Saturday, January 2, 2010

PENYELEWENGAN TAUHID DAN KALIMAH ALLAH


Kamus Dewan Bahasa, kamus paling autoritatif mengenai bahasa Melayu menyatakan dengan jelas bahawa perkataan ALLAH bermaksud Tuhan Yang Satu dalam Bahasa Melayu. Manakala The Hutchinson Encyclopedia hlm 27 menjelaskan perkataan ALLAH ditafsirkan sebagai, "ALLAH: Islamic name for God". Penjelasan yang sama boleh didapati jika kita merujuk kepada Encycopedia Brittanica, Wikipedia dan lain-lain sumber. Kesimpulannya, jelas bagi kita bahawa nama ALLAH dikaitkan dengan Tuhan Yang Satu, Tuhan umat Islam. Ia nyata amat berbeza dengan maksud 'Eli atau Yehowah' dalam konsep ketuhanan Kristian dan Yahudi.


Dari sudut bahasa apa sekalipun, kalimah ALLAH adalah kata nama khas. Ia merujuk kepada Tuhan Sebenar yang diseru oleh Nabi kita Muhammad SAW untuk beriman denganNya. Tanpa menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu pun. Ajaran ini selaras dengan seruan para Rasul terdahulu. Pendek kata, semua Para Anbiya AS menyeru kepada akidah mentauhidkan Allah SWT. Iaitu mengesakan Allah pada Dzat, Sifat, Af''al dan Asma'nya. Oleh kerana prinsip ini dibawa Nabi kita Muhammad SAW, maka kalimah ini menggambarkan intipati Ketuhanan yang jelas secara eksklusif milik Islam itu sendiri. Ia bukan milik sesiapa pun, samada Muslim atau kafir, baik manusia atau mana-mana makhluk di alam ini.


Hakikat ini dijelaskan sendiri oleh Allah SWT di dalam Al-Qur'an bermaksud : "Katakan Muhammad bahawa ALLAH itu Esa, Ia tempat tumpuan segalaNya (berdiri sendiri, tidak bergantung dengan sesiapa). Dia tidak beranak. Dan tidak pula diperanakkan. Dan ALLAH itu tidak sekufu/setara/serupa dengan segala sesuatu" (Al Ikhlas: 1-4).


Berasaskan ayat ini, golongan bukan Islam, terutamanya kristian tidak berhak mempergunakan kalimah Allah SWT sama sekali. Baik di dalam pertuturan, perbuatan mahupun terbitan mereka. Ini kerana kepenggunaan kalimah berkenaan tidak bertepatan dengan konsep tauhid yang sebenar yang melambangkan Allah SWT sebagai Dzat yang wajib ada dengan KeEsaanNya dalam Islam. Berbanding prinsip tiga Tuhan dalam tradisi kristian.

Jika golongan bukan Islam ingin mempergunakan kalimah Allah SWT, mereka perlu mengiktiraf kandungan kitab Suci al-Qur'an sebagai satu-satunya petunjuk kepada jalan ketaqwaan (Al Baqarah:2). Buangkan kepercayaan mereka kepada kitab Injil yang telah diubah atas nama pendustaan kepada Nabi Isa AS. Solanya, berbaloikah kristian katholik mengorbankan kepercayaan mereka berbanding tuntutan penggunaan kalimah Allah ini?

Bukan itu sahaja, golongan kristian juga perlu beriman dengan Kenabian Nabi kita Muhammad SAW sebagai Nabi Yang Terakhir. Dialah Allah yang mengutuskan Muhammad SAW dengan petunjuk dan agama yang benar yang menjuarai semua agama dan kepercayaan yang ada. Dan cukuplah Allah SWT yang menjadi saksi atas semua itu (Al Fath: 28). Jika kristian 'pelahap' sangat ingin menggunakan nama Allah SWT, eloklah mereka memeluk Islam dengan melafazkan syahadah. Mereka boleh menggunakan kalimah Allah SWT setiap masa dan ketika. Saya kira, ini boleh menyelesaikan kemelut kepenggunaan ini. Soalnya, sanggupkah mereka?Adapun hujjah sesetengah cendiakawan yang membenarkan penggunaan kalimah Allah menerusi surah Az Zukhruf : 86-87 dan Al Ankabut: 63 adalah TIDAK BENAR sama sekali. Mereka tidak memahami kandungan ayat berkenaan dalam kerangka ketuhanan yang benar.

Pertama : Ayat - ayat di atas adalah uslub mujadalah. Iaitu gaya bahasa perbantahan yang berlaku antara Nabi SAW dengan golongan musyrikin tentang akidah tauhid. Buktinya Allah SWT memerintahkan Nabi SAW supaya berbahas dengan mereka dengan cara yang lebih baik.(al-Ankabut 46) Jadi, uslub mujadalah tak sah dipetik sebagai hujjah kerana lafaz ini dirakam oleh Allah SWT sebagai pengajaran kepada kita bahawa golongan kafir hanya mahu berbantah-bantah, berdolak-dalik dengan ucapan. Tetapi hakikatnya, pertuturan mereka dipenuhi dengan kalimah dusta terhadap Baginda SAW. Maka benarlah kesimpulan feqhiyyah : Hakikat Lafaz yang digunakan menunjukkan maksudnya bukan menunjukkan sendi frasanya.

Kedua : Golongan musyrikin yang tidak mahu beriman dengan syariat Nabi SAW dicabar dengan hujjah logik : Siapakah yang mencipta langit bumi? Mereka mengatakan : Allah!. kalimah Allah yang digunakan disini hanya dari sudut bahasa sahaja. Ia bukan bermaksud mengiktiraf Allah Yang Esa yang diserukan oleh Nabi SAW. Atau dengan kata lain, jawapan Allah yang diberikan musyrikin disini hanya berdasarkan apa yang ada dalam zihn (kotak pemikiran) mereka sahaja. Iaitu berdasarkan kepercayaan yang diwarisi datuk nenek moyang mereka yang menyembah berhala. Bukannya satu pengiktirafan konsep ketuhanan yang sebenar yang dibawa Nabi SAW. Lantaran itu, mereka terus menyembah berhala dan menolak konsep ketuhanan (akidah tauhid) yang di bawa Nabi SAW dan meneruskan kekufuran. Ternyata, pengucapan 'Allah' dalam ayat ini adalah dibuat dengan nada pembohongan semata-mata. Allah SWT sendiri menyifatkan pembohongan mereka (al-Ankabut ayat 61) dengan lafaz : فأنى يؤفكون

Lafaz ini dihurai oleh Imam al-Qurtubi dengan katanya : Iaitu mengapa mereka kufur untuk mentauhidkanKu dan berpaling dari mengabdikan diri kepadaKu." Penjelasan ini membuktikan bahawa golongan musyrikin sebenarnya tidak beriman dengan Allah SWT. Sebaliknya hanya mengungkapkan kalimah Allah untuk melepaskan diri dari kebenaran berhujjah.

Ketiga : Kita Umat Islam tidak boleh sesekali mengiktiraf golongan bukan Islam sebagai ahli tauhid rububiyyah disebabkan mereka mengucapkan kalimah Allah. Ini kerana ucapan kalimah Allah pada mereka bukan merujuk kepada Tuhan Yang Esa dengan segala sifat kesempurnaan. Sebaliknya mereka menggambarkan Allah dengan kepelbagaian prinsip KeTuhanan. Buktinya, Golongan yahudi dan kristian saling mempercayai bahawa Allah itu mempunyai anak. (al-taubah 30). Golongan yang lain pula terus mengambil berhala sebagai sembahan. Sedangkan Allah SWT membantah kenyataan mereka dalam ayat yang sama : "Demikianlah perkataan mereka Dengan mulut mereka sendiri, (Iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?

Melalui ayat ini terbukti kepada kita bahawa konsep syirik yahudi dan kristian jauh berbeza dengan pengertian akidah tauhid. Justeru mereka tidak berhak menggunakan kalimah Allah SWT dalam keadaan mensyirikkannya.

Keempat : Allah menjelaskan bahawa golongan yang mempersekutukan Allah sebenarnya berada diterminal kenistaan dan kekufuran. Buktinya Allah SWT berfirman : "Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang Yang tetap berdusta (mengatakan Yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik) kepadaNya." (al-Zumar ayat 3)

Jika Allah SWT menjenamakan mereka dengan golongan yang berdusta dan sentiasa kufur kepadaNya, mengapa kita ingin memandai-mandai untuk mendakwa mereka bertauhid dan ingin mengizinkan mereka mempergunakan kalimah Allah SWT. Apakah kita ingin memandai-mandai melebihi ketentuanNya.

Kelima : Allah SWT sendiri menjelaskan pendirian ketuhanan musyrikin di dalam surah Yasiin ayat 78 : "Serta ia mengemukakan satu misal Perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: "Siapakah Yang dapat menghidupkan tulang-tulang Yang telah hancur seperti debu?"Katakanlah: "Tulang-tulang Yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan Allah Yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Dia Maha mengetahui akan Segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya)"

Ayat ini menjelaskan bahawa penanya soalan di atas tidak mengetahui hakikat ketuhanan dan enggan mempercayai adanya kehidupan selepas kematian. Sebaliknya mereka mengejek Nabi SAW. Lalu Allah SWT menjawab ejekan mereka pada ayat 79 surah yang sama. Adakah patut bagi orang yang berakal mendakwa bahawa penanya di atas beriman dengan tauhid rububiyyah? Ternyata ia tidak sesekali.

Keenam : Di dalam surah al-Jatsiyah ayat 24 Allah berfirman : "Dan mereka berkata: "Tiadalah hidup Yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah Yang membinasakan kita melainkan edaran zaman". pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.

Ayat ini jelas membuktikan bahawa golongan yang tidak menerima seruan Nabi SAW adalah golongan bukan Islam. Mereka menyangka bahawa tiada suatu kuasa pun yang boleh membinasakan mereka kecuali peredaran masa. Ertinya mereka tidak yakin dengan kekuasaan Allah SWT. Dan Allah menempelak kenyataan mereka bahawa kepercayaan itu adalah sangkaan yang tidak berdasarkan fakta yang benar. Adakah orang yang tidak meyakini Kebesaran dan Keagungan Allah dikira bertauhid rububiyyah? dan kita pula ingin membenarkan mereka memperkotak-katikan nama Allah yang maha suci? Nau'zubillah.

Ketujuh : Jika golongan bukan Islam mengiktiraf tauhid rububiyyah, mengapa Allah SWT mencabar mereka dalam surah al-Ghasiyyah ayat 17 -23 bermaksud : "(Mengapa mereka Yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta Bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit Bagaimana ia ditinggikan binaannya.? Dan keadaan gunung-ganang Bagaimana ia ditegakkan? Dan keadaan bumi Bagaimana ia dihamparkan? Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (Wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada Yang menolaknya), kerana Sesungguhnya Engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan; Bukanlah Engkau seorang Yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam Yang Engkau sampaikan itu). Akan tetapi sesiapa Yang berpaling (dari kebenaran) serta ia kufur ingkar. Maka Allah akan menyeksanya Dengan azab seksa Yang sebesar-besarnya."

Jika benar golongan bukan Islam mentauhidkan Allah dengan tauhid Rububiyyah mengapa Allah masih mencabar mereka supaya menekspresi akal.? Mengapa pula mereka diistilahkan Allah dengan 'berpaling dari kebenaran ' serta 'kufur lagi ingkar'. Mengapa pula mereka dijanjikan Allah dengan siksaan yang besar. Ayat ini menunjukkan bahawa mereka sepincingpun tidak beriman ayat-ayat Allah SWT.

Sebenarnya masih banyak ayat al-Qur'an dan al-hadis yang membuktikan kepada kita bahawa golongan bukan Islam sememangnya tidak memahami ketuhanan Allah yang sebenar. Malah golongan ini mempunyai doktrin ketuhanan tersendiri berdasarkan tradisi dan kepercayaan mereka. Jika mereka terus diikat dengan kepercayaan tradisi dan mempersekutukan Allah, bagaimana bisa mungin kita katakan mereka itu bertauhid? Dan bagaimana pula kita ingin membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah dalam terbitan atau pengamalan mereka.?

Kesimpulannya, setiap nas perlu ditafsirkan mengikut metodologi yang jelas. Iaitu mengikut urutan ayat sebelum dan selepasnya, perkaitan dengan ayat yang lain samada dalam satu surah yang sama atau surah yang berbeza. Ataupun berdasarkan kepada Sunnah yang sahih lagi mutawattir dalam membicarakan isu akidah. Hal ini jelas sebagaimana yang diperakukan Ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah.Hasil penjelasan ini, dapatlah diketahui bahawa ayat 86-87 Az Zukhruf dan ayat 63 Al Ankabut sesekali tidak menyatakan bahawa ALLAH membenarkan penggunaan nama ALLAH bagi maksud selain daripada Tuhan Yang Esa. Malahan tiada satu nas pun yang menunjukkan Islam mengiktiraf kesyirikkan dan kekufuran itu tergabung dengan pakej tauhid rububiyyah. Bukankah tauhid hanya satu. Tidak berbilang-bilang.

Justeru, mengapa dengan mudah kita ingin membenarkan golongan bukan Islam menggunakan kalimah suci Allah dalam kekufuran. Jika kita menggunakan ayat di atas bagi menjustifikasikan keizinan penggunaan kalimah Allah untuk bukan Islam kita sebenarnya kita menggunakan dalil bukan pada tempatnya.Bahkan tindakan ini juga lebih bersifat mempromosi perkongsian ketuhanan Allah. Ini adalah prinsip yang bathil. Satu malaysia tidak boleh menghalalkan prinsip satu Tuhan. Tidak sesekali.


Apa yang jelas, rancangan Kristian Malaysia untuk menggunakan perkataan ALLAH dalam konteks triniti tidak patut dibenarkan sama sekali. Ia menodai prinsip ketuhanan yang Esa yang menjadi teras akidah Islam. Ia juga berupaya membangkitkan sensitiviti dan amarah bangsa melayu muslim. Hasilnya kemana? Fikirkanlah.


Saya menyeru kepada semua pihak terutamanya Raja-raja Melayu agar mengembalikan diri kepada konsep ketuhanan Tauhid yang sebenar. Kebenaran Tauhid memberi momentum kepada kita untuk sentiasa memacu hidup berdampingan dengan Allah SWT. Sekaligus meraih pertolonganNya. Berhati-hatilah dengan dakyah sesetengah pihak yang tidak segan silu menggunakan nama YB, Dato, Tok Guru, Prof dan Dr membenarkan nama Allah dipergunakan oleh bukan Islam atas alasan yang batil. Apakah mereka telah dijangkiti prinsip liberalisme agama. Atau hati mereka sedang diselimuti kejahilan tauhid yang halus. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita dalam memahami akidah Tanzih dan mempertahankan kesuciannya. Wallahua'lam.

22 comments:

Ibnu Muslim said...

Alhamdulillah masyarakat Islam di Malaysia sepakat untuk menyokong rayuan tidak membenarkan nama Allah digunakan oleh pihak agama lain termasuk juga tokoh2 agama seperti Ust Zahiruddin Abd Rahman (sila baca tulisan beliau di Metro Ahad 03 Jan 10)yg selalu dipinjam kenyataan beliau oleh golongan yg kononnya nak bertajdid.
Memang sangat bahaya kesannya penggunaan nama Allah ini kerana golongan remaja Islam Melayu di Malaysia sekarang lemah dari segi kemantapan aqidah hingga mudah terkeliru dengan dakyah agama lain apatah lagi apabila tuhan mereka disamakan dengan Islam.
Berbeza situasi dengan keadaan di negera arab seperti Jordan, Mesir atau Syria kerana disana mereka mahir bahasa Arab & puak Kristian tidak menjadikan dakwah keatas umat Islam sebagai misi utama kerana memang tidak akan berhasil.
Nampaknya lagi sekali Dr MAZA terpaksa menutup mulut kerana tiada sokongan mutlak tentang isu nama Allah ini apatah lagi boleh dikira beliau tersilap percaturan.
Beliau juga nampaknya terkedu setelah Dr Qaradawi membuat kenyataan supaya pegangan Asyairah dan feqah Syafiiyah di jaga & dipertahankan di Malaysia.
Tulisan beliau dalam Utusan juga nampaknya sudah sejuk tiada lagi isu kontroversi dibangkitkan.
Hakikatnya tajdid yg diperlukan adalah atas permasalahan umat (feqh awlawiyah)bukannya isu furuq doa qunut subuh,zikir berjemaah, talqin, kenduri tahlil dsbnya kerana tiada apa kemajuan yg dapat dari pertikaian perkara yg telah diputuskan keharusannya hampir lebih berkurun dahulu selain perbalahan & perpecahan umat - sesuatu yg Dr Qaradawi sangat ingin umat Islam elakkan.

Pencinta Ilmu said...

Kongsi pandangan...

Aku menghargai gerakan haraki dan Islah ke arah penambahbaikan umat Islam.. tetapi apabila ramai orang yang tidak layak jadi mufti mendahulukan 'perkataan' mereka daripada para mufti dan alim ulama' terutama sesudah jelas keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan...(yang bukan sorang dua mufti ada di majlis itu)seperti kenyataan ini
"Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang kali ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 mencapai keputusan bersetuju bahawa lafaz "Allah" merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam.

Kandungan itu berbunyi: "Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

"Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

...maka apa lagi yang boleh dikata kepada para pemimpin PAS itu... kita mengagongkan kebebasan bersuara ala barat sehingga terlupa kita hanya menggunakan jalan demokrasi sekadarnya sahaja daripada mendapat lebih mudarat. Amat malang kita yang berlebih sangat mendokong kebebasan bersuara,sehingga 'yang salah' pun bebas disuarakan dan meracuni aidah orang. Ingat... tidak semua pemimpin PAS layak mengeluarkan kenyataan agama...Tidak semua yang berani bersuara itu benar!!!

Untuk mereka yang mempermudahkan isu ini aku mengingatkan dengan Firman Allah S.W.T dalam surah Maryam ...ba'dal isti'azah..
88. Dan mereka berkata: "Tuhan yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak".
89. Sesungguhnya kamu Telah mendatangkan sesuatu perkara yang sangat mungkar,
90. Hampir-hampir langit pecah Karena Ucapan itu, dan bumi belah, dan gunung-gunung runtuh,
91. Karena mereka menda'wakan Allah yang Maha Pemurah mempunyai anak.
92. Dan tidak layak bagi Tuhan yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak.
93. Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi, kecuali akan datang kepada Tuhan yang Maha Pemurah selaku seorang hamba.

Tidak semua ahli PAS setuju dengan kenyataan mereka.

Wallahu a'lam ...

DarulSemangka said...

Dulu saya ada masuk forum halaqah.net dan berbincang pasal 250,000 kaum Melayu telah murtad, bertukar agama kepada Kristian. Sumber saya dari sini:

http://pakngah70.blogspot.com/2006/02/mufti-perak-dakwa-250000-murtad-di.html

Ketika saya menulis tentang sebuah laman web Islam yang mengkaji tentang kebatilan agama Kristian, tiba2 komputer saya digodam. Sambungan Internet terputus. Saya terpaksa bertukar dari Sistem Pengoperasian Windows XP kepada Linux.

Nampaknya forum2 Islam pun dibaca oleh pendakyah2 Kristian juga. Mungkin untuk mencari bahan bagi menguatkan hujah2 agama mereka bagi menyerang agama Islam.

Laman web yang menjadi kemarahan penggodam Kristian itu ada di sini:

http://www.answeringchristianity.net/ac.htm

Pak Tua Jaga said...

Salam,

pendedahan ilmu yg cukup baik dr Ustaz, Terima Kasih. Penggunaan ini harus dihentikan segera jika tidak mahu bumi ini bermandi darah.

Hamba Allah. said...

Salam, sama-sama kita nantikan terbitnya buku "Sifat Solat Nabi s.a.w Yang Sohih" oleh al-Fadhil Ust.Zamihan.Sila ikuti ceramah beliau di Youtube bertajuk, "Ust.Zamihan al-Ghari - Sifat Solat Nabi Yg. Sahih" untuk mendengar penjelasan lebih lanjut dari beliau.

Sheik said...

salam. way to go ustaz!

terjawabla kemusykilan saya apabila ustaz terangkan konteks ayat 63 surah al-ankabut sebagai cantasan kepada seorang lagi hamba Allah yang menggodam ayat ini untuk populariti murahan.

lebih menjengkelkan lagi apabila dia semacam lupa pula ayat 68 surah yang sama...

aryna said...

salam..

ada ke mereka (termasuk sorang bekas mufti tu..) kata yg dulu sebelum Islam, mrk guna nama Allah, termasuk bapa Nabi juga... (ni kata bekas mufti)..

masalahnya, keutamaan bukan sebelum atau selepas tu guna nama Allah.. tapi, perkataan mrk guna nama Allah sebelum datangnya Islam (yg dibawa Nabi Muhammad SAW) adalah dari agama Samawi. .kita boleh terima.

Yang kita tak boleh terima adalah selepas kedatangan Islam (diingatkan: yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW!) semua agama Samawi tidak lagi boleh diterima pakai oleh mana2 umat Nabi Muhammad (samada beriman dengan Allah dan RasulNYA sebelumnya atau tidak).

Oleh itu, pada pendapat saya, sebutan Allah tidak sama sekali dapat diterimapakai oleh sesiapa jua melainkan yang beriman kepada Allah dan Nabi Muhammad SAW SAHAJA KERANA seandainya mereka meyakini akan kitab2 Nabi terdahulu dan mengakui berada di landasan agama Samawi (ahli kitab), maka sudah tentu mereka telah ISLAM!

Nabi s.a.w bersabda “ Demi Allah yang jiwa Muhammad di tanganNya, tidak seorang pun Yahudi dan Nasrani(Kristian) yang mendengar tentang diriku lalu mati tanpa beriman dengan risalah yang dengannya aku diutus(iaitu Tauhid), maka dia termasuk penghuni api neraka”(DiRiwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya).
Jelas, sesiapa yg berpegang kepada kitab2 Allah terdahulu dari Al-Quran sudah pasti mereka berpegang kepada ajaran Nabi Muhammad SAW iaitu Islam, maka dakwaan sebagai ahli kitab tidak wujud lagi..

apa yg saya bimbangkan bila penerimaan sebutan Allah ini dilaksanakan di Malaysia, maka apa yg berlaku di Indonesia bakal terjadi di sini juga di mana antaranya, akan berleluasalah orang2 yg mengucap kalimah syahadah ini akan menjadikan alasan untuk mengahwini orang2 yang disebut sebagai ahli kitab ini dengan membawa hadith2 yg digunakan semasa awal2 penyebaran Islam dahulu .. nauzubillahminzaliq.

wallahualam bissawab..

JomFikir said...

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/1/4/mstar_berita/20100104184356&sec=mstar_berita

BANGI: Mana-mana umat Islam yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah 'Allah' dalam akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly dalam penerbitannya boleh membawa kepada kekufuran.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din berkata, menyokong kepada sesuatu perkara yang salah di sisi Islam juga secara tidak langsung boleh menyebabkan berlakunya kekufuran dan syirik.

"Saya menyeru kepada sahabat-sahabat saya supaya mempertimbangkan semula pendirian mereka.

"Kalau kita sokong perkara yang kufur, kita pun secara tak langsung akan kufur sama," katanya dalam sidang media di kediamannya di sini hari ini.

Tokoh agama itu turut melahirkan kekesalannya terhadap beberapa penulis blog termasuk di kalangan beberapa pemimpin parti-parti politik yang menyatakan sokongan mereka kepada keputusan berkenaan.

"Saya harapkan orang-orang ini boleh bersatu pandangan, memanglah setiap orang itu ada kebebasan bersuara.

"Kalau hal politik memanglah ada banyak pandangan, tapi kalau hal agama, kita perlu balik kepada kaedah agama.

"Kalau kita berpuas hati dengan perkara yang syirik ia akan membawa kepada kekufuran," katanya tanpa menyebut secara khusus blog-blog berkenaan.

-----

Bukan Dr Asri dulu yang beriya-iya benar membolehkan kalimah ALlah digunakan oleh orang Kristian di Malaysia ?

M.Shaiful said...

bagus pendapat ustaz.lebih meyakinkan. Saya setuju juga dengan pendapat dr. haron din, tapi telah di kritik oleh dr.zainal abidin. saya pun tak faham.pada saya dalam islam ada perkara ada kelonggaran tapi ini isu tauhid. Nik aziz pun tak setuju, tapi dr asri setuju dengan syarat.pada saya isu tauhid ni tak payah nak bagi kelonggaran dan bersyarat-syarat, sebab kita dah tahu sejak zaman nabi pun mereka berbohong pasal agama. apatah lagi zaman kita ini.

pokok tumbang said...

SYABAASSS ARYNA DAN USTAZ ZAMIHAN...

TERIMA KASIH KERNA BERNAI MEMPERTAHANKAN ISLAM...

Galiduit said...

Salam ...masih terdpt golongan yg mengambil kesempatan meraih populariti diats isu ini...ulama2 kita perlu cpt duduk semeja bermuzakarah....ini melibatkan akidah dan masyarakat umum islam...perlu diingat..islam perlu dibela selari dgn perkembangan masa.."bukankah nabi muhammad s.a.w sendiri pernah berkata ketika khutbah wida'nya..dimana umatnya yg tiada ketika itu diharapkan menjadi lebih baik dr yang berada ketika itu..."...kami org kg hanya menunggu semboyan jihad di laung.....amin...

Hamba Allah. said...

Satu penjelasan yang amat baik untuk dikongsi bersama dalam blog ini.Pujian juga untuk Dato'Haroon Din kerana mendahulukan kepentingan agama lebih daripada partinya.Namun kenyataan Dato'Haroon Din dibidas oleh Dr Asri utk mencari populariti.Parti yg berjenama Islam juga dilihat seakan-akan bersekongkol dgn. golongan Kristian.Mereka tidak melihat implikasi buruknya nanti jika kalimah Allah ini digunakan oleh golongan Kristian.Mana mungkin mereka tidak akan menyelewengkan kalimah tersebut sedangkan usaha mereka untuk memurtadkan umat Islam sudah lama dilakukan dengan berbagai cara.Apabila sudah ramai yg dimurtadkan nanti dengan bermodalkan kalimah Allah ini, maka Dr.Asri dan parti yg berjenama Islam akan mula nak menyalahkan jabatan agama seperti JAKIM,JAIS,JAWI,JAIP dan lain-lain.Maka dengan itu pencegahan perlu dilakukan sebelum ianya menjadi parah.Nampaknya golongan Wahabi dilihat begitu berlembut dengan orang kafir tetapi bersikap keras dengan menentang amalan-amalan baik umat Islam.

gagasan_warisan said...

Bekas mufti tu mengarut.....dan puak politik hijau putih banyak yang tak berani membantah sebab takut hilang undi kot.

Prof Dr Haron Din jerk yang cakap direct....yang lain2 banyak ding dong....

Ibnu Muslim said...

Dulu lagi ana dah kata kaedah Wahabi ghulul ni kelam kabut & porak porandakan umat Islam (lembut kat Kafir keras pulak kat umat Islam yg tak selari)tapi ana pula kena maki oleh golongan mereka sedang kenyataannya memang dah terang lagi bersuluh, pandangan mereka salah & membahayakan.
Mengikut ASWJ, golongan Islam fasik atau jelas bidaahnya (asal tidak berkaitan aqidah) pun darjatnya melebihi orang kafir zimmi, maka bagaimana mungkin kita boleh lebih berlembut dengan orang kafir dari orang Asyairah contohnya?
Bukan ke dah kelam kabut agama jadinye?

PakLongChup said...

Kita wajib tentang habis-habisan agar kalimah Allah tidak digunakan oleh golongan kuffar itu, biarpun pemimpin PAS dan PKR menyokong keputusan mahkamah demi survival politik mereka..orang Melayu Islam jgn fikir pasal politik lagi...mesti tentang...kalau mereka berjaya...bahaya menanti generasi kita akan datang...PAS kata boleh digunakan nama ALlah dgn cara terkawal...siapa nak kawal? Mampu ker jabatan ugama yang kuasa mereka agak terhad nak kawal...sedangkan golongan kristian mempuanyai begitu ramai loyar2 yang pandai berhujah di mahkamah!

akitiano said...

Saya heran dengan puak2 yang mereka sebut pro tajdid konon..mereka selalu menyerukan bahwa "ini urusan akidah...jangan main-main"..."dalam akidah kita kene tegas...ini bukan Feqah yang luas"...or lebih terkenal lagi "Tegas dalam akidah, luas dalam feqah"...

Mengapa mereka justru dalam masalah kalimah Allah ini yang "seumpama dibenarkan kristen menggunakannya" berdampak kepada kristenisasi dan pemurtadan yang sulit utk dibendung...

Kalau masih teori so what, tapi masalahnya bukti nyata sudah ada...coba lihat di Indonesia yang mana banyak ulama yang Alim-Alim sekalipun...tapi pemurtadan terjadi dimana2...Semisal di Kediri, Jawa Timur yang merupakan Basis Pesantren dan Ulama..justru di Sini murtad paling banyak...

Menurut pengamatan Kyai2 di Kediri, masalah dia simple, banyak orang awam sulit membezakan antara Islam dan Kristen...sebab bagi mereka ia adalah sama. Padahal Kyai2 telah berusaha kuat utk membuktikan bahwa Ia adalah beza!! Inilah akibat dari pengklabuan dari kristen diizini...malah yang menarik (menurut salah satu dari hakim Pengadilan Agama Kota Kediri), bahwa seumpama saja Indonesia yang mengikuti Malaysia dalam membendung kristenisasi, maka Insya Allah Kediri akan aman dari isu murtad...So apakah pro tajdid masih nak buat retorik2 tanpa melihat maslahat dan mudarat? Padahal hifz al-Din itu adalah termasuk dari Dlaruri..cuba guna Usul Fiqh!!! Dan Ijtihad lah!! jangan hanya cuma Claim...

hamba said...

Salam terima kasih atas perkongsian...

cukuplah ayat ini saja bagi mereka yang bersungguh-sungguh menyokong penggunaan kalimah Allah oleh pihak Krisian

88) Dan mereka yang kafir berkata:(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak. 89) Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! 90) Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap. 91) Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak.(Surah Maryam)

kalau bumi, gunung ganang dan langit hampir2 pecah hancur mendengarkan ucapan dusta mereka...

bagaimana kita muslim begitu tega menyokong??

cjb said...

menentang habis-habisan mcmn tu? bakar gereja ker?

Eden said...

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarokatuh,

Saya menyokong Ustaz dalam hal ini. Teruskan perjuangan membela aqidah yang benar mengikut ASWJ.

Disini saya ingin berkongsi cerita dengan Ustaz. Sebenarnya saya ingat nak simpan saja cerita ini, sebab saya ianya melibatkan rakan saya dan saya anggap ianya kes terpencil (saya fikir rakan saya seorang itu saja yg macam tu).

Tetapi selepas saya mendengar audio taklimat Kalimah Allah dari Dr Harun Din (Darul Syifa realplayer). Dan beliau menceritakan pengalamannya seorang perempuan yang bertanya di satu airport, adakah Allah ini besar atau kecil. Saya teringat semula kes rakan saya ini dan terfikir takut2 dia bukanlah sample yang terpencil.

Rakan saya ini mempunyai background sebagai seorang yang bersekolah agama dan pernah belajar bahasa arab. Dia menyatakan kepada saya lebih mudah baginya untuk mempercayai tauhid 3 serangkai. Kerana baginya tiada istilah mustahil bagi Allah. Sebab kalau kita kata begitu, kita dah terperangkap dalam helah kristian yang hendakkan kita mengatakan adanya mustahil bagi Allah. Oleh itu dengan berpegang kepada tauhid 3 serangkai ianya mudah, maka kalau Allah hendak merubah rupanya menjadi makhluk pun boleh sebab ianya tidak mustahil. (Kalau mcm ni tak heranlah dajal nanti keluar ramai orang membenarkan dia)

Saya fikir mungkin rakan saya itu berfikiran yg dia mesti anti falsafah, dgn itu dia mesti menyanggah hukum akal diklasifikasikan kepada wajib, harus dan mustahil itu. Entah2 berapa banyak sample2 pelik dari kalangan orang2 Islam ini. Buat pengetahuan Ustaz, rakan saya ni terpengaruh dengan ajaran Dr Asri melalui internet. Tetapi tidaklah saya nak menuduh Dr Asri ajar dia jadi macam tu, mungkin rakan saya yang salah faham. Cuma saya gagal mendapat sebarang rujukan berkaitan dengan akidah yang keluar dari Dr Asri sendiri, even dari websitenya itu. Adakah sesiapa boleh tolong saya dalam hal ini.

Ps: tag akidah dlm website Dr Asri tu tak menceritakan tentang akidah sangat pun.

shameel Iskandar said...

salam.tentang pengunaan nama Allah, PAS mengeluarkan kenyataan ia harus pada dasarnya utk dipakai oleh pnganut agamasamawi tp disebabkan keadaan yg 'aak parah'di Malaysia maka amat tidak wajar kalimah Allah digunakan oleh org kristian( termsuk bukan islam yg lain)

maaf jka pandangan saya silap. harap para sahabat yg lebih alim dpt mmebetulkan.

http://ulamak.pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29:tidak-salah-penganut-kristian-guna-kalimah-allah--dewan-ulamak-pas-pusat&catid=24:kenytaan-rasmi&Itemid=19

shameel Iskandar said...

Harap, dapat diberi pencerahan ttg kenyatan Dedwan ulama PAS ini


http://ulamak.pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29:tidak-salah-penganut-kristian-guna-kalimah-allah--dewan-ulamak-pas-pusat&catid=24:kenytaan-rasmi&Itemid=19

muhidzir said...

salam pada ustaz dan keluarga, moga dilindungi dan dirahmati allah hendaknya....ya ustaz saya ucapkan terima kasih yang tak terhingga atas tunjuk ajar uztaz pada kami semua tentang cara sembahyang yang tertib dan telah membetulkan perkara yang selama ini adalah salah.saya akan terus menyokong ustaz moga allah sentiasa merahmati dan ustaz sekeluarga dalam perlindunganya.amin.
ikhlas
dp saya muhidzir bin ali@ujang shah alam.

Visit Bil.