Saya sedikitpun tidak terkejut dengan fatwa-fatwa songsang mereka yang berfahaman Salafiy-Wahhabiy. Memang salah satu dari doktrin Salafiy-Wahhabiy bersikap fanatic dengan hujjah mereka. Dalam masa yang sama mereka menyalahkan fahaman dan amalan orang yang tidak sehaluan dengan mereka. Metod ini telah dipergunakan zaman-berzaman oleh Muhammad bin Abdul Wahhab dan pengikutnya untuk mengkafirkan umat Islam, menyalahkan ulamak, membid'ahkan mereka dan melancarkan peperangan terhadap umat Islam atas nama jihad fi sabillillah.
Berbalik Isu Akad Nikah dalam masjid sewajarnya tak perlu diungkitkan kembali memandangkan ia masalah picisan dan telah lama diselesaikan beribu-ribu ulamak muktabar sebelum kita. Mari kita tinjau pandangan mereka dalam masalah ini satu persatu. Sekurangnya terdapat dua pandangan utama dalam membicarakan Isu Akad Nikah di Masjid. Iaitu pandangan Jumhur Ulamak (majoriti) dan pandangan peribadi Imam al-Syaukani
Pandangan Jumhur Ulamak :
Menurut Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, Jumhur Ulama mengatakan, SUNAT melakukan akad nikah di masjid (jilid 39, ms.221). Mereka terdiri daripada ulama-ulama Mazhab Syafie dan Hanafi (jilid 32, ms.6) serta Mazhab Hambali (rujuk kitab Fatawa Wa Istisyarat Mauqi' al-Islam al-Yaum, jilid 11, ms.231)
Manakala Mazhab Maliki mengatakannya HARUS sahaja, bukannya sunat (Mausu'ah Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah, jilid 32. ms.6). Mausu'ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah mencatatkan :
Terjemahan : "Berkata ulama-ulama [mazhab] Hanafi dan Syafie, disunatkan [dilakukan] akad nikah dalam masjid berdasarkan hadis "umumkan [kepada khalayak] pernikahan ini dan jadikan [urusan akad] nya dalam masjid serta pukullah kompang". Berkata ulama-ulama [mazhab] Maliki, ia (melakukan akad nikah di masjid adalah) harus".
Ulama-ulama lain yang turut mengatakan SUNAT melakukan akad nikah dalam masjid ialah Imam Ibn Taimiyyah dalam Majmu' al-Fatawa dan Imam Ibnu Qayyim dalam I'lam al-Muwaqqi'in (rujuk kitab Fatawa Wa Istisyarat Mauqi' al-Islam al-Yaum, jilid 11, ms.231).
Kesimpulannya, para ulama 4 mazhab (Syafie, Hanafi, Maliki dan Hambali) bersepakat mengatakan sunat melakukan akad nikah dalam masjid (rujuk kitab Fatawa Wa Istisyarat Mauqi' al-Islam al-Yaum, jilid 11, ms.259)
Hujjah Jumhur Ulamak :
Pertama : Hadis Tabarani adalah hadis yang hasan. (al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah, jilid 1, ms.36, al-'Ajluni dalam Kasyful Khafa', jilid 1, ms.145 dan lain-lain.)
Kedua : Akad nikah dilakukan di masjid bagi mengambil keberkatan masjid sebagai rumah Allah SWT dan aktiviti ibadah. (al-Baqarah 114)
Ketiga : Masjid adalah tempat yang diketahui ramai. Justeru, melakukan akad nikah dalam masjid akan menyebarkan berita perkahwinan. Menyebarkan berita perkahwinan pula adalah satu tuntutan syarak.
Keempat : Nikah adalah ibadat untuk tujuan iman dan taqwa. Oleh itu sunat untuk dilakukan akad dalam masjid.
Kelima : Melakukan sebarang aktiviti yang berkaitan dengan fungsi masji adalah sebahagian pengimarahan masjid (al-Taubah 18)
Keenam : Memudahkan tugas Imam untuk menjalankan urusan perkahwinan yang berbilang.
Ketujuh : Mengingatkan pasangan dan rombongan perkahwinan bahawa mereka membina ikatan perkahwinan secara mulia.(hadis sahih riwayat Ibn Khuzaimah, Kitab Solat, Bab Syahadah Bil Iman no : 1502)
Kelapan ; Mendapat pahala sampingan seperti melakukan sunat Tahiyyatul masjid, iktikaf , zikir, wirid, doa, membaca al-Qur'an dan lain-lain.
Kesembilan : Isu akad Nikah di masjid diamalkan secara mutawattir dalam dunia Islam. Tiada seorang ulamak pun bangkit membantah dan menganggap ia sebagai amalan bid'ah yang bercanggah dengan amalan Rasulillah SAW kecuali AJK Fatwa Perlis.
Pandangan Imam Syaukani
Imam Syaukani mempunyai pendapat yang berbeza dengan jumhur ulama. Bagi beliau, akad nikah TIDAK HARUS dilakukan dalam masjid.Alasannya kerana, masjid hanya dibina bagi menjadi tempat mengingati Allah dan mendirikan solat. Aktiviti selain mengingati Allah dan mendirikan solat, tidak boleh dilakukan di dalam masjid, kecuali dengan adanya dalil khusus yang mengharuskannya.Dalam kitabnya al-Sail al-Jarrar (jilid 2, ms.247-248) : "Masjid sesungguhnya dibina bagi [menjadi tempat] mengingati Allah dan [mendirikan] solat, maka TIDAK HARUS [dilakukan] di dalamnya (masjid) selain [daripada] itu, melainkan dengan [adanya] dalil yang mengkhususkan keumuman [hukum] ini, seperti permainan lembing oleh orang-orang Habsyah di masjid Nabi s.a.w sambil Baginda melihatnya dan seperti perakuan [Nabi s.a.w] kepada orang-orang yang membaca syair di dalamnya (masjid)".
Imam Syaukani tidak menerima hadis Tabarani yang menjadi dalil jumhur ulama, kerana ia adalah hadis dhaif pada penilaian beliau (rujuk Nayl al-Awtar, jilid 6, ms.211).
Kesimpulan :
1. Mazhab Jumhur Ulamak (iaitu Hanafi, Maliki, Syafi'ie, Hambali dan lain-lain bersepakat mengatakan SUNAT melakukan akad nikah di masjid.
2. Pandangan peribadi Imam al-Syaukani merupakan pandangan terpencil yang syadz kerana menyalahi jumhur ulamak. Ia bukanlah pandangan muktamad dalam penyelesaian isu ini. Oleh itu, menggunakan pandangan ini untuk menyalahkan pandangan Jumhur dikira sebagai menyanggah arus fatwa sedia ada, meragukan masyarakat dan dikira satu kesalahan.
3. Amalan melakukan akad nikah dalam masjid mempunyai sandaran dalil yang kukuh. Ia bukan bersandarkan kepada logic akal atau seputar isu pentadbiran hal ehwal masjid semata-mata.
4. Bagaimanapun, Majlis Tetap Fatwa Arab Saudi yang mengatakan melakukan akad nikah dalam masjid secara konsisten, atau beranggapan ia ada kelebihan, adalah bid'ah.(Rujuk : http://www.islam-qa.com/ar/ref/132420) adalah satu amalan dalam negara mereka. Pandangan ini bukan bersifat mutlak tetapi ada qaidnya yang tersendiri. Iaitu berbeza antara akad nikah secara konsisten ataupun tidak. Pandangan ini tidak bersesuaian untuk dipraktikkan di Malaysia memandangkan ia menjustifikasikan kesan negative (bid'ah sesat) terhadap berjuta-juta umat Islam yang telah melakukan akad nikah di Masjid dalam perkahwinan mereka sebelum ini. Apakah umat Islam boleh sesat dan bid'ah bila mengikut pandangan jumhur ulamak? Atau mereka dituduh sesat hanya berkhilaf dalam perkara furuk? Fikirkanlah.
3. Individu yang menegah akad nikah dalam masjid sebenarnya lebih mirip kepada pandangan Imam al-Syaukani. Tetapi Imam Syaukani sendiri tidak membid'ahkan pandangan Jumhur Ulamak. Apatah lagi menyalahkan mereka dan menuduh mereka melakukan amalan yang bertentangan dengan Rasulillah SAW. Jika ia diprakktik di perlis, maknanya umat Islam Perlis sebahagian besarnya dianggap telah melakukan perbuatan bid'ah kerana telah melakukan akad di masjid sebelum ini. Kemungkinan jua termasuk Datuk Ahmad Jusoh sendiri jika ayah dan ibunya melakukan amalan yang sama. Maka sewajarnya fatwa songsang ini tidak dipraktikkan.
4. Fatwa atau pandangan sembrono dari Perlis membuktikan aliran pemikiran mereka bukan berteraskan kepada fahaman Salafus Soleh atau Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut disiplin mazhab. Sebaliknya mereka mempunyai kecenderungan yang kuat kepada aliran Salafi Wahhabiy. Pandangan Dr Mohd Asri, Dr Juanda Jaya, Dr Azwira Abdul Aziz dan Datuk Ahmad Jusoh jika dianalisa dengan teliti dilihat mempunyai banyak persamaannya. Kami mempunyai bukti eksklusif untuk penghujahan.
5.Mengqiaskan amalan akad nikah dalam masjid menyerupai amalan orang Kristian yang melakukannya dalam gereja adalah satu contoh kiasan yang salah (Qiyas Maal Fariq). Ini kerana tidak wujud persamaan illat antara kedua majlis aqad Nikah di atas. Alasan yang jelas ialah akidah dan syariat kita berbeza antara satu sama lain (Islam, Kristian dan Yahudi). Jika ada persamaan pun ia hanya kebetulan sahaja. Contohnya, jika semua penganut agama berpuasa. Apakah dengan berpuasa kita dilihat mempunyai persamaan pegangan dan amalan? Bukankah al-Qur'an membezakan akidah dan syariat kita dgn mereka pada surah al-Kafiruun ayat 6. Jika anda memahami kaedah penggunaan kias ini anda sesekali tidak menganggap isu akad nikah ini mempunyai persamaan. Ia tidak dilakukan oleh orang yang berakal. Maka Mengertilah.
Teruskan ya Syeikh... jangan dibiar orang berbangga dengan certificate bermaharajalela berfatwa dan mengeluarkan hukum walhal ilmu tak sampai ke mana. Mahu cepat popular maka buatlah fatwa dan hukum yang pelik pelik sehingga menyalahi Imam Mazhab 4 sekalipun.. :). Harap dia tarik balik atau pertahankan hujah dengan hujah yang lebih bernas.
ReplyDelete