Monday, February 1, 2010

Isu Kalimah Allah Banyak Hikmah


Hadirin mengikuti Wacana Pendidikan Fatwa 'Penggunaan Lafaz Allah'
di Putrajaya baru-baru ini.


MUNGKIN jenaka ini tidak sekadar jenaka kerana di sebalik yang tersirat ada yang besar tersurat. Andai mantan Presiden Amerika Syarikat atau lebih tepat yang sering berlagak seperti Ketua Polis Dunia, George W. Bush mengunjungi negara ini, sebagai tuan rumah yang menghormati tetamu,


tentu sekali kita tetap memanggilnya sebagai Mr. Bush.


Tidak mungkin kita akan memanggilnya sebagai 'Mr. Semak' hanya semata-mata kerana semangat 'menterjemah'!


Begitu juga apabila di pertemuan lain, tetamu tersebut bernama Mr. Black, tidak mungkin kita memanggilnya 'Mr. Hitam' walaupun kulitnya putih melepak!


Begitulah antara lelucon Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohammad Sheikh Abdul Aziz yang menarik perhatian hampir 1,200 hadirin di Wacana Pendidikan Fatwa 'Penggunaan Lafaz Allah' di Jakim, Putrajaya baru-baru ini.


Tetapi apa yang ingin beliau cuba sampaikan ialah kiasan di sebalik polemik penggunaan lafaz Allah yang kononnya bukan hak Islam untuk mendominasikan penggunaan lafaz yang mulia itu. Malah ia mesti dikongsi dengan agama lain terutamanya Kristian.


"Kalau sekadar menuntut supaya perkataan God itu hendak diterjemahkan ke bahasa Melayu, jawapannya tentulah 'tuhan' bukannya 'Allah'.


"Allah itu merupakan satu nama khas, dari aspek bahasa, bolehkah Nama-nama Khas itu boleh diterjemah untuk dijadikan Nama Am? Jadi apa rasionalnya di sebalik tuntutan yang seperti ini," soal beliau.


Namun sebagaimana di akhir ucapan beliau, bahawa isu yang begitu mewarnai di akhir dekad tahun 2000 ini tidak dinafikan membawa banyak hikmah terutama kepada umat Islam di negara ini.


Iaitu kita semua terpanggil kepada satu perjuangan untuk memperjelaskan konsep tauhid kepada yang bukan Islam bagi mengembalikan keharmonian di negara ini.


Hadirin yang terdiri dari pelbagai latar belakang terutamanya kakitangan kerajaan dan termasuk juga kakitangan swasta, wakil-wakil pelajar dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemudiannya menumpukan perhatian kepada empat pembentangan kertas kerja berhubung isu berkenaan.


Ini sebagai antara usaha Jakim memberi penerangan yang tepat dari sudut agama Islam dan undang-undang negara. Matlamatnya, para peserta diharap dapat berkongsi maklumat dengan pelbagai pihak lain.


Seorang pendakwah bebas yang juga penulis buku agama, Dr. Zulkifli Mohammad al Bakri tanpa banyak menoleh ke belakang tegas berhujah bahawa kalimah Allah hanya untuk orang Islam berdasarkan pelbagai dalil yang autentik.


Ia bersumberkan wahyu Allah terutama surah al-Ikhlas yang memberikan satu tafsiran jelas bahawa Allah itu ahad berbanding wahid, iaitu perkataan yang lebih menafsirkan keesaan Allah yang tiada tandingannya di alam ini berbanding sekadar Allah itu tuhan yang satu.


"Dengan makna yang jelas bahawa Allah itu tidak boleh dijamakkan dengan yang lain iaitu tidak sekadar satu nama yang khusus atau khas.


"Dalam lafaz kalimah syahadah bahawa terdapat penafian (nafi al jins) iaitu segala 'jenis' tuhan yang lain adalah dinafikan (kewujudan) kecuali Allah sahaja yang berhak untuk disembah dan tidak boleh disekutukan dengan yang lain," tegasnya.


Hujah beliau disokong kuat oleh Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin yang juga 'menuntut' umat Islam bersatu dalam menangani isu yang diarus perdanakan ini.


Ini supaya isu kalimah Allah tidak membuka jalan kepada mana-mana pihak merendah-rendahkan martabat kalimah yang menjadi hak eksklusif umat Islam itu.


"Isu tuntutan kalimah ini tidak boleh dipandang sebagai satu 'cubaan' seperti yang kita lihat dalam filem Pendekar Bujang Lapuk!" katanya.


Menurut Zamihan, umat Islam tidak boleh membiarkan kalimah Allah 'diculik', dibawa 'lari', hanya lalu di hadapan mata dan kita terus khayal dengan perkara-perkara dunia yang lain.


"Ini kerana fitnah yang membabitkan soal tauhid dan akidah ini amat besar kesannya terhadap keutuhan ajaran, institusi dan masyarakat Islam itu sendiri," tegasnya.


Beliau yang menyampaikan kertas kerja 'Penyelewengan Tauhid dan Kalimah Allah' berkata, jika hendak menterjemahkan perkataan God kepada 'Allah' sedangkan kamus Dewan Bahasa sendiri memberi makna bahawa Allah itu bermaksud Tuhan Yang Satu, sedangkan sifat Esa ini tidak menjadi oknum atau dogma ajaran Kristian.


Persoalan penterjemahan ini kemudiannya dijelaskan dengan lebih menarik oleh Pegawai Cawangan Akidah Bahagian Penyelidikan Jakim, Mohd. Aizam Masod.


Beliau menyampaikan kertas kerja 'Implikasi Penggunaan Kalimah Allah Oleh bukan Islam Terhadap Pemikiran Umat Islam di Malaysia'.


Katanya, walaupun tidak melibatkan soal teologi, tuntutan tujuan penterjemahan God kepada 'Allah' ini mempunyai risiko dan implikasi yang sangat besar terhadap keharmonian dan perpaduan di negara ini.


"Ini bukan soal kebebasan beragama semata-mata tetapi yang jelas sejak isu ini berbangkit, negara sudah tidak harmoni lagi," katanya.


Menurut Aizam, apabila ada pihak melihat kalimah Allah itu sebahagian dari Bahasa Melayu yang dahulunya diserap dari bahasa Arab namun ini tidak bermakna atas nama semangat Bahasa Kebangsaan ia boleh diguna pakai oleh agama-agama lain selain Islam, yang ada di negara ini.


"Oleh kerana Allah adalah istilah yang telah diserap ke dalam Bahasa Melayu maka ia hendaklah difahami mengikut bangsa Melayu yang berasaskan agama Islam.


"Kelak implikasi terhadap Bahasa Melayu itu sendiri sangat besar apabila Allah dijadikan terjemahan kepada 'God' seperti yang dituntut," katanya.


Contoh yang beliau maksudkan membabitkan ayat seperti berikut: God presides in heavenly council; in the assembly of the gods he gives his decisions. (PSALM, 82.1)


Kalau diterjemahkan akan jadi: "Allah mengetuai dalam majlis syurgawi; dalam sidang ilahi, Allah ia menghakimi".


Maka akan jadilah Allah itu hanya satu istilah umum, tanpa ada sebarang keistimewaannya lagi. Contoh yang paling ketara juga boleh dilihat dalam ayat-ayat yang berikut:


For all the gods of the people are idols: but the Lord made the heavens. (1Chronicles 16:26)


Maksudnya: "Sebab segala Allah bangsa-bangsa adalah berhala, tetapi Tuhanlah yang menjadikan syurga.


"Tuhan adalah Allah yang besar…mengatasi segala Allah". (Mazmur 95.3)


"Akulah Tuhan, Allahmu…jangan ada padamu allah lain di hadapanKu". (Keluaran 20.2-3)


"…Yesus Kristus, iaitu Allah Maha Besar dan Raja Penyelamat kita". (Titus 2:13)


"…sebab dalam Dialah (iaitu Kristus) berdiam secara jasmaniah seluruh kepenuhan ke-Allahan". (Collosians 2:9)


Kata Aizam, lambat laun, kita terpaksa mengubah maksud Allah dalam kamus-kamus yang ada kerana kejayaan tuntutan dari pihak Kristian ini akan mempunyai kesan terhadap apa juga aspek, undang-undang adalah yang lebih teruk lagi.


"Dari aspek Kamus, daripada makna Allah itu Tuhan Yang Maha Esa akibat tuntutan maka terpaksa ditukar kepada Tuhan Yesus Kristus atau Tuhan Berhala atau tuhan Bapa mahupun juga Tiga Tuhan Bersatu (Triniti).


"Tidakkah ini mencelarukan Bahasa Melayu dan agama Islam itu sendiri kerana kalimah Allah itu diberi satu makna secara terbuka, iaitu kononnya terjemahan kepada perkataan 'tuhan' untuk apa juga jenis tuhan sebelum ini.


"Maka sudah tidak ada eksklusifnya lagi kalimah Allah sebagaimana yang difahami sebelum ini oleh seluruh umat manusia sama ada mereka Islam atau pun tidak kerana Allah itu menjadi satu 'ketuhanan' yang melangkaui sekelian agama," katanya.


Kebimbangan yang sama turut diluahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan Jabatan Peguam Negara, Mahammad Naser Disa ketika membentangkan kertas kerja 'Penggunaan Lafaz Allah dari Aspek Perundangan'.


Menurut beliau, pada asasnya isu tuntutan kalimah Allah oleh pihak Kristian ini perlu dilihat pada skop yang luas.


"Ini kerana isu ini sebenarnya melibatkan soal Perlembagaan Negara seperti yang tertakluk kepada Rukun Negara, iaitu Keluhuran Perlembagaan.


"Iaitu dalam Perkara 3, Agama bagi Persekutuan (1) Islam ialah agama bagi Persekutuan. Ini bermakna negara tidak sahaja mempunyai satu sahaja nama sebagai identiti utama tetapi turut mempunyai agama, iaitu satu agama yang paling utama, iaitu Islam," katanya.


Dengan kata lain, semua pihak yang mengecam dan melemparkan pelbagai tuduhan berhubung isu ini perlu menyedari bahawa agama bagi negara Malaysia adalah Islam.


"Kita tidak menyebut kedudukan Islam itu adalah agama rasmi semata-mata, sebab kita tidak ada istilah ada agama yang rasmi dan tidak rasmi di negara ini.


"Malah tidak timbul juga apabila Islam tidak disebut sebagai agama rasmi maka ia bermakna negara ini adalah negara yang mendukung fahaman sekular, memisahkan agama dalam apa juga urusan dalam kehidupan.


"Kita tidak akan jumpa pun sebarang perkataan sekular dalam Perlembagaan itu kerana kita mempunyai istilah perundangan yang lebih kuat iaitu, Agama Persekutuan," jelas beliau.


Islam sebagai agama Persekutuan adalah sebahagian manifestasi daripada Kontrak Sosial yang dicapai dan dipersetujui bersama sebelum ini.


"Jika ada pihak menjadikan faktor sejarah kononnya sebagai dalil bahawa Allah itu adalah tuhan kepada semua agama langit atau samawi, bagaimana dengan kontrak sosial yang sekian lama menjadi asas pembinaan jambatan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini," tegas Mahammad Naser.

No comments:

Post a Comment

"Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, berkatalah yang baik ataupun diam" (Riwayat Bukhari dan Muslim)