

" Ayat ini menjelaskan bahawa Allah tidak menempat, tidak mengambil ruang dan tidak boleh dibandingkan dengan makhluk.
Sebaliknya orang yang mendakwa begini sebenarnya tidak mengenal Allah
dengan pengenalan yang betul, kerana mengiktikadkan bahawa Allah
S.W.T itu boleh menjelma sebagai makhluk atau manusia, atau
menyifatkan Allah dengan sifat yang tidak layak dengan keagungan-
Nya. Orang yang menganggap Allah memasuki tubuh manusia atau
Dia terlipat pada suatu tempat dan keadaan maka orang itu adalah
kafir terkeluar dari agama Islam. Kerana dianggap ingkar apa yang
disepakati daripada Islam
". Tamat nukilan dari JAKIM

Maka, sesiapa yang berakidah Allah itu bertempat dan mengambil mana-mana ruang maka dia telah tersasar dari akidah sebenar kerana menyamakan Allah dengan makhluk dan wajib memeluk Islam kembali dengan mengucap 2 kalimah syahadah.


Dibawah ini adalah teks kenyataan JAKIM yang dinukilkan:






Seorang pegawai Akidah JAKIM pula mengatakan bahawa antara ciri pertama ajaran sesat adalah mendakwa Allah bertempat dan mengambil ruang. Rujuk:


________________

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Alhamdulillah Tuhan Sekalian alam. Alhamdulillah telah memberi hidayah kepada kita semua, jika bukan dengan pemberian hidayah Allah kepada kita, kita semua tidak akan mendapat hidayah kecuali Allah menetapkan hidayah kepada kita.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad Rasulullah,ahli keluarga baginda, para sahabat dan pengikut baginda.

Maka disini Kami katakan:

Wahai seluruh umat Islam!
Ketahuilah sesungguhnya kepercayaan bahawa "Allah ta'ala wujud tanpa bertempat" merupakan akidah junjungan besar kita Nabi Muhammad, para sahabat, ahlil bait baginda dan semua yang mengikut mereka dengan kebaikan.

ALLAH WUJUD TANPA BERTEMPAT.

Ini kerana Allah ta'ala tidak memerlukan kepada makhluk-makhlukNya,azali dan abadinya Allah Tidak memerlukan kepada selainNya.
Maka Allah tidak memerlukan kepada tempat untuk diduduki dan tidak merlukan kepada benda untuk diliputiNya dan Dia tidak memerlukan kepada arah. Cukup sebagai dalil pada mensucikan Allah dari bertempat atau berarah itu dengan firman Allah ta'ala yang bermaksud:

" Tiada sesuatupun yang menyerupai Allah".

Sekiranya Allah bertempat maka sudah pasti bagiNya persamaan dan berukuran tinggi lebar, dalam, dan sesuatu yang sedimikian pastinya adalah makhluk dan memerlukan kepada yang lain menetapkan ukuran panjangnya, lebarnya, dalamnya. Demikian tadi dalil 'Allah Wujud Tanpa Bertempat' dari Al-Quran.

Manakala dalil dari hadith Nabi pula adalah apa yang telah diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan selainya dengan sanad yang sohih bahawa Rasulullah (selawat dan salam keatasnya) bersabda yang bermaksud:

"Allah telah sedia wujud (azali) dan selain Allah tiada sesuatupun yang sedia wujud (azali)".

Makna hadith Nabi tadi adalah Allah telah sedia ada pada azal lagi, tidak ada bersama Allah selainNya, air belum ada lagi, udara belum ada lagi, bumi belum wujud lagi, langit belum wujud lagi, kursi belum ada lagi, arasy belum ada lagi, manusia belum wujud lagi, jin belum wujud lagi, malaikat belum ada lagi, masa belum ada lagi, tempat belum wujud lagi dan arah juga belum wujud lagi.

Manakala Allah telah sedia wujud tanpa tempat sebelum tempat dicipta dan Allah tidak sama sekali memerlukan kepada tempat. Inilah yang dinyatakan dari Hadith Nabi tadi. Saidina Ali (semoga Allah meredhoinya) berkata:

" Allah telah sedia ada tidak bertempat dan Allah sekarang juga atas sediakalaNya tanpa bertempat".
Diriwayatkan oleh Imam Abu Mansour Al-Baghdady dalam kitabnya Al-farqu Bainal Firaq.

Dari segi akal, sebagaimana diterima akan kewujudan Allah ta'ala itu tanpa tempat dan tanpa arah sebelum adanya tempat dan arah maka benarlah kewujudan Allah itu setelah mencipta tempat Dia tidak bertempat dan tidak memerlukan arah.
Dalil ini semua, bukanlah menafikan kewujudanNya sepertimana yang dituduh oleh ajaran yang menjisimkan dan menyamakan Allah dengan makhluk pada zaman ini iaitu ajaran Wahhabiyah.

Kita mengangkat tangan ke langit ketika berdoa bukanlah kerana Allah berada dilangit akan tetapi kita mengangkat tangan ke langit kerana langit merupakan kiblat bagi doa, tempat terkumpulnya banyak rahmat dan berkat. Sepertimana kita menghadap ke arah ka'bah ketika solat tidaklah bererti Allah itu berada di ka'bah akan tetapi kerana ka'bah itu kiblat bagi solat. Inilah yang telah dinyatakan oleh para ulama Islam.

Saidina Ali (semoga Allah meredhoinya) turut menjelaskan:
" Akan kembali satu kaum dari umat ini ketika hampir hari kiamat kelak mereka menjadi kafir, lantas sesorang lelaki bertanya: ' Wahai amirul mu'minin! Kekufuran mereka itu disebabkan apa? kerana mengada-adakan sesuatu dalam urusan agama atau mengingkari sesuatu dalam agama?' Saidina Ali menjawab: Kekufuran mereka kerana mengingkari sesuatu dalam agama iaitu mereka mengingkari Pencipta mereka dengan menyifatkan Pencipta itu berjisim dan beranggota". Diriwakan oleh Ibnu Al-Mu'allim Al-Qurasyi dalam kitabnya berjudul Najmul Muhtady Wa Rojmul Mu'tady.
Berkata Imam Zainul Abidin (semoga Allah meredhoinya): " Engkaulah Allah yang tidak diliputi tempat". Diriwayat oleh Al-Hafiz Az-Zabidy.

Imam Abu Hanifah menyatakan dalam kitabnya Fiqhul Absat: " Allah ta'ala telah sedia ada tanpa tempat, Allah telah sedia wujud sebelum mencipta makhluk, dimana sesuatu tempat itu pun belum wujud lagi, makhluk belum ada lagi sesuatu benda pun belum ada lagi, dan Allah lah yang mencipta setiap sesuatu.

Dinyatakan dengan sanad yang sohih oleh Imam Baihaqi dari Abdullah bin Wahb berkata:
" Ketika kami bersama dengan Imam Malik, datang seseorang lelaki lantas bertanya: 'Wahai Abu Abdillah Imam Malik! 'Ar-Rahman 'Alal Arasyi Istawa' bagaimana bentuk istiwa Allah? maka Imam Malik kelihatan merah mukanya kemudian beliau mengangkat wajahnya lantas berkata: 'Ar-Rahman 'Alal Arasyi Istawa' ianya sepertimana yang telah disifatkanNya dan tidak boleh ditanya bentukNya kerana bentuk itu bagi Allah adalah tertolak dan aku tidak dapati engkau melainkan seorang pembuat bid'ah! maka keluarkan dia dari sini".
Manakala riwayat yang berbunyi 'dan bentuk bagi Allah itu adalah dijahili' ianya riwayat yang tidak sohih.

Imam kita Imam Syafie (semoga Allah meredhoinya) telah berkata: " Barangsiapa mempercayai Allah itu duduk di atas Arasy maka dia telah kafir". Diriwayatkan oleh Ibnu Al-Mu'allim Al-Qurasyi dalam kitabnya Najmul Muhtady Wa Rojmul Mu'tadi.

Berkata juga Imam Ahmad bin Hambal (semoga Allah meredhoinya) : " Barangsipa yang mengatakan Allah itu jisim tidak seperti jisim-jisim maka dia juga jatuh kafir".Diriwayat oleh Al-Hafiz Badruddin Az-Zarkasyi dalam kitabnya Tasynif Al-Masami'.

Berkata Imam Ahli Sunnah Wal jamaah Imam Abu Hasan Al-Asy'ary dalam kitabnya berjudul An-Nawadir: " Barangsiapa yang mempercayai Allah itu jisim maka dia tidak mengenali Tuhannya dan sesungguhnya dia mengkufuri Allah".
Maka jelaslah dari kenyataan Imam Al-Asy'ary tadi bahawa kitabnya yang berjudul Al-Ibanah pada hari ini telah ditokok tambah.


Berkata Imam Abu Ja'far At-Tohawi yang mana beliau ini merupakan ulama As-Salaf As-Soleh: " Maha suci Allah dari mempunyai ukuran, penghujung, sendi, anggota dan benda-benda kecil dan Allah tidak diliputi dengan mana-amana arah enam sepertimana makhlukNya".
Beliau berkata lagi: " Barangsiapa yang menyifatkan Allah dengan sifat-sifat makhluk maka dia jatuh kafir".
Antara sifat makhluk adalah bergerak,duduk diam, turun, naik, bersemayam, duduk, berukuran, bercantum,berpisah,berubah, berada di tempat,berarah, berkata-kata dengan huruf, suara, bahasa dan lain-lain.

Telah dinukilkan oleh Imam Al-Qorofy dan Syeikh Ibnu Hajar Al-Haitamy dan selainya menukilkan kenyataan bahawa: " Imam Syafie, Imam Malik Imam Ahmad dan Imam Abu Hanifah (semoga Allah meredhoi mereka) berkata bahawa jatuh hukum kufur bagi sesiapa yang berkata Allah itu ber-arah dan berjisim dan benarlah penghukuman Imam-imam tadi".

Wahai seluruh orang-orang muslim.
Kami mengakhiri penjelasan ini dengan ungkapan kaedah yang dinyatakan oleh Imam Ahmad Bin Hambal (semoga Allah meredhoinya): " Segala yang terbayang dibenak fikiranmu maka ketahuilah bahawa Allah tidak sedemikian" . Dan ini merupaka kaedah yang telah disepakati disisi seluruh ulama Islam.

Berkata Imam kita Abu Bakar (semoga Allah meredhoinya): "Merasai diri itu lemah dari membayangi zat Tuhan maka itulah tauhid mengenal Tuhan dan memcari-cari serta membayangkan zat Tuhan itu pula adalah kufur dan syirik".

Alhamdulillah kita berada dalam akidah yang benar ini, memohon kepada Allah ta'ala agar mematikan kita diatas pegangan ini. Amin ya Arhamar Rohimin Wa akhiru da'wana 'anil hamdulillahi robbil 'alamin.


______________________


SYEIKH DAUD BIN ABDULLAH AL-FATHONY MENILAI (MENOLAK) AKIDAH ALLAH DI LANGIT DAN BERTEMPAT.



Berkata Al-Alim Al-Allamah Al-‘Arif Al-Rabbany Maulana Syeikh Daud Bin Abdullah Al-Fathony ;

“ Dan ketiga Mukhalafatuhu Lil Hawaditsi :
Dan maknanya : Bahawasanya Allah Taala tiada bersama ia dengan segala yang baharu, tiada pada zatNya, dan tiada pada sifatNya dan tiada pada af’alNya (perbuatanNya). Maka zat Allah tiada menyerupa akan dia segala zat yang baharu, dan sifatNya tiada menyerupa akan dia akan segala sifat-sifat yang baharu, dan perbuatanNya tiada meyerupa akan dia akan segala perbuatan yang baharu, dan setiap barang yang terlintas dengan hati seorang kita akan sesuatu maka bahawasanya Allah Taala itu bersalahan baginya kerana sekalian itu baharu[1]. Maka Allah itu bersalahan dengan segala yang baharu seperti firman Allah Taala :
Yang bermaksud :
“Tiada seperti seumpamanya Allah Yang Maha Suci suatu dan Dialah jua Tuhan Yang Amat Mendengar dan Yang Lagi Amat Melihat”.[2]
Dan tiada Allah Taala itu bertempat[3], dan tiada Ia di atas[4], dan tiada Ia di bawah, dan tiada ia di kanan, dan tiada di kiri, dan tiada pada hadapan, dan tiada di belakang,[5] kerana adalah sekalian itu melazimkan jirim, dan Allah Yang Maha Suci tiada berjirim, dan tiada Aradh. Kerana adalah segala yang baharu itu terhingga atas dua perkara iaitu jirim dan aradh maka tempat dan berubah itu sifat jirim dan sifat aradh. Demikian lagi besar dan kecil itu sifat jirim yang banyak dan sedikit kerana jikalau banyak jirim dinamakan besar dan yang sedikit dinamakan kecil. Dan berubah itu sifat aradh seperti gerak dan diam maka kedua-duanya itu daripada kelakuan yang baharu dan Allah Yang Maha Suci itu Qadim[6] tidak boleh disifatkan dengan segala sifat yang baharu. Dan barangsiapa menghinggakan zat Allah Taala pada tempat maka tiada syak ia pada kufurnya seperti katanya allah taala itu terhingga di atas langit atau pada bumi.

Seterusnya berkata lagi Syeikh Daud Bin Abdullah Al-Fathony ;
” Kata Imam Syafie ; Barangsiapa yang meninggalkan empat perkara ini sempurna imannya, dan iaitu (kam ),dan (kaif), dan (mata), dan (aina), maka adapun (kam) maka dinyatakan dengan dia menuntut kenyataan bilangan maka jika dikata orang ; Kamillah ? Yakni “ berapa Allah?” maka jawab olehmu : iaitu wahid yakni Esa pada zatNya dan pada sifat-sifatNya dan pada perbuatanNya. Dan (kaif) iaitu ditanya dengan dia daripada kaifiat maka jika ditanya orang : kaifallah? Yakni “ betapa Allah (bagaimana rupa Allah?)” maka jawab olehmu ; tiada mengetahui seseorang akan hakikat zat Allah melainkan Ia jua. Dan (mata) itu tiada dengan dia daripada zaman (masa) maka jika dikata orang : Matallah? Artinya ; manakala didapati Allah? (bilakan Allah Taala wujud?) maka jawab oleh mu : Allah Taala itu awalnya tiada permulaan dan akhir tiada kesudahan. Dan (aina) dan tiada dengan dia daripada makan (tempat), maka jika dikata orang : Ainallah?[7] (di mana Allah?) maka jawab oleh mu : Allah itu tiada bertempat dan tiada dilalu atasnya masa kerana zaman (masa) dan makan (tempat) baharu keduanya.
Bermula Allah taala itu Qadim dan yang Qadim tiada berdiri dengan yang baharu dan barangsiapa yang menyerupakan Allah , Tuhan yang bersifat dengan Rahman dengan suatu maka tiada syak pada kufurnya. Maka takut olehmu akan diri kamu dan pelihara akan dia daripada menyerupa ia akan Allah dengan suatu bahagi daripada bahagi yang baharu ini maka demikian itu kufur. Dan sungguhnya wajib bagi Allah itu mukhalafah (bersalahan) bagi segala yang baharu kerana bahawasanya jikalau menyama ia akan dia nescaya adalah baharu seumpamanya. Dan telah terdahulu pada burhan wajib qidamnya dan baqa’nya dan wajiblah ia bersifat Mukhalafatuhu Lil Hawwaditsi, dan apabila sabitlah baginya Mukhalafatuhu Lil Hawwaditsi nescaya nafilah daripadanya Mumatsilah Lil Hawaditsi ( bersamaan Allah pada segala yang baharu). Selesai nukilan penulis (abu lahyah) daripada Kitab Al-Jauhar As-Saniyyah Fi Syarhi Al-‘Aqoid Al-Diniyyah Wa Ahkam Al-Fiqhi Al-Mardhiyyah Wa Thoriqi Al-Suluki Al-Muhammadiyyah”[8]

…………………………………………………….
FOOTNOTE ;
[1]Berkata Imam As-Suffi Zunnun Al-Mishry (nama asalnya ialah Tsauban Bin Ibrahim, pernah mempelajari ilmu secara bertallaqqi dengan Imam Malik pada qurun ke 12 Hijrah) dan Imam Ahmad Bin Hanbal : “ walaubagaimana engkau membayangkan Allah Taala, maka Allah bersalahan dengan apa yang engkau bayangkan atau gambarkan ”.
[2] Allah Taala berfirman ; “Tiada sesuatu pun sama dengan Allah dan Dialah yang Maha Mendengar dan Maha Melihat.” Surah Syura Ayat ;11.
[3] Sayyidina Ali Radiallahu Anhu (40 H) yang merupakan seorang khalifah al_Rasyidin yang keempat dan seorang sahabat yang agung telah berkata:“ Adalah (Allah azali) tanpa bertempat, dan Dia sekarang seperti mana keadaanNya yang lalu ( wujudnya azali tanpa bertempat)”. Lihat Abu Mansur al-Baghdady, Al-Farqu Bainal al-Firaq, ( Kaherah, Percetakan Darul Al-Turats), m/s :356. Imam Ali berkata lagi : “Akan kembali suatu kaum daripada umat ini ketika dekat berlaku hari kiamat menjadi kafir mereka itu, lalu berkata seorang lelaki bertanya : wahai Amir al-Mukminin kekafiran mereka dengan apa, dengan sebab mereka melakukan perkara bida’ah ke dengan sebab keingkaran mereka? Maka berkata (Imam Ali) : Bahkan dengan keingkaran. Mereka mengingkari percipta mereka dan mensifatkanNya dengan jisim dan anggota.” Rujuk Ibn Al-Mu’allim Al-Qurasyi, Kitab Najmul Muhtady, m/s 588.
[4] Berkata Imam Abu Hanifah di dalam kitab Al-Fqh Al-Absath m/s 12 : “ barangsiapa mengatakan aku tidak mengetahui tuhanku sama ada berada dilangit atau dibumi maka kufurlah ia, begitu juga sesiapa yang mengatakan bahawa Allah berada di atas Arash dan aku tak pasti tahu sama ada Arash itu di langit ataupun dibumi. Perkara ini dipersetujui oleh Syeikh al-Izz Ibn Abd As-Salam di dalam kitab ((Hal Al-Rumuz)) lalu berkata : “ini adalah kerana perkataan itu mengelirukan atau menisbahkan bagi Allah tempat, barangsiapa menisbahkan bagi Allah tempat maka dia adalah Mushabbihah”. Manakala Syiekh Mulla ‘Ali Qari Al-Hanafi berkata di dalam kitab syarh kitab Fiqh Al-Akbar ; dan tidak syak lagi bahawa Ibn Izz Abd Salam merupakan ulamak yang paling mulia dan amat dipercayai, ,maka wajiblah dipegang dan bergantung pada nukilannya’. Selain Itu Imam Al-Allamah Abu Al-Mahasin Muhammad Al-Qauqaji Al-Thorabulusi Al-Hanafiy berkata : “ Dan sesiapa yang mengatakan : aku tidak mengetahui sama ada Allah itu berada di langit atau dibumi maka kufurlah ia, ini adalah kerana dengan mengatakan salah satu dari dua pernyataan tadi menjadikan tempat bagi zat Allah Taala.” Rujuk Imam Al-Allamah Abu Al-Mahasin Muhammad Al-Qauqaji Al-Thorabulusi Al-Hanafiy , Kitab Al-I’timad fil I’tikoq ( Beirut, Percetakan Darul Masyari’, Cetakan Pertama, Tahun : 2004 Bersamaan 1425 H) m/s 13.
[5] Berkata Imam At-Thahawiy As-Salafiy : ” Maha Suci (Allah) Taala daripada batasan, tinggi kemuncak, beranggota kecil (spt jari-jemari), anggota besar, memerlukan alat perantaraan, tidak juga sekali-kali meliputi arah-arah yang enam (atas bawah, depan belakang, kiri dan juga kanan) seperti sekalian makhluk. Seterusnya beliau menambah “ barangsiapa mengsifatkan Allah sengan satu makna atau sifat makhluk daripada sifat-sifat makhluk, maka telah jatuh kafir ia” Rujuk Muhaddits Syeikh Abdullah Al-Harary, Idzhar As-Sunniyyah ( Beirut, Percetakan Darul Masyari’, tahun ).
[6] Tiada permulaan bagi kewujudan-Nya.
[7] Terdapat satu hadits yang diguna oleh golongan wahhabi untuk mengatakan Allah berada di langit iaitu Hadits Al-Jariyah. Hadis Al-Jariyah sebuah hadis yang mengandungi peristiwa pertanyaan Rasulullah kepada seorang jariyah (hamba perempuan) yang telah diriwayatkan dalam pelbagai lafaz oleh beberapa ulama hadis seperti al-Imam Muslim dalam kitabnya Sahih Muslim, Bab Tahrim al-Kalam fi al-Salah, al-Imam Abu Dawud dalam kitabnya Sunan Abi Dawud, Bab Tashmit al-^Atish dan Bab fi al-Raqabati`l-Mu’minah, al-Imam Malik dalam kitabnya al-Muwatta’, Bab Ma Yajuz Mina`l-^Itq fi al-Riqab al-Wajibah, al-Imam al-Bayhaqi, al-Imam Ahmad, al-Imam Ibn Hibban dan lain-lain lagi. Hadits Jariyah ini bukan Bermakna Allah berada di atas langit.

MAKNA HADIS AL-JARIYAH
Hadis tersebut mudtarib (suatu hadis yang diriwayatkan dengan lafaz matannya yang berbeza-beza dan saling bertentangan sehingga menjadikannya dihukumkan sebagai hadis da^if ). Meskipun ada ulama yang menganggap hadis tersebut sebagai sahih, namun mereka tidak mengertikan bahawa Allah mendiami atau berada di langit. Al-Imam al-Nawawi telah berkata dalam huraiannya terhadap hadis tersebut bahawa perkataan ” أَيْنَ الله” (Di mana Allah?) adalah suatu soalan tentang darjat atau kedudukan, bukannya tentang tempat. Oleh itu, makna perkataan Baginda di atas ialah: “Apakah peganganmu dari segi pengagunganmu terhadap Allah?”. Selanjutnya, perkataan hamba perempuan في السماء (di langit) itu pula bermakna: “Sangat tinggi tahap pengagunganku terhadap-Nya”. Oleh itu, tidak boleh berpegang bahawa Rasulullah telah bertanya kepada hamba perempuan tersebut tentang tempat (bagi Allah) dan tidak boleh berpegang bahawa hamba perempuan itu telah bermaksud Allah bertempat di langit.
Sayyidina Ali Radiallahu anhu berkata:
لا يُقَالُ أَيْنَ لِمَنْ أَيَّنَ الأَيْنَ(ذكره أبو القاسم القشيري في الرسالة القشيرية)
Maknanya:”Tidak boleh dikatakan (disoalkan tentang) di mana (tempat) bagi Allah yang telah menempatkan di mana (tempat). (Disebutkan oleh Abu`l-Qasim al-Qushayri dalam al-Risalah al-Qushayriyyah).Al-Imam Abu Hanifah berkata dalam kitabnya al-Fiqhu`l-Absat:
كَانَ قَبْلَ الْمَكَانِ, كَانَ وَلَمْ يَكُنْ أَيْنٌ وَلا خَلْقٌ وَهُوَ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ
Maknanya: “Dia (Allah) ada (azali) sebelum (kewujudan) tempat. Dia ada (azali) dengan keadaan belum ada suatu (penciptaan) tempat dan suatu (penciptaan) makhluk yang lain, dan Dia adalah pencipta segala sesuatu”.
Allah taala berfirman:
ليس كمثله شيء ( 11) – سورة الشورى
Maknanya: “Tiada suatu pun yang sama seperti-Nya (Allah)”. (Surah al-Shura: 11)
Rasulullah bersabda:
كَانَ اللهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ غَيْرُهُ(رواه البخاري وغيره)
Maknanya: “Allah ada (azali yakni ada tanpa permulaan) dan tiada sesuatu pun selain-Nya”. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan selainnya).
[8]Lihat Syeikh Daud Bin Abdullah Al-Fathony , Al-Jauhar As-Saniyyah Fi Syarhi Al-‘Aqoid Al-Diniyyah Wa Ahkam Al-Fiqhi Al-Mardhiyyah Wa Thoriqi Al-Suluki Al-Muhammadiyyah ( Thailand , Percetakan Maktabah Wa Mathba’ah Muhammad Al-Nahdi Wa Aulad, tahun : tiada ) m/s 6,7.

Nukilan:
http://ustaz-rasyiq.blogspot.com/2010/04/akidah-allah-bertempat-akidah-kufur.html

1 comment:

Ibnu Muslim said...

Terima kasih, sangat jelas penjelasannya.
Sebenarnya golongan Wahabi ini tidak sedar bahawa memahami ayat mutasyabihat dengan maksud yg zahir juga merupakan satu bentuk pentakwilan yg sesat kerana yg paling selamat ialah tafwidh, iaitu menyerahkan makna sebenarnya kepada Allah sbwt sahaja.

Visit Bil.