Saturday, November 28, 2009

Jangan Segan Untuk Berkata : Aku Tidak Tahu


Dari AbduLLah ibn Amr radiyaLLahu ‘anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :


ALLah subhanahu wa ta’ala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka, dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadith di atas memberi pengertian yang besar kepada mereka yang berani membuat fatwa atau menjatuhkan hukum tanpa ilmu. Entah berapa ramai sekarang ini yang apabila ditanya tentang sesuatu soal agama walaupun tanpa ilmu terus mudah dari lidah dan jarinya mengeluarkan 'fatwanya' sendiri. Malahan ada yang hanya belajar melalui buku sahaja tanpa pernah ada asas-asas kaedah untuk mengeluarkan hukum, terus mengatakan itu halal, ini haram. Engkau masuk ke syurga, dan dia masuk neraka.


Bayangkan seorang yang jahil dalam ilmu kedoktoran kemudian apabila ada pesakit yang selsema dan ia mengatakan pesakit ini harus dibedah perutnya. Inilah kerosakan yang telah dibuat.


Fahamlah, rupanya proses untuk mengeluarkan fatwa itu sendiri bukanlah senang. Kerana ulamak takut untuk mengeluarkan hukum tanpa hak.

Salah seorang ulama yang sezaman dengan Imam Ahmad pernah ditanya orang :

"Jika seseorang sudah dapat menghafal seratus ribu hadith, dapatkah ia dikatakan sebagai faqih...? "Tidak...!", jawabnya. "Dua ratus ribu hadith..?" "Tidak..!.. katanya. "Tiga ratus ribu hadith..?" "Tidak..! Jawabnya. "Empat ratus ribu hadith..? "Juga tidak..!, tetapi begini (iaitu lima ratus ribu) katanya sambil mengisyaratkan dengan sebelah telapak tangannya.


Dengan menghafaz hadith semata-mata belumlah dikatakan seorang faqih yang dapat mengeluarkan fatwa selagi ia tidak mempunyai kemampuan untuk memenuhi syarat-syarat lain untuk berfatwa. Selagi dia tidak mempunyai kemampuan ilmiah untuk membezakan antara riwayat yang maqbul (diterima) dan riwayat yang mardud (ditolak); antara yang sahih (baik) dan ma'lul (cacat). Demikian juga kemampuannya untuk mengambil hukum (istinbat) dan melakukan tarjih (menentukan riwayat mana yang lebih kuat); atau melakukan ta'luq (penggabungan) antara beberapa riwayat yang nampak berbeza, atau penggabungan antara nas-nas yang mengandungi beberapa pengertian dengan maqasid syar'iyyah dan kaedah-kaedah kulliyyah (umum).


Al Hafiz Al Khatib al Baghdadi meriwayatkan dalam kitabnya Al Faqih wa al Mutafaqqih Juz 2 Hlm 157 dari al Imam Syafi'i radiyaLlahu 'anhu berkata :
"Tidak dihalalkan bagi seseorang berfatwa mengenai agama Allah, kecuali seorang yang arif Kitab ALlah (al Quran), Nasikh Mansukh, Muhkam dan Mutasyabih, Ta'wil dan Tanzil, Nasikh dan Makkiyah dan Madaniyahnya; Apa yang dimaksudkan dengan satu-satu ayat; dalam masalah apa ia diturunkan. Selain itu, dia juga mesti menguasai hadith RasuluLlah s.a.w; Nasikh dan Mansukhnya; Pengetahuannya mengenai hadith Nabi s.a.w mesti setaraf pengetahuannya mengenai al Quran. Dia mesti juga menguasai Bahasa Arab; arif akan seluk beluk syair, dan disiplin ilmu yang lain yang diperlukan untuk memahami al Quran. Disamping itu, dia juga mesti menahan diri daripada (seronok) bercakap. Dia dituntut juga untuk memahami perbezaan pendapat di kalangan para ulama, selain harus memiliki kemampuan atau kepakaran dalam mengambil ketentuan hukum (istinbat). Jika semua syarat-syarat ini telah dimilikinya, maka barulah boleh baginya bercakap dan berfatwa tentang halal dan haram.

Namun jika belum sampai pada darjat ini, dia hanya boleh membincangkan tentang ilmu pengetahuan, tetapi tidak dibenarkan untuk berfatwa."


Sukarkah Mengatakan "Aku Tidak Tahu" ?

Ulamak salaf (ulamak yang hidup di kurun ke 3 dan sebelumnya- kurun yang terbaik) melarang keras orang yang berani mengeluarkan fatwa tanpa mempunyai ilmu dan persediaan yang cukup.

Alangkah, para ulamak muktabar yang benar-benar takutkan ALlah seperti Imam Malik pernah berkata :


Jika seseorang diminta untuk berfatwa, sebelum memberikan jawapan ia wajib meletakkan dirinya antara Syurga dan Neraka, serta memikirkan nasibnya di Akhirat nanti, kemudian baru boleh ia memberikan jawapan (mengeluarkan fatwanya)".


Ibn al Qasim berkata :

"Aku pernah mendengar Imam Malik berkata : "Saya sedang memikirkan (jawapan) bagi suatu kemusykilan sejak beberapa puluh tahun dulu, tetapi hingga saat ini belum juga sampai kepada pendapat yang pasti".

Ibn Abi Layla pernah berkata :

"Saya menemui seramai seratus dua puluh orang Ansar dari sahabat Rasul sallaLLahu 'alaihi wasallam, jika seorang di antara mereka diajukan pertanyaan (diminta berfatwa), ia akan mengalihkannya kepada yang kedua, dan orang yang kedua akan mengalihkannya kepada orang ketiga dan seterusnya. Sehingga pertanyaan tadi kembali kepada orang yang pertama. Jika salah seorang daripada mereka diminta untuk berfatwa atau ditanya tentang sesuatu masalah, ia akan memohon sahabat yang lain menjawabnya.


Fahamlah di sini, mengapa kita perlu menghormati ulamak muktabar yang terdahulu. Yang telah mengasaskan mazhab dan menulis kitab-kitab, mengajar anak muridnya untuk menyampaikan ilmu yang diajarnya kepada umat Islam yang lain.

Antara Maksum dan Orang Yang Berilmu

Ada pula laungan-laungan dari orang awam atau mereka yang bukan dari kalangan ulamak malahan yang baru menghafaz beberapa hadith mendabik dada mengatakan dirinya adalah tempat dijadikan rujukan. (Sedangkan rujukan dirinya hanya melalui internet semata-mata). Ingatlah bahawa ilmu dan akhlaq akan berjalan seiring. Orang awam seperti kita ini mengatakan pula 'ulamak tidak maksum' terutamanya tuduhan ini ditujukan kepada ulamak yang mengasaskan mazhab, ulamak seperti Imam asy Syafie, Imam Malik, Imam Hanafi dan Imam Hambali. Bahkan melekehkan pula orang yang mengikut mazhab yang disampaikan oleh ulamak-ulamak, ustaz ustazah dan guru-guru.


Ya, benar, ulamak tidak maksum (ada membuat dosa dan kesilapan). Tetapi berbanding dengan orang yang bercakap atau ustaz yang selalu memperlekehkan ulamak muktabar. Siapa pula yang lebih berilmu, lebih berkelayakan untuk mengeluarkan hukum? Ulamak yang lebih muktabar jauh lebih tinggi ilmunya, menguasai disiplin ilmu untuk membolehkan mereka mengeluarkan pendapat. Bahkan ulamak muktabar yang mampu berijtihad ia memperolehi 2 pahala jika benar ijtihadnya, dan 1 pahala jika ijtihadnya tersilap. Di sinilah adanya perbezaan yang besar di antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu, kurang ilmu, faham dan tidak faham, sempurna akal dan yang tidak, dan yang jahil. Sebagaimana firman ALlah :


قُلۡ هَلۡ يَسۡتَوِى ٱلَّذِينَ يَعۡلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ‌ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ (٩)


Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.
(Surah az Zumar : Ayat 9)

Imam Ahmad Ibn Hanbal r.a katanya : Seseorang tidak boleh menawarkan dirinya untuk berfatwa sebelum ada pada dirinya lima perkara :


Pertama : Mempunyai niat ikhlas. Sebab jika tidak ada niat (ikhlas) dia tidak akan mendapat cahaya (petunjuk) dalam melakukan fatwanya.

Kedua : Hendaklah dia mempunyai sifat kasih, rendah hati (tawadhuk) dan ketenangan jiwa.

Ketiga : Mempunyai keyakinan yang teguh dengan tugasnya dan memahami betul soalan yang sedang dihadapinya.

Keempat : Hidupnya dalam kecukupan, kerana jika tidak, dia akan dipengaruhi oleh orang yang berkepentingan.

Kelima : Mempunyai maklumat yang cukup tentang adat istiadat dan seluk beluk kehidpuan manusia. (Ibn Battutah, disalin oleh Ibn Qayyim dalam , I'lamul Muwaqqi'in' Juz 4 hlm. 199.

Terkadang terfikir juga penuntut ilmu yang cetek akhlaknya, atau mereka yang berfikiran suka melekehkan ulamak muktabar hanya memandang ulamak dari atas kertas sahaja. Mentang-mentang nama-nama ulamak itu sudah acapkali dilihat dan ditulis di dalam akhbar, majalah dan buku-buku, kitab-kitab yang banyak berlegar di pasaran. Mentang-mentang sudah belajar beberapa hadith sahih dan beberapa ilmu yang baru.

Semaklah sejarah semula, jangan dilipat sahaja adab-adab dan akhlaq ulamak muktabar, lihat bagaimana cara mereka berfikir sebelum mengeluarkan pendapat, jenguklah disiplin ilmu yang telah mereka kuasai sebelum berani mengeluarkan fatwa. Luaskan pandangan bagaimana ulamak mendidik jiwa mereka, melihat kepada keadaan, cara hidup dan budaya. Imam Syafie juga menghormati mazhab hanafi apabila datang ke tempat mereka yang mengikut mazhab tersebut.

Untuk akhirnya para fuqaha' selalu berkata "Sesiapa yang tidak pernah mengetahui dan mengerti perbezaan pandangan dan pendapat di kalangan fuqaha', bermakna dia belum sempat menghidu haruman fiqh..!

Sumber rujukan :

1. Prof Dr Yusuf al Qardhawi, Al Fatwa Bayna Al Indibat al Tasayyub, Fatwa Antara Ketelitian & Kecerobohan, 1996, Thinker's Library, Selangor.

2. http://quranexplorer.com

Monday, November 23, 2009

Perbahasan Berkenaan "إذا صح الحديث فهو مذهبي "

Penulis : Ustaz Nazrul Nasir


Beberapa hari saya tidak menulis, mungkin agak sibuk dengan persediaan peperiksaan yang semakin hampir. Teringin juga jari-jari ini memetik butang key board menulis semula . Tambahan pula semenjak akhir-akhir ini, golongan “mujtahid jadi-jadian” semakin ramai menceburi bidang penulisan ini. Semakin mereka menulis, semakin saya risau melihat masyarakat yang tertipu dengan gaya bahasa yang mereka gunakan seolah-olah menampakkan bahawa mereka benar-benar orang yang berkelayakkan di dalam memperkatakan tentang permasalahan hukum-hakam. Pelbagai pendapat digunakan oleh mereka demi mempertahankan pendapat-pendapat yang boleh kita klasifikasikan sebagai “menegakkan benang yang basah”.

Kalam para ulama Mujtahid yang sering kita dengar seperti :


  • إذا صح الحديث فهو مذهبي
  • لا ينبغي لمن لم يعرف دليلي أن يُفتي بكلامي
  • لا تقلدني و لا تقلد مالكا و لا الأوزاعي و لا غيرهم و خذ الأحكام من حيث أخذوا

Pendapat-pendapat para Imam Mujtahid ini sering disalah gunakan oleh golongan yang gemar mendakwa-dakwi sebegini.Kalam pertama yang bermaksud (( Jika sahih sesebuah hadis maka itulah mazhabku)) digunakan oleh golongan ini dengan mengatakan bahawa, jika kita berjumpa sebuah hadis yang sahih dan mendapati hadis tersebut bertentangan dengan pendapat Imam Mujtahid ( Abu Hanifah, Malik, Syafie dan Ahmad bin Hambal radhiyallahu anhum), maka dahulukan hadis yang sahih kerana ini juga merupakan pendapat sebahagian para Imam tersebut.

Al-Imam Nawawi rahimahullah menyebutkan di dalam muqaddimah Majmu’ Syarah Muhazzab:

“ Memang benar al-Imam Syafie menyebutkan :

إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله صلى الله عليه و سلم فقولوا بسنة رسول الله صلى الله عليه و سلم و دعوا قولي


Maksudnya:
Jika kamu semua (para ulama) mendapati di dalam kitab yang aku tulis menyalahi Sunnah baginda sallallahu alaihi wasallam maka keluarkan pendapat kamu semua dengan Sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam dan tinggalkan pendapatku.”


Al-Imam Nawawi rahimahullah menyebutkan lagi bahawa:
Kata-kata Imam Syafie tersebut bukanlah bermaksud sesiapa sahaja yang menjumpai hadis sahih maka terus mengatakan bahawa ianya merupakan mazhab Imam Syafie itu sendiri.Malah beramal dengan zahir kalam itu semata-mata. Bahkan sebenarnya kalam al-Imam Syafie tersebut ditujukan kepada para ulama yang telah sampai kepada peringkat ijtihad di dalam mazhab seperti yang telah kita sebutkan sebelum ini(rujuk Muqaddimah Majmu’ ). Syarat untuk para yang beramal dengan kalam Imam ini ialah mesti tidak meletakkan sangkaan bahawa al-Imam Syafie radhiyallahuanhu tidak berjumpa dengan hadis ini atau tidak mengetahui bahawa hadis ini tidak Sahih. Syarat ini tidak akan dapat disempurnakan melainkan setelah mengkaji dan mentelaah keseluruhan kitab-kitab karangan al-Imam Syafie , kitab-kitab para ulama Syafieyah yang lain dan yang seumpama dengannya. Inilah merupakan syarat yang agak sukar untuk dipenuhi. Hanya sedikit yang dapat menyempurnakan syarat ini.


Maksud kalam al-Imam Nawawi sangat jelas. Agak menghairankan kita, golongan yang mendakwa kalam al-Imam Syafie kadang-kadang bertentangan dengan hadis ini merupakan dakwaan yang ternyata menyimpang. Bahkan kitab-kitab al-Imam Syafie mereka tidak memahaminya dengan baik (maksudnya memerlukan penguasaan bahasa Arab yang tinggi kerana al-Imam Syafie radhiyallahu anhu merupakan seorang ahli Bahasa Arab yang hebat), apatah lagi membacanya. Ini sepatutnya yang disedari oleh mereka. Tetapi ego dan bodoh sombong yang menyebabkan mereka tidak mahu memahami pendapat ulama sebegini.

Oleh kerana itulah kita katakan, perlu membaca kitab para ulama dengan para alim-ulama yang benar ilmunya, bukan dengan pembacaan secara persendirian tanpa guru yang membimbing. Akan sesat jadinya. Ini asas pertama yang perlu diperbetulkan oleh mereka. Akhir-akhir ini kita melihat mereka juga belajar dengan guru, tetapi guru yang mengajar pula hakikatnya belajar dengan guru yang tidak belajar dengan ulama yang benar ilmunya,bersih pengambilannya serta jauh daripada pendapat-pendapat yang menyalahi jumhur para ulama.

Kata Imam Nawawi lagi menukilkan kata-kata Imam Abu Amru Ibn Salah rahimahumallah:

Kalam al-Imam Syafie tersebut bukanlah boleh diamalkan dengan zahir luarannya semata-mata,Bukanlah semua ulama yang Faqih (hebat dalam ilmu fiqhnya) beramal secara terus daripada hadis yang dirasakan hujah baginya.”


Kata Imam Abu Amru Ibn Salah lagi:
Jika seorang ulama bermazhab Syafie tersebut menjumpai sebuah hadis yang menurutnya bertentangan dengan mazhab yang dipegangnya, Maka perlu dilihat semula kepada keahlian orang tersebut. Jika ulama tersebut telah mencapai peringkat Ijtihad (seperti yang kita sebutkan di dalam keluaran yang lepas) maka tiadalah masalah baginya untuk beramal dengan hadis tersebut. Tetapi jika dia masih tidak mencapai tahap Ijtihad dan menyukarkan baginya menemukan sebab-sebab pertentangan hadis tersebut dengan kalam Imam Mazhab @ Mazhab itu sendiri maka bolehlah baginya beramal dengan hadis tersebut jika terdapat seorang lagi Imam Mujtahid Mutlak selain Imam Syafie(seperti Imam Abu Hanifah , Malik, Ahmad dan lain-lain).”


Kata al-Syeikh Wahbi Sulaiman Ghawuji al-Albani hafizahullah(bukan Syeikh Nasiruddin al-Albani) di dalam risalah kecilnya berkenaan kalam tersebut:

Maksud kalam tersebut ialah:
Kata para imam , kalam tersebut ditujukan kepada para ulama yang benar-benar berkelayakkan di dalam mengeluarkan hukum.Mereka(yang dibenarkan) adalah merupakan para ulama yang hebat di dalam ilmu hadis. Ini bermakna, jika sahih sesebuah hadis sahih tersebut yang bertepatan dengan syarat-syarat pengambilan sesebuah hadis dan kaedahnya berdasarkan mazhab yang mereka gunakan , maka gunakan hadis tersebut. Bukannya kalam tersebut menyuruh setiap kali membaca hadis yang sahih maka tinggalkan beramal dengan pendapat imam mazhab.


Sebaliknya golongan yang sering mendakwa-dakwi ini, menggunakan pendapat ini dengan luarannya sahaja, bukan maksud sebenar kalam tersebut.

Al-Imam Malik Radhiyallahuanhu menyebutkan kepada para muridnya(yang merupakan para mujtahid) ketika beliau mengeluarkan pendapat di dalam sesebuah hukum,
Kamu perlu mengkajinya semula, ini kerana ianya merupakan pegangan agama kita.Tiada seorang pun boleh diterima pendapatnya bulat-bulat tanpa perlu dikritik, melainkan pendapat yang dikeluarkan oleh pemilik Maqam yang mulia ini( mengisyaratkan kepada Saidina Muhammad sallallahu alaihi wasallam).”


Saya ingin bertanya, adakah Imam Malik radhiyallahu anhu bercakap seorang diri ketika tersebut? Atau adakah beliau mengucapkan pendapat tersebut dihadapan orang awam yang tidak mengerti hukum-hakam? Jawapannya tentu tidak sama sekali. Golongan yang dibicarakan oleh al-Imam ialah merupakan kelompok mujtahid. Seolah-olah al-Imam ingin memberitahu kepada murid-muridnya bahawa mereka juga telah sampai kepada peringkat Ijtihad yang tinggi. Syarat-syarat untuk menjadi seorang mujtahid telah saya terangkan di dalam keluaran yang lalu. Jika syarat sebegini masih tidak jelas, maka bagaimana seseorang tersebut boleh mengaku bahawa dia juga boleh mengeluarkan hukum terus daripada al-Quran dan Sunnah?

Pendapat kedua yang sering digunakan oleh mereka ialah pendapat yang dikeluarkan oleh al-Imam Abu Hanifah radhiyallahuanhu iaitu :

لا ينبغي لمن لم يعرف دليلي أن يُفتي بكلامي

Maksudnya:
Tidak sepatutnya bagi seseorang yang tidak mengetahui dalil yang aku keluarkan untuk berfatwa dengan pendapatku.

Pendapat ini jelas menunjukkan bahawa ianya disebutkan kepada golongan ulama yang benar-benar alim di dalam bidang tersebut. Ini kerana perkataan “ berfatwa” tersebut tidak lain dan tidak bukan semata-mata ditujukan kepada para ulama ahli fatwa,bukannya mujtahid jadi-jadian . Ini perlu difahami dengan baik dan jelas. Perlu juga bagi seseorang tersebut melihat semula kepada syarat-syarat untuk berfatwa yang disusun oleh para ulama . Antara ulama yang menyusun tentang adab-adab fatwa ini ialah al-Imam Abu Qasim al-Soimuri rahimahullah(guru kepada al-Imam Mawardi rahimahullah), al-Imam al-Khatib al-Baghdadi rahimahullah, dan al-Imam Abu Amru Ibn Salah rahimahullah. Ketiga-tiga kitab ini telah diringkaskan perbahasannya oleh al-Imam Nawawi rahimahullah dan beliau meletakkan perbahasan tersebut di dalam kitabnya Majmu’ Syarah Muhazzab.

Jika kamu membaca semula syarat-syarat berfatwa dan Mufti, tentulah kamu akan menyedari betapa jauhnya jurang sebenar antara kamu (yang suka mendakwa-dakwi sebegini) dengan para ulama yang benar-benar sampai kepada peringkat mengeluarkan fatwa.Malah al-Imam Nawawi sendiri menyebutkan bahawa bidang fatwa adalah merupakan bidang yang sangat merbahaya diceburi tetapi sangat tinggi kelebihannya(bagi yang layak sahaja).

Al-Imam Malik radhiyallahu anhu menyebutkan:

ما أفتيت حتى شهد لي سبعون أني أهل لذلك

Maksudnya:
Aku tidak akan berfatwa melainkan selepas disaksikan oleh tujuh puluh orang ulama bahawa aku benar-benar layak di dalam bidang fatwa ini.

Kalam-kalam sebegini tidak pula dilihat oleh golongan sebegini. Mereka hanya mengambil pendapat-pendapat yang luarannya merupakan suatu kelebihan kepada diri mereka untuk meninggalkan berpegang dengan mazhab itu sendiri. Sedangkan langsung tidak memahami maksud kalam itu sendiri.

Jika kita memahami maksud kalam-kalam yang disebutkan dengan baik maka pendapat Imam Ahmad bin Hambal radhiyallahu anhu juga akan mudah bagi kita memahaminya. Maksudnya Imam Ahmad menyebutkan pendapat tersebut bukanlah untuk orang awam melainkan untuk para ulama yang telah mencapai peringkat Ijtihad.

Al-Allamah Syeikh Muhammad Awwamah hafizahullah menukilkan kalam al-Imam Kairanawi radhiyallahu anhu:

Maksud sebenar kalam al-Imam Syafie (Jika sahih sesebuah hadis maka itulah Mazhabku) dan kalam ulama yang lain yang menyebutkan sedemikian ialah tidak lain selain ingin menunjukkan kepada kita hakikat bahawa kalam yang menjadi hujjah adalah kalam Baginda sallallahu alaihi wasallam bukannya kalam kami(para Imam Mujtahid).Seolah-olah Imam Syafie ingin mengatakan: Jangan kamu menyangka kalam aku adalah hujjah berbanding kalam Baginda Sallallahu alaihi wasallam dan aku juga berserah kepada Allah jika pendapat yang aku sebutkan bertentangan dengan Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam.”


Hakikatnya, kalam al-Imam Syafie radhiyallahu anhu adalah merupakan sifat tawaddhuk yang ada pada beliau. Mustahil seseorang Imam tersebut akan mengeluarkan sesuatu hukum dengan hawa nafsunya melainkan setelah dikaji secara terperinci dengan ilmu pengetahuan yang dipelajarinya dan iman yang mendalam.

Oleh sebab itulah al-Imam Ibn Uyainah Radhiyallahuanhu menyebutkan:

الحديث مضلة إلا للفقهاء

Maksudnya:
Hadis adalah sesuatu yang mampu menyesatkan seseorang (yang tidak memahaminya) melainkan kepada para fuqaha(ulama).

Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami radhiyallahu anhu menerangkan maksud sebenar kalam al-Imam Ibn Uyainah radhiyallahu anhu di dalam kitabnya Fatawa Hadisiah mukasurat 521:

“Maksud kalam tersebut ialah Hadis adalah seumpama al-Quran yang mana ianya terkadang merupakan lafaz umum tetapi maknanya khusus, ianyanya juga terdapat Nasakh dan Mansukh, terdapat juga hadis yang tidak diamalkan, dan sebahagiannya jika dipegang dengan zahir maka akan menjadi masalah seperti hadis ينزل ربنا (Allah turun ke Langit pertama disepertiga malam). Jadi maksud sebenar sesebuah hadis tidak akan difahami melainkan diterangkan oleh para ulama.Ini berbeza dengan orang yang tidak mengetahui maksud sebenar hadis tersebut melainkan zahirnya semata-mata, maka akan tersesat jadinya seperti yang berlaku kepada sebahagian ulama terdahulu dan terkemudian seperti Ibn Taimiyah dan pengikutnya”

Bagi menentukan sesebuah hadis sahih tersebut bertentangan dengan pendapat Imam Mazhab maka perlu bagi mereka-mereka yang berkata sedemikian mempunyai dua perkara:

1. Kuat sangkaannya bahawa Sang Imam tidak menemukan hadis yang dia temui.

2. Orang yang mengatakan sedemikian mestilah seorang yang benar-benar pakar di dalam ilmu rijal Hadis, Matan Hadis, cara-cara berhujah dengan hadis, dan cara mengeluarkan hukum daripada hadis tersebut berdasarkan kaedah yang diletakkan oleh mazhab.

Terdapat 4 marhalah (peringkat ) bagi menentukan adakah benar seseorang tersebut benar-benar pakar di dalam Ilmu hadis.(Marhalah ini saya petik secara ringkas daripada risalah al-Syeikh Wahbi Sulaiman Ghawuji al-Albani hafizahullah ):

Peringkat pertama

Di dalam peringkat ini seseorang tersebut perlulah mengetahui kedudukan perawi hadis tersebut samaada ianya Thiqah, Saduq dan sebagainya. Serta perlu juga memerhatikan hafalan dan kekuatan ingatan perawi tersebut.Perlu mengetahui tentang martabat thiqah, tempat mana yang perlu didahulukan jarah dan ta’dil(nama ilmu di dalam Mustalah Hadis bagi menentukan darjat seorang perawi).Mengetahui tentang bilakah tarikh perawi tersebut meninggal duni dan dari manakah asalnya dan sebagainya. Pendek kata kesemua ilmu yang diterangkan di dalam kitab Mustalah Hadis perlu diketahui secara lumat dan mendalam oleh seseorang tersebut.

Peringkat kedua

Peringkat ini lebih sukar daripada sebelumnya.Setelah seseorang tersebut mengetahui secara mendalam tentang mustalah hadis tersebut maka perlu pula baginya untuk mengkaji secara teliti dan mendalam hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab Sihah, Sunan, Musnad, Jawami’, Mu’jam, al-Ajza’dan lain-lain kitab hadis bagi mencari sesebuah hadis tersebut adakah benar-benar bertentangan dengan pendapat sang Imam. Perlu juga baginya untuk mengetahui adakah hadis tersebut Mutawatir, Masyhur dan sebagainya. Perlu juga baginya mengetahui adakah hadis tersebut Syaz atau mungkar . Perlu juga baginya mengetahui adakah hadis tersebut marfu’, mauquf atau maqtu’.

Oleh sebab itulah al-Imam Abu Hatim al-Razi rahimahullah menyebutkan: “ Tidaklah seseorang tersebut dikatakan benar-benar pakar di dalam bidang hadis melainkan setelah kami (para ulama hadis )menulis hadis tersebut dengan 60 keadaan dan dia mampu menerangkan satu persatu hadis-hadis tersebut tentang hukumnya sama ada Syaz, Mungkar, Ma’ruf, Mutawatir, Marfu’, Mauquf, Fard dan Masyhur.”

Peringkat ketiga

Peringkat ini lebih sukar daripada kedua-dua peringkat di atas. Setelah benar-benar melalui kedua-dua peringkat tersebut, maka seseorang tersebut perlulah melihat sama ada hadis yang dikajinya terdapat illah(kecacatan) atau tidak. Illah yang tersembunyi menurut para ulama hadis adalah yang paling sukar ditemukan melainkan oleh ulama-ulama yang benar-benar pakar di dalam ilmu hadis. Ini diketahui dengan jelas oleh sesiapa yang mempelajari ilmu hadis dengan baik.

Peringkat keempat

Peringkat ini adalah yang paling sukar ditemukan melainkan para Mujtahid yang sampai ke peringkat mutlak. Ramai ulama hadis yang sukar mencapai peringkat ini walaupun mereka sudah mencapai ketiga-tiga peringkat sebelum ini. Walaupun mereka menghafal hadis tersebut dan mengetahui segalanya tentang ilmu hadis , tetapi di dalam permasalahan hukum hakam tetap mereka serahkan kepada para fuqaha.

Kerana itulah al-Imam al-A’mash radhiyallahu anhu menyebutkan kepada al-Imam Abu Hanifah radhiyallahu anhu:

يا معشر الفقهاء, أنتم الأطباء ونحن الصيادلة و أنت أيها الرجل أخذت بكلا الطرفين

Maksudnya:
Wahai para fuqaha, kamu adalah doktor yang mengetahui tentang ubat sesuatu penyakit, manakala kami para muhaddith (ulama hadis) merupakan pemilik ubat tersebut.Manakala kamu wahai lelaki( Imam Abu Hanifah ) , kedua-duanya kamu miliki (sebagai seorang doktor dan sebagai seorang pemilik farmasi).

Maksud kalam al-Imam al-A’mash tersebut ialah para fuqaha mengetahui di manakah sumber pengambilan hukum bagi menyelesaikan sesuatu permasalahan, manakala para muhaddis akan membekalkan hadis-hadis sebagai sumber pengambilan hukum tersebut. Manakala al-Imam Abu Hanifah radhiyallahu anhu mempunyai kepakaran di dalam kedua-dua bidang tersebut(iaitu hadis dan fiqh).

Kesimpulan

Setelah kita perhatikan dan baca dengan teliti perbahasan yang saya tulis ini,jelas lagi bersuluh bahawa menghukumkan sesuatu dengan zahir hadis yang kamu(golongan wahabi) rasakan bahawa ianya bertentangan dengan kalam Imam merupakan suatu tohmahan yang tidak berasas dan tidak mengikut jalur pengajian dan pengkajian yang baik. Perbahasan yang saya buat ini mungkin agak berat bagi sesiapa yang tidak mengetahui istilah-istilah yang digunakan. Jika ada masa, saya akan menerangkannya selepas ini. Tetapi jika “ para mujtahid jadi-jadian” tidak memahaminya maka jelaslah, kamu semua tidak mencapai lagi serendah-rendah martabat tersebut. Maka perlu beristghfar dan memohon keampunan di atas keterlanjuran dan keegoan yang terdapat di dalam diri kamu.

Rujukan:

1. Majmu’ Syarah Muhazzab oleh al-Imam Nawawi rahimahullah tahqiq Syeikh al-Allamah Najib Muti’ie .Cetakan Darul A’lam Kutub

2. Risalah إذا صح الحديث فهو مذهبي oleh Syeikh al-Allamah Wahbi Sulaiman Ghawuji al-Albani al-Hanafi hafizahullah.Cetakan Darul Iqra’.Cetakan Pertama 2005.

3. Fatawa Hadisiah oleh al-Imam Ibn Hajar al-Haitami rahimahullah .Cetakan Darul Taqwa.


MOHD NAZRUL ABD NASIR,
RUMAH KEDAH,
KAHERAH,MESIR

Friday, November 20, 2009

Budaya Ilmu Kini - Jahil Dalam Disiplin Ilmu

Soalan yang perlu dijawab :

1. Pernahkah anda melihat ada pelajar yang mengatakan tidak perlu ikut mazhab tetapi ambil sahaja al Quran dan Hadith Sahih? (sedangkan yang berkata ini jahil di dalam ilmu hadith yang berkaitan dengan hadith hasan, hadith hasan sahih, hadith dhoief - bahkan menyamakan hadith dhoief dengan hadith maudhuk)

2. Pernahkah melihat hujjah yang mengatakan ulamak pun ada buat silap, bukan maksum (sedangkan dirinya pun lagi banyaknya salah kerana tidak mempunyai ilmu seperti ulamak yang dikatanya silap dan bukan maksum tersebut) ?.

3. Pernahkah melihat di dalam blog tertentu yang ada novel-novel yang diisikan dengan pengisian cerita yang menukilkan tentang kalam ulamak agar jangan bertaqlid, mazhabku adalah hadith sahih (sedangkan kalam ulamak mujtahid ini ada disyarahkan dan ditujukan kepada golongan tertentu iaitu mereka yang bertaraf mujtahid - mereka yang mampu untuk mengistinbath (mengeluarkan) hukum sahaja).

4. Pernahkah anda melihat atau membaca mereka yang kuat mengatakan amalan-amalan tertentu (yang telah dipersetujui ulamak ia adalah khilaf (perselisihan pendapat antara ulamak mujtahid)) sebagai bid'ah sesat?

*************************************************************************************

Ketahuilah bahawa mereka yang terlibat di atas ada antara mereka adalah mereka yang tidak mahu belajar adab di dalam disiplin ilmu. Gelojoh dan terburu-buru untuk menjadi seorang pakar hukum tanpa menyelidik dan mengkaji pendapat dan hujjah ulamak muktabar yang lain.

Saya teringat kisah imam syafi'e (mujtahid mutlaq pengasas mazhab Syafie) bagaimana beliau sedari kecil belajar mengenai al Quran sehingga dapat menghafaznya pada umurnya 9 tahun. Kemudian belajar hadith dengan cara mendengar dan bertemu sendiri dengan guru-guru hadith, dan beliau mencatatnya di atas tulang, tembikar dan kulit binatang. Bahkan beliau juga mempelajari bahasa Arab yang asli dengan Kabilah Hudzail sehinggalah beliau mahir dalam bidang hadith, hafalan al Quran, bahkan dalam kesusasteraan bahasa Arab yang asli.

Menurut Dr Said Ramadhan al Buthi dalam bukunya - Alla mazhabiyyatu Akhtaru Bid'atin Tuhaddidu Asy Syarii'ata Al Islamiyyah mengenai pendidikan Imam Syafie :

'Tentang ilmu hadith, beliau belajar kepada Imam Sufyan bin Uyainah, seorang alim besar ahli hadith kota Mekah di masa itu. Adapun tentang ilmu al Quran, beliau belajar kepada Imam Ismail bin Qasthanthin, seorang alim besar ahli Quran di Kota Mekah pada masa itu. Selanjutnya, kepada para ulama lain di masjidil Haram. Beliau belajar berbagai ilmu pengetahuan agama. Ketika berumur 15 tahun, beliau telah menduduki kerusi mufti di Kota Mekah.'


Ketika umurnya 10 tahun, beliau sudah memahami kitab al Muwattha' karangan Imam Malik bin Anas (pengasas mazhab Maliki). Bahkan beliau juga mempertahankan mazhab Maliki.


Dan semasa beliau sudah mempunyai ilmu alat (ilmu asas yang menjadi keperluan untuk mengistinbath hukum) barulah beliau mengemukakan pendapatnya sendiri, serta mengomentari pendapat gurunya (imam Maliki) jika ada yang lemah. Tetapi tidak pula imam Syafie mengatakan ia sebagai bid'ah sesat!. Ini kerana akhlaq yang terbina di dalam diri seorang ulamak yang benar-benar takutkan ALlah untuk menjaga lisan, perilaku dari perbuatan yang tiada hak.


Begitulah - sehingga ramai murid imam syafie yang mengikuti terdiri dari ulamak-ulamak besar, bahkan ada di kalanganya adalah muhaddithin (ulamak hadith), mujtahid tarjih (ulamak yang mampu mengetahui dan menilai mana pendapat yang kuat dan lemah), mujtahid mazhab, mujtahid fatwa seperti Imam Bukhari, Imam Abu Bakar al Humaidi, Imam Ahmad bin Hanbal (pengasas mazhab Hanbali), Imam al Buwaithi, Imam Muhammad bin AbduLLah. Dan ramai lagi - anda boleh menyelusuri sendiri dari kitab Tabaqat Syafi'eyyah karangan al Subki.

SubhanaLLah - mereka ini semuanya belajar dengan disiplin ilmu yang ketat. Mempelajari semuanya dari asas bersama-sama dengan adab sebagai pelajar dan sehinggalah menjadi ulamak yang hebat. Barulah ada antara mereka yang mendirikan mazhab sendiri (setelah menjadi mujtahid mutlaq) dan ada yang terus untuk mengikuti mazhab syafie.

Hakikatnya kini, banyak kecelaruan yang timbul dengan adanya pelajar, golongan profesional yang belajar tanpa ada ilmu asas. Gelojoh hendak mempelajari ilmu yang lebih mendalam. Sehinggalah berani mengeluarkan fatwa dan pendapat sendiri berdasarkan kejahilan dan hawa nafsu sendiri kerana tidak belajar mengikut kaedah yang betul dan disiplin ilmu yang benar. Mereka tidak memikirkan kesan buruk yang timbul kepada orang awam (yang tidak mampu untuk menjadi ulamak mujtahid). Hingga timbullah pecah belah antara umat Islam.

ALlah memerintahkan bukan sahaja dalam urusan kepimpinan, bahkan juga dalam urusan agama untuk memberikan amanah kepada yang berhak dan berkelayakan.

Firman Allah subhanahua ta'ala dalam surah An-Nisa'ayat 58 yang berbunyi :
Maksudnya Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil ".


Daripada Abu Hurairah dia berkata:


“Ketika Nabi s.a.w. di dalam suatu majlis berbicara dengan orang ramai maka datang seorang `arab badawi lalu bertanya: "Bilakah hari kiamat?". Rasulullah s.a.w. meneruskan ucapannya. Ada yang berkata "Baginda dengar (apa yang ditanya) tetapi baginda tidak suka apa yang ditanya". Sementara yang lain pula berkata "Bahkan baginda tidak mendengar". Apabila telah selesai ucapannya, bagida bertanya: "Manakah orang yang menyoal". Jawab (badawi tersebut): "Saya di sini wahai Rasulullah". Baginda bersabda: "Apabila dihilangkan amanah maka tunggulah kiamat". Tanya badawi tersebut: "Bagaimanakah menghilangkan amanah itu". Sabda baginda: "Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat".
(Riwayat al Bukhari)

Berhati-hatilah wahai diri, perhatikan dari mana kamu mengambil urusan agama. Semoga dijauhkan dari pendustaan terhadap Allah dan RasulNya serta melakukan kezaliman terhadap ulamak dan umat Islam.

Sumber rujukan : Dr Said Ramadhan al Buthi, Alla mazhabiyyatu Akhtaru Bid'atin Tuhaddidu Asy Syarii'ata Al Islamiyyah, K.H AbduLlah Zakiy Al-Kaaf,Bahaya Bebas Mazhab Dalam Keagungan Syariat Islam.

Sumber : Http://JomFaham.Blogspot.Com

Wednesday, November 18, 2009

FAHAMI KERANGKA WAHHABIY

Riduan Isamudin @ Hambali adalah bekas Ketua Wakalah Jamaah Islamiah yang beroperasi di Sungai Manggis, Banting, Selangor. Kini beliau ditahan di Teluk Guantanamo, Cuba


ًIsu aliran pemikiran Islam sentiasa datang dan pergi. Ia diibaratkan seperti pasang surut air laut. Sekejap memuncak.. dan surut pula seketika. Apapun, pengurusan isu-isu yang berkaitan pemikiran Islam ini perlu ditangani secara bijaksana oleh pemerintah atau pihak autoriti agama supaya isu sebegini tidak merugikan umat Islam.

Perlu diketahui bahawa Wahhabiy bukan sekadar fahaman yang berkisar kepada isu-isu furuk. Sebenarnya ia berteraskan kepada isu-isu akidah. Pengasasnya, iaitu Muhammad Abdul Wahhab sendiri dikatakan begitu fanatic kepada doktrin akidah kontroversi sebahagian ulamak al-Hanabilah al-Mujassimah. (Ibn Humaid al-Hambali al-Najdi, al-Suhub al-Wabilah, hlm 275).

Manakala Imam Ibn al-Jauzi al-Hanbali (bukan Ibn Qayyim) sendiri menjelaskan bahawa terdapat tokoh ulamak Hanabilah al-Mujassimah yang mengotorkan mazhab Imam Ahmad bin Hanbal dengan akidah tajsim. Iaitu fahaman akidah yang mengkhayalkan Allah seperti makhluk. (Ibn Jauzi al-Hanbali, Daf'u Syubah al-Tasybih bi Akhaffi Tanzih, Cetakan Dar Imam al-Nawawi, 1991, hlm 98-101)

Fahaman Muhammad Abdul Wahhab sebenarnya melalui beberapa peringkat :

1) Peringkat permulaan bersama ayahnya(dibendung)
2) Peringkat selepas kewafatan ayahnya (permulaan dakwah)
3) Peringkat dakwah fahaman Wahhabiy (dakwah secara aktif)
4) Peringkat politik Wahhabiy (bersama Uthman bin Muammar + Muhammad bin Suud)
5) Peringkat gerakan ketenteraan Wahhabiy (berperang dgn Kerajaan Uthmaniyyah bersama Muhammad bin Suud – eksport fahaman ke seluruh dunia dengan jenama pelbagai)
6) Peringkat pengikut Wahhabiy. (kontemporari)

Dalam sesebuah negara umat Islam, fahaman Wahhabiy ditampilkan dengan ke enam-enam pakej lengkap di atas. Jika anda ingin membuat sebarang ulasan berkaitan dengan fahaman ini anda harus menelusuri perbincangan pakej sedari awal lagi. Memahami kronologi fahaman ini separuh jalan menyebabkan anda gagal menjustifikasi isu ini secara menyeluruh. Sekaligus anda berpegang kepada hipotesis yang pincang.

Jika anda melihat isu ini dari jendela feqhiyyah, anda simpulkan bahawa fahaman Wahhabiy tidak memberi sebarang masalah. Anda pasti membuat justifikasi mudah. Iaitu masalah Wahhabiy dianggap sebagai permasalahan khilafiyah furuk sahaja. Pada hal, isu ini sebenarnya melampaui batasan khilafiyyah itu sendiri. Cuba perhatikan sedalam-dalamnya bahawa tiada disana satu aliran mazhab pun di dalam ASWJ yang bertindak keras mengkafir @ menyesatkan umat ini hanya semata-mata berselisih pendapat dalam masalah furuk. Melainkan fahaman ekstrem seperti Khawarij, Syiah Rafidhah, Karramiyyah dan lain-lain. Tidak hairanlah jika Imam Ibn Abidin di dalam kitab Raddul Mukhtar menjelaskan bahawa pengikut kepada fahaman Muhammad Abdul Wahhabiy adalah golongan khawarij di zaman modern.

Jika anda melihat isu dari jendela akidah, akidah tajsim dan tasybih ini memberi impak yang besar terhadp isu kafi-mengkafir dan perpecahan ummat. Jika anda melihat isu dari aspek politik, MAW sendiri terpaksa menggunakan platform politik untuk merealisasikan fahamannya setelah seruannya ditolak para ulamak. Perlu disedari bahawa, wahhabiy dari pelusuk manapun akan mengggunakan kriteria politik yang sama untuk mencapai objektif dakwah mereka. Kiaskanlah terhadap senario yang berlaku kebelakangan ini. Golongan yang membawa pemikiran berdasarkan metodologi MAW pun tak mengaku Wahhabiy. Mereka lebih selesa merapati orang-orang politik bagi sebagai alat untuk mencapai matlamat. Inilah rupa paras Wahhabiy kontemporari.

Di sesetengah negara, fahaman Wahhabiy membentuk gerakan bersenjata. Lihatlah apa yang tersirat disebalik gerakan Lasykar E Janghavi, Sipah E Sahabat di Pakistan. Lihat pula gerakan dan sayap kumpulan al-Qaedah di Iraq dan Yaman. Lihat juga kumpulan al-Shabab di Somalia yang membid'ahkan golongan wanita yang memakai coli. Jangan lupa juga untuk menyiasat latarbelakang Jamaah Islamiah (JI) pimpinan Abdullah Sungkar dan Abu Bakar Basyir dari Indonesia. Mengapa gerakan ini menerbitkan fahaman radikal : demokrasi sistem kafir, umat islam yang tunduk kepada demokrasi juga dikira kafir, pilihanraya bid'ah, menghalakan darah orang kafir, berjihad hanya dengan senjata dan lain-lain. Bagi sesetengah mereka yang tidak mempunyai fakta, mereka merasakan semua ini adalah rekaan penulis. Tetapi jika didedahkan buku2 dari sumber JI dan anggota JI sendiri, barulah mereka menyedari ancaman semua ini melibatkan keselamatan negara.

Oleh itu, buatlah pengkajian menyeluruh berdasarkan kerangka teori yang benar. Nescaya ada hipotesis yang jelas berkaiatan dengannya. Kalau sekadar berdasarkan maklumat picisan dan bertunjangkan simpati...anda tidak perlu mengulas tentang sesuatu yang tidak anda ketahui. fakta ilmiah lebih diutamakan berbanding perasaan. Syukran

KOMEN TERHADAP ARTIKEL ‘ISLAM: ANTARA NAS DAN PENDAPAT TOKOH’


Penulis asal : Dr Asmadi Mohamed Naim

Saya membaca tulisan Dr Asri bertajuk: Islam: Antara Nas Dan Pendapat Tokoh. Pada saya Dr. Asri mengulas perbahasan kitab-kitab ulama tanpa mengetahui susur galur dan sebab musabab kenapa perbahasan sedemikian muncul. Ini dikeranakan latarbelakangnya pengajian ijazah pertama Bahasa Arab Jordan yang tiada subjek Syariah kecuali terlalu sedikit kerana ia hanya minor (seumpama pelajar sastera Melayu di Malaysia, tidak seperti Kuliah Bahasa Arab di al-Azhar), kemudiannya dia terus terjun dalam pengajian hadith di peringkat Masters (secara penyelidikian dan bukan berguru) dan hanya PhDnya sahaja ada 8 kursus yang perlu dilalui secara berguru. Hubungannya dengan ulama-ulama adalah terlalu sedikit berbanding pembacaan.

Untuk mengkritik kitab-kitab turath, dia memilih satu huraian kitab yang ditulis oleh ulama yang tidak terkenal di kalangan ulama mutaakhirin. Dia tahu dia tidak akan berjumpa perkara sedemikian dalam kitab mutaqaddimun mazhab. Dia tahu, dia sukar untuk mengkritik syarahan Imam al-Shafie, al-Mawardi, al-Nawawi dalam aliran mazhab Shafie. Demikian sukar juga dikutuk pandangan Abu Yusuf, Muhammad dan Zufar dalam mazhab Hanafi. Sukar juga dikatakan tidak logik pada pandangan pemuka mazhab Malik seperti Ibn Rusyd al-Jad dan Ibn Rusyd al-Hafid dan al-Dasuqi sebagaimana sukar mempertikai Ibn al-Qudamah, al-Maqdisi dalam mazhab Hanbali.

Sesiapa yang mempelajari 'madkhal al-fiqh' (Pengantar al-Fiqh) sepatutnya menyedari adanya budaya 'araaitiyyun' (kalau sekiranya... araaita) di kalangan ulama untuk membahaskan kemungkinan-kemungkinan berlakunya sesuatu peristiwa. Sekira sangkaan baik ada pada pelajar, ia akan merasakan bagaimana hebatnya seseorang imam itu berusaha mengembangkan perbahasan dalam sesuatu perkara. Itu ijtihad mereka dan sumbangan mereka. Kebiasaan guru-guru Shariah menerimanya sebagai satu usaha ulama-ulama silam memperhalusi setiap perbahasan dan bersangka baik dengan ulama-ulama ini.

Tugas pelajar-pelajar Shari'ah kemudiannya menyaring dan memahami perbahasan tersebut untuk disampaikan kepada masyarakat awam. Bahkan daripada contoh-contoh yang diberi, akan terbentuk kaedah mengeluarkan hukum di kalangan pelajar Shari'ah. Bukan semua orang layak menjadi mujtahid.

Sekali lagi 'isu kecil' berus gigi diperbesarkan utk menunjukkan dan membuktikan kebodohan dan ketidaklogikan ulama silam. Bukankah ada pandangan ulama silam yang tetap membenarkan bersugi selepas zohor?


*Tambahan dari ustaz al muqry : "pandangan ustaz yg menyatakan makruh menggosok gigi"Sebenarnya ia bukannya pandangan ustaz tetapi nukilan ustaz tersebut dari tokoh tokoh ulama2 mujtahid yang muktabar. :


Imam Nawawi di dalam Al-Majmuk menyatakan ia pandangan yang dinaskan sendiri oleh Imam Syafei di dalam kitabnya 'Al-um', dan disebut juga di dalam bab puasa di dalam kitab 'Mukhtasor Muzani' (kitab yang banyak menukilkan pandangan2 Imam Syafei)

Selain ulama dalam mazhab Syafei tokoh-tokoh ilmuan yang lain juga banyak berijtihad dengan ijtihad yang sama. Ibnu Munzir menyatakan bahawa ia merupakan pandangan 'Aatho', Mujahid (keduanya ulama tabien), Imam Ahmad (Imam mazhab/mujtahid mutlaq), Ishaq bin Rahawaih (Ahli hadis terkenal) dan Abu Thaur.

Ibnu Shabbagh menyatakan bahawa ia juga pandangan Ibnu Umar RA (satu riwayat dlm pandangannya), Imam Auzaie (Mujtahid mutlaq) dan Muhammad bin Al-Hasan (mujtahid dlm mazhab hanafi/ sohib Abu Hanifah) (lihat Al-Majmuk Jil 6 Ms 425 dan Jil 1 Ms 330-333)


Pada saya, ulasan negatif terhadap ulama-ulama tersebut menunjukkan 'tidak cermatnya orang yang memperkecilkan ulama-ulama silam tersebut. Kalau dia melalui pengajian rasmi Shari'ah di University of Jordan yang saya sama universiti dengannya (dan hampir sama tahun pengajian), dia akan berjumpa dengan ramai pensyarah-pensyarah yang menyindir pelajar-pelajar supaya menjaga adab dengan ulama. Bahkan ada yang menyebut:


'Hum rijal wa nahnu zukur' iaitu 'mereka lelaki (yang sebenar) dan kita lelaki (biasa)'


sebagai sindiran kepada mereka yang merasakan setaraf atau lebih hebat dari ulama-ulama silam tersebut walaupun baru setahun dua di Kuliah Shari'ah. Bahkan pengajian saya dengan tokoh-tokoh Salafi Jordan seperti Prof. Dr Umar al-'Ashqar (yang digelar Salafi Tulen Jordan), Prof. Yasir al-Shimali dan lain-lain menunjukkan bagaimana mereka menghormati pandangan Imam-Imam mazhab tersebut dan anak-anak muridnya. Tidak pernah keluar dari mulut Prof. Umar perkataan 'banyak contoh-contoh bodoh atau tidak logik yang dibentangkan oleh ulama Fiqh!'

Demikian juga, malang bagi Dr. Asri apabila semua 'busuk' yang dia lihat pada ulama silam. Takut-takut 'bahtera perubahan' menjadi 'bahtera fitnah'... Pada saya ini sudah menjadi 'keterlanjuran dan fitnah melampau' Dr Asri terhadap ulama! Yang di sebaliknya (seolah-olah) dia menyeru:


'Jangan ikut ulama, tapi ikutlah aku kerana akulah yang paling logik dan akulah paling benar'.


Manakala ulasannya dalam Hashiah al-Bajuri, dia tidak menyatakan mukasurat. Saya lebih cenderung dia tersilap menterjemahkan. Terjemahan asal ialah memasukkan ‘keseluruhan kemaluan’. Kalau benarpun terjemahannya, ia di bawah konsep bahasa Arab yang di sebut ‘lanjutan contoh’ bukan sebagai ‘contoh utama’. Jadi, dia seharusnya lebih memahami perbahasan ulama-ulama fiqh dan seharusnya cuba bersangka baik kepada ulama-ulama tersebut sebagaimana dia boleh bersangka baik kepada Albani walaupun banyak 'tanaqudhat' (pandangan yang saling berlawanan samada dalam kitab yang sama atau kitab berbeza).

Wallahu a’lam.

Allahu musta'an.

Sumber : Http://DrAsmadinet.Blogspot.Com

Tuesday, November 17, 2009

Mengapa Fahaman Wahhabiy Mesti Ditolak ?



Saya tertarik dengan Artikel Pandangan Rasmi Jakim Mengenai Wahhabiyyah. Mereka yang Pro Wahhabi akan menggunakan hujjah dari JAKIM untuk menyatakan Wahhabi boleh diajar dan disebarkan di Malaysia atas alasan TIDAK SESAT. Namun mereka yang Pro Wahhabi ini lupa tentang perkataan ini :


Pada asasnya kerajaan menolak kehadiran fahaman Wahhabiyyah atas dasar ia boleh menimbulkan kekecohan dan perpecahan di kalangan umat Islam. Ia sepertimana yang telah diputuskan di dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan iaitu pada kali ke-12 (1985), kali ke-14 (1985), kali ke-16 (1986), kali ke-40 (1996), kali ke-42 (1997) dan kali ke-44 (1998). Ia juga dibincangkan berkali-kali di dalam mesyuarat Panel Kajian Aqidah JAKIM pada kali ke-14 tahun 2000, kali ke-20 tahun 2002 dan kali ke-23 tahun 2003.

Kesemua keputusan perbincangan adalah menjurus kepada menyekat penularan fahaman Wahhabiyyah atas alasan isu-isu khilafiyyah fiqhiyyah yang dibangkitkan boleh menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia.Memang tidak dinafikan fahaman Wahhabi inilah yang telah menimbulkan pecah belah di Malaysia bahkan di seluruh dunia, menghukum sesat majoriti ulamak dan umat Islam. Benarlah seperti yang disebutkan oleh ulamak :

Sesungguhnya benarlah apa yang pernah diungkapkan oleh ahli hikmah bahawa penawar boleh menjadi racun jika disalahgunakan atau jatuh ke tangan orang yang tidak ahli dalam menggunakannya. Demikianlah halnya apa yang berlaku ada hadith yang menyeru berpegang dengan Sunnah dan menjauhkan Bid'ah.

Pada Hakikatnya bertujuan memelihara kemurnian ajaran Islam dan mengukuhkan persaudaraan dan perpaduan umat Islam. Namun terdapat pihak yang mengunakannya untuk membid'ahkan amalan sebahagian besar umat Islam yang sebahagiannya merupakan pendapat Jumhur Ulama dan yang lainnya adalah masalah khilafiyyah di kalangan para Fuqaha'. Keadaan ini telah menimbulkan ketegangan dan fitnah di kalangan masyarakat Islam di mana sahaja penyakit ini merebak.

Al Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim ketika menggambarkan kesan yang ditinggalkan oleh kegiatan golongan ini terhadap keharmonian masyarakat Islam di Mesir dalam bukunya "al-Salafiyyah al-Mu'assarah" menulis :



"Kita sekarang berhadapan dengan satu gelombang taufan melanda secara membuta tuli, dengan pelbagai dakwaan dan dakyah yang memaklumkan sebahagian besar umat Islam terkeluar daripada agama ALlah... kerana mereka tidak mengikut dan berpegang dengan pendapat yang dipegang oleh golongan berkenaan... hingga memporak perandakan keluarga.. anak menuduh bapanya kufur dan syirik, anak perempuan menderhaka kepada bapa dan menganggapnya ahli bid'ah dan fasik. Ada juga berlaku wanita kahwin dengan lelaki lain tanpa penceraian yang sah dengan suaminya berasaskan anggapan bahawa perkahwinan dengan suami pertamanya tidak sah kerana dia seorang yang kafir..."

Demikian besarnya fitnah yang ditimbulkan oleh penyalah gunaan tafsir nas-nas syarak tanpa berpandukan huraian oleh ulama muktabar. Hal ini memang telah diberikan peringatan oleh RasuluLlah s.a.w dalam sebuat hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi maksudnya:

"Sesiapa yang mentafsir al Quran tanpa ilmu maka bersedialah menduduki tempatnya di dalam neraka."


Ia turut diakui oleh Dr Muhammad Adil Azizah Al Kayali yang pernah menjawat sebagai Ketua Lembaga Pengawasan Da'wah di Dubai. Iaitu golongan yang suka menggunakan nama seperti Firqotun Najiah, Muwahhidun, Salafi ini telah menghukum kafir kepada penduduk di Abu Dhabi dan Dubai hanya kerana mereka bermazhab Maliki dan mengikut aliran Asya'iroh sehingga beliau telah menulis sebuah buku yang menerangkan pengkafiran yang telah dilakukan oleh golongan ini terhadap umat Islam beserta bukti-buktinya.

Contoh pengkafiran yang telah dilakukan oleh golongan Wahhabi Salafi ini ialah :
1. Dalam Mukhtashar Muslim lil Hafiz al Munziri ketika berkomentar hadith no 2060 tentang turunnya al Masih alaihis salam di akhir zaman. Sheikh Albani berkata :

"Ini jelas menunjukkan bahawa Isa 'alaihissalam akan berhukum dengan syari'at kita dan memberi keputusan dengan al Quran dan Sunnah, bukan dengan selain keduanya iaitu Injil atau Fiqh Hanafi atau yang seumpamanya".


Pernyataan Albani ini telah dibidas oleh Dekan Fakulti Usuluddin Universiti al Imam Muhammad bin Su'ud al Islamiyah Riyadh iaitu Dr Ibrahim al Manshuri di Akhbar Harian 'Ukkaz dalam tiga makalah yang ditampilkan bersiri. Beliau berkata :


"Bagaimana anda menyamakan mazhab-mazhab dengan Injil yang sudah tidak asli dalam hal kebatilan? Dan bagaimana pula anda menggolongkan para pengikut mazhab yang empat berada dalam kesesatan seperti Yahudi dan Nasrani dan bahawa semua itu adalah pengikut kebatilan sebagaimana sangkaan anda?

*Sheikh Albani menyamakan Fiqh Hanafi yang dalil dan hujjahnya adalah dari Al Quran dan Sunnah dengan Injil yang terang jelas sudah terpesong.


Pernyataan Albani di atas juga pernah dikritik keras oleh Dr Said Ramadhan Al Buthi dalam kitabnya : Allaa Mazhabiyyatu Akhtaru Bid'atin Tuhaddidu Asy Syariiata Al Islamiyyah.

2. Di dalam Akhbar al Muslimin ad Dauliyah : apabila ditanya tentang 2 imam besar iaitu Imam An Nawawi dan Ibnu Hajar (semoga keduanya dirahmati Allah) :


"Sesungguhnya kedua Imam itu memiliki aqidah yang rosak dan melakukan penyimpangan (tahrif) dalam beberapa masalah I'tiqad".


3. Safar al Hawali dalam risalahnya bertajuk Minhaj al Asya'iroh fil Aqidah hal 28 :


"Seandainya dikatakan bahawa al Hafizh Ibnu Hajar adalah orang yang tidak menentu aqidahnya nescaya ia lebih mendekati kebenaran".

Antara bukti golongan wahhabi salafi ini menghukum sesat kepada ulamak Islam dan jemaah Islam yang boleh dibaca secara langsung dari laman web :

1. Menghukum sesat kepada Prof Dr Yusof al Qardhawi, Imam Hassan al Banna, dan Jemaah Ikhwan Muslimin :

http://salafy.or.id/salafy.php?menu=detil&id_artikel=630

2. Menghukum sesat kepada Imam Hasan al Banna :

http://www.salafy.or.id/salafy.php?menu=detil&id_artikel=375

3. Menghukum sesat kepada golongan Asya'iroh :

http://www.salafy.or.id/salafy.php?menu=detil&id_artikel=715

Dan banyak lagi contoh-contoh hukuman sesat, kafir dan syirik tanpa hak yang dilakukan oleh golongan yang melampau ini.


Kita sudah melihat bibit-bibit berkenaan bagaimana golongan yang mengaku sebagai gerakan tajdid ini di Malaysia contohnya seperti yang dilakukan oleh Dr Asri menghukum Selawat Syifa' sebagai bercanggah dengan aqidah. Terdapat juga blog-blog yang dibangunkan oleh mereka yang berfahaman sedemikian yang turut membawa fahaman tajsim dan tasybih menghukum syirik kepada ulamak dan umat Islam yang mengamalkannya.

Sumber :

1. Kata Pengantar Mufti Wilayah Persekutuan Dato' Wan Zahidi Bin Wan Teh, Makna Sebenar Bid'ah Satu Penjelasan Rapi, al-Sheikh al-Hafiz al-Fadl Abu Al Fadl AbduLLah al-Siddiq al-Ghumari, Middle East Global ,2003, Selangor
2. Dr Muhammad Adil Azizah Al Kayali, Al Firqah An Najiah Hia Al Ummatul Islamiyyah Kulluha

Saturday, November 14, 2009

EXCO BELA JAIS TAHAN ASRI



Exco hal ehwal Islam Selangor berkata tindakan tegas yang dikenakan ke atas Dr Mohd Asri Zainul Abidin baru-baru ini antara lainnya bertujuan mengelakkan perpecahan di kalangan orang Islam di negeri itu. Datuk Dr Hasan Ali, berkata beliau menerima laporan bahawa terdapat ceramah-ceramah agama dibuat di dua hingga tiga tempat berasingan dalam satu lingkungan kawasan yang kecil."Apa erti kita nak membangunkan Islam kalau buat (ceramah) berasing-asing?" katanya, ketika menggulung perbahasan bajet 2010 di DUN Selangor semalam.

Tambahnya, tidak timbul soal kekasaran dalam penahanan ke atas bekas mufti Perlis itu, yang disifatkan oleh pihak tertentu seolah-olah seperti untuk menahan pengganas, kerana penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terlatih dalam hal itu."Saya telah diberi taklimat beberapa kali oleh pegawai Jais, mereka yang berada di tempat kejadian juga beri taklimat kepada saya."Mereka nafi perkara itu. Mereka telah diberikan kursus mengenai aspek perundangan dan juga pendekatan untuk membuat tangkapan," kata Dr Hasan lagi. "Mereka buat dengan lemah-lembut, dengan menghormati orang, dengan tidak menyentuh sebarang tubuh badan." Katanya, isu melibatkan penangkapan Dr Mohd Asri itu kini telah difailkan di mahkamah dan "tidak cantik" jika beliau mengulas isu tersebut ketika persidangan DUN.

Mengulas mengenai jumlah besar anggota polis yang dikerahkan oleh kumpulan pegawai penguatkuasa Jais ketika menahan bekas mufti itu, Dr Hasan berkata ia disebabkan kehadiran kira-kira 100 orang di tempat itu. "Kenapa ramai? Sebab yang ada di situ 100 orang, jadi mereka memandang ke hadapan dan bersedia. "Mereka menggunakan apa guna segala yang patut dan segala yang adil untukl seorang seperti kedudukan Dr Mohd Asri," jelasnya. Mengulas lagi rentetan peristiwa menjelang tengah malam 1 November lalu di sebuah banglo di Hulu Kelang, beliau berkata 100 orang hadirin di situ telah bertindak menghalang anggota penguatkuasa daripada menahan Dr Mohd Asri. "Lepas habis ceramah, saya diberitahu (Dr Mohd Asri) dibawa masuk ke bilik. Ada 100 orang di luar bilik itu pula buat perisai.

"Mereka hanya datang untuk beritahu (Dr Mohd Asri) langgar peraturan enakmen pentadbiran (Islam) 2003. Tapi itu tidak boleh dilakukan hingga jam 12 lebih," katanya. Dr Hasan berkata beliau tidak mempunyai apa-apa masalah untuk bertemu dengan Dr Mohd Asri bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak tokoh agama popular itu. "Ketika dia mula-mula balik dari Jordan dulu, saya antara orang pertama yang bermesyuarat dengan (Dr Mohd Asri). Saya tidak ada masalah untuk bertemu beliau," katanya.

Beliau turut menafikan wujudnya "tangan-tangan ghaib" yang menghalang individu tertentu daripada menerima tauliah untuk mengajar agama di Selangor seperti dibangkitkan ADUN Pakatan Rakyat, Saari Sungib. Dr Hasan berkata, dakwaan "tangan ghaib" itu tidak timbul kerana hanya Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri itu yang digunakan sebagai asas pentadbiran. "Kalau kita ada peraturan tapi tak ikut, nanti akan jadi anarki. Kita tidak mahu perkara agama jadi anarki. "Kalau kita keluarkan pendapat yang bertentangan dengan enakmen itu sendiri, pun akan jadi sukar kepada kita untuk mentadbir. Enakmen itulah yang menjadi kamus kita untuk mentadbir," katanya.

Menjawab satu soalan daripada Saari, wakil rakyat PAS bagi Hulu Kelang, Dr Hasan berkata ulama juga perlu meletakkan kepercayaan kepada ahli-ahli jawatankuasa pentauliahan. "Kita kena bagi kepercayaan kepada jawatankuasa, kena yakin kepada orang dalam jawatankuasa itu. "Kalau ada teman yang minta tauliah guna budi bicara tapi jawatankuasa tidak luluskan, boleh datang berjumpa dan dapatkan sebab apa tidak dapat tauliah," katanya.

ULAMAK PERJELAS WAHHABIY

Sahibus Samahah Prof Dr Syeikh Ali Jumuah : Antara ulamak kontemporari yang lantang mengkritik Wahhabiy

Isu Wahhabiy bukanlah isu picisan khilafiyyah. Sebaliknya merupakan isu global umat Islam. Semenjak kemunculan kontroversi fahaman Wahhabiy, ulamak sentiasa menampilkan hujjah bagi menjelaskan bahaya fahaman ini. Samada melibatkan akidah, syariah mahupun keselamatan negeri. Antara ulamak besar nusantara yang mengkritik fahaman Wahhabiy ialah Syeikh Ahmad bin Mustafa bin Muhammad Zain al-Fathani menerusi kitabnya Hadiqatu al-Azhar wa ar-Rayahin’. Beliau merupakan seorang yang alim, faqih, arifbillah lagi terkenal di dunia Melayu dan Islam, menguasai pelbagai bidang ilmu, mempunyai murid-murid yang tersohor (Tok Kenali dan lain2) dan bergurukan ulamak2 besar yang muktabar.

Beliau menjelaskan : "Dan setengah daripadanya fitnah taifah (puak) Wahabiyyah yang melampau mereka itu hingga memerintah (menguasai) mereka itu akan dua Tanah Haram yang mulia. Dan mereka itu satu kaum yang mempunyai mazhab yang jahat dan jalan yang sesat dan i’tiqad yang mudarat (tajsim : mengkhayalkan Dzat Allah SWT).”

Beliau mengulas tentang Muhammad Abdul Wahhab (MAW)dengan katanya : “Dan adalah yang menghantar [penganjur] mazhab mereka itu yang keji dan yang meringkahkan dia, Muhammad anak Abdul Wahab dan asalnya daripada masyriq [timur: Najd] daripada Bani Tamim. Dan adalah permulaan pekerjaannya bahawa ia setengah daripada mereka yang menuntuti ilmu di negeri Madinah al-Munawwarah ‘ala sahibiha afdalu as-salati wa as-salam.”

Katanya : “Dan adalah bapanya laki-laki yang soleh (Syeikh Abdul Wahhab bin Sulaiman bin Ali bin Musyarraf) demikian lagi saudaranya (Syeikh Sulaiman bin Abdul Wahhab). Dan adalah bapanya dan saudaranya dan sekelian guru-gurunya memfirasat mereka itu padanya bahawasanya lagi akan jadi daripadanya (MAW) sesat dan menyesat dan zaigh (menyeleweng) dan ilhad (tiada pedoman agama) dari kerana barang yang diketahui oleh mereka itu daripada perkataannya (Muhamad Abdul Wahhab) dan perbuatannya dan bantah-bantahannya pada kebanyakan daripada beberapa banyak masalah (agama). Maka adalah mereka itu menakutkan (menyebabkan orang takut) akan manusia hampir kepadanya. Maka tahqiq oleh Allah Ta‘ala akan firasat mereka itu.”

Katanya lagi : “Maka meringkah ia bagi dirinya akan mazhab yang sesat dan menyalahi ia akan segala imam agama (ulamak mujtahid) dan menyesat ia (menghukum sesat)akan segala yang jahilin (org awam) dan mengkafirkan ia akan segala mereka yang tiada mengikut mazhabnya (pemikirannya)daripada mukminin. Dan menghukum ia dengan syirik mereka yang ziarah kan kubur Nabi SAW dan auliya’ dan solihin, dan yang bertawassul dengan mereka itu. Dan mengharamkan ia akan berselawat atas Nabi SAW (dgn lafaz sayyidina) dan beberapa i’tiqad yang lain daripada demikian itu, dan bahawasanya (Muhammad Abdul Wahhab) mendakwa segala manusia telah kufur mereka itu daripada masa hijrah 600 tahun sehingga kepada masanya itu. Dan (konon)Dialah yang membaharukan (melakukan tajdid) bagi mereka itu akan Islam mereka itu. Dan mentaklif [mengarang] ia bagi mereka itu beberapa risalah dan mendatang ia dengan beberapa ibarat (ulasan) dan beberapa dalil atas fahamnya yang sesat dan aqalnya yang tebal (bebal). Dan mengkesamaran [meengelirukan] ia dengan demikian (risalahnya) itu atas kebanyakan orang awam. Maka mengikut setengah mereka (awam) itu akan dia (MAW).”

Thursday, November 12, 2009

SIAPA SEBENARNYA WAHHABIY?



Istilah Wahhabiy begitu sinonim dengan sejarah peradaban Islam. Ia merujuk kepada aliran pemikiran yang dicetuskan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab yang lahir pada tahun 1115H di Wadi Hanifah, daerah Uyainah dalam negeri Najd (kini Riyadh). Ayahnya Abdul Wahhab bin Sulaiman bin Ali bin Musyarraf seorang qadhi dalam mazhab hambali. Sayangnya, MAW tidak menelusuri disiplin ilmu sebagaimana lazimnya.

Buktinya, Imam Ibn Humayd al-Hanbali(mantan Mufti Mazhab Hambali di Makkah) menjelaskan bahawa Muhammad bin Abdul Wahhab (MAW) tidak menguasai disiplin ilmu sebagaimana yang menjadi tradisi alim ulamak dan keluarganya pada waktu itu. Sebaliknya, MAW begitu fanatik dengan fahaman dua ulamak kontroversi dalam mazhab Hanbali iaitu: Syeikh Ibn Taimiyyah al-Harrani dan Syeikh Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Ditambah dengan beberapa pandangan keras Mazhab Hambali dan ijtihadnya sendiri, maka lihirlah fahaman Wahhabiy. Situasi ini menyebabkan ayahnya begitu murka kepada beliau. (Imam Muhammad bin Abdillah bin Ibn Humayd al-Hambali, wafat 1295), t.thn, Maktabah Imam Ahmad, hlm 275)

Perlu diketahui bahawa Muhammad Abdul Wahhab pada mulanya tidak menzahirkan secara terbuka fahamannya itu semasa ayahnya masih hidup kerana dikhuatiri menimbulkan amarah ayahnya. Akan tetapi, setelah kewafatan ayahnya, beliau mula giat menyebarkan fahamannya. Hal ini menyebabkan beberapa tokoh ulamak di zamannya bangkit bersuara dan berfirasat supaya masyarakat berhati-hati dengan dakyah Muhammad Abdul Wahhab. (Ibn Humayd, hlm 275). Walaupun firasat bukan hujjah qat'iyyah. Namun ia cukup dijadikan sandaran dgn Sabda Nabi SAW : "Takutlah kamu firasat dari orang-orang yang beriman (alim-ulamak) kerana dia melihat dengan cahaya dari Allah SWT."- riwayat Tirmidzi. Tambahan pula, kisah ini diriwayatkan oleh para alim ulamak muktabar. Dan ia boleh dikategorikan sebagai perawi yang tsiqah.

Malah, setelah kewafatan ayahnya,berlaku penyebaran fahaman Wahhabi yang mendatangkan fitnah kepada masyarakat, abangnya sendiri iaitu Syeikh Sulaiman bin Abdul Wahhab telah mengarang dua buah kitab bagi menjelaskan kepincangan fahaman adiknya itu. Iaitu Kitab Fashlu al-Khitab Fi Raddi ala Muhammad Ibn Abdil Wahhab dan Sawa’iq al Ilahiyyah Fi Raddi ala Al-Wahhabiyyah. Dalam penolakan hujjah ilmiyyah ini, abangnya sendiri menjenamakan fahaman pelik adiknya itu dengan fahaman Wahhabiy.

Bagi saya, keterangan kitab ini cukup membuktikan bahawa Syeikh Sulaiman lah antara orang yang TERAWAL menjenamakan fahaman pelik adiknya dengan gelaran "Wahhabiy". Lafaz ini kemudian dipergunakan secara meluas oleh para alim ulamak, sejarahwan (timur & barat) dan awam masyarakat samada secara pro atau kontra. Seterusnya penjenamaan Wahhabiy ini terus digunapakai hingga ke hari ini. Justeru, istilah Wahhabiy sebenarnya telah didefinisikan ulamak dan sejarahwan. Dan ia bukan lagi misteri!. Keterangan ini membuktikan kepada kita bahawa pandangan yang mengatakan ulamak tidak memberi definisi yang jelas terhadap wahhabiy adalah jauh tersasar dari fakta ilmiyyah.

Memandangkan kemunculan fahaman Wahhabiy disanggah para alim ulamak dan rekod hitam yang dimiliki gerakan ini, penjenamaan baru dirasakan perlu bagi menerapkan metodologi Wahhabiy. Jika anda mengkaji sejarah, gerakan ini terlibat dengan rentetan peperangan yang panjang hampir 200 tahun lamanya dengan Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah sebelum mereka menguasai Jazirah Arab. Setelah Makkah dan Madinah dikuasai mereka hasil konspirasi politik dan campurtangan british, mereka mula memperkenalkan diri mereka dengan pelbagai jenama. Antaranya : Salafiy, Salafiyyah, Ikhwan al-Najd dan lain-lain. Fahaman ini kemudiannya dieksport ke serata dunia. Di Malaysia, pada zaman sebelum dan sesudah merdeka, mereka menggelarkan diri mereka dengan fahaman Pan Islamisme, Kaum Muda, Ittiba' al-Sunnah, Ansar al-Sunnah dan lain-lain.

Dan kini, mereka mendakwa mereka adalah golongan Tajdid, al-Sunnah, Protaz, Muslim progresif dan pelbagai istilah yang sedap didengar. Hakikatnya, mereka memperjuangkan metodologi yang sama seperti perjuangan MAW dahulu.Iaitu mengeksploitasi nusus mutsyabihaat, membid'ah dan menyesatkan umat Islam dengan isu furuk, mencetuskan ketegangan masyarakat dan bersifat radikal dalam memahami agama.

Awas! mereka ini akan menggunakan pelbagai sumber dan kekuatan untuk menerapkan fahaman mereka. Malah ramai dari kalangan cerdik pandai tidak memahami status fahaman ini. Sesetengah alim ulamak kita masih diulit mimpi lena tentang isu ini. Sesetengah kita pula hanya tahu mengucapkan perkataan : "..alah, ni soal khilafiyyah." Isu Wahhabiy ni kecil je...Majlis Fatwa memutuskan : Wahhabiy bukan ajaran sesat..tingkap disangka pintu..dan macam-macam lagi kenyataan. Soalnya, kenapa golongan ini suka menyesatkan umat Islam dengan perkara khilaf. Insya Allah, saya akan buktikan pada anda semua bahawa isu Wahhabiy bukan sekadar khilafiyyah furu'iyyah. Sebaliknya isu yang berkait rapat dgn soal akidah, syariah, fakta sejarah, akhlak, perpaduan ummah dan keselamatan negara.

Pembaca budiman, anda perlu sedar bahawa terdapat beratus-ratus kitab menjelaskan kekeliruan Wahhabiy. Diantara ulamak terkemuka yang menulis dan menjelaskan tentang Wahhabiy ialah : Imam Ibn ‘Abidin, Imam Ibn Humayd al-Hambali (mantan Mufti Hambali di Makkah), Syeikh Sayyed Ahmad Zaini Dahlan (Mantan Mufti Syafi’iyyah di Makkah), Syeikh Sulaiman bin Abdul Wahhab (abang pengasas Wahhabiy), Imam Habib Abdullah Alawi al-Haddad, Syeikh Muhammad hayat al-Sindi, Syeikh Abd Rahman al-Kuzbari, al-Musnid Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi, Syeikh Muhammad Zahid al-Kautsari, Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari , Syeikh al-Musnid Muhammad Yasin al-Fadani dan ramai lagi.

Antara ulamak besar kontemporari yang menempelak sikap pelampau Wahhabiy ialah : Syeikh Umar Hasyim (mantan Rektor al-Azhar), Syeikh Ali Jumaah (Mufti Mesir- Mufti ini sendiri pernah ditumbuk pelampau Wahhabiy dalam satu masjid selepas beliau mengatakan harus menyambut maulid Nabi SAW) sebahagian besar ulamak al-Azhar al-Syarif, Dr Yusof al-Qardawi (Qatar) Syeikh Yusuf Hasyim al-Rifaie (Kuwait),Syeikh Jamil Halim al-Husaini, Syeikh Ahmad 'Ajour (Lubnan) Syeikh Ahmad Khalili (Mufti Oman), Syeikh Nuh al-Qudah (Mufti Jordan), Syeikh Hassan al-Saqqaf (Jordan) Syeikh Nuh Keller (US) Syeikh Salim Ulwan al-Hasani (AUS), Syeikh Wahbah Mustafa al-Zuhaili, Syeikh Usamah Sayyid (Mesir), Syeikh Mutwalli Sya’rawi (Mesir), Syeikh Mahmud Said Mamduh (UAE),Syeikh Gibril Fuad al-Haddad, Syeikh Ibrahim al-Kattani, Habib Umar al-Hafiz, Habib Anis al-Musawa (Yaman) dan ramai lagi.Di nusantara pula sebahagian besar ulamak yang beraliran tradisi-talaqqi menolak fahaman Wahhabiy.
Antara ulamak nusantara yang mengkritik keras fahaman Wahhabiy ialah :1) Syeikh PaK Da Eil al-Fathani dan sebahagian besar ulamak Fathoni2) Syeikh Abdullah Fahim3) Syeikh Hj Yahya Kupang4) Syeikh Ahmad bin Muhammad Zayn al-Fathoni5) Tok Kenali, Syeikh Abdullah Tahir Bunut Payung,Tok Selehong, Tok Pulau Pisang, Tok Ku Paloh6) Syeikh Abdullah Fahim, Habib Ali al-Jufri, Habib Anis Solo (Indon)7) Syeikh Pak Chu Him Gajah Mati, Tn Guru Hj Lah Lubok Tapah, Tn Guru Hj Hasyim, Pasir Tumboh8) Syeikh Wan Ali Kutan, Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi, Syeikh Habib Noh9) Syeikh Alwi binTohir al-Hadd, Kiyai Hj Sirajuddin Abbas, Syeikh Mustafa Suhaimi DLL10) Para Mufti dari Brunei, Singapore, Kemboja, MUI, Mufti Malaysia (kecuali Perlis) semuanya menolak Wahhabiy.

Hakikat ini diketahui semua termasuklah bagi mereka yang bertindak sebagai pendakwah Wahhabiy. Namun, terpulang bagi mereka samada mendustakan hakikat atau terus ingin menggunakan metodologi wahhabiy bagi menyanggah fahaman dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah arus perdana : akidah (Asyairah/maturidiyyah), feqah (mazhab jumhur ulamak) atau tasawwuf (Sufi yang Haq). Atau mereka juga tetap ingin bersikap keras kepala dengan para alim ulamak Sunni di atas.

Semua keterangan ini membuktikan kepada kita bahawa tiada yang misteri dalam fahaman Wahhabiy. Istilah "Misteri" sepatutnya dilabelkan kpd sesiapa yang bersungguh2 memperjuangkan Wahhabiy. Ia merentasi sempadan kaum, masa, tempat dan keadaan. Soalannya, Jika intisari fahaman ini benar, kenapa ada pertentangan dengan mazhab. Jika fahaman ini tidak bermasalah, kenapa para ulamak muktabar mengkritik fahaman ini dengan kritikan yang keras. Kita hairan..dalam negara umat Islam, kenapa golongan ini sanggup menghabiskan duit yang banyak, menggunakan saluran kedutaan dan bermati-matian menyebarkan Wahhabiy di negara ini.

Lebih parah lagi, apabila sebahagian dari mereka yang berfahaman Wahhabiy mempengaruhi orang politik dan kenamaan. Sebahagian pula mengambil tempat strategik dalam jawatan awam. Dalam sesetengah keadaan..mereka bertaqiyyah (menyembunyikan fahaman). Tetapi bila mereka memiliki kekuatan..mereka mula cuba mempengaruhi kita dengan dakyah dan pengaruh politik mereka. Ini satu misteri yang perlu dibongkar. Semoga kita semua sedar akan bahaya fahaman ini. Dan selamatkanlah umat ini dari huru-hara agama.

Saturday, November 7, 2009

PALSU IJAZAH?

Ijazah Asri : Bachelor Degree : Fakulti Sastera : Jurusan Bahasa Arab/Syariah

Saya tidak terkejut dengan kenyataan media Mohd Asri (mantan Mufti yang ditangkap JAIS) untuk menyaman saya berhubung dakwaan beliau : saya menuduhnya memalsukan ijazah sarjana mudanya. Sebabnya, saya tak pernah menuduhnya melakukan perbuatan demikian. Sebelum membicarakan isu ini, beliau sepatutnya memahami kenyataan saya terlebih dahulu sebelum membuat ulasan. Dan jangan hanya pandai menilai sesuatu hanya berdasarkan tajuk yang ditulis wartawan. Seorang sarjana sepatutnya lebih daqiq (halus) menganalisa dan tidak mudah gemuruh dengan mainan media.

Jika dikaji dari kenyataan saya, saya tidak pernah mendakwa beliau memalsukan ijazah pertamanya. Sebaliknya tajuk akhbar : JAKIM : Asri palsukan kelulusan syariah..merupakan 'kreativiti' wartawan itu sendiri. Dan saya tidak pernah mengarah, memberi kenyataan @ memaksudkan sedemikian. Jika anda bertegas untuk menyaman, samanlah wartawan berkenaan kerana wartawan itu yang memuatkan tajuk di atas. Lihat http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1103&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_17.htm&arc=hive:

Disini, ingin saya pertegaskan sekali lagi bahawa bidang pengkhususan Ijazah pertama Asri hanya melibatkan Bahasa Arab dan Sastera. Lihatlah ijazah pertama yang dipamerkan di atas. Ianya tertulis : Fakulti : Sastera, Jurusan : Bahasa Arab/Syariah Islamiah. Walaupun Asri mengambil 15 subjek elektif syariah sekalipun, ijazahnya tetap bergelar ijazah Bahasa Arab dan Kesusasteraan. Bukannya : Ijazah Bahasa Arab Dan Syariah Islam. Ini kerana subjek syariah bukannya teras fakulti. Lagipun bilangan subjek Bahasa Arab dalam transkripnya lebih banyak dari bilangan subjek syariah. Anda boleh melihat nisbahnya dalam 2/3 subjek. Jika di dalam transkrip berkenaan merangkumi bilangan subjek yang sama rata antara bahasa arab dan syariah, ijazah beliau berhak digelar : Ijazah Bahasa Arab dan Syariah Islam. Tetapi hal seperti itu tidak berlaku. Paparan di atas membuktikannya.

Status pengenalan terhadap gelaran ijazah pelajar luar negara juga boleh didapati dari JPA. Selaku badan yang bertanggungjawab mengiktiraf sijil-sijil tempatan dan luar negara, JPA berhak membuat penarafan dan gelaran. Jika anda benar2 berminat untuk mengetahui jenis gelaran ijazah di atas. Sila hubungi pihak JPA untuk mentusahkanya.

Disamping itu, Asri salah seorang pelajar tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Umum mengetahui bahawa mana-mana pelajar tajaan KPM @ JPA sememangnya dihantar belajar dalam bahasa Arab dan Kesusateraan. Melainkan jika terdapat mana2 pelajar yang terkandas dalam Jurusan Bahasa Arab dan sastera, seseorang itu dibenarkan menukar ke jurusan yang lain seperti Jurusan Syariah dan Pengajian Islam. Tetapi bilangan mereka begitu minima.

Sememangnya, di zaman Asri, Universiti Of Jordan menawarkan pengajian Jurusan Bahasa Arab/Syariah. Tetapi, ijazah beliau tetap memberi fokus kepada Bahasa Arab dan Sastera. Walaupun subjek syariah turut diambil pelajar, ia tidak menjadikan gelaran ijazah berkenaan separa Bahasa Arab : separa syariah sebagaimana yg diamalkan sesetengah Universiti tanahair. Oleh itu, pengambilan subjek syariah yang terhad tidak menjadikan seseorang sebagai mempunyai dwi minor dalam satu ijazah. Hal ini amat bertepatan dengan kaedah feqh : "Lafaz menunjukkan maksudnya, bukan sekadar strukturnya." Justeru, terimalah hakikat sebagaimana adanya.

Kesimpulan :

1) Isu ijazah bukanlah fokus perbincangan yang perlu diberi tumpuan. Tetapi, isu utama beliau ialah mengajar agama tanpa tauliah adalah satu kesalahan di mana-mana negeri sekalipun di bawah bidang kuasa Sultan. Ia berdasarkan akta dan enakmen yang sedia ada.

2) Sebab utama beliau mengeluarkan kenyataan yang pelik2 adalah berpunca dari dirinya sendiri yang tidak menguasai disiplin ilmu syariah secara lengkap dan menyeluruh berdasarkan ijazah pertamanya. Manakala Ijazah kedua dan doktor falsafahnya hanya tertumpu kepada kajian khusus semata-mata. Bukan beerti anda memilki Masters dan PHD sudah dikira anda sebagi ahli hukum dan mampu berijtihad, mencela atau menghina ulamak. Kalla.

3) Jika anda merasakan saya masih menuduh anda 'memalsukan ijazah' Anda sepatutnya memahami definisi 'palsu' itu sendiri. Saya tidak pernah menuduh anda menciplak, membuat salinan @ membeli ijazah berkenaan. Sebaliknya hanya menghurai status ijazah dan kandungan subjek yang anda pelajari itu berdasarkan fakta yang sah. Moralnya, jangan dilantik seseorang yang bukan ahli kerana dikhuatiri mudharat lebih banyak dari manfaat.

4) Jika anda ingin mengemukakan saman terhadap saya... itu adalah hak anda. Tetapi ingat, saya juga berhak melakukan perbuatan sedemikian disebabkan anda terlebih dahulu meburukkan nama baik Jabatan saya, menyifatkan saya sebagai seorang pegawai yang melakukan fitnah, perbuatan jijik lagi hina. Nasihat saya, Jangan bercakap sesedap hati anda. Saya juga memilki hak yang perlu dipertahankan. Dan sesekali tidak akan teragak-agak untuk bertindak ke atas sesiapa pun yang menceroboh hak peribadi saya. Sila renung kembali kenyataan anda : "Tindakan pegawai JAKIM menuduh saya membuat sijil palsu amat hina dan jijik. Seakan tidak waras dan berfikir panjang. Masakan UIA, USM membenarkan saya menyambung Ph.D dan menjadi pensyarah jika sijil saya palsu. -Saya sendiri rasa amat lekeh untuk jawab tuduhan yang seperti ini. Persoalannya, apakah JAKIM di belakang konspirasi ini? Jika JAKIM terlibat, nanti orang akan tanya apakah terdapat mereka dari Kerajaan Pusat juga terlibat? JAKIM jangan burukkan nama Kerajaan Pusat!"
Sesungguhnya, Allah lebih mengetahui siapa yang memutarbelit perkataannya. Dan siapa yang lebih sudu dari kuah untuk mengalihkan isu penangkapannya. Semoga kita semua diberi petunjuk oleh Allah SWT.

MESTI U-TURN

Sidang media menjadi kecoh disebabkan kehadiran
beberapa ahli PGSM yang berfahaman Salafi Wahhabiy


KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) semalam membuat kejutan apabila tidak akan menarik balik memorandum yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini berkenaan ura-ura perlantikan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Presidennya, Mohamad Isa Abdul Ralip berkata, PGSM tetap mempertahankan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong yang ditandatangani bersama–sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang lain, malah permohonan maaf secara terbuka juga tidak akan dilakukan. “PGSM hanya menarik balik penyiaran memorandum berkenaan dari laman web rasmi yang telah pun kami lakukan sebelum Dr Mohd Asri mendedahkannya kepada media. “Sebaliknya kami difahamkan bahawa Dr Mohd Asri sendiri yang membuat salinan memorandum berkenaan dan menyiarkannya di dalam blog peribadi beliau serta mengedarkannya kepada pihak media dan pihak-pihak yang lain,” katanya sewaktu sidang media bersama NGO Islam, di Sekretariat PGSM, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini semalam.

Menurutnya, Exco PGSM yang bermesyuarat semalam bersama 10 NGO Islam membuat ketetapan itu setelah kesal dengan tindakan Dr Mohd Asri yang telah memungkiri perjanjian penyelesaian secara musyawarah dan tidak menghormati Menteri yang bertindak sebagai mediator. “Di dalam pertemuan semalam (kelmarin), PGSM telah bersetuju untuk menamatkan konflik yang tercetus demi kemaslahatan dan kepentingan umat Islam secara keseluruhannya. Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk tidak memberi sebarang kenyataan media untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam di negara ini. “Bagaimana perbincangan yang dibuat secara tertutup itu boleh didedahkan kepada media termasuk penyiaran gambar dari sumber pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya

Keputusan itu ternyata berbeza dengan kenyataan Dr Asri selepas pertemuan tertutup membabitkan tiga pihak iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, Presiden PGSM dan beliau sendiri. Hasil pertemuan tertutup itu, Dr Asri berkata PGSM telah memohon maaf dan menarik balik segala tuduhan negatif yang dilemparkan terhadapnya dan persatuan itu telah menulis draf sambil disaksikan oleh Menteri.

Tiada sesi soal jawab terbuka kepada wartawan sebaliknya sidang media (U-Turn) itu bertukar menjadi kecoh apabila beberapa ahli PGSM tidak berpuashati dengan keputusan presidennya yang enggan menarik balik memorandum yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini berkenaan tuduhan yang dilemparkan terhadap bekas Mufti Perlis itu.

Ulasan 1:
Saya bersetuju 100% dengan tindakan PGSM untuk mengekalkan pendirian mereka berhubung bantahan pencalonan Dr MAZA sebagi YDP YADIM. Bahkan telah membuat U-Turn terhadap permohonan maaf kepada Dr MAZA yang disaksikan Menteri JPM tempohari. Sebenarnya PGSM tidak menarik balik memo yang telah dihantar kepada YDP Agong. Sebaliknya, hanya menarik balik kesilapan teknikal paparan memo berkenaan di lawan web persatuan itu. Tetapi, Dr MAZA sendiri yang menyiarkan memo berkenaan di laman beliau. Soalnya, apa tujuan Dr MAZA? Adakah dia ingin membantah MEMO 13 NGO Islam @ ingin membantah 'tidak perkenan' YDP Agong. Jika anda ingin membantah NGO Islam secara ilmiah, silakan. Dan jika anda tidak berpuashati dengan keputusan YDP Agong, ertinya anda ingin membantah kuasa Eksekutif Tertinggi Negara. Usahkan YDP YADIM, jawatan Menteri pun jika tidak diperkenankan YDP Agong, ianya boleh dibatalkan. Ternyata, anda tiada semangat 1 Malaysia.


Ulasan 2 :
Hasil dari pertemuan ini, anda boleh melihat ketulusan Menteri JPM dan kesungguhan JAKIM untuk menyelesaikan kemelut ini. Tetapi terdapat sesetengah pihak yang tidak jujur dan cuba mengeksploitasi keadaan dan menghebahkan kepada media tentang pertemuan ini. Lalu disebarkan beberapa foto mesyuarat dan memberi ulasan terbuka kepada media. Hal ini mengeruhkan lagi keadaan. Lantaran itu, tidak hairanlah PGSM menarik balik kenyataan permohonan maafnya itu kerana mereka berasa dizalimi oleh pihak kedua. Anda boleh menganalisa, siapa sebenarnya yang lebih ghairah mencari glamour melalui media.-tamat

Ulasan 3 :
Pemerhatian saya mendapati di dalam PGSM terdapat dua kelompok. Kelompok mahasiswa yang berkelulusan syariah dan kelompok mahasiswa yang berkelulusan undang@. Walau begitu, antara dua kelompok ini tiada jurang pemisah besar sesama mereka. Namun, apabila ada segelintir ahli yang 'satu kapal' dengan metod Dr MAZA, maka mereka tampil membantah keputusan PGSM dan membuat kecoh pada sidang media berkenaan. Sahabat saya yang hadir pada majlis itu memberitahu, sikap ahli PGSM senior itu macam keanak-anakan dan tidak layak bergelar peguam syar'ie. Disebabkan keceluparan mereka dalam menutur kata.. lalu mereka dikeluarkan dari sidang berkenaan. Setelah sidang media berjalan seketika, seseorang telah menyampaikan surat tuntutan dari peguam DR MAZA terhadap PGSM. Surat itu menuntut penjelasan berkaitan memorandum dalam tempoh 14 hari. Jika tidak PGSM akan disaman. Adilkah, jika seseorang yang telah meminta maaf kepada anda secara tertutup, anda kemudiannya membuat kenyataan terbuka kepada media. Dan anda pula memanjangkan tuntutan ke atas mereka. Tidak hairanlah jika PGSM melakukan U-Turn dalam kes ini.

Akhirnya, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada PGSM. Anda perlu pertahankan memorandum berkenaan berdasarkan hujjah dan fakta. Jika anda inginkan peningkatan nilai ringgit fakta, anda boleh menghubungi tuan blog untuk mempertahankan hujjah anda di mahkamah nanti. Naik turun mahkamah adalah rutin anda, anda tak perlu gentar jika dicabar. dan percayalah, ada pihak yang ikhlas untuk membantu kita semua. Allah tuje malum..Allah tuje malum.

Wednesday, November 4, 2009

AMBIL TEMPOH BERTENANG


Kekecohan berlaku apabila sebahagian dari kita bertindak membelakangi undang2 agama dan tidak memahami prosedur pentadbiran Jabatan Agama Islam Negeri

Dua tiga hari kebelakangan ini, kecoh seluruh negara berhubung isu penahanan Dr Mohd Asri oleh Jabatan Agama Islam Selangor JAIS). Semua pihak mengemukakan pelbagai pandangan dan tanggapan mengenainya. Bagi saya, JAIS telah bertindak secara tepat berdasarkan Akta Kesalahan Syariah 559, 560, 561 yang digunapakai seluruh negeri2 di Malaysia dan Enakmen yang sedia ada di negeri Selangor di bawah kuasa Sultan sebagai Ketua Agama. Menahan mana-mana penceramah agama tanpa tauliah adalah prosedur biasa. Ia dirangka dan digunakan bagi menyeragam dan menjamin keharmonian agama di negara ini. Pendek kata, bukan sekadar JAIS, bahkan semua Jabatan Agama Islam Negeri mempunyai kuasa untuk berbuat demikian di bawah Kuasa Sultan. Tidak menghormati peruntukan ini adalah beerti menderhaka kepada Baginda Sultan dalam negeri berkenaan.



Pihak Jabatan Agama Islam Negeri mempunyai bidang kuasa untuk menahan sesiapa sahaja yang didapati berceramah agama tanpa tauliah tanpa mengira kedudukan profesional, akademik @ sosial individu berkenaan. Namun di dalam enakmen yang berkaitan, tauliah boleh dikecualikan. Contohnya, jika individu tersebut mendapat jemputan 'rasmi' sebagai penceramah dari pihak berkuasa Agama Negeri (Jabatan Agama, Majlis Agama dan Jabatan Mufti). Atau menjadi tetamu istimewa Baginda Sultan. Memandangkan, Dr Mohd Asri tidak memiliki tauliah mengajar Agama Negeri Selangor, maka penahanan beliau adalah sesuatu yang biasa berlaku. Beliau juga boleh ditahan dimana-mana negeri sekalipun atas kes yang sama.


Sebenarnya, pihak berkuasa agama tidaklah terlalu 'jumud' dalam mengendalikan isu tauliah. Mana2 individu yang ikhlas berdakwah, menguasai disiplin ilmu agama, kebolehan @ kepakaran di bidang agama adalah dibenarkan berceramah. Kebenaran ini diberikan selagi mana penceramah berkenaan tidak menyampaikan pandangan yang bertentangan dengan fatwa yang sedang berkuatkuasa, tidak melibatkan politik kepartian dan tidak mencetuskan kontroversi agama. Atau tidak timbul sebarang laporan dari penduduk terhadap ceramah yang disampaikan. Jabatan Agama Islam mengenalpasti ramai yang tidak mempunyai tauliah. Tetapi, Jabatan masih tidak mengambil sebarang tindakan drastik untuk menahan mana-mana pendakwah. Sebaliknya, pihak Jabatan Agama sanggup mengeluarkan budget serta memberikan ruang dan peluang untuk memohon tauliah.


Namun, jika terdapat mana-mana penceramah cuba menyampaikan fahaman yang bertentangan dengan fatwa, politik kepartian, mencetuskan kontroversi..dan wujudnya aduan.. pihak berkuasa Agama Islam boleh mengambil tindakan ke atas penceramah berkenaan. Dan penahanan dilakukan mengikut manual prosedur yang digunapakai seluruh negara. Justeru, saya sifatkan penahanan Dr Mohd Asri @ sesiapa sahaja adalah berdasarkan kepada prosedur biasa yang sedia ada. Ia bukannya isu besar yang perlu diperbesarkan oleh orang kenamaan, ahli politik, pertubuhan atau orang awam. Saya menyeru semua pihak agar jangan gelabah. Kita semua perlu bertenang. Biarkan pihak berkuasa Agama menguruskan bidang tugas mereka. Dan bersama kita menunggu kertas pertuduhan yang bakal dibacakan ke atas sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang agama. Apabila pertuduhan dibacakan, baru kita jelas dengan kesalahan yang dilakukan. Ketika itu, anda berhak anda tidak untuk mengaku bersalah atau mendapatkan khidmat guaman. Prosedur ini selari dengan hak asasi manusia. Dan semestinya anda tidak boleh menafikan hak pihak berkuasa menjalankan tugas. Dan dalam masa yang sama, anda boleh mendapatkan hak asasi sebagai manusia biasa. Cuba bertenang..ketenangan sesuatu yang indah bagi manusia.

Visit Bil.

 

blogger templates 3 columns | Techzilo