Sunday, February 14, 2010

Nasihat Kepada Golongan Yang Fanatik Menyerang Mazhab

Di dalam Kitab As Sahwah al Islamiyah, Baina al Ikhtilafil Masyru' wat Taffaruqil Madzmum karangan Dr Yusuf al Qardhawi ada menyebutkan resolusi yang dikeluarkan oleh Rabitoh 'Alam Islami pada persidangannya yang ke 10 tahun 1408 Hijrah. Antara teksnya resolusi tersebut :

"Segala puji bagi Allah yang Maha Esa. Selawat dan salam ke atas Nabi yang tiada nabi selepasnya, penghulu dan nabi kita, Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam. Ucapan salam juga ke atas keluarga dan sahabatnya.

"Majlis Majma' Fiqh Islami dalam persidangannya yang ke 10 di Makkah al Mukarramah bermula hari Sabtu, 24 Safar 1408H bersamaan 17 Oktober 1987 Masehi hingga hari Rabu, 28 Safar 1408 Hijrah bersamaan 21 Oktober 1987 Masehi telah meneliti topik perselisihan fikah antara mazhab yang diikuti. Juga berkenaan keta'suban yang dibenci. Ia melibatkan keta'suban sesetengah pengikut mazhab terhadap mazhab mereka sehingga terkeluar daripada batasan kesederhanaan lalu menyerang mazhab lain dan ulamanya. (tambahan penulis : perkara ini tidak berlaku di Malaysia kerana kita meraikan mazhab lain contohnya di Masjid India terdapatnya Mazhab Hanafi, pembayaran wang zakat fitrah menggunakan wang yang diputuskan oleh Mufti bergantung kepada KEPERLUAN bukan BERMUDAH-MUDAH dan sebagainya)

Majlis juga telah membentangkan pelbagai isu yang berlegar dalam minda remaja moden dan gambaran mereka terhadap perselisihan mazhab yang mereka tidak tahu punca dan kandungannya. Golongan-golongan yang menyesatkan telah menyuntik jarum mereka dengan mengatakan bahawa selagi syariat Islam itu satu, dan sumber asalnya daripada al Quran dan as Sunnah yang sabit juga satu, kenapa pula berlaku perselisihan mazhab ? juga kenapa mazhab tersebut tidak disatukan supaya orang Islam hanya berpegang kepada satu mazhab dan hanya menerima satu kefahaman dalam hukum-hukum syariat ? Majlis juga membentangkan persoalan ta'sub mazhab dan masalah-masalah yang timbul khususnya masalah yang berlaku di antara pengikut aliran -aliran moden hari ini pada zaman kita ini. Pengikutnya mengajak kepada satu aliran ijtihad yang baru. Mereka menyerang mazhab-mazhab sedia ada yang telah diterima umat sejak dahulu lagi. Mereka juga menuduh semua imam mazhab atau sebahagiannya sebagai sesat sehingga menimbulkan fitnah di kalangan orang ramai. "


Majma' Fiqh telah memutuskan memorandum kepada golongan yang mengajak supaya tidak bermazhab antaranya berbunyi :

"Golongan ini ingin membawa manusia kepada satu aliran ijtihad baharu dengan menyerang mazhab yang sedia ada serta imam-imamnya. Keterangan kami sebelum ini mengenai mazhab fiqh dan keistimewaan kewujudan mazhab dan imam-imamnya, mewajibkan mereka berhenti daripada meneruskan cara terkutuk yang mereka gunakan bagi menyesatkan manusia, memecah belahkan barisan dan menghancurkan kesatuan. Sedangkan kita berada pada zaman yang teramat perlu kepada kesatuan demi menghadapi merbahaya musuh-musuh Islam. Ia amat diperlukan bagi menggantikan seruan memecah belah yang tidak diperlukan ini."
(Majalah al Majma' Al Fiqhi al Islami. Tahun 2, Bil 3 m.s 173)

Tambahan penulis : Sekiranya golongan fanatik yang menyerang mazhab ini terdapat di Malaysia yang pada dasarnya taksub kepada Ibnu Taimiyyah, Muhammad bin Abdul Wahhab sewajarnya juga memikirkan mengenai fatwa yang dikeluarkan oleh Arab Saudi demi menjaga kesatuan dan keharmonian iaitu :


جامع الدرر السنية 14- (375-376) : '' يقول العلماء: حسن بن حسين، وسعد بن عتيق، وسليمان بن سحمان، وصالح بن عبد العزيز، وعبد الرحمن بن عبد اللطيف، وعمر بن عبد اللطيف، وعبد الله بن حسن، ومحمد بن إبراهيم بن عبد اللطيف، وكل آل الشيخ في خطابهم:

لا ينبغي لأحد من الناس العدول عن طريقة آل الشيخ، رحمة الله عليهم، ومخالفة ما استمروا عليه في أصول الدين، فإنه الصراط المستقيم، الذي من حاد عنه فقد سلك طريق أصحاب الجحيم. وكذلك في مسائل الأحكام والفتوى لا ينبغي العدول عما استقاموا عليه واستمرت عليه الفتوى منهم، فمن خالف في شيء من ذلك واتخذ سبيلا يخالف ما كان معلوماً عندهم ومفتىً به عندهم ومستقرة به الفتوى بينهم فهو أهل للإنكار عليه والرد لقوله

Maksudnya:

Seseorang tidak boleh berlainan daripada metod Al Sheikh (ahli ilmu keturunan Muhammad Abdul Wahab atau ulama’ wahabi) dan bercanggah dengan apa yang mereka (Al Sheikh atau ulama’ Wahabi) kekal berpegang padanya dalam usul agama. Ini kerana, ianya (pegangan Al Sheikh dan metod mereka) adalah jalan yang lurus yang mana sesiapa sahaja yang yang cenderung (berbeza) daripadanya (metod Al Sheikh) bererti telah melalui jalan ahli neraka. Begitu juga dalam masalah hukum-hakam dan fatwa, maka tidak boleh berlainan dengan apa yang ditetapkan dan dipegang oleh mereka dalam fatwa tertentu. Maka sesiapa yang bercanggah dalam fatwa daripadanya (fatwa-fatwa Al Sheikh) dan mengambil sikap untuk bercanggah dengan apa yang diketahui di sisi mereka (Al Sheikh/Wahabi) atau apa yang difatwakan di sisi mereka dan apa yang telah diputuskan mengenai sesuatu fatwa di sisi mereka (ulama’ Al Sheikh) bererti dia layak untuk diingkari dan ditolak perkataannya.


ونحن نعلم : أن المسائل العلمية ، والأحكام التي يُحكم بها الناس ، والفتاوى التي يُفتَون بها لا تخلو من الخلاف ، وهذا أمر يعرفه من له أدنى معرفة ، لكن الاختلاف بين الناس خصوصًا في جهة نجد لابد أن يكون سبب شر وفساد وفتنة . وسد باب الشر والفتن والفساد أمر مطلوب في الشريعة ؛ بل هو أعظم مقاصدها ، كما لا يخفى ) . ( الدرر السنية : 14 / 375 – 376 ) .

Kita mengetahui: bahawasanya dalam masalah ilmiah dan hukum-hakam yang dihukum (ijtihad) oleh manusia (ulama’) dan fatwa yang para ulama’ berfatwa mengenainya tidak sunyi dari khilaf. Ia adalah suatu perkara yang diketahui umum oleh sesiapa sahaja yang memiliki walau sedikit ilmu pengetahuan. Akan tetapi, ikhtilaf dalam kalangan manusia khususnya dari sudut di mana kita dapati boleh membawa kepada keburukan, kerosakan dan fitnah, maka menutup pintu keburukan, fitnah dan kerosakan adalah suatu perkara yang dituntut dalam Syariah. Bahkan ianya adalah tuntutan syariat yang terbesar sebagaimana yang tidak dapat disembunyikan lagi
[Ad-Durar As-Saniyyah 14/375-276]

Jawapan Raja Abdul Malik bin Abdul Rahman Al-Faisal kepada watikah para Masyaikh Al Sheikh tersebut antaranya menyebut:

فالآن يكون الأمر على ما ذكر المشايخ أعلاه، فمن أفتى أو تكلم بكلام مخالف لما عليه الشيخ محمد بن عبدالوهاب، وأولاده: عبدالله، وعبدالرحمن، وعبداللطيف، وعبدالله بن عبداللطيف، فهو متعرض للخطر ؛ لأننا نعرف أنه ما يخالفهم إلا إنسان مراوز للشر والفتنة بين المسلمين

Maksudnya:

“Maka sekarang, sebagaimana disebutkan oleh para Sheikh diatas: “Sesiapa yang berfatwa atau berbicara dengan perkataan yang bercanggah dengan Sheikh Muhammad bin Abdil Wahab dan anak-anaknya (keturunannya): Abdullah, Abdul Rahman, Abdul Lathif dan Abdullah bin Abdil Lathif, bererti sedang terdedah kepada bahaya kerana kita mengetahui bahawasanya tiada manusia yang bercanggah dengan mereka (ulama’ Wahabi dari keturunan Muhammad Abdul Wahab) bererti sedang membawa/melaksanakan keburukan dan fitnah dalam kalangan Muslimin.

Tahun 1339 Hijrah

Sumber: Ad-Durar As-Saniyyah fi Al-Ajwibah An-Najdiyyah (14/377-380)

Semoga keharmonian dan kesejahteraan umat Islam di Malaysia terus berkekalan dan dijauhi dari virus-virus yang membawa permusuhan dan pecah belah umat Islam.

WaLlahua'lam

Thursday, February 11, 2010

'Atasi segera isu kalimah'

'Atasi segera isu kalimah'



TIMBALAN Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ditemani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada hari kedua Mesyuarat Ke-220 Majlis Raja-Raja di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam.

Raja-Raja Melayu beri jaminan pertahankan kedaulatan, kesucian Islam sebagai agama rasmi

KUALA LUMPUR: Raja-Raja Melayu memberi jaminan untuk memenuhi tanggungjawab melindungi kesucian dan status agama Islam dan mempertahankan kedaulatan serta kesuciannya Islam sebagai agama rasmi negara tanpa mengetepikan hak dan kebebasan beragama kaum lain.

Raja-Raja Melayu dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-220 selama dua hari di Istana Negara semalam juga menjelaskan isu penggunaan kalimah Allah yang dibangkitkan, baru-baru ini perlu ditangani segera bagi memastikan ia tidak menggugat kesucian agama Islam dan berkemungkinan menjejaskan keselamatan serta ketenteraman awam.


Serentak itu, Raja-Raja Melayu mengambil maklum permintaan, surat dan memorandum pelbagai pertubuhan dan individu Islam yang menzahirkan rasa dukacita mereka mengenai penterjemahan perkataan God kepada Allah.

Menurut kenyataan pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja semalam, penterjemahan itu banyak menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak puas hati rakyat Malaysia, khususnya yang beragama Islam.

"Isu ini jika tidak ditangani segera akan menggugat kesucian agama Islam dan berkemungkinan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan agama Islam sebagai agama rasmi negara dan Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam negeri.

"Raja-Raja Melayu bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan dan kesucian agama Islam sebagai agama rasmi negara tanpa mengetepikan hak dan kebebasan beragama kaum lain. Raja-raja Melayu memberi jaminan untuk memenuhi tanggungjawab melindungi kesucian dan status agama Islam," kata kenyataan itu.

Raja-Raja Melayu juga berpandangan sebarang perbuatan yang merosakkan rumah ibadat adalah perbuatan provokatif yang amat membahayakan dan tidak harus dibenarkan berlaku sama sekali.

"Perbuatan khianat yang didorong oleh emosi wajib dihentikan kerana tidak direstui, malah ditegah daripada dilakukan oleh semua agama. Perbuatan itu jenayah yang perlu dibendung secara tegas dan segera," katanya.

Raja-Raja Melayu turut merakamkan penghargaan kepada polis yang bertindak secara profesional bagi mengawal keadaan demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.

Raja-Raja Melayu amat memahami tugas berat yang terpaksa mereka hadapi dan menyeru agar usaha pasukan keselamatan mengawal ketenteraman awam diberikan sokongan sepenuhnya.

Selain itu, Raja-Raja Melayu mengambil maklum isu penggunaan istilah Allah oleh akhbar Herald-The Catholic Weekly sedang di peringkat pertimbangan Mahkamah Rayuan.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ini yang dipengerusikan Sultan Perak Tuanku Azlan Shah turut membincangkan perkara berkaitan agama, pertahanan, keselamatan serta pelantikan hakim Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran. - Bernama

Sumber : Berita Harian

Monday, February 1, 2010

Isu Kalimah Allah Banyak Hikmah


Hadirin mengikuti Wacana Pendidikan Fatwa 'Penggunaan Lafaz Allah'
di Putrajaya baru-baru ini.


MUNGKIN jenaka ini tidak sekadar jenaka kerana di sebalik yang tersirat ada yang besar tersurat. Andai mantan Presiden Amerika Syarikat atau lebih tepat yang sering berlagak seperti Ketua Polis Dunia, George W. Bush mengunjungi negara ini, sebagai tuan rumah yang menghormati tetamu,


tentu sekali kita tetap memanggilnya sebagai Mr. Bush.


Tidak mungkin kita akan memanggilnya sebagai 'Mr. Semak' hanya semata-mata kerana semangat 'menterjemah'!


Begitu juga apabila di pertemuan lain, tetamu tersebut bernama Mr. Black, tidak mungkin kita memanggilnya 'Mr. Hitam' walaupun kulitnya putih melepak!


Begitulah antara lelucon Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohammad Sheikh Abdul Aziz yang menarik perhatian hampir 1,200 hadirin di Wacana Pendidikan Fatwa 'Penggunaan Lafaz Allah' di Jakim, Putrajaya baru-baru ini.


Tetapi apa yang ingin beliau cuba sampaikan ialah kiasan di sebalik polemik penggunaan lafaz Allah yang kononnya bukan hak Islam untuk mendominasikan penggunaan lafaz yang mulia itu. Malah ia mesti dikongsi dengan agama lain terutamanya Kristian.


"Kalau sekadar menuntut supaya perkataan God itu hendak diterjemahkan ke bahasa Melayu, jawapannya tentulah 'tuhan' bukannya 'Allah'.


"Allah itu merupakan satu nama khas, dari aspek bahasa, bolehkah Nama-nama Khas itu boleh diterjemah untuk dijadikan Nama Am? Jadi apa rasionalnya di sebalik tuntutan yang seperti ini," soal beliau.


Namun sebagaimana di akhir ucapan beliau, bahawa isu yang begitu mewarnai di akhir dekad tahun 2000 ini tidak dinafikan membawa banyak hikmah terutama kepada umat Islam di negara ini.


Iaitu kita semua terpanggil kepada satu perjuangan untuk memperjelaskan konsep tauhid kepada yang bukan Islam bagi mengembalikan keharmonian di negara ini.


Hadirin yang terdiri dari pelbagai latar belakang terutamanya kakitangan kerajaan dan termasuk juga kakitangan swasta, wakil-wakil pelajar dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemudiannya menumpukan perhatian kepada empat pembentangan kertas kerja berhubung isu berkenaan.


Ini sebagai antara usaha Jakim memberi penerangan yang tepat dari sudut agama Islam dan undang-undang negara. Matlamatnya, para peserta diharap dapat berkongsi maklumat dengan pelbagai pihak lain.


Seorang pendakwah bebas yang juga penulis buku agama, Dr. Zulkifli Mohammad al Bakri tanpa banyak menoleh ke belakang tegas berhujah bahawa kalimah Allah hanya untuk orang Islam berdasarkan pelbagai dalil yang autentik.


Ia bersumberkan wahyu Allah terutama surah al-Ikhlas yang memberikan satu tafsiran jelas bahawa Allah itu ahad berbanding wahid, iaitu perkataan yang lebih menafsirkan keesaan Allah yang tiada tandingannya di alam ini berbanding sekadar Allah itu tuhan yang satu.


"Dengan makna yang jelas bahawa Allah itu tidak boleh dijamakkan dengan yang lain iaitu tidak sekadar satu nama yang khusus atau khas.


"Dalam lafaz kalimah syahadah bahawa terdapat penafian (nafi al jins) iaitu segala 'jenis' tuhan yang lain adalah dinafikan (kewujudan) kecuali Allah sahaja yang berhak untuk disembah dan tidak boleh disekutukan dengan yang lain," tegasnya.


Hujah beliau disokong kuat oleh Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin yang juga 'menuntut' umat Islam bersatu dalam menangani isu yang diarus perdanakan ini.


Ini supaya isu kalimah Allah tidak membuka jalan kepada mana-mana pihak merendah-rendahkan martabat kalimah yang menjadi hak eksklusif umat Islam itu.


"Isu tuntutan kalimah ini tidak boleh dipandang sebagai satu 'cubaan' seperti yang kita lihat dalam filem Pendekar Bujang Lapuk!" katanya.


Menurut Zamihan, umat Islam tidak boleh membiarkan kalimah Allah 'diculik', dibawa 'lari', hanya lalu di hadapan mata dan kita terus khayal dengan perkara-perkara dunia yang lain.


"Ini kerana fitnah yang membabitkan soal tauhid dan akidah ini amat besar kesannya terhadap keutuhan ajaran, institusi dan masyarakat Islam itu sendiri," tegasnya.


Beliau yang menyampaikan kertas kerja 'Penyelewengan Tauhid dan Kalimah Allah' berkata, jika hendak menterjemahkan perkataan God kepada 'Allah' sedangkan kamus Dewan Bahasa sendiri memberi makna bahawa Allah itu bermaksud Tuhan Yang Satu, sedangkan sifat Esa ini tidak menjadi oknum atau dogma ajaran Kristian.


Persoalan penterjemahan ini kemudiannya dijelaskan dengan lebih menarik oleh Pegawai Cawangan Akidah Bahagian Penyelidikan Jakim, Mohd. Aizam Masod.


Beliau menyampaikan kertas kerja 'Implikasi Penggunaan Kalimah Allah Oleh bukan Islam Terhadap Pemikiran Umat Islam di Malaysia'.


Katanya, walaupun tidak melibatkan soal teologi, tuntutan tujuan penterjemahan God kepada 'Allah' ini mempunyai risiko dan implikasi yang sangat besar terhadap keharmonian dan perpaduan di negara ini.


"Ini bukan soal kebebasan beragama semata-mata tetapi yang jelas sejak isu ini berbangkit, negara sudah tidak harmoni lagi," katanya.


Menurut Aizam, apabila ada pihak melihat kalimah Allah itu sebahagian dari Bahasa Melayu yang dahulunya diserap dari bahasa Arab namun ini tidak bermakna atas nama semangat Bahasa Kebangsaan ia boleh diguna pakai oleh agama-agama lain selain Islam, yang ada di negara ini.


"Oleh kerana Allah adalah istilah yang telah diserap ke dalam Bahasa Melayu maka ia hendaklah difahami mengikut bangsa Melayu yang berasaskan agama Islam.


"Kelak implikasi terhadap Bahasa Melayu itu sendiri sangat besar apabila Allah dijadikan terjemahan kepada 'God' seperti yang dituntut," katanya.


Contoh yang beliau maksudkan membabitkan ayat seperti berikut: God presides in heavenly council; in the assembly of the gods he gives his decisions. (PSALM, 82.1)


Kalau diterjemahkan akan jadi: "Allah mengetuai dalam majlis syurgawi; dalam sidang ilahi, Allah ia menghakimi".


Maka akan jadilah Allah itu hanya satu istilah umum, tanpa ada sebarang keistimewaannya lagi. Contoh yang paling ketara juga boleh dilihat dalam ayat-ayat yang berikut:


For all the gods of the people are idols: but the Lord made the heavens. (1Chronicles 16:26)


Maksudnya: "Sebab segala Allah bangsa-bangsa adalah berhala, tetapi Tuhanlah yang menjadikan syurga.


"Tuhan adalah Allah yang besar…mengatasi segala Allah". (Mazmur 95.3)


"Akulah Tuhan, Allahmu…jangan ada padamu allah lain di hadapanKu". (Keluaran 20.2-3)


"…Yesus Kristus, iaitu Allah Maha Besar dan Raja Penyelamat kita". (Titus 2:13)


"…sebab dalam Dialah (iaitu Kristus) berdiam secara jasmaniah seluruh kepenuhan ke-Allahan". (Collosians 2:9)


Kata Aizam, lambat laun, kita terpaksa mengubah maksud Allah dalam kamus-kamus yang ada kerana kejayaan tuntutan dari pihak Kristian ini akan mempunyai kesan terhadap apa juga aspek, undang-undang adalah yang lebih teruk lagi.


"Dari aspek Kamus, daripada makna Allah itu Tuhan Yang Maha Esa akibat tuntutan maka terpaksa ditukar kepada Tuhan Yesus Kristus atau Tuhan Berhala atau tuhan Bapa mahupun juga Tiga Tuhan Bersatu (Triniti).


"Tidakkah ini mencelarukan Bahasa Melayu dan agama Islam itu sendiri kerana kalimah Allah itu diberi satu makna secara terbuka, iaitu kononnya terjemahan kepada perkataan 'tuhan' untuk apa juga jenis tuhan sebelum ini.


"Maka sudah tidak ada eksklusifnya lagi kalimah Allah sebagaimana yang difahami sebelum ini oleh seluruh umat manusia sama ada mereka Islam atau pun tidak kerana Allah itu menjadi satu 'ketuhanan' yang melangkaui sekelian agama," katanya.


Kebimbangan yang sama turut diluahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan Jabatan Peguam Negara, Mahammad Naser Disa ketika membentangkan kertas kerja 'Penggunaan Lafaz Allah dari Aspek Perundangan'.


Menurut beliau, pada asasnya isu tuntutan kalimah Allah oleh pihak Kristian ini perlu dilihat pada skop yang luas.


"Ini kerana isu ini sebenarnya melibatkan soal Perlembagaan Negara seperti yang tertakluk kepada Rukun Negara, iaitu Keluhuran Perlembagaan.


"Iaitu dalam Perkara 3, Agama bagi Persekutuan (1) Islam ialah agama bagi Persekutuan. Ini bermakna negara tidak sahaja mempunyai satu sahaja nama sebagai identiti utama tetapi turut mempunyai agama, iaitu satu agama yang paling utama, iaitu Islam," katanya.


Dengan kata lain, semua pihak yang mengecam dan melemparkan pelbagai tuduhan berhubung isu ini perlu menyedari bahawa agama bagi negara Malaysia adalah Islam.


"Kita tidak menyebut kedudukan Islam itu adalah agama rasmi semata-mata, sebab kita tidak ada istilah ada agama yang rasmi dan tidak rasmi di negara ini.


"Malah tidak timbul juga apabila Islam tidak disebut sebagai agama rasmi maka ia bermakna negara ini adalah negara yang mendukung fahaman sekular, memisahkan agama dalam apa juga urusan dalam kehidupan.


"Kita tidak akan jumpa pun sebarang perkataan sekular dalam Perlembagaan itu kerana kita mempunyai istilah perundangan yang lebih kuat iaitu, Agama Persekutuan," jelas beliau.


Islam sebagai agama Persekutuan adalah sebahagian manifestasi daripada Kontrak Sosial yang dicapai dan dipersetujui bersama sebelum ini.


"Jika ada pihak menjadikan faktor sejarah kononnya sebagai dalil bahawa Allah itu adalah tuhan kepada semua agama langit atau samawi, bagaimana dengan kontrak sosial yang sekian lama menjadi asas pembinaan jambatan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini," tegas Mahammad Naser.