Saturday, April 30, 2011

Kehebatan Ulamak Muda Al Azhar



Alhamdulillah, seusai majlis bacaan hadis kitab Sunan at-Tirmizi pada Selasa lalu, [26 April], sempat duduk bersama Syaikhuna al-Allamah al-Muhaddis Dr Usamah al-Azhari hafizohullah untuk mendengar beliau menjawab persoalan dari anak-anak muridnya. Berbagai cerita menarik yang diceritakannya, pengalamannya di luar negara menghadiri muktamar, disamping berjumpa dengan ulama'-ulama' untuk menuntut sanad riwayat hadis dan macam-macam lagi. Beliau menceritakan pengalamannya di Dimasyq untuk menghadiri satu majlis di rumah al-Allamah Syaikh Sa'ied Ramadhon al-Bouti hafizohullah, hampir tujuh jam beliau berada di sana. Setelah majlis berakhir, beliau meminta izin dari Syaikh al-Bouti untuk pulang ke Kaherah, lantas Syaikh al-Bouti terkejut kerana beliau datang dari Kaherah semata-mata untuk menghadiri majlis tersebut tidak lainnya. Kagum dengan semangat ulama' muda ini, Syaikh al-Bouti mendoakan semoga beliau dapat mengembalikan kegemilangan al-Azhar seperti dahulu.

Ada satu kisah yang mencuit hati kami apabila beliau meniru suara seorang ulama' Yaman semasa beliau pergi ke Yaman baru-baru ini dan sempat membacakan beberapa hadis dari Sohih al-Bukhari dengan ulama tersebut. Berada bersama kami seorang ulama muda Yaman yang berasal dari Hadhramaut, dan beliau ketawa mendengar Syaikh Usamah meniru suara ulama' tersebut. Syaikh Usamah bertanya kenapa ketawa, beliau mengatakan suara tersebut sama dan saling tak tumpah. Banyak lagi kisah menarik dari beliau yang tidak mampu untuk jari ini menaipnya.

Tanpa disangka, semasa rancak menjawab persoalan, seorang hamba Allah turut melontarkan persoalan. Dia menanyakan peranan al-Azhar selepas revolusi 25 Januari dan selepas 'kebangkitan puak wahabi sejak akhir-akhir ini' (kami yakin bahawa dia terkeliru dengan manhaj yang dibawa oleh al-Azhar dan puak Wahabi). Sebelum menjawab persoalannya, Syaikh Usamah meminta supaya dimatikan perakam suara (sayang sungguh tidak dapat untuk merakamnya). Maka terjadilah debat diantara Syaikh Usamah dengannya. Si hamba Allah ni membandingkan keilmuwan Syaikh Albani (semoga Allah merahmatinya) dan seorang pemuka wahabi di Mesir al-Huwaini yang mengaku sebagai anak murid yang pernah berguru dengan albani yang katanya 'hebat' dalam ilmu hadis dengan ulama' al-Azhar yang seolah-olah tidak ada peranan.

Syaikh Usamah memulakan bicara dengan membandingkan mereka (Syaikh ALbani & al-Huwaini dengan al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah. Bagaimana al-Imam belajar dengan gurunya al-Imam as-Sakhaawi rahimahullah hampir sepuluh tahun lamanya dan sepanjang tempoh tersebut al-Imam Ibnu Hajar tidak pernah menulis kitab apatah lagi mengeluarkan fatwa. Syaikh Usamah menerangkan siapa al-Imam Ibnu Hajar secara sepintas lalu. Kemudian beliau menceritakan siapa pula Albani. Bagaimana beliau belajar, kisah hidupnya yang bekerja di kedai jam dan lain-lainnya. Anehnya beliau hanya berguru dengan membaca kitab (jika ada sesiapa yang membaca artikel ni boleh datangkan dengan siapa Syaikh Albani belajar serta sanad-sanadnya, boleh datangkan) dan hanya setahun dua membaca kitab sudah mula menghukum akan kesahihan sesebuah hadis dengan mudah tanpa mempelajari ilmu yang berkaitan dengan hadis seperti al-Jarh wa at-Ta'dil (suatu ilmu yang membicarakan mengenai perawi-perawi hadis) dan lain-lain lagi.

Syaikh Usamah menerangkan beliau tidak membuang masa berdebat dengan puak-puak wahabi, sebaliknya beliau membetulkan pemikiran masyarakat dari terpengaruh dengan fahaman wahabi yang mengelirukan dengan ilmu. Antaranya, beliau memulakan bacaan hadis di Masjid al-Azhar yang dimulakan dengan kitab Syama'il al-Muhammadiyyah dan diikuti dengan kitab Sunan at-Tirmizi. Semasa rakaman syarahan kitab Riyadhus Solihin yang disiarkan di sebuah TV Satelit, Syaikh Usamah banyak menerangkan manhaj al-Imam an-Nawawi semasa berhadapan dengan serangan tentera Tatar ketika itu yang menyerang kota Baghdad dan selamat darinya dan membandingkan dengan keadaan masyarakat sekarang pasca revolusi 25 Januari. al-Imam hanya menyibukkan diri dengan ilmu, baik dengan belajar ataupun menulis kitab sehinggalah terhasilnya kitab Riyadhus Solihin.

Hampir satu jam lebih perdebatan @ perbincangan ilmiah tersebut berlaku. Sepanjang perdebatan tersebut Syaikh Usamah amat menjaga adab-adab berdebat, antaranya mendengar hamba Allah tersebut berhujah sehingga habis serta tidak menyampuk, tidak meninggikan suara memaki hamun. Selepas itu beliau menghadiahkan buku mengenai manhaj al-Azhar karangannya kepada hamba Allah tersebut dan sahabatnya.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada beliau untuk berkhidmat mencurahkan ilmu dan mengembalikan kegemilangan al-Azhar. Ameen ya Rabb.

قال العلامة المحدث الحافظ الشيخ عَيدروس بن عمر الحَبشيّ العلوي الحَضرمي رحمه الله

قال بعض مشايخنا : ومن مَنَّ الله عليه بشيء من ذلك - أي الأخذِ عن الشيوخ والتلقي والتعلم منهم -, فعليه الشكر بذكر مشايخه ونشر فضائلهم, وإشاعة فوائدهم, والدعاء ......لهم, والترضي عنهم, فإن ذلك من أهم المهمات, فالشيخ يُنيل الطالبَ ما يورثه سعادة الأبد, فوق ما أناله والده, فتكون حرمته كحرمة الوالد بل أعظم, فحقه متأكد, ونفعه فى الآخرة متأبِّد, وبِرُّه أولى وأتم, وحقوقه أشد وأعظم, فينبغي الإحترام والتعظيم له ولكل ما ينسب إليه, وأن يتخلق معه بالآدب التى ذكرها العلمأ
 Sumber  : http://www.facebook.com/notes.php#!/note.php?note_id=210660825625535

Wednesday, April 27, 2011

Khutbah Syeikh Abdurrahman Sudais - Maulid Adalah Bid'ah Sesat


Khutbah Syeikh Abdurrahman as Sudais menghukum sesat (bid'ah bagi Wahhabi adalah sesat dan MASUK NERAKA) kepada Umat Islam yang menyambut Maulidul Rasul.

Ada yang bertanya apakah dalil dari al Quran dan Sunnah tentang sambutan maulidul Rasul.

Jawapan :



1. Dalil-dalil umum dari Al Quran yang dijadikan hujjah oleh Ulamak yang membenarkan :

فَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِهِۦ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَٱتَّبَعُواْ ٱلنُّورَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ مَعَهُ ۥۤ‌ۙ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (١٥٧)


Maka orang-orang yang beriman kepadanya (Muhammad), dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.
(Surah al A’raf 157)

Di dalam ayat ini dengan tegas menyatakan bahawa orang yang memuliakan RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallam adalah orang yang beruntung. Merayakan maulid Nabi termasuk dalam rangka memuliakannya.

ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَيۡتُمُ ٱلزَّڪَوٰةَ وَءَامَنتُم بِرُسُلِى وَعَزَّرۡتُمُوهُمۡ وَأَقۡرَضۡتُمُ ٱللَّهَ قَرۡضًا حَسَنً۬ا لَّأُڪَفِّرَنَّ عَنكُمۡ سَيِّـَٔاتِكُمۡ وَلَأُدۡخِلَنَّڪُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ‌ۚ


Bahawa Aku adalah berserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanKu) dan kamu muliakan mereka dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalanNya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.
(Surah al Ma’idah ayat 12)

Erti “azzartumuhum” ialah “memuliakan mereka” (Tafsir Tabari, juz VI halaman 151) Orang yang memuliakan Nabi akan dimasukkan ke dalam syurga. Dan menyambut Maulid Nabi adalah dalam rangka memuliakan Nabi.

2. Di kala ramai orang yang kini semakin jauh dari perasaan cinta kepada baginda, maka di waktu inilah perlunya program-program yang menganjurkan cinta kepada Rasulullah. Bukankah rasuluLlah bersabda yang bererti :

"Belum sempurna iman seseorang dari kamu. kecuali aku lebih dikasihinya berbanding dengan keluarganya, dan hartanya dan manusia keseluruhannya."
(Riwayat Muslim juz 11, hlm 15)

Saidina Umar radiyaLlahu ‘anhu berkata kepada Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam :
“Engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri”. Baginda sallaLlahu ‘alaihi wasallam berkata : “Tidak, wahai Umar. Sampai aku lebih kamu cintai daripada dirimu sendiri.” Saidina Umar radiyaLlahu ‘anhu berkata, “Demi Allah subahanahu wa ta’ala, engkau sekarang lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” Baginda sallaLlahu ‘alaihi wasallam berkata, “Sekarang wahai Umar.”
(Hadith Riwayat Bukhari, Sohih Bukhari, vol 6 hlmn 2445)

3. Maulidul Rasul itu tidak pernah dibuat oleh RasuluLLah dan ia bid'ah sesat ?

Ada dalil umum bagaimana RasuluLlah sendiri pernah menyebut mengenai hari-hari kebesaran contohnya :


Bahawasanya Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam datang ke Madinah, maka Baginda sallaLLahu ‘alaihi wasallam mendapati di situ orang-orang Yahudi berpuasa pada Hari Asyura iaitu hari 10 Muharram, maka Nabi bertanya kepada orang Yahudi itu: Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura ?

Jawab mereka : ini adalah hari peringatan, pada hari serupa itu dikaramkan Fir’aun dan pada hari itu Musa dibebaskan, kami puasa kerana bersyukur kepada Tuhan. Maka RasuluLlah bersabda : Kami lebih patut menghormati Musa dibanding kamu”
(Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Banyak sebenarnya perkara yang tidak pernah dibuat oleh RasuluLlah tetapi dilakukan oleh sahabat dan para salafussoleh melalui ijtihad mereka dalam perkara ibadah contoh yang senaraikan oleh bekas Mufti Iraq iaitu Sheikh Abdul Malik Abdul Rahman as Sa’adi :

1. Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam pernah menyamakan (qiyas) hukum menunaikan haji dan berpuasa untuk seorang yang telah mati dengan hutang terhadap hamba ALlah yang ia wajib tunaikan. (Fath al Bari, jld 4, m.s 64)

Walaupun ini tidak dianggap hukum yang telah ditetapkan oleh qiyas tetapi dengan nas, kerana RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam diberi kebenaran untuk mengeluarkan hukum, tetapi ini sebenarnya baginda telah membuka satu peluang atau laluan atau pintu kepada umatnya secara umum akan keharusan menggunakan qiyas. Terutama di dalam persoalan ibadah khusus kerana haji dan puasa adalah di antara bentuk ibadah.

2. Saidina Umar berpendapat bahawa tidak batal puasa seseorang yang berkucup dengan isterinya, kerana mengqiyaskan dengan berkumur-kumur ketika berpuasa. (Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dan al Baihaqi).

3. Dalam menetapkan satu miqad baru iaitu Zatu Irq bagi jemaah Haji atau Umrah yang datang dari sebelah Iraq, Saidina Umar mengqiyaskannya dengan tempat yang setentang dengannya iaitu Qarn al Manazil. Sedangkan RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam hanya menetapkan empat tempat sahaja sebagai miqat tetapi Saidina Umar menambah satu lagi iaitu Zatu Irq (menjadi lima). (Lihat al Mughni, jld 3, m.s 3 258 dan Fath al Bari m.s 389)

4. Saidina Uthman mewujudkan azan dua kali (pertama dan kedua) pada hari Jumaat diqiyaskan dengan azan 2 kali pada solat subuh dengan alasan bahawa azan yang pertama pada Solat Subuh disyariatkan pada zaman RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam untuk mengejutkan mereka yang sedang tidur, maka begitu juga azan yang pertama pada solat Jumaat untuk mengingatkan mereka yang sedang sibuk berniaga di pasar dan yang bekerja (Nailul al Authar : 3/322)

5. Jumhur ulama mengharuskan dua solat sunat yang bersebab pada waktu yang makruh diqiyaskan dengan solat sunat selepas Zohor yang diqadha' oleh RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam selepas Solat Asar ( Lihat al Nawawi, Syarah sahih Muslim: 6/111)

6. Sebilangan besar pada ulama berpendapat, menyapu tangan sampai ke siku ketika tayammum adalah wajib diqiyaskan dengan membasuh kedua tangan ketika berwudhuk. (Lihat Mughni al Muhtaj:1/99 dan al Mughni: 1/204)

7. Bagi ulama yang berpendapat bahawa solat sunat sebelum Solat Jumaat adalah sunat muakkad mengqiyaskan dengan solat sunat sebelum Zohor. Manakala sebilangan ulama lain di antaranya Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim berpendapat bahaya ia adalah sunat (sunat mutlak bukannya sunat muakkad) mengqiyaskannya dengan solat sunat hari raya yang tidak ada solat sunat (muakkad) sebelum solat tersebut. ((Al Fatawa: 24/194)

8. Sesetengah ulama bermazhab Hanafi mengqiyaskan air yang banyak yang tidak terjejas apabila jatuh najis ke dalamnya dengan air laut dari segi banyaknya. (al Mushili, al Ikhtiyar: 1/14)

9. Para ulama bermazhab Hambali mengharuskan ganti dengan memberi makanan sebagai kaffarat bunuh (yang tidak sengaja), kerana mengqiyaskannya dengan kaffarat zihar dan kaffarat jimak pada siang hari Ramadhan (Al Mughni: 8/97)

10. Menurut Imam Ahmad dalam satu riwayat daripadanya, dibasuh setiap benda yang terkena najis sebanyak tujuh kali, salah satunya dengan air tanah, kerana beliau mengqiyaskannya dengan sesuatu yang terkena najis anjing atau babi (Al Mughni: 1/54-55)

11. Menurut Imam Ahmad dalam salah satu pendapatnya, diwajibkan berdiri sekadar yang termampu bagi sesiapa yang tidak mampu berdiri dengan sempurna ketika solat samada kerana ketakutan atau kerana atap hendak roboh diqiyaskan dengan hukum berdiri seorang yang bongkok. (Al Mughni: 2/144)

12. Imam Malik berpendapat, diharuskan melewatkan solat bagi mereka yang ketiadaan air diqiyaskan dengan seorang perempuan yang kedatangan haid yang diharuskan melewatkan solatnya (al Mughni: 1/250)

13. Imam Abu Hanifah dan Imam asy Syafie berpendapat, sah tayammum bagi seorang yang berhadas besar dengan niat mengangkat hadas kecil diqiyaskan dengan sahnya wudhuk selepas membuang air kecil atau besar (walaupun tanpa niat untuk mengerjakan solat). (Al Mughni: 1/267)

14. Imam Malik membolehkan qadha' solat malam yang terluput, iaitu dikerjakannya selepas terbit fajar sebelum solat Subuh diqiyaskan dengan solat witir. Tetapi ini adalah salah satu pendapat Imam Malik berhubung dengan masalah ini. (al Mughni:2/120)

15. Imam Abu Hanifah, Ath Thauri dan Al Auza'ie membolehkan lewat solat bagi mereka yang tidak menemui air dan tanah sehinggalah menemuinya, kemudian mengqadha'nya diqiyaskan dengan melewatkan puasa bagi wanita yang kedatangan haid (Al Mughni: 1/267)

Ini hanya sebahagian kecil daripada sebilangan besar persoalan ibadah yang dikeluarkan hukumnya berdasarkan kaedah qiyas. Qiyas ini adalah ijtihad dan pandangan. Oleh itu, sesiapa yang melarang menggunakan qiyas di dalam ibadah secara mutlaq, maka pendapatnya tidak dapat diterima sebagaimana yang dinyatakan tadi.

Ibnu Umar radiyaLlahu anhu berpendapat, solat Sunah Dhuha tidak digalakkan di dalam syariat Islam melainkan bagi mereka yang tiba dalam permusafiran. Beliau hanya mengerjakannya ketika tiba di Masjid Quba. Ini diriwayatkan oleh Al Bukhari daripada Mauriq katanya :
"Aku pernah bertanya kepada Ibnu Umar RadiyaLlahu 'anhu." Adakah kamu bersolat Dhuha? Beliau menjawab "Tidak", Aku bertanya lagi "Adakah Umar mengerjakannya?" Beliau menjawab "Tidak". Aku bertanya lagi " Abu Bakar?" Jawabnya: "Tidak" Aku bertanya lagi: "RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam?" Jawabnya "Aku tidak pasti".

Menurut al Hafiz Ibnu Hajar al Asqolani:

"Sebab tawaqqufnya Ibnu Umar pada masalah itu kerana beliau pernah mendengar daripada orang lain bahawa RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam pernah mengerjakannya tetapi beliau tidak begitu mempercayai perkara itu daripada seorang yang menyebut kepadanya.".

Maka, beliau menganggap solat Dhuha adalah di antara bid'ah yang baik sepertimana yang diriwayatkan oleh Mujahid daripada beliau (Ibnu Umar).

Menurut Al A'raj:

“Aku pernah bertanya Ibnu Umar berkenaan Solat Sunah Dhuha? Beliau menjawab: “Ia adalah bid’ah dan sebaik-baik bid’ah”

. (Fath al Bari: 3/52)

Sepertimana yang telah dinyatakan daripada Ibnu Umar tadi, membuktikan bahawa perkara-perkara yang baharu diwujudkan dalam ibadah memang berlaku dan diakui oleh pada sahabat RadiyaLlahu ‘anhum sendiri.

4. Adakah contoh para salafussoleh yang menyambut maulidul Rasul ?

Prof Dr Ali Jum’ah iaitu Mufti Mesir menjawab begini :
Telah menjadi kebolehan (keharusan) dan tradisi di kalangan salafussoleh sejak abad ke 4 dan ke 5 merayakan peringatan maulid nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam yang agung. Mereka menghidupkan malam maulid dengan pelbagai ketaatan dan ibadah pendekatan kepada Allah seperti memberi makan fakir miskin, membaca al Quran, berzikir, melantunkan puisi-puisi dan puji-pujian tentang rasuluLlah. Hal ini ditegaskan oleh sebilangan ulama seperti : Al Hafizh Ibnu Jauzi, Al Hafizh Ibnu Katsir, Al Hafizh Ibnu Dihyah, al Hafizh Al Hebatusi, Al Hafizh Ibnu Hajar dan Penutup Huffazh (para penghafaz hadith dalam jumlah yang sangat banyak) Jalaluddin Al Suyuthi.

5. Ulamak lain yang membenarkan ?

Dalam kitab al Madkhal, Ibnu Hajj menjelaskan dengan panjang lebar tentang keutamaan yang berkaitan dengan perayaan ini dan dia mengemukakan huraian penuh manfaat yang membuat lapang hati orang yang beriman.

Imam Jalaluddin al Suyuthi dalam bukunya ‘Husnul Maqshid fi Amalil Maulid’ memberikan penjelasan tentang Maulid Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam :

Menurutku, bahawa hukum dasar kegiatan maulid yang berupa berkumpulnya orang-orang yang banyak, membaca beberapa ayat-ayat al Quran, menyampaikan khabar-khabar yang diriwayatkan tentang awal perjalanan hidup Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam dan tanda-tanda kebesaran yang terjadi pada waktu kelahiran Baginda, kemudian dihidangkan makanan untuk mereka dan emreka pun makan bersama, lalu mereka pun berangkat pulang, tanpa ada tambahan kegiatan lain. Adalah termasuk bid’ah hasanah dan diberikan pahala bagi orang yang melakukannya. Imam para hafizh Abu Fadhl Ibnu Hajar telah menjelaskan dasar hukumnya sunnah.

Imam Abu Syamah berkata :
Suatu hal yang baik ialah apa yang dibuat pada tiap-tiap tahun bersetuju dengan hari maulud Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam memberi sedekah, membuat kebajikan, maka hal itu selain berbuat baik bagi fakir miskin, juga mengingatkan kita untuk mengasihi junjungan kita Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam membesarkan beliau, dan syukur kepada Tuhan atas kurniaanNya, yang telah mengirim seorang Rasul yang dirasulkan untuk kebahagiaan seluruh makhluk
(I’anatut Tholibin, juzu’ III, halaman 364) – Imam Abu Syamah adalah seorang ulamak besar Mazhab Syafie dan merupakan guru kepada Imam An Nawawi.

Ya Allah jadikanlah kami senantiasa menyintai Nabi Muhammad sallaLLahu ‘alaihi wasallam
Sumber rujukan : 

1. Prof Dr Ali Jum’ah, Penjelasan Terhadap Masalah-masalah KhilafiahAl Bayan – Al Qawin li Tashbih Ba’dhi al Mafahim, .2008, Penerbitan Dar Hakamah, Selangor

2. K.H Sirajuddin Abbas, 40 Masalah Agama, Pustaka Aman Press, Kelantan, Malaysia

3. As Shiekh al Hafiz Abu al Fadl AbduLlah al Siddiq al Ghumari, Makna Sebenar Bid'ah Satu Penjelasan Rapi, Cetakan 2007, Middle East Global (M) Sdn. Bhd, Selangor.

4. Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, Salah Faham Terhadap Bid'ah, al Bid'ah fi al mafhum al islami ad daqiq, Darul Nu'man, 2002, Kuala Lumpur


p/s : Adakah ulamak-ulamak muktabar di atas adalah SESAT kerana membenarkan sambutan Maulidul Rasul sebagaimana dakwaan Imam Mekah ini ? Dan majoriti Umat Islam yang menyambut Maulidul Rasul masuk neraka sebelum Allah memberikan keputusanNya (sebagaimana yang difahami oleh Wahhabi) ? 


Tuesday, April 26, 2011

Syeikh AbdulRahman Sudais Bukanlah Seorang yang Maksum Dan Tidak Boleh Dikritik



Sesiapa sahaja boleh mengkritik dan dikritik kecuali para Nabi dan Rasul yang diberikan ismah (kemaksuman) oleh Allah SWT. Kritikan beradab adalah amalan sihat dan digalakkan dalam Islam kerana ia boleh dijadikan mekanisme penentuan baik-buruk atau benar salah sesuatu perkara. Ia juga digunakan sebagai instrumen penambahbaikan bagi seseorang. Justeru kita melihat sesiapa sahaja yang berharta, berkuasa atau bertahta tidak sunyi dari kritikan. termasuklah kritikan saya terhadap Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Aziz As-Sudais yg memegang jawatan Imam Besar dan Khatib Masjid Haram di Mekah al-Mukarramah. Beliau seorang tokoh yang seringkali mengkritik ulamak sunni, kerajaan saudi dan umat Islam...tentunya tidak terlepas dari kritikan.

Saya tidak kisah jika beliau hadir ke Malaysia membicarakan tentang dakwah, pembangunan modal insan dan ketamadunan Islam. Malah saya menyanjunginya atas usaha dakwah, nasihat dan bimbingan berkenaan. Jazakumullah khayran ya Syeikh.

Namun jika beliau hadir dalam Seminar Berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah di Royal Chulan hotel pada 22-24hb April lalu bertujuan memberi sokongan dan kredit kepada speaker-speaker berfahaman Wahhabiy dan menyokong dakwah Wahhabiy ia adalah sesuatu yang tidak wajar dilakukan. Ini kerana :

1) Fahaman Wahhabiy tidak diterima pakai di negara ini.

2) Fahaman Wahhabiy bukanlah satu mazhab yang setaraf dengan mazhab muktabar Ahli Sunnah Wal Jamaah.

3) Metodologi Fahaman Wahhabiy sering bertentangan dengan Fatwa dan metodologi pengurusan Islam di negara ini.

4) Sering menimbulkan kerancuan terhadap umat Islam dengan isu remeh (khilafiyyah).

Tambahan pula, beliau merupakan tetamu kerajaan dan tidak wajar jika ingin bersikap campur tangan dalam urusan hal ehwal Islam negara kita. Apatah lagi menghadirkan diri ke seminar yang dianjurkan tanpa permit dari Jabatan Agama dan pihak keselamatan negara kita.

Saya pun hairan mengapa JAWI tidak mengambil tindakan pada Seminar yang dianjurkan tanpa permit dan tauliah berceramah. Dan Saya yakin bahawa kebanyakkan speaker yang bercakap (samada penceramah tempatan, Thailand dan Arab Saudi) tidak ada tauliah berceramah. Ia berbeza dengan JAIS. dan saya difahamkan sebelum ini penganjur bercadang untuk mengadakan seminar di De Palma, Ampang. Namun, atas arahan Tuanku Sultan Selangor, seminar tersebut terpaksa dialih ke Royal Chulan Hotel. Mungkin area Kuala Lumpur lebih 'selamat' berbanding Selangor. Memang pelik jika ada peruntukan undang-undang dan aduan..tetapi tidak ada penguatkuasaan terhadapnya.

Berbalik kepada isu Syeikh al-Sudais. Secara peribadi saya katakan bahawa beliau salah seorang Syeikh Salafi yang bercakap tidak serupa bikin. Semasa dia di Malaysia di ceramah-cerahamnya & khutbah di Masjid Wilayah, beliau berkata :

kita tidak boleh melampau dalam menghukum, jgn membawa perkara yg memecah belah ummat & bersatulah. 

Tetapi dalam masa yang sama beliau juga yang bersifat melampau dalam menghukum. Buktinya :

1- Syeikh As-Sudais menghukum secara melampau kononnya AMALAN MAULID RASUL sebagai amalan yang SALAH. Bahkan menganggap sambutan MaulidurRasul sebagai BID'AH yang SESAT. Dan sesiapa yg menyambutnya dikira SESAT. Beliau juga secara terang-terangan menyatakan amalan sambutan Maulid itu adalah perbuatan MUNGKAR dan perlu dicegah. Tidak cukup dengan itu, beliau secara tegas mendakwa sambutan maulidRasul adalah AMALAN SERUPA AHLI KITAB DAN SERUPA GOLONGAN KAFIR. Subhanallah.

Tidak cukup dengan dakwaan di atas, beliau secara keras mendakwa TIDAK SAH IMAN (JADI KAFIR) SESIAPA YG BUAT BID'AH INI & MAULID. La haula wala quwwata illa billah. Bukankah ini dari jalur fahaman ekstrem? Dan apakah fahaman jenis ini tidak boleh dikritik memandangkan beliau tetamu Kerajaan dan berjawatan Imam Besar Masjidil Haram. Dan apa pula kesannya kepada umat Islam sedunia yang menyambut MaulidRasul saban tahun? Dan bagaimana pula dengan pemerintah kita yang menyambutnya? Bukankah beratus dan beribu ulamak sunni mengharuskan kita menyambut maulidRasul? Apakah jenis fahaman beliau? Sesuaiakah fahaman jenis ini disampaikan di negara kita?

Justeru, tidak hairan jika beliau hadir ke seminar untuk bersama-sama dengan orang yang se pemikiran dengannya. Jika tidak, untuk apa belia hadir ke seminar berkenaan dan turut menyampaikan kata-kata aluan.

Semua kenyataan dan ucapan di atas boleh didapati secara jelas dalam Khutbahnya sendiri yg disampaikan utk semua umat Islam ketika beliau berkhutbah di Mekah al-Mukarramah. Berikut merupakan link&download rakaman khutbah Syeikh al-Sudais..Sila dengar baik2 dan faham betul2 :


http://audio.islamweb.net/audio/downloadmp3_.php?audioid=28232

Manakala teks khutbah itu telah dicatat dan boleh didapati disini : http://iman.hooxs.com/t105-topic

Imam al-Sudais juga mendakwa bid'ah lagi sesat jika kita menyambut Israk dan Mikraj. Isu ini boleh didapati pada teks khutbahnya yg diletakkan dlm laman webnya sendiri:

- http://www.alsudays.com/articles.php?action=show&id=34

Imam As-Sudais juga mendakwa Org Kafir Quraish lebih memahami makna Tauhid Dua Kalimah Syahadah daripada orang Islam yang meminta pada org lain (maksud dia sudah pasti yg bertawassul itu syirik) . Isu ini boleh didapati di webnya sendiri : http://www.alsudays.com/articles.php?action=show&id=50

Sebenarnya, banyak lagi pendapat-pendapat yang pelik yang ditimbulkan beliau. nantikan pendedahan kami. Disebalik semua ini timbul persoalan : Apakah seseorang yang berilmu tidak boleh mengkritik pandangan Imam ini sedangkan beliau bukanlah seorang yang maksum.

Mengapa timbul seruan dari anak-anak Pak Wahhab yang membantah kenyataan saya. Bahkan mereka menuntut Kerajaan memecat saya semata-mata kritikan sebegini. Ternyata mereka tidak 'gentleman' dalam bicara ilmiah dan ketandusan hujjah serta begitu fanatik dengan Syeikhnya. 

Semoga Allah mengembalikan kita kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah, menjauhkan kita dari fahaman ekstrem, bersikap fanatik dan melampau batas dalam menghukum umat Islam.