Thursday, February 11, 2010

'Atasi segera isu kalimah'

'Atasi segera isu kalimah'



TIMBALAN Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ditemani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada hari kedua Mesyuarat Ke-220 Majlis Raja-Raja di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam.

Raja-Raja Melayu beri jaminan pertahankan kedaulatan, kesucian Islam sebagai agama rasmi

KUALA LUMPUR: Raja-Raja Melayu memberi jaminan untuk memenuhi tanggungjawab melindungi kesucian dan status agama Islam dan mempertahankan kedaulatan serta kesuciannya Islam sebagai agama rasmi negara tanpa mengetepikan hak dan kebebasan beragama kaum lain.

Raja-Raja Melayu dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-220 selama dua hari di Istana Negara semalam juga menjelaskan isu penggunaan kalimah Allah yang dibangkitkan, baru-baru ini perlu ditangani segera bagi memastikan ia tidak menggugat kesucian agama Islam dan berkemungkinan menjejaskan keselamatan serta ketenteraman awam.


Serentak itu, Raja-Raja Melayu mengambil maklum permintaan, surat dan memorandum pelbagai pertubuhan dan individu Islam yang menzahirkan rasa dukacita mereka mengenai penterjemahan perkataan God kepada Allah.

Menurut kenyataan pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja semalam, penterjemahan itu banyak menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak puas hati rakyat Malaysia, khususnya yang beragama Islam.

"Isu ini jika tidak ditangani segera akan menggugat kesucian agama Islam dan berkemungkinan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan agama Islam sebagai agama rasmi negara dan Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam negeri.

"Raja-Raja Melayu bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan dan kesucian agama Islam sebagai agama rasmi negara tanpa mengetepikan hak dan kebebasan beragama kaum lain. Raja-raja Melayu memberi jaminan untuk memenuhi tanggungjawab melindungi kesucian dan status agama Islam," kata kenyataan itu.

Raja-Raja Melayu juga berpandangan sebarang perbuatan yang merosakkan rumah ibadat adalah perbuatan provokatif yang amat membahayakan dan tidak harus dibenarkan berlaku sama sekali.

"Perbuatan khianat yang didorong oleh emosi wajib dihentikan kerana tidak direstui, malah ditegah daripada dilakukan oleh semua agama. Perbuatan itu jenayah yang perlu dibendung secara tegas dan segera," katanya.

Raja-Raja Melayu turut merakamkan penghargaan kepada polis yang bertindak secara profesional bagi mengawal keadaan demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.

Raja-Raja Melayu amat memahami tugas berat yang terpaksa mereka hadapi dan menyeru agar usaha pasukan keselamatan mengawal ketenteraman awam diberikan sokongan sepenuhnya.

Selain itu, Raja-Raja Melayu mengambil maklum isu penggunaan istilah Allah oleh akhbar Herald-The Catholic Weekly sedang di peringkat pertimbangan Mahkamah Rayuan.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ini yang dipengerusikan Sultan Perak Tuanku Azlan Shah turut membincangkan perkara berkaitan agama, pertahanan, keselamatan serta pelantikan hakim Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran. - Bernama

Sumber : Berita Harian

No comments:

Visit Bil.