Sunday, July 20, 2008

APA SEBENARNYA TAREKAT?



Pepatah Melayu ada mengatakan : “Tak kenal maka tak cinta”. Begitulah perihalnya pengenalan kita terhadap sesuatu yang ingin dibuat pertimbangan minda. Maka selayaknya dapatlah dikatakan di sini bahawa pengenalan merupakan sepenting-penting perkara dalam mencari keputusan atau mendapatkan hasil kajian. Antara pengenalan yang dirasakan mampu memberi jawapan dalam bab ini ialah pengenalan tarekat dari sudut penggunaan bahasa, istilah serta pandangan Al-Qur’an dan al-Sunnah itu sendiri tentang lafaz dan makna tarekat.


Tarekat Menurut Bahasa


Secara umumnya, tarekat menurut bahasa Arab bermaksud “jalan”, “cara”, “garis”, “kepimpinan”, “keyakinan” dan “agama” . Menurut Kamus Dewan, tarekat diertikan dengan jalan untuk mencapai kebenaran dalam ilmu tasawuf atau ilmu sufi. Tarekat juga diertikan dengan tatatertib hidup yang mengikut peraturan agama atau ilmu kebatinan atau dikenali juga dengan perkumpulan penuntut ilmu tasawuf.


Imam Ibn Manzur di dalam Lisan al-cArab mengertikan tarekat dengan makna الرجال الأشراف iaitu “tokoh-tokoh terkemuka.” Tafsiran ini dijelaskan oleh beliau secara khusus ketika membahaskan makna طريقة yang terdapat pada ayat 63 surah Taha. Beliau juga mengertikan kata dasar tarekat ini sebagai السيرة iaitu “jalan”. Katanya lagi : “Jikalau dikatakan طريقة الرجل ia membawa maksud mazhabnya. Jika dikatakan seseorang itu berada di dalam tarekat yang satu, ia bermaksud “keadaan yang satu.” Dan dikatakan juga طريقة yang lafaz jamaknya طرائق itu bermaksud tasbih yang diperbuat daripada bulu suf atau bulu biasa yang mana panjangnya dalam empat atau lapan jengkal mengikut kadar tertentu.”


Manakala menurut Muhammad bin Abu Bakr al-Raziy, lafaz طريقة القوم bermaksud أماثلهم وجيادهم . Iaitu golongan pembesar dan yang terbaik di kalangan mereka.”


Berdasarkan kepada pengertian tarekat dari kedua-dua tokoh bahasa ini dapatlah disimpulkan bahawa tarekat menjurus kepada suatu tatacara yang berkepimpinan. Dan kepimpinan dalam ilmu tasawuf itu merujuk kepada tokoh-tokoh sufi yang memimpin tarekat. Mereka yang memimpin inilah yang disifatkan sebagai tokoh-tokoh terkemuka dan terbaik dikalangan mereka. Maknanya, hanya yang terbaik sahaja diangkat menjadi pemimpin. Justeru, dalam konteks ilmu tasawuf ianya merupakan satu nilai yang dipandang tinggi dan diutamakan. Manakala, pengertian yang bermaksud jalan dan tasbih itu merupakan simbolik dan bahan yang amat sinonim dengan ilmu tarekat atau tasawuf.


Kesimpulannya, walaupun tarekat mempunyai satu lafaz tetapi ia mempunyai tafsiran yang banyak bergantung kepada struktur ayat yang dipergunakan. Paling tuntas, bagi mencari erti kata ataupun konotasi yang jelas dan bersifat khusus terhadap tarekat maka ia perlu dirujuk dalam konteksnya sebagai istilah teknikal yang muncul dan berkembang, diguna pakai dalam lingkungan disiplin ilmu tasawuf atau kerohanian Islam.

1 comment:

  1. salam.. adakah seorang yg bertarikat boleh berpolitik...
    jika boleh.. kenapa tidak menceburkan diri dunia politik hari ini....

    ReplyDelete

"Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, berkatalah yang baik ataupun diam" (Riwayat Bukhari dan Muslim)